PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, February 26, 2011

Mencari penawar EV71 (Kosmo Online)

Sejak awal Mac lalu, hospital-hospital di Fuyang, di timur China mula menerima kes kanak-kanak yang mengalami demam panas, mulut berulser, bisul dan mempunyai simptom-simptom seperti ruam-ruam pada tangan dan kaki.


ibu bapa perlu sentiasa memastikan kebersihan anak-anak mereka.


SEJENIS virus yang mengakibatkan penyakit tangan, kaki dan mulut telah meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa kanak-kanak di timur China baru-baru ini.

Selain China, negara jirannya, Vietnam turut menerima tempias serangan virus ini apabila sekitar 400 orang dilaporkan dijangkiti.

Virus yang lebih dikenali dengan nama enterovirus 71 atau EV71 ini bagaimanapun belum tersenarai sebagai antara penyakit berjangkit di China biarpun kesannya sudah mulai dirasai.

Pengarah Jabatan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit, Kementerian Kesihatan negara itu, Qi Xiaoqiu dalam satu sidang akhbar berkata, pihaknya akan terus menguatkan aspek pengurusan dan pemantauan penyakit tersebut.

Menurut Jabatan Kesihatan Wilayah, wabak yang menular di kota Fuyang di Wilayah Anhui baru-baru ini telah menyebabkan 20 kanak-kanak meninggal dunia manakala 1,500 lagi dimasukkan ke hospital.

Daripada jumlah tersebut, 585 orang telah pulih sementara 412 lagi masih dalam pemantauan doktor manakala selebihnya berada pada tahap kritikal.

Hospital-hospital di Fuyang mulai menerima kanak-kanak yang mengalami demam panas, mulut berulser, bisul dan mempunyai simptom-simptom seperti ruam-ruam pada tangan dan kaki bermula awal Mac. Sesetengahnya telah didiagnosis dengan kerosakan paru-paru, jantung serta otak. Kesemua pesakit adalah dalam lingkungan usia dua tahun ke bawah dan enam tahun.


kanak-kanak ini menerima rawatan kerana dikenalpasti mempunyai simpton penyakit tangan, kaki dan mulut.


Pengarah Kementerian Penerangan, Deng Haihua berkata, dua pasukan pakar telah dikejarkan ke Fuyang untuk membantu dan penyelidikan ke atas virus serta penawarnya masih diteruskan.

Haihua mengesa orang ramai agar mencegah jangkitan virus ini dengan mengamalkan kebersihan persekitaran, peribadi dan makanan selain mengelakkan anak daripada berada di tempat yang sesak.

EV71 boleh menyebabkan penyakit tangan, kaki dan mulut yang lazimnya bermula dengan demam panas diikuti dengan bisul serta ketumbuhan ulser dalam mulut. Ruam-ruam juga akan kelihatan di atas tangan serta kaki pesakit.


kes jangkitan EV71 yang serius boleh menjerumus kepada kematian.


Selain itu, EV71 juga boleh mengakibatkan demam panas, meningitis, edema pulmonari dan paralisis dalam sesetengah kanak-kanak. Memandangkan belum terdapat vaksin untuk penyakit ini, kes jangkitan yang serius akan menjurus kepada peningkatan kadar kematian.

Dalam kes-kes yang tidak begitu serius, EV71 boleh memberi simptom-simptom seperti cirit-birit dan kesakitan pada tangan, kaki serta mulut.

Menurut Pusat-pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), sistem imunisasi orang dewasa yang lebih kuat berupaya mengelakkan jangkitan virus tersebut tetapi tidak bagi kanak-kanak.


kanak-kanak ini didedahkan dengan gambaran penyakit kaki, tangan dan mulut.


Di seluruh negara China, kebanyakan sekolah telah diarahkan agar menekankan kepentingan kebersihan asas.

"Langkah ringkas yang boleh diambil termasuk membasuh tangan, tidak berkongsi makanan dan memastikan kanak-kanak membasuh tangan setiap kali selepas ke tandas sudah memadai," kata Anne Fowles dari Sekolah Antarabangsa BISS di Beijing. - Reuters

Malaria berasal dari monyet cimpanzi? (Kosmo Online)

Beberapa tahun kebelakangan ini, penyakit-penyakit seperti HIV-AIDS dan Ebola dikatakan berkait rapat dengan monyet cimpanzi. Terbaru, para saintis mendapati penyakit maut, malaria juga berpunca daripada monyet ini.

