PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, July 29, 2008

Mitos dan fakta caesarean

Kebanyakan perkara yang menjadi kebimbangan terhadap wanita yang menjalani pembedahan ini adalah mitos semata-mata.
WANITA yang menjalani caesarean digalakkan menyusukan bayi bagi membantu menguatkan rahim.


MESKIPUN pembedahan caesarean kelihatan mudah dan menyenangkan wanita melahirkan anak, kaedah ini mempunyai risiko tersendiri.

“Caesarean juga sering dikaitkan dengan mitos tertentu yang menyebabkan sesetengah wanita bimbang dan takut akan tahap kesihatan mereka setelah menjalani pembedahan tersebut,” kata Dr. Jamiyah Hassan.

Menurut beliau, kebanyakan perkara yang menjadi kebimbangan terhadap wanita yang menjalani pembedahan ini adalah mitos semata-mata.

Apakah risiko yang paling berbahaya? “Masalah jahitan rahim terbuka semula (USR),” jelas Jamiyah. 

Lazimnya, wanita yang hamil selepas 18 bulan dari tarikh pembedahan, kurang berisiko berhadapan dengan masalah tersebut berbanding mereka yang hamil dalam tempoh kurang daripadanya. 

Justeru jika seseorang wanita itu hamil sebelum tempoh 18 bulan, doktor yang merawatnya perlu lebih berhati-hati dalam mengawasi kehamilan kali ini.

“Masalah USR dikatakan berlaku antara 1 dalam 200 sehingga 1 dalam 3,000 kelahiran. Namun, risiko berlakunya perkara ini dikatakan lebih tinggi kepada wanita yang menjalani pembedahan classical caesarean section (CCS).

“Jika ia berlaku, terdapat beberapa komplikasi yang mungkin terjadi kepada ibu dan bayi. Kesan USR ke atas ibu ialah pendarahan dari rahim, trauma ke atas pundi kencing, kehilangan rahim, jangkitan kuman selepas pembedahan dan yang paling teruk ia boleh mengakibatkan kematian. Manakala kesan pada anak ialah masalah bayi lemas dan kematian bayi,” jelas Jamiyah.

Sehubungan itu, amat penting bagi wanita menjaga kesihatan diri selepas melahirkan anak menerusi pembedahan terutamanya aspek pemakanan.

“Tetapi, ramai di kalangan wanita yang terlalu berpantang dalam soal makanan hingga menyebabkan mereka kekurangan zat atau nutrien yang perlu untuk kembali cergas. Ini kerana mereka terlalu mengikutkan petua orang zaman dahulu dalam tempoh berpantang.

“Sebenarnya dalam sains perubatan, tiada istilah berpantang atau tidak boleh makan sebarangan makanan. Wanita yang bersalin secara normal atau caesarean boleh makan apa sahaja kecuali benda yang baru dikeluarkan dari peti sejuk. Mereka perlu memperbanyakkan pengambilan makanan berprotein dan vitamin C kerana kedua-duanya membantu memulihkan parut luka pembedahan atau luka jahitan dengan cepat.”

Benarkah kelahiran secara normal, kesakitan yang dialami hanya pada waktu melahirkan? Jika melalui pembedahan caesarean kesannya berpanjangan?

“Begitu juga dengan pendapat mengenai kesan yang diterima oleh wanita yang menjalani caesarean berbeza dengan mereka yang bersalin normal. Ia tidak boleh diterima pakai kerana perkara itu bergantung kepada ketahanan wanita itu sendiri terutamanya dalam aspek penjagaan diri seperti pemakanan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Adakah pembedahan caesarean ini boleh memberi kesan kepada bentuk tubuh wanita? “Dalam soal ini, ia sebenarnya berbalik sendiri kepada wanita tersebut. Jika mahu mengembalikan bentuk tubuh kepada yang asal, mereka harus rajin bersenam dan mengawal kalori. 

“Selain untuk merampingkan badan, ia juga boleh membantu mengelakkan sebarang penyakit seperti diabetes atau hipertensi,” tegas Pengarah Ikhtisas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ini.
WANITA yang kembali hamil selepas 18 bulan dari tarikh pembedahan, kurang risiko mengalami USR.


Apakah pesanan beliau kepada wanita yang menjalani pembedahan caesarean? “Anda perlu menjaga pemakanan contohnya ambil makanan yang berkhasiat dan seimbang untuk menambah tenaga selain menyembuhkan luka dalaman. Anda juga harus menjaga parut luka dengan baik dan jangan sesekali rasa takut untuk berjalan sejurus selepas pembedahan.

“Ini kerana kebanyakan wanita takut untuk berjalan selepas bersalin secara caesarean kerana kesakitan yang dirasai. Namun, sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam selepas bersalin, mereka perlu berjalan atau menggerakkan bahagian badan bagi mengelakkan terjadi darah beku dalam darah. Dengan bergerak, ia akan membantu merangsang perjalanan darah dalam badan.

“Di samping itu, mereka juga boleh melakukan senaman ringan selepas dua minggu dan hanya boleh melakukan aktiviti berat seperti bersukan, bermain badminton atau berjoging selepas dua bulan. Wanita yang bersalin secara caesarean turut digalakkan menyusukan bayi anda dengan susu badan bagi membantu mengecutkan rahim.

“Tetapi, mereka mungkin akan merasa sedikit kesakitan di kawasan pembedahan berbanding wanita yang bersalin secara normal. Perkara ini menyebabkan ramai wanita bertindak untuk tidak mahu menyusukan bayi mereka.” – KHADIJAH MOHAMAD NOR
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...