PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, February 9, 2009

Japanese Encephalitis

ARKIB : 17/01/1999

Kesihatan -- Japanese Encephalitis - Punca penyakit

JAPANESE Encephalitis merupakan jangkitan virus yang ditularkan oleh nyamuk. Bagi kebanyakan individu yang mendapat jangkitan ini, ia tidak menunjukkan sebarang tanda jelas.

Bagaimanapun, terdapat segelintir yang dijangkiti virus ini, akan mengalami Encephalitis atau jangkitan pada otak yang berkemungkinan membawa maut.

Ketua Unit Kultural Sel Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi Perubatan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Datin Dr. Ilina Isahak memberitahu JE ditularkan melalui gigitan nyamuk yang mendapat jangkitan tersebut.

Nyamuk culex tritaeniorhynchus merupakan vektor yang terpenting dalam menyebarkan virus ini.

Bagaimanapun, katanya khinzir memainkan peranan terpenting dalam menggandakan lagi bilangan virus ini kerana virus tersebut banyak didapati dalam darah mereka.

Pada masa yang sama, suhu badan khinzir yang tinggi dan permukaan tubuhnya yang tidak berambut menjadi tarikan beribu-ribu nyamuk pada setiap malam,'' ujarnya.

Menurut beliau, nyamuk culex ini biasanya keluar pada waktu senja dan lebih gemar menggigit haiwan berbanding manusia.

Sehubungan itu, jangkitan ini tidak akan berlaku dari manusia kepada manusia.

Nyamuk culex ini merupakan vektor terpenting di Asia di mana mereka menggunakan takungan air di tanah seperti sawah padi untuk larvanya.

Di sesetengah negara lain, nyamuk aedes turut dikaitkan dengan penularan virus JE ini,'' ujarnya.

Dr. Ilina menjelaskan, di kebanyakan negara Asia, risiko penularan JE banyak bergantung kepada pendedahan faktor persekitaran.

Ini termasuklah kawasan luar bandar, sawah padi yang berair, ternakan khinzir dan hujan lebat.

Keadaan ini, katanya amat sesuai untuk virus JE, kerana selain tempat pembiakan vektor yang luas, perumah pengganda (khinzir) juga agak tinggi.

Di kebanyakan kawasan luar bandar di negara-negara Asia, khinzir sering diternak di belakang rumah bersama ayam, itik dan berhampiran sawah padi.

Keadaan ini secara tidak langsung, mendedahkan manusia kepada JE daripada khinzir melalui gigitan nyamuk,'' ujarnya.

Bagaimanapun, di negara maju seperti Jepun, ternakan khinzir ditempatkan jauh dari kawasan perumahan.

Malah, penggunaan kaedah pertanian moden seperti racun serangga dapat membantu mengurangkan penularan virus JE.

Mengimbas sejarah JE, ia merupakan penyakit dan agen penyebab yang pertamanya ditemui di Jepun pada 1935.

Di Malaysia, wabak Japanese Encephalitis yang pertama dilaporkan berlaku di kalangan askar tahanan British pada 1951.

Hampir setiap tahun, wabak ini dilaporkan berlaku dengan anggaran antara 37 hingga 92 kes, di mana sembilan hingga 35 kes dikenal pasti oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Secara umumnya, hampir 50,000 kes JE berlaku di Asia di mana 10,000 daripada akan mengakibatkan kematian.

Data yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan pada 1993 hingga 1997 mendapati, jumlah mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak yang berumur 0-4 tahun sebanyak 19.2 peratus.

Manakala kanak-kanak yang berumur lima hingga 14 tahun sebanyak 58.9 peratus.

Sementara itu, bagi kes-kes JE yang membabitkan jantina pada tahun yang sama, 66.4 peratus terdiri daripada lelaki, manakala 33.6 peratus adalah wanita.

Dr. Ilina memberitahu, kajian jangkitan JE pada darah haiwan ternakan dari sembilan buah negeri di Malaysia pada 1993 mendapati, kebanyakan haiwan yang dijangkiti terdiri daripada khinzir dari Pulau Pinang.

Sebahagian kecilnya terdiri daripada lembu dan kerbau di Perak dan Johor mencatatkan tahap antibodi yang tinggi.

Menurut beliau, kajian yang dijalankan ke atas haiwan mendapati, jangkitan JE sebenarnya ditemui hampir pada kebanyakan spesies haiwan.

Bagaimanapun, antibodi positif yang tertinggi hanya didapati pada khinzir.

Keadaan ini meletakkan khinzir sebagai perumah pengganda bagi virus JE di Malaysia dan beberapa negara lain di Asia berbanding haiwan ternakan lain.

Menurut Dr. Ilina, khinzir merupakan perumah pengganda virus JE kerana kadar jangkitannya tinggi, populasi luas dan kadar pertukaran yang tinggi juga.

Pada masa yang sama, ia merupakan perumah pilihan bagi nyamuk terutama nyamuk jenis ini.

