PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, March 8, 2012

Protein Dalam Air Kencing - Tanda Buah Pinggang Rosak



Oleh Zulkiple Ibrahim

Menurut statistik, bilangan rakyat Malaysia menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir bertambah dari hanya kira-kira 40 orang pada 1980 hingga lebih 12,000 kini.

Ini adalah yang pertama daripada tiga artikel tentang kegagalan buah pinggang (ginjal) sempena Hari Ginjal Sedunia pada 8 Mac.

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Fisiologi badan manusia menetapkan buah pinggang atau ginjal berfungsi mengasingkan toksin dan air berlebihan dari sistem darah selain membantu mengekalkan tekanan darah, membentuk sel darah merah serta memastikan kesihatan tulang.

Tetapi ginjal juga boleh rosak disebabkan antara lain, diabetis, tekanan darah tinggi (hipertensi), jangkitan serta keradangan selain daripada terbentuknya 'batu' dan 'sista' dalam organ berkenaan.

Faktor lain yang menyebabkan kerosakan buah pinggang adalah penggunaan ubat tahan sakit berpanjangan serta minum alkohol.

Jika ginjal rosak dengan teruk, organ itu akan mengalami kehilangan fungsi normal dan situasi ini dikenali sebagai 'Kegagalan Ginjal Peringkat Akhir' (ESRF) atau dengan lebih ringkas, kegagalan buah pinggang.

Menurut pakar-pakar buah pinggang yang dikenali juga sebagai pakar nefrologi, diabetis dan hipertensi adalah penyebab utama ESRF (juga dikenali sebagai ESRD) dan melibatkan 60 perstaus daripada kes baru pesakit yang memerlukan rawayan dialisis di Malaysia.

GAGAL BUAH PINGGANG

Menurut Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF), terdapat tiga jenis kegagalan ginjal iaitu akut, kronik dan peringkat akhir.

Kegagalan akut biasanya bersifat sementara dan boleh pulih.

"Tetapi ada juga kes akut yang tidak respon pada rawatan dan bertukar menjadi kronik atau peringkat akhir kegagalan," terang seorang pakar nefrologi.

Kata beliau, bila wujud kegagalan bersifat beransur-ansur dan progresif, ini dikenali sebagai kegagalan ginjal kronik.

"Akhirnya, ginjal akan gagal membuang bahan buangan atau menjaga keseimbangan air dan garam dalam badan menyebabkan perlunya rawatan dialisis."

Katanya kandungan kreatinin yang meningkat (kreatinin biasanya dibuang dari darah oleh ginjal) akan menunjukkan tahap kerosakan serta fungsi buah pinggang.

Tambah beliau lagi, dengan peningkatan umur, insidens berlakunya kegagalan ginjal kronik turut meningkat.

GINJAL GAGAL PERINGKAT AKHIR

Menurut statistik, bilangan rakyat Malaysia yang menderita sakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) meningkat dari sekitar 40 pada tahun 1980 menjadi lebih dari 12,000 kini.

Pakar-pakar nefrologi percaya jumlah pesakit yang berdaftar tidak mencerminkan bilangan sebenar pesakit buah pinggang di negara ini kerana kemungkinan terdapat mereka yang menderita secara senyap disebabkan kekurangan kemudahan.

Ada juga yang mungkin menggunakan khidmat perubatan tradisional atau alternatif bagi merawat masalah ini.

Pegawai perubatan bahagian nefrologi Dr B.H.Lim memberitahu pihak berkuasa perubatan percaya sekurang-kurangnya sembilan dari setiap 100 rakyat Malaysia menghidap diabetis dan paling kurang 40 peratus dari setiap 100 pesakit diabetis mengalami kegagalan buah pinggang.

"Insidens kegagalan ginjal sedang meningkat," terang beliau sambil menambah terdapat lebih kurang 90 kes baru bagi gagal ginjal peringkat akhir setiap satu juta penduduk atau antara 2,000 hingga 3,000 kes setiap tahun."

Kata beliau, langkah pemeriksaan awal boleh membantu menghalang terjadinya penyakit ginjal terutama mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Sesiapa yang mempunyai riwayat perubatan ahli keluarga yang menghidap kencing manis dan gagal buah pinggang dinasihati menjalani pemeriksaan perubatan," Dr Lim menyarankan.

UJIAN FUNGSI GINJAL

"Semua orang dinasihati menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai risiko gagal buah pinggang atau tidak. Ujian saringan adalah penting bagi mereka yang punya risiko terhadap masalah ini," kata beliau.

"Ramai yang tidak tahu mereka menghadapi masalah gagal buah pinggang kronik sehingga keadaan menjadi teruk kerana mereka tidak menjalani ujian bagi diagnosa awal. Jadi dengan mengetahui lebih awal, sebelum kegagalan ginjal dikesan melalui komplikasi, akan membolehkan rawatan sesuai dijalankan," jelas beliau.

