PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, September 18, 2008

Positif menghidap Hepatitis B


ARKIB : 17/08/2008

MELIHATKAN perwatakannya yang ceria, anda pasti tidak tahu bahawa Chua Seng Huat mengalami masalah ‘hati’.

Penyakit hati yang dialaminya ialah Hepatits B kronik. Penyakit ini, yang berpunca daripada virus Hepatitis B (HBV) dan 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV, masih merupakan penyakit berjangkit paling umum dan kekal sebagai satu masalah global yang serius.

Walaupun dengan adanya program vaksinasi hepatitis B di seluruh dunia, HBV kronik menjangkiti kira-kira 350 juta orang, dan mengakibatkan sehingga 1.2 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun.

Antara 15 hingga 25 peratus daripada mereka yang dijangkiti secara kronik akan meninggal dunia akibat kerumitan jangkitan HBV, seperti sirosis dan kanser hati.

Sehingga 80 peratus daripada kanser hati utama sedunia, yang kini dianggap kanser kelima paling menular di seluruh dunia, dikaitkan dengan hepatitis B kronik .

Seng Huat dianggarkan sebagai salah seorang daripada kira-kira 1.3 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini.

Bagi penyakit dengan impliklasi serius seperti hepatits B, kefahaman tentang penyakit ini masih berada di tahap yang agak rendah.

Ramai yang masih percaya bahawa seseorang boleh dijangkiti hepatitis B dengan makan makanan laut yang dijangkiti dan tanggapan ini sememangnya tidak benar sama sekali.

HBV boleh disebarkan daripada ibu kepada anak semasa bersalin atau menerusi pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.

Berbanding kefahaman cara jangkitan, lebih ramai orang lagi yang jahil tentang rawatan yang boleh didapati untuk menangani hepatitis B kronik.

Dalam satu laporan di akhbar sebelum ini, Presiden Yayasan Hati Malaysia (MLF) dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Ismail Merican dipetik sebagai berkata, bahawa ramai rakyat Malaysia langsung tidak sedar bahawa mereka boleh mendapatkan rawatan bagi Hepatitis B kronik, walaupun dengan kemajuan besar yang dicapai dalam bidang ini.

Seng Huat yang merupakan pengurus kewangan berusia 41 tahun dari Seremban, bernasib baik kerana dia adalah antara pesakit yang prihatin terhadap kesihatan dan bijak mendapatkan maklumat.

Dia dikesan menghidap hepatitis B kronik ketika berusia 18 tahun, secara kebetulan, selepas menderma darah.

“Saya seronok kerana dapat menjadi penderma buat pertama kali. Beberapa minggu selepas menderma darah, saya menerima panggilan daripada hospital memaklumkan bahawa saya menghidap hepatitis B kronik.

“Bayangkan betapa terkejut saya mendengar berita itu,” ujar Seng Huat.

Keluarganya menjalani ujian darah serta-merta dan mendapati bahawa ibunya juga menghidap Hepatits B.

Adik-beradik yang lain serta bapanya pula bukan penghidap dan mereka kemudian diberi vaksin untuk mencegah jangkitan.

dinasihati

Seng Huat berkata, walaupun dia tidak diberikan sebarang ubat, dia dinasihati oleh doktor pada waktu itu bagi menjalani ujian darah setiap tahun untuk memeriksa kesihatan hati dan memantau penularan virus dalam sistem.

Selain itu, dia dinasihati agar jangan minum arak dan merokok, mendapatkan tidur yang cukup dan mengambil diet seimbang yang rendah kandungan lemak dan makan banyak sayur.

Dia juga dinasihati untuk tidak makan kerang yang mungkin mengandungi bakteria yang membahayakan hati.

Profesor Perubatan & Pakar Runding Hepatologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed berkata, walaupun bukan semua penghidap hepatitis B kronik memerlukan rawatan, memandangkan ia bergantung kepada tahap penyakit, pesakit perlu memantau kesihatan hati kerana virus boleh menyebabkan kerosakan secara senyap.

“Ramai pesakit berfikir jika mereka rasa sihat, mereka tidak perlu menjalani rawatan susulan. Ini merupakan satu andaian yang salah dan berbahaya kerana tahap virus dan kegiatan hati boleh berubah secara beransur-ansur.

“Virus ini boleh merosakkan sel hati, meninggalkan parut yang menyebabkan sirosis dan seterusnya kanser hati. Satu-satunya cara pesakit boleh mengetahui tahap kesihatan sebenar hati ialah dengan menjalani rawatan susulan setiap enam hingga 12 bulan, bergantung kepada keperluan masing-masing,” ujar beliau.

Semasa menjalani ujian fungsi hati tahunan pada Julai lepas, doktor Seng Huat memberitahunya tentang bacaan tidak normal dalam keputusan ujian.

Untuk mendapatkan kepastian, dia diminta menjalani ujian DNA HBV yang mengukur secara langsung jumlah virus Hepatitis B dalam darah atau tahap bebanan virus.

Keputusan menunjukkan tahap bebanan virus mencecah sehingga 240 juta.