Melalui laporan Proceedings of the National Academy of Sciences, Dr. Nathan D. Wolfe, mendedahkan: ”Seperti sejarah, malaria telah sekian lama menjadi penyakit manusia. Kini, jelas bahawa sesuatu penyakit yang merebak daripada haiwan kepada manusia bukan sahaja boleh bertahan selama beberapa dekad, malah berkurun-kurun lamanya,” kata Wolfe dari Universiti Stanford.


CIMPANZI memiliki sejenis parasit yang mirip parasit penyebab malaria.


Malaria yang meragut lebih sejuta nyawa di seluruh dunia setiap tahun ini berpunca daripada sejenis parasit, Plasmodium falciparum. Parasit ini berjangkit daripada seorang manusia kepada yang lain menerusi gigitan nyamuk.

Monyet cimpanzi didapati memiliki sejenis parasit yang berkaitan iaitu Plasmodium reichenowi. Kajian mendapati parasit versi manusia itu lebih cenderung terhasil daripada jenis parasit monyet cimpanzi. – AP

PCV7 cegah pneumokokal

Kesihatan kanak-kanak merupakan satu khazanah negara yang tidak ternilai.


USAHA untuk mencegah risiko dan bahaya pneumokokal hendaklah dimulakan dari awal. - Gambar hiasan


IBU bapa sentiasa mengharapkan kesihatan yang baik bagi anak-anak mereka. Berdasarkan kepada faktor itulah, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan kerjasama WyethAID melancarkan kempen pendidikan seluruh negara yang bertajuk Anugerah Kasih Sayang, Jaga Kesihatan Anak-anak Kita dan Vaksin Mereka daripada Penyakit Pneumokokal (PnD).

Kerjasama ini dibuat untuk mendidik ibu bapa di Malaysia tentang risiko dan bahaya penyakit ini yang boleh dicegah melalui vaksin PCV7. Sejajar dengan usaha yang dilakukan ini, semua hospital bersekutu di Malaysia akan menganjurkan Minggu Kesedaran Pneumokokal yang meliputi program seperti forum dan pameran awam bagi menyedarkan ibu bapa dan bakal ibu bapa tentang bahaya penyakit tersebut.

Antara badan-badan dan hospital yang terlibat ialah Columbia Asia, Demc, KPJ Healthcare, Hospital Pantai, Prince Court, Hospital Pusrawi, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway.

PnD berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman pneumokokus atau streptokokus pada organ di dalam tubuh kanak-kanak. Jangkitan yang berlaku pada saluran pernafasan akan menyebabkan jangkitan kuman dalam darah, keracunan dalam darah, jangkitan bakteria dalam membran tulang belakang dan pneumonia.


DR. ZULKIFLI ISMAIL


Jika kuman pneumokokes atau streptokokus merebak dari dalam hidung ke bahagian atas saluran pernafasan, ini akan menyebabkan berlakunya gejala pneumonia atau radang paru-paru. Jangkitan ini boleh membawa maut, otitis media akut atau radang pada bahagian tengah telinga yang mencatat kes sebanyak 500,000.

Sebanyak 250,000 kes cenderung kepada situasi otorrhea kronik iaitu lelehan nanah berjangkit ke dalam saluran telinga, 750 kes PnD bacteremia atau jangkitan darah pula menyebabkan 15 hingga 20 kematian yang dijangka.

Akibatnya, kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan kehilangan pendengaran, kesukaran belajar, lambat bercakap, sukar untuk berjalan dan apa yang menyedihkan lagi, ia boleh membawa maut.

Kanak-kanak mudah terdedah dengan penyakit ini melalui keadaan persekitaran di sekeliling mereka.

PnD merupakan penyebab utama kematian dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lima tahun di seluruh dunia. Bagaimanapun, mengikut kaji selidik global, hanya 31 peratus ibu bapa sedar akan kewujudan PnD.

Melalui kempen pendidikan penyakit ini, ibu bapa mesti menjadi lebih proaktif bagi melindungi anak-anak mereka daripada PnD. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan kematian lebih satu juta kanak-kanak bawah umur lima tahun berlaku di setiap negara-negara yang sedang membangun.