Katanya penyakit buah pinggang akan menular secara perlahan dan simptom mengenainya akan timbul pada peringkat agak lewat iaitu ketika buah pinggang sudah gagal secara teruk dan memerlukan rawatan dialisis.

"Memang terdapat Terapi Gantian Ginjal (RRT) tetapi rawatan ini memerlukan perubahan dalam rutin hidup yang agak membebankan bagi pesakit dan juga kosnya mahal.

"Ujian rutin air kencing, darah dan tekanan darah sekurang-kurangnya boleh menyenangkan perasaan atau juga boleh mengenal pasti sama ada wujud tanda-tanda awal kegagalan buah pinggang. Ujian makmal yang diperlukan dijalankan menggunakan sampel daripada darah dan air kencing.

"Jadi jika ada protein dalam air kencing, ini adalah tanda awal mengatakan ginjal sudah mula gagal," terang beliau sambil menambah satu ujian yang ringkas boleh mengesan sama ada wujudnya protein dalam sampel air kecing individu.

KREATININ

"Wujudnya protein secara berterusan dalam air kencing adalah tanda awal penyakit ginjal kronik. Doktor akan menggunakan keputusan ujian Serum Kreatinin bagi mengira tahap fungsi ginjal yang dikenali juga sebagai Kadar Filtrasi Glomerular (GFR).

"Doktor juga akan memastikan sama ada anda menghidapi diabetis atau tidak," kata Dr Lim.

Kreatinin merupakan bahan buangan dalam darah yang muncul daripada aktiviti otot. Biasanya kreatini akan dibuang oleh buah pinggang tetapi bila fungsi buah pinggang menjadi tidak normal, tahap kreatinin dalam darah akan meningkat.

Menurut Dr Lim, doktor akan menggunakan keputusan ujian bagi mengira fungsi ginjal atau GFR.

Kadar Filtrasi Glomerular (GFR) akan menggambarkan tahap sebenar sejauh mana buah pinggang berfungsi, kata beliau.

Tahap normal GFR adalah 100 ml/min.

Menurut Dr Lim, jika GFR adalah bawah 60 ml/min, individu itu perlu berjumpa pakar nefrologi bagi mendapatkan nasihat.

Jika ini tidak berkesan, pesakit perlulah bersedia untuk rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Hari Buah Pinggang Sedunia ke-7 ialah pada 8 Mac 2012. Temanya adalah 'Kidney for Life' bertujuan untuk mewujudkan tahap kesedaran yang lebih baik mengenai kepentingan pendermaan organ dan transplantasi.

-- BERNAMA

Tuesday, March 6, 2012

Cirit-birit jadi petanda maut



JIKA anak anda mengalami cirit-birit yang kerap dan muntah-muntah, jangan berlengah dan segeralah membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mereka mungkin dijangkiti rotavirus yang boleh membawa maut.

Awal Februari lalu, negara dikejutkan dengan wabak gastroenteritis akut (AGE) yang telah menyerang dua daerah di Perak. Dua kes kematian tersebut masing-masing melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.

Virus tersebut dipercayai merebak melalui air. Perak mencatatkan jumlah pesakit yang paling tinggi bagi jangkitan tersebut dengan rekod setakat 16 Februari lalu ialah seramai 3,444 kes.

Jangkitan rotavirus biasanya bermula dengan demam dan diikuti dengan tiga hingga lapan hari cirit-birit dan muntah-muntah. Cirit-birit yang dimaksudkan itu lazimnya menyingkirkan lebih banyak cecair daripada tubuh.

Hampir setiap kanak-kanak akan dijangkiti rotavirus sekurang-kurangnya sekali sebelum menginjak usia lima tahun.

Virus ini telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit-birit dan 600,000 kematian akibat rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar tahun 2000 hingga 2003, sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun. Semuanya disebabkan masalah cirit-birit.

Di Malaysia, data Kementerian Kesihatan mendedahkan bahawa di antara tahun 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat rotavirus, manakala satu daripada 67 orang ditahan dalam wad, sementara satu daripada 15,000 orang berdepan dengan kematian.

Dua hari

Sebaik sahaja kanak-kanak dijangkiti virus tersebut, merka akan jatuh sakit dalam tempoh dua hari. Jangkitan tersebut mungkin menunjukkan simptom-simptom ringan ataupun tiada langsung.

Kanak-kanak boleh dijangkiti virus beberapa kali dalam hidup mereka dan jangkitan kali pertama selalunya paling teruk.

"Beberapa simptom yang biasa adalah seperti cirit-birit berdarah, muntah-muntah dengan kerap melebihi tiga jam, suhu badan mencecah 39.4 darjah Celsius ke atas dan tidak bermaya.

"Mereka juga menunjukkan simptom dehidrasi seperti mulut kering, menangis tanpa air mata, kencing sedikit atau tiada langsung serta mengantuk yang luar biasa.