“Saya memang merasakan seperti ada sesuatu yang tak kena kerana terasa lebih letih daripada biasa selama beberapa bulan dan saya langsung hilang selera makan. Saya juga lebih mudah jatuh sakit,” kata Seng Huat.

Walaupun diberitahu beberapa tahun lalu bahawa dia tidak memerlukan rawatan dan meskipun dia menjaga kesihatannya dengan teliti, waktu untuk mendapatkan rawatan sudah tiba bagi Seng Huat.

“Nasib baik saya sentiasa mengawasi fungsi hati saya menerusi ujian darah tahunan. Jika tidak, mungkin sudah terlambat bagi saya mendapatkan rawatan,” tegasnya.

Dr. Rosmawati bersetuju bahawa sikap proaktif Seng Huat amat penting untuk menguruskan penyakit sepanjang hayat seperti hepatitis B kronik.

“Saya harap lebih ramai pesakit mengikut jejak langkahnya untuk membuat pemeriksaan susulan secara berkala. Ramai orang tidak sedar mereka dijangkiti dan menghadapi risiko mengalami penyakit hati serius yang berlarutan ke peringkat lanjut. Dalam keadaan ini tidak banyak yang boleh dilakukan untuk membantu mereka,” tambahnya.

Seng Huat telah diberikan telbivudine, sejenis ubat oral baru yang diambil sekali sehari untuk merawat Hepatitis B kronik.

Diambil selepas atau sebelum makan, telbivudine berfungsi mengekang jumlah virus HBV dengan pantas dan berkesan di dalam pesakit dewasa yang menunjukkan tanda penduaan virus dan radang hati aktif.

rawatan

“Matlamat rawatan ialah untuk mengekalkan tahap bebanan virus serendah yang mungkin dalam jangka panjang. Kajian mendapati bahawa bebanan virus yang tinggi dikaitkan dengan risiko kanser hati dan sirosis yang lebih tinggi. Sebab itulah pesakit perlu mengambil langkah penting untuk bertemu doktor dan memastikan tahap aktiviti virus adalah serendah mungkin, walaupun apabila mereka tidak mengalami sebarang gejala,” kata Dr. Rosmawati.

Selepas dua bulan menjalani rawatan, bebanan virus Seng Huat turun dengan ketara dan hampir tidak boleh dikesan lagi.

“Ini berita baik bagi saya, tetapi saya masih perlu mengambil telbivudine dan tetap menjalani pemeriksaan susulan secara berkala,” kata Seng Huat.

Kini, Seng Huat dapat melakukan aktiviti yang digemarinya seperti bersenam di gimnasium, berhibur, menyanyi dan mereka bentuk ruang dalaman.

Walaupun agak rumit, Seng Huat percaya tindakan menjalani pemeriksaan susulan penting untuk menjaga kesihatan dengan baik dan mengekalkan kualiti kehidupan penghidap Hepatitis B kronik.

“Jangan takut untuk menjalani ujian darah tahunan kerana ia boleh menyelamatkan nyawa anda. Menghidap Hepatitis B kronik tidak bermakna anda tidak boleh menjalani kehidupan normal, atau terus melakukan aktiviti yang menggembirakan anda,” katanya.

Seng Huat juga mengakui bahawa dia sedang mempertimbangkan untuk kembali melakukan aktiviti menyusur hutan.

“Sebelum ini saya berhenti menyusuri hutan kerana usia saya yang semakin lanjut,” ujarnya.

Masa depan para penghidap Hepatits B kronik semakin cerah. Pesakit perlu tampil ke hadapan untuk menjalani penilaian supaya doktor boleh menentukan rancangan pengurusan dan mengesyorkan rawatan yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka.

Walaupun ini merupakan penyakit sepanjang hayat dan masih belum ada penawar penuh bagi Hepatitis B, pilihan rawatan tetap ada.

“Pesakit perlu tampil ke hadapan untuk penilaian supaya doktor boleh menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang paling sesuai berasaskan keadaan mereka.

“Pengesanan awal amat penting kerana kami boleh mencegah pesakit daripada mengalami kerumitan serius pada masa depan, seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” kata Dr. Rosmawati.

Hidup dengan Hepatitis B

Jika keputusan ujian Hepatitis B anda positif, anda perlu membuat temu janji dengan doktor. Doktor anda mungkin akan mengarahkan agar ujian darah dan ujian ultrasound hati dijalankan untuk meninjau status Hepatitis B dan kesihatan hati anda.

l Anda perlu memastikan bahawa pasangan atau suami/isteri anda diuji dan divaksin untuk mendapat perlindungan daripada jangkitan virus HBV.

l Jangan minum alkohol, merokok dan makan kerang mentah.

l Jangan cuba merawat diri; tanya dahulu doktor jika anda bercadang untuk mengambil sebarang ubat atau rawatan alternatif kerana anda mungkin memburukkan lagi masalah perubatan anda.

l Jangan lupa untuk membuat pertemuan susulan dengan doktor secara berkala, mengikut jadual.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...