Sementara itu, seorang pakar pediatrik di Pusat Perubatan Selangor dan Presiden MPA, Datuk Dr.Zulkifli Ismail menjelaskan, kanak-kanak yang dilindungi dan sentiasa sihat akan menikmati pertumbuhan mental yang lebih baik, di samping mempunyai kecemerlangan dalam hidup.

Penyakit ini sukar dikesan. Sebagai contohnya, ada cecair yang keluar dari telinga tetapi penyakit ini tidak akan dapat dikesan seandainya ia tidak diperiksa secara terperinci.

Penggunaan ubat untuk merawat pengeluaran cecair ini pula menyebabkan jangkitan pneumokokal sukar dikenal pasti.

Banyak faktor menyebabkan peningkatan risiko kanak-kanak mendapat jangkitan ini. Antaranya, bayi yang baru lahir sehingga berusia dua tahun mempunyai risiko yang paling tinggi kerana kandungan antibodi pneumokokus yang rendah.

Selain itu, masalah kekurangan imun kongenital turut meningkatkan risiko jangkitan di mana seseorang itu mempunyai daya tahan yang lemah.

Vaksin 7-valent pneumokokal konjugat (PCV7) boleh mencegah 57 peratus hingga 91 peratus kes penyakit pneumokoki invasif (IPD) dalam kalangan kanak-kanak yang berusia bawah dua tahun.

Vaksin PCV7 ini merupakan kaedah paling berkesan untuk mencegah PnD.

Harga terkini vaksin itu ialah RM300 untuk satu dos yang boleh didapati di hospital bersekutu yang disenaraikan.

Sementara itu, Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, menjelaskan betapa seriusnya risiko dan akibat PnD terhadap kehidupan bayi dan kanak-kanak.

"Saya menggesa semua ibu bapa mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengelak masalah ini dan membantu mereka menjalani hidup yang lebih normal," katanya.

Aktif seks punca kanser

Kanser Pangkal Rahim

HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.


VAKSIN HPV yang diterima remaja perempuan mengurangkan risiko mendapat kanser serviks.


KANSER serviks atau kanser pangkal rahim terjadi pada saluran reproduksi wanita dan menjadi penyebab utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.

Biarpun mudah dikesan melalui saringan awal, namun masih ramai yang tidak berusaha mencegahnya.

“Mereka hanya bertemu doktor apabila keadaan sudah kritikal.

“Kajian juga mendapati kanser serviks masih dipandang ringan oleh sesetengah wanita, bahkan tidak ramai yang melakukan ujian pap smear yang dapat mengesan kanser berkenaan pada peringkat awal.

“Kebanyakan wanita bekerja mengatakan mereka terlalu sibuk selain malu untuk menjalani pemeriksaan itu,” ujar Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Selangor Medical Center, Dr. B.K. Tan.


'JALANI ujian pap smear.' - B.K. TAN


Jelasnya, kanser serviks berpunca daripada beberapa faktor termasuk hubungan seks.

“Salah satu faktornya ialah kehadiran antibodi kepada Virus Papilloma Manusia (HPV) iaitu virus yang sama menyebabkan ketuat alat kelamin.

“Virus yang berjangkit melalui hubungan seks ini dipercayai boleh menyebabkan perubahan pada sel pangkal rahim seterusnya membawa kepada perkembangan sel kanser.

“Bagi wanita yang dijangkiti virus ini, mereka terdedah kepada risiko kanser serviks manakala bagi lelaki, mereka terdedah kepada kanser dubur.

“Wanita yang mempunyai ramai pasangan seks atau terbabit dengan pasangan yang juga ramai pasangan seks lebih mudah mendapat jangkitan HPV. Keadaan lebih buruk apabila wanita itu merokok manakala tubuhnya kurang daya tahan,” katanya.




Tambah Tan, kanser serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. HPV boleh dipindahkan kepada pasangan dan ia mengambil masa di antara 10 hingga 15 tahun untuk berkembang.

“Kanser ini boleh dikenal pasti berdasarkan beberapa gejala seperti rasa sakit atau pendarahan ketika melakukan hubungan seks.

