PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, August 10, 1998

Kesihatan -- Cacar air tinggalkan kesan berpanjangan

ARKIB : 09/08/1998

RAMAI antara kita sama ada tua atau muda telah dijangkiti penyakit cacar air atau lebih dikenali sebagai 'chicken pox'. Kebanyakannya menghidap penyakit ini semasa kita masih kanak-kanak lagi.

Ramai yang takut dengan penyakit ini kerana parut cacar air boleh merubah keadaan atau kecantikan rupa paras seseorang.

Malahan lebih menakutkan lagi, mereka turut mendakwa parut ini bukan sahaja menghodohkan tetapi juga berkekalan di tubuh badan yang sukar dipulihkan.

Namun mungkin tidak ramai yang tahu kini terdapat sejenis vaksin yang boleh digunakan untuk mencegah penyakit ini daripada berlaku?

Pakar Perunding Kanak-Kanak, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Ismail memberitahu, penyakit ini merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus 'Varicella-zoster'.

Malahan tambah beliau, penyakit ini sangat berbahaya terutamanya pada kanak-kanak kecil dan orang tua kerana lebih tua umur seseorang lebih teruk mereka mendapat kesan dan parutnya.

''Anak-anak yang mendapat penyakit ini akan mengalami demam yang tidak tinggi serta mendapat ruam-ruam yang mulanya merah tetapi akan menggelembung dengan mengandungi cecair di dalamnya.

''Ini berbeza dengan penyakit seperti campak (measles), rubela (German measles) dan roseolla di mana ruamnya berbintik-bintik sahaja.

''Dalam istilah Melayu, semua penyakit ruam ini dipanggil campak ,'' katanya.

Dr. Zulkifli berkata, seseorang yang terdedah kepada individu lain yang mendapat penyakit cacar air akan turut dengan mudah dijangkiti.

Menurutnya, pesakit yang terkena akan mengalami demam selama beberapa hari dan ini tidak berbahaya kepada pesakit berkenaan. Demamnya pula kata beliau, tidak terlalu tinggi dan jarang sekali menyusahkan pesakit.

Gejala-gejala cacar air

* Demam yang sederhana.
Ia selalunya bermula dua hingga tiga minggu selepas terdedah kepada pesakit cacar air.
Penyakit ini merebak dari seorang pesakit kepada individu lain melalui sentuhan dengan ruam dan juga saluran pernafasan pesakit seperti batuk, bersin dan sebagainya.

* Ruam merah berbintik-bintik bermula di bahagian muka dan badan.
Bintik-bintik ini akan menjadi lepuh yang kemudiannya menjadi kering dan berkeruping.

* Terdapat air di dalamnya.
Semasa ruam menjadi lepuh atau menggelembung, terdapat cecair yang jernih di dalamnya. Cecair ini dinamakan virus 'Varicella-zoster'.

* Kawasan yang terkena cecair ini menjadi gatal. Jika digaru akan menjangkiti ke bahagian lain pula di badan dan begitulah seterusnya ia merebak, dan ia boleh meninggalkan kesan parut berkekalan.
Biasanya tidak ada masalah selain daripada gatal dan keadaan ini akan hilang selepas itu serta-merta dan tidak memerlukan apa-apa rawatan untuk pesakit sebegini.

Komplikasi

* Jangkitan bakteria pada kulit.

* Jangkitan pada otak (radang otak) jarang berlaku dan ia akan melibatkan mereka yang berumur kurang daripada 5 tahun serta lebih 20 tahun.

* Kadang-kadang ia juga boleh menyebabkan berlakunya serangan pneumonia.

* Cacar air berdarah.

Komplikasi ini juga jarang berlaku tetapi apabila berlaku ia adalah amat berbahaya.

Dr. Zulkifli memberitahu, jika ibu mendapat cacar air semasa awal mengandung, terdapat kemungkinan kandungannya akan menghadapi masalah kecacatan pada tubuh dan otak apabila dilahirkan kelak.

''Kecacatan ini termasuklah kecacatan pada mata, kepala bayi akan menjadi kecil dan keabnormalan kulit dan anggota lainnya.

''Sebaliknya jika ia menjangkiti kemudian iaitu dalam masa empat hari sebelum kelahiran, maka bayi yang dilahirkan mungkin mendapat cacar air yang lebih teruk kerana bayi itu baru sahaja dilahirkan,'' jelasnya.