Tambahnya, satu kajian lain di Malaysia mendapati virus JE ditemui pada nyamuk dan haiwan ternakan sepanjang tahun di seluruh negara.

Namun, keadaan cuaca di negara ini dengan suhu dan hujan lebat amat sesuai untuk pembiakan nyamuk sekali gus penularan virus JE.

_______________________________________________________


TANDA-TANDA KLINIKAL

Hanya satu dalam 500 (1:500) kes jangkitan akan menyebabkan seseorang menghidap penyakit JE.

Antara tanda-tanda awal seseorang yang mendapat jangkitan JE ialah :
* Demam
* Sakit kepala
* Letih
* Loya
* Muntah yang berlaku berhari-hari

Walaupun terdapat segelintir lain mendapat jangkitan JE ini, mereka tidak menunjukkan tanda-tanda (asimtomatik).

Manakala tanda-tanda jangkitan saraf dapat dikenal pasti dengan:
* Rasa mengantuk
* Kegelisahan
* Keadaan hampir pengsan
* Meracau

Sesetengah kanak-kanak yang mendapat jangkitan ini, menunjukkan pertuturan yang tidak jelas atau bisu.

Sementara itu 60 peratus mereka yang mendapat jangkitan ini mengalami sawan di mana tempoh penyembuhannya adalah lambat.

Bagaimanapun, JE boleh membawa maut dalam 10 hingga 35 kes yang biasanya berlaku pada minggu pertama jangkitan.

RAWATAN
 
Sehingga kini, belum ada rawatan antivirus yang khusus dalam pasaran. Namun, pesakit JE biasanya akan diberi rawatan rapi di hospital.

KOMPLIKASI

a. Kanak-kanak yang berumur kurang 10 tahun lebih rentan untuk mendapat komplikasi saraf yang serius seperti:

* Lumpuh
* Kebutaan
* Sawan

Satu pertiga atau setengah pesakit yang hidup selepas mendapat jangkitan akut akan mendapat komplikasi setahun kemudian.

b. Wanita hamil

Pada wanita hamil, mereka yang dijangkiti JE semasa awal kehamilan boleh menyebabkan kematian janin atau keguguran.

Sebaliknya, jangkitan JE pada peringkat akhir kehamilan tidak menyebabkan apa-apa kesan pada bayi di mana bayi yang dilahirkan adalah normal.

PENCEGAHAN
 
* Mengasingkan kawasan ternakan khinzir jauh dari kawasan perumahan.
* Proses memvaksinasi semua khinzir yang berumur enam bulan ke atas dengan vaksin JE.
* Semburan racun serangga di kawasan ternakan khinzir dan sawah padi.
* Penggunaan pencegah serangga
* Menyembur racun serangga di tempat tidur
* Memakai baju berlengan panjang, seluar atau kain panjang.
* Tinggal dalam rumah selepas senja kerana vektor aktif selepas senja
* Menimbus lopak-lopak air
* Menjaga kebersihan persekitaran ladang

KAWALAN JE
 
Berdasarkan kitaran penularan virus JE, terdapat tiga strategi untuk mengawal JE:
* Kawalan vektor semburan serangga.
* Imunisasi khinzir dengan vaksin JE hidup
* Imunisasi manusia dengan vaksin JE yang dimatikan.
* Kawalan vektor amat sukar dilakukan kerana tempat pembiakan nyamuk di sawah padi agak luas. Bagaimanapun, di Jepun densiti vektor dapat dikurangkan dengan semburan racun serangga yang dijalankan oleh petani untuk melindungi hasil pertanian mereka.
* Imunisasi khinzir tidak terkecuali dilakukan di Jepun.

Namun, bilangan khinzir yang banyak, kadar pertukaran yang tinggi dan kehadiran antibodi maternal (ibu) menghalang keberkesanan vaksin JE hidup.

Keberkesanan vaksin JE yang hidup bertambah sukar sekiranya vaksin tersebut diberi enam bulan selepas kelahiran.

* Imunisasi manusia terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi merupakan langkah yang efisien, praktik dan terbaik.

Vaksin JE yang mengandungi virus yang dimatikan mampu memberi perlindungan yang sepenuhnya dengan tiga kali dos suntikan.

Suntikan kedua diberikan tujuh hari selepas dos pertama, manakala suntikan ketiga diberi pada hari ke-30.

Selepas vaksinasi, antibodi akan terbina pada hari ke-14 hinggalah setahun meskipun, jangka perlindungannya tidak diketahui. Satu dos booster boleh diberikan selepas dua tahun.

Penerima vaksin harus dimantau dalam tempoh 30 minit dan dinasihatkan mendapat rawatan jika perlu dalam tempoh 10 hari selepas suntikan.

Bagaimanapun, vaksin JE tidak diberikan kepada mereka yang mengalami alahan atau terlalu sensitif terhadap kandungan vaksin dan juga wanita hamil.

--- Utusan Malaysia
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...