“Selain itu, jika berlaku pendarahan dalam faraj antara haid, lelehan berdarah di faraj yang berbau dan pendarahan pada wanita menopaus, juga mungkin tanda kehadiran kanser ini,” katanya.

Menurut satu kajian, kanser serviks menjadi punca kematian kira-kira 270,000 wanita setiap tahun dengan seorang wanita meninggal dunia setiap dua minit di seluruh dunia.

Memetik laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada tahun 2003, anggaran kejadian kanser serviks di Malaysia ialah 16.5 wanita dalam setiap 100,000 penduduk. Penyakit ini mencakupi 12.9 peratus kanser yang dihidapi wanita.

Bagaimanapun, menurut Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di kalangan 100 wanita di negara ini pada tahun 2003 mendapati 23 peratus daripada responden menyatakan mereka tidak perlu melakukan ujian pap smear kerana menganggap mereka tidak mungkin menghidap kanser itu.

Antara lain, faktor kesibukan menjadi penghalang dengan 18 peratus, diikuti malu (9.6 peratus) dan tidak pernah mendengar langsung mengenainya (20 peratus).

“Pelbagai kempen telah dilakukan dan sepatutnya kesedaran untuk melakukan ujian saringan ini menjadi tanggungjawab setiap wanita yang pernah melakukan hubungan kelamin sekurang-kurangnya setahun sekali bagi menentukan tahap kesihatan rahim mereka.

Jika tidak, mereka mungkin akan tersenarai dalam 3,000 hingga 4,000 kes baru yang dilaporkan setiap tahun di negara ini,” kata Tan.


KANSER serviks hanya boleh terjadi kepada wanita yang pernah mengadakan hubungan seks. - Gambar hiasan.


Vaksin

Sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser serviks, kaum wanita di Malaysia kini boleh mendapatkan vaksin HPV Kuadrivalen.

Vaksin yang dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18 itu semakin kerap diperkatakan.

Malah Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah untuk memberi suntikan pelalian itu kepada 300,000 pelajar perempuan bagi mencegah penularan kanser serviks

“Suntikan HPV adalah cara paling baik untuk menentang penyakit ini,” kata Tan.

Vaksin ini telah diluluskan dan sudah lebih 30 juta wanita di seluruh dunia mengambilnya.

Ia berfungsi sebagai pencegah ketuat alat kelamin dan lesi (zona tisu rosak) serviks gred rendah yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.

“HPV jenis 16 dan 18 merupakan punca bagi hampir 70 peratus kes kanser serviks, kanser vulva dan kanser faraj serta punca bagi 50 peratus lesi.

“Sementara itu, HPV 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus ketuat alat kelamin. Empat jenis HPV ini menyebabkan kira-kira 35 hingga 50 peratus lesi gred rendah serviks, faraj dan vulva,” jelas Tan.

Bagaimanapun, pemvaksinan tidak akan melindungi pesakit daripada jenis HPV dan ia boleh menghalang virus daripada jenis HPV 16 dab 18 sahaja.

“Pemvaksinan bertujuan mengurangkan risiko daripada dijangkiti HPV 16 dan 18 yang menjadi punca kanser serviks. Ia tidak boleh menghalang sepenuhnya penerima suntikan pelali itu daripada mendapat kanser ini.

“Oleh itu, pemeriksaan rahim secara berkala amat digalakkan bagi mengelakkan pengesanan kanser pada peringkat akhir yang boleh mengancam nyawa,” kata Tan.


--- KOSMO

Hindari Chikungunya (Kosmo Online)

Anda mengalami demam panas, sakit-sakit sendi, ruam pada badan, atau sakit kepala? Segeralah berjumpa doktor anda.


KAWALAN Aedes dilakukan dalam pelbagai kaedah sejak sekian lama, namun ia masih menghantui masyarakat kita.


KETIKA ada pihak yang tidak mahu laporan mengenai penyakit Chikungunya terus dihebohkan dalam media, lebih ramai yang mahukan informasi ini sampai ke pengetahuan mereka.

Ini bukan soal menimbulkan keresahan awam, tetapi tidak salah jika impak yang terbit daripadanya membuatkan masyarakat umum lebih bermaklumat, berwaspada dan seterusnya bertanggungjawab terhadap persekitaran mereka.


NYAMUK Aedes aegypti pembawa Chikungunya.