Kata beliau lagi, selepas jangkitan cacar air ini, virus yang menyebabkan penyakit ini akan terus kekal dalam badan iaitu di dalam urat saraf.

Menurutnya, virus ini akan aktif semula jika sistem ketahanan badan pesakit tersebut berkurangan seperti jika mereka dijangkiti virus lain atau diberi ubat yang mengurangkan daya tahan dalam badan mereka.

''Ini akan menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit kayap pula dan ia juga disebabkan oleh virus yang sama iaitu virus 'Herpes-zoster' yang telah kembali aktif,'' katanya.

Kayap atau nama saintifiknya 'Herpes zoster' atau 'shingles' adalah ruam yang menggelembung berlaku di kulit dan melibatkan kawasan urat saraf yang spesifik.

Kata beliau, pesakit yang mendapat kayap akan mengalami kesakitan di kawasan terbabit walaupun pada dasarnya penyakit telah hilang daripada permukaan kulit.

Tindakan dan rawatan

Antara tindakan yang perlu dilakukan sekiranya mendapat penyakit ini termasuklah :

* Jangan keluar rumah supaya penyakit ini tidak menjangkiti individu lain.
* Jangan garu ruam kerana ia akan meninggalkan risiko jangkitan bakteria dan parut.
* Jangan beri sesiapa yang belum pernah terkena cacar air melawat.
* Menjaga kebersihan badan.

Terdapat beberapa kepercayaan bahawa seseorang yang mendapat cacar air tidak boleh mandi, namun pada hakikatnya jika pesakit tersebut tidak mandi atau menjaga kebersihan badan ia akan hanya meningkatkan jangkitan bakteria ke atas kulit.

* Makan ubat untuk demam dan sapukan losen 'calamine' untuk mengurangkan rasa gatal.
* Awasi suhu badan anak. Jangan sesekali beri anak ubat yang mengandungi aspirin atau 'salicylate' untuk demam.
Berilah ubat paracetamol seperti Panadol, Calpol atau Cortal.

Ibu bapa perlu bertindak segera jika:

* Ruam dijangkiti kuman dan ia merah serta bernanah.
* Suhu badan tinggi berterusan selepas ruam menjadi berkuping.
* Rasa gatal pada kulit anak tidak juga kurang walaupun setelah disapukan losen.
Jika jangkitan amat teruk dan berlaku ke atas anak kecil atau individu yang terlalu tua, sejenis ubat yang diberi nama ''Acyclovir'' boleh diberikan pada peringkat awal penyakit bagi tujuan mengurangkan kesan sampingan penyakit.

Ubat berkenaan merupakan ubat antivirus yang membantutkan pembiakan virus ini di dalam badan.

Pencegahan

Pada masa ini terdapat vaksin yang boleh diberikan untuk mencegah daripada mendapat penyakit cacar air.
Vaksin ini boleh didapati daripada kebanyakan doktor-doktor dan diberikan selepas anak-anak itu berumur 12 bulan.

Jika diberikan kepada anak yang berumur kurang daripada 12 tahun, hanya 1 dos sahaja diperlukan ma-nakala jika anak berumur lebih 12 tahun hingga dewasa pula, sebanyak 2 dos diperlukan.

Vaksin yang dikenali sebagai Varilrix (Smith-Kline Beecham) dan Varivax (Merck-Sharpe & Dohme) kini boleh didapati di pasaran negara ini.

Meskipun begitu, vaksin ini tidak diberi di klinik kerajaan kerana ia tidak terdapat dalam senarai vaksin yang diberi oleh Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, vaksin cacar air ini boleh didapati di klinik-klinik dan hospital swasta tertentu.
Adalah penting untuk berbincang dengan doktor atau pakar pediatrik (kanak-kanak) mengenai vaksin ini sebelum mendapatkannya di mana-mana klinik swasta mahupun hospital.


Nasihat

''Cacar air boleh berjangkit daripada 24 hingga 48 jam sebelum ruam kelihatan hinggalah kuping-kuping hilang daripada badan,'' katanya. Dr. Zulkifli menasihatkan, jika seseorang itu belum dijangkiti cacar air supaya jangan mendekati pesakit sehingga kesemua ruamnya kering.

'' Potong kuku anak atau pakaikan sarung tangan untuk mengurangkan jangkitan lain ketika mereka menggaru kulitnya,'' jelas beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...