PENCEGAHAN jangkitan rotavirus sebahagian besarnya adalah melalui amalan kebersihan diri. - Gambar hiasan


"Rotavirus mudah berjangkit. Ia merebak melalui sentuhan dengan najis dan seterusnya dijangkiti melalui makanan tercemar, air dan titisan pernafasan," kata Pakar Perunding Pusat Pediatrik dan Gastroenterologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr. Chai Pei Fan.

Tambahnya, rotavirus boleh bertahan selama beberapa hari pada permukaan keras dan kering dan ia boleh hidup selama berjam-jam di tangan manusia.

"Cirit-birit yang teruk boleh mengundang dehidrasi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil. Jika tidak dirawat, dehidrasi boleh menjadi suatu keadaan yang mengancam nyawa, tanpa mengira puncanya.

Tidak ada rawatan ubat yang khusus untuk jangkitan rotavirus, walaupun terapi dehidrasi oral disyorkan. Cecair rehidrasi boleh menggantikan kehilangan mineral lebih berkesan daripada air mahupun cecair lain.

Pei Fan mencadangkan agar kerajaan meneliti keperluan pemberian vaksin rotavirus kepada bayi berumur enam bulan ke bawah sebagai suntikan wajib.

"Sudah tiba masanya kerajaan melihat kepentingan vaksin bagi rotavirus di negara ini seperti pemberian vaksin-vaksin lain.

"Pada masa yang sama ibu bapa perlu lebih serius tentang penjagaan kebersihan anak-anak sepanjang masa," katanya.

Ibu-ibu yang menyusukan bayi pula disarankan meneruskan proses penyusuan kerana ia dapat membantu mencegah jangkitan rotavirus.

Sungguhpun begitu, Pei Fan memberitahu, pemberian vaksin rotavirus kepada bayi di peringkat awal merupakan pencegahan terbaik.

Jangkitan umum

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan KPJ Selangor, Datuk Dr. Zulkifli Ismail memberitahu bahawa rotavirus ialah suatu jangkitan umum yang menyerang manusia terutamanya bayi dan anak kecil.

Menurut beliau, penyelidikan yang dibuat di Jabatan Pediatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya sepanjang 15 tahun lalu dan kaji selidik seluruh negara selama setahun menunjukkan bahawa rotavirus menjadi punca utama AGE teruk yang menimpa kanak-kanak Malaysia.

"Beberapa zarah virus sudah memadai untuk menyebabkan penularan. Virus ini dapat hidup dalam masa seminggu di luar tubuh manusia.

"Kematian akibat jangkitan rotavirus lazimnya disebabkan kehilangan cecair dan elektrolit berpunca daripada muntah dan cirit-birit yang teruk," terang Zulkifli.

Pemberian cecair dan elektrolit secara mencukupi dan segera merupakan teras utama dalam rawatan kes rotavirus gastroenteritis.

"Pencegahan jangkitan rotavirus sebahagian besarnya adalah melalui amalan kebersihan diri. Ini termasuk membasuh tangan dengan air dan sabun, minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.

"Memandangkan sifat rotavirus yang sangat mudah berjangkit, maka amalan kebersihan diri semata-mata mungkin tidak memadai untuk mencegah penularan jangkitan," ujar beliau.

Rawatan vaksin

Sejak tahun 2006, dua jenis vaksin rotavirus telah disediakan sebagai pencegahan jangkitan rotavirus. Kedua-dua vaksin tersebut didapati sungguh mujarab dan selamat untuk mencegah jangkitan rotavirus bagi anak-anak kecil.

Banyak negara di dunia termasuk negara-negara Eropah, Amerika Syarikat, Australia, beberapa negara di Afrika dan Amerika Selatan telah memperkenalkan vaksin rotavirus sebagai sebahagian daripada program pelalian negara bagi semua bayi.

"WHO menggalakkan semua negara untuk menimbangkan kemasukan vaksin rotavirus dalam program pelalian negara sebagai strategi mencegah penyakit cirit-birit pada anak-anak kecil.

"Kedua-dua vaksin rotavirus ini boleh didapati di Malaysia sejak tiga tahun lalu. Buat masa ini, ia belum menjadi sebahagian program pelalian negara," jelasnya.

Vaksin ini boleh didapati dalam pasaran swasta namun pengambilan vaksin ini dalam kalangan bayi Malaysia masih sangat rendah.

"Kami menggesa semua ibu bapa di Malaysia agar menimbangkan untuk memberi pelalian kepada bayi mereka berusia kurang daripada enam bulan dengan vaksin rotavirus untuk mencegah jangkitan rotavirus.

"Kami juga ingin menggesa kerajaan Malaysia untuk menimbangkan kemasukan vaksin rotavirus dalam program pelalian negara," sarannya.

--- KOSMO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...