Mengikut risalah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Ia pertama kali dikesan di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu, ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di negara-negara Eropah.

Walaupun ia adalah endemik, iaitu selalu terjadi di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, dan Asia Tenggara, namun ia bukanlah sejenis penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.


SIKAP masyarakat yang tidak mementingkan kebersihan hanya menambah kemungkinan buruk.


Penyakit Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae. Ia berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut.

Ramai melabelkan Chikungunya sebagai 'adik-beradik' denggi yang turut berpunca daripada gigitan aedes yang menyebarkan virus penyakit tersebut.


AWASI kediaman anda terutamanya kesihatan orang yang anda sayangi.





Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari tiga hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya adalah di antara dari tiga hingga tujuh hari.

Soalan yang sering ditanyakan apabila muncul sesuatu penyakit adalah 'apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?'.

Maka, jawapan kepada soalan itu sangat bersifat kritikal, lantaran tindakan seseorang untuk mengenal pasti simptom-simptom penyakit Chikungunya boleh mempercepatkan proses rawatan dan untuk pesakit itu sembuh.

Antara simptom-simptom adalah seperti demam panas mengejut (demam yang mendadak boleh mencapai suhu 39 darjah Celcius), sakit teruk pada sendi (terutamanya sendi lutut, pergelangan dan jari), ruam pada badan dan sakit kepala. Seseorang pesakit boleh mengalami demam dari satu hingga lima hari atau seminggu.

Penyakit Chikungunya sering disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan. Pesakit yang berusia pula boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

Seperti penyakit-penyakit lain yang disebabkan oleh virus, tidak terdapat sebarang rawatan khusus bagi Chikungunya. Penyakit ini biasanya akan berakhir dan pesakit boleh sembuh dengan sendirinya. Rawatan untuk pesakit luar lazimnya diberi berdasarkan simptom yang dialami pesakit.

Pendek kata, penyakit ini tiada vaksin. Namun pada masa yang sama, doktor akan memeriksa pesakit secara keseluruhan bagi mengenepikan kemungkinan penyakit lain yang lebih berbahaya.

Maka, sekiranya anda mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, anda dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

Friday, February 18, 2011

Seks ketika hamil?


Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/02/17

Tidak perlu takut melakukannya

KEHAMILAN bukannya penghalang bagi pasangan suami isteri melakukan hubungan seks. Kebanyakan wanita mengandung takut melakukan hubungan intim bersama suami berikutan bimbang berlaku kontraksi yang tidak diingini, padahal secara tidak langsung aktiviti seks memberi nutrisi bagi pertumbuhan ibu dan bayi.

Boleh dikatakan ramai wanita mengandung terutama yang menunggu kelahiran pertama bimbang melakukan hubungan intim. Oleh kerana malu untuk bertanya dan bimbang untuk percaya sumber maklumat daripada laman web, hubungan mesra pasangan menjadi sedikit pudar dan boleh dikatakan suami agak tidak `bahagia’ dalam tempoh lama walaupun teruja menunggu kelahiran si kecil.

Ada juga keadaan apabila suami yang tidak mahu melakukan hubungan intim dengan isteri yang hamil kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan isteri dan anak yang dikandung. Paling tidak, suami bimbang akan berlaku pendarahan dalaman.

Apabila kehamilan itu hanya boleh dihasilkan melalui hubungan seksual, mustahil selepas berjaya hamil kita tidak boleh melakukan persetubuhan, kecuali dalam keadaan tertentu apabila ia disahkan doktor boleh memudaratkan.

Hubungan intim tak jejas kehamilan

Tiada sebab hubungan intim itu boleh menjejaskan kehamilan, kata Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby.

Jika wanita mengandung rasa tidak selesa untuk bersetubuh kerana keadaan pening dan loya, itu tidak mengapa.

“Tiada apa yang akan berlaku kepada janin jika hubungan dilakukan kerana tiada kemungkinan anggota kelamin suami terkena kandungan dan tidak mengganggu kandungan dalam perut,” katanya.

Jelasnya, anggota kelamin dan rahim wanita adalah dua organ yang berbeza kedudukannya walaupun terdapat komunikasi antara organ berkenaan. Pangkal rahim tebal dan pembukaannya ditutup rapat oleh lendir yang tebal serta tiada kemungkinan untuk bahagian itu terbuka.

Beliau berkata, hubungan kelamin tidak menjadi masalah kecuali jika doktor melarangnya. Larangan itu disebabkan oleh pelbagai faktor yang berlaku berikutan keadaan kesihatan.

Antaranya:

  • apabila keadaan kesihatan wanita itu tidak mengizinkan seperti pendarahan selepas persetubuhan, yang mungkin petanda awal kemungkinan akan berlaku keguguran janin.

  • jika suami menghidap penyakit yang boleh menjangkiti wanita itu, kecuali penyakit itu sudah sembuh,

  • keadaan uri lekat atas atau berdekatan serviks yang boleh mengakibatkan pendarahan jika uri renggang,

  • keadaan pangkal rahim yang renggang (cervical incompetence), yang boleh menyebabkan ia terbuka atau apa apa saja yang boleh memudaratkan kesihatan wanita atau anak dalam kandungan

    Tambah Dr Ismail, pada peringkat awal kehamilan, mana mana posisi hubungan intim juga sesuai. Kekerapan hubungan kelamin semakin berkurangan apabila si isteri mula rasa kurang minat melakukannya.

    “Apabila tahap kehamilan meningkat dan perut pun besar, posisi biasa tidak lagi sesuai. Posisi tertentu seperti posisi mengiring, posisi isteri di atas atau posisi yang sesuai dan selesa untuk kedua-dua dua pasangan boleh dilakukan,” katanya.

    Sebagai nasihat, Dr Ismail berkata, suami perlu tahu sedikit sebanyak mengenai perkara yang tidak diingini, yang boleh berlaku ketika persetubuhan dilakukan ketika isteri sedang hamil.

    “Apa pun posisi seks, suami harus pastikan isteri selesa. Jangan meletakkan tekanan atau berat badan pada perut isteri, jangan berlebihan, terlalu kasar atau lupa diri selama hubungan intim berlangsung.

    “Jika si isteri mengalami masalah pendarahan selepas persetubuhan atau pada bila bila masa, suami perlu akur nasihat doktor,” katanya.

    INFO: Panduan posisi terbaik untuk wanita hamil

    1. Posisi wanita di atas
  • Posisi seks yang banyak digunakan dan yang paling selesa untuk wanita hamil.
  • Posisi ini memungkinkan isteri lebih selesa untuk melakukan hubungan intim.

    2. Posisi wanita menonggeng
  • Hubungan dengan posisi ini tidak memberi tekanan pada perut isteri yang semakin membesar. Oleh itu, isteri akan berasa lebih selesa.

    3. Posisi duduk.
  • Sesuai dilakukan pada peringkat pertengahan hingga akhir kehamilan.
  • Posisi ini dilakukan dengan cara suami duduk dan isteri duduk di atas pangkuan suami dan kedua-duanya saing berhadapan atau isteri membelakangkan suami apabila perut semakin membesar.

    4. Posisi berlutut atau berdiri.

    5. Posisi suami berbaring di atas, tetapi hanya separuh badan.

    Sumber: Laman web SekSehat.info
  • --- BERITA HARIAN

    Monday, February 7, 2011

    Punca jangkitan bayi


    ARKIB : 06/02/2011


    RASHIDAH bersyukur dikurniakan bayi perempuan comel bernama Mila. Beberapa minggu selepas Mila dibenarkan pulang ke rumah keadaan menjadi sibuk kerana ada sahaja sanak saudara dan sahabat handai melawat si comel.
    Suatu hari, Rashidah batuk - batuk dan seperti demam selesema dengan rasa perit di tekak. Menyangkakan hanya batuk biasa akibat kesibukan menjaga bayi yang baru lahir, maka dia membeli ubat batuk dari kedai.
    Dalam tempoh seminggu, batuk yang dialami semakin teruk dan diiringi kesesakan bernafas. Akhirnya dia berjumpa doktor dan disahkan menghidap pertusis yang dikenali batuk kokol. Tanpa disangka Mila pula menunjukkan tanda jangkitan seperti batuk teruk diikuti bunyi ‘whoop’ yang nyaring. Setiap kali batuk , mukanya merah padam, menyebabkannya rasa rengsa dan meragam. Mila disahkan menghidap pertusis.
    Rashidah diberitahu bahawa daya tahannya terhadap pertusis telah berkurangan secara beransur-ansur walaupun dia pernah diberi vaksin penyakit itu semasa bayi. Sementara itu, Mila pula masih belum sempat diberi tiga dos vaksin pertusis, sebab itulah dia terdedah kepada penyakit itu. Untuk mencegah jangkitan daripada merebak, doktor mencadangkan agar anak sulung Rashidah, Rashid yang berusia 9 tahun diberi vaksin penggalak (booster).
    Kenali pertusis
    Batuk kokol atau dalam bahasa Inggeris (Pertussis), atau (whooping cough), adalah penyakit yang mudah berjangkit dan merupakan salah satu penyakit bervaksin penyebab utama kematian.
    Terdapat 30 hingga 50 juta kes setiap tahun, dan sekitar 300,000 kematian setahun. Hampir 90 peratus kes berlaku di negara membangun.
    Penyakit batuk kokol disebabkan bakteria Bordetelia pertussis dan berpunca daripada jangkitan saluran pernafasan yang tersekat-sekat terutama di kalangan kanak-kanak berumur bawah dua tahun. Tanda-tandanya adalah batuk sekali-sekala dan melarat menjadi batuk kokol berpanjangan dan akhirnya muntah.
    Menurut Pakar Runding Pediatrik dan Presiden Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, Malaysia belum ada data terkini mengenai batuk kokol namun sehingga 2005, laporan kes penyakit ini menunjukkan peningkatan.
    Profil Imunisasi Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan hanya enam kes batuk kokol dilaporkan pada 2006.
    Ini disebabkan semua bayi di Malaysia wajib mendapatkan vaksin DTP (Difteria, Tetanus dan Pertusis). Keberkesanan vaksin ini berjaya mengekang penularan jangkitan batuk kokol buat masa ini.
    “Keimunan penuh terhadap batuk kokol bagi bayi hanya diperoleh selepas dos ketiga vaksin diberikan apabila bayi berusia lima bulan. Pendedahan kepada bakteria pada bila-bila masa sebelum keimunan penuh diperoleh boleh menyebabkan jangkitan, dan membawa kesan memudaratkan.
    ‘‘Masalahnya, daya tahan terhadap penyakit tidak kekal kerana tahap imuniti semakin berkurangan apabila kanak-kanak berusia 11 atau 12 tahun. Namun begitu, mereka boleh diberi suntikan penggalak untuk mencegah batuk kokol, agar tidak menghidap penyakit tersebut ataupun menyebarkannya kepada bayi yang baru lahir. Sebahagian besar daripada jangkitan batuk kokol di kalangan bayi baru lahir memang berpunca daripada orang dewasa yang dijangkiti,” ujar beliau pada sidang media tentang vaksin pertusis anjuran Sanofi Pasteur baru-baru ini.
    Vaksin
    Vaksin DTP ialah salah satu daripada vaksin dalam Program Imunisasi Kementerian Kesihatan yang bermatlamat memberi vaksin kepada setiap kanak-kanak di Malaysia. Bayi menerima suntikan vaksin DTP pada usia dua bulan, tiga bulan dan akhirnya lima bulan dengan satu lagi dos tambahan pada usia 18 bulan.
    Tambah Dr. Zulkifli, oleh kerana vaksin batuk kokol berkesan selama kira-kira lima tahun.
    “Langkah ini amat penting agar orang dewasa tidak menghidap penyakit dan menyebarkannya kepada bayi yang belum menerima dos pemvaksinan penuh DTP. Vaksin penggalak atau tambahan untuk dewasa berbeza daripada vaksin untuk bayi kerana ia mempunyai komponen difteria dan pertusis yang lebih rendah (dTp),” ujarnya.
    Beliau menambah, vaksin dTp untuk orang dewasa digalakkan khasnya bagi orang dewasa yang sentiasa berdekatan kanak-kanak seperti guru tadika, pekerja tadika, pembantu rumah dan juga pekerja kesihatan dan perubatan.
    Terbaru, terdapat vaksin baru yang lebih lama jangka hayatnya iaitu bertahan selama 10 tahun iaitu DTPa untuk kanak-kanak dan dTpa untuk dewasa.
    --- UTUSAN MALAYSIA
    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...