PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, June 30, 2012

Keajaiban terapi ozon

http://www.ib3health.com/products/OzoneBeauty/images/ozone-therapy.gif

SUNGGUH sukar mempercayai kemampuan dan keberkesanan yang menakjubkan daripada terapi ozon, amalan perubatan alternatif yang makin berkembang di seluruh dunia.

Terapi ozon tidak mengandungi pakej pengambilan ubat-ubatan. Ia sekadar penyaluran masuk ozon (O3) ke badan pesakit. Ia juga dipanggil proses pengozonan dan pengoksidanan darah. Lebih mudah memahaminya, menerusi proses pengoksidanan, sistem badan akan berfungsi jauh lebih baik kerana dibekalkan atau mendapat oksigen secukupnya.

Namun orang ramai nampaknya masih keliru dan ragu-ragu, kurang percaya ataupun menyamakannya dengan rawatan klinikal oleh doktor biasa.

Ini kerana terapi ozon masih terlalu baru di Malaysia. Malah mungkin sehingga hari ini, masih terdapat pembaca yang tidak tahu langsung atau tidak pernah mendengar mengenai terapi ozon.

Sebab itu masih ramai bertanya apa itu ozon dan apa itu terapi ozon.

Sebenarnya terapi ozon telah begitu lama diperkenalkan di luar negara seperti Belgium, Itali, Perancis, Brazil, Rusia, Argentina, Jepun dan Singapura.

Perkembangannya bertitik tolak daripada pengenalan terapi itu yang disokong penggunaan mesin penghasilan molekul ozon di Jerman oleh Dr. Albert Wolff berasal dari Berlin pada 1915.

Malah di Indonesia, iaitu sebuah negara membangun dan kurang maju berbanding Malaysia, terapi ozon sama ada sebagai alternatif atau sokongan sudah pun bertapak di republik itu sejak 1992.

Apakah ozon?

Ia merupakan sejenis lapisan di antara langit dan bumi. Ia tidak kelihatan tetapi penting kepada manusia. Ini kerana lapisan ozon terdiri daripada molekul ozon (O3) bertindak menyerap sinar ultra ungu yang berbahaya kepada hidupan di bumi termasuk manusia.

Bagaimana terapi ozon dilakukan?

- Secara Major Autohemotherapy (MAHT) iaitu pengambilan sejumlah darah ke dalam tabung uji yang berisi ozon (O3) dan kemudian dimasukkan semula ke badan. Di sesetengah pusat rawatan, proses ini dikawal secara berkomputer

- Melalui Extracorporeal Blood Oxygenation and Ozonation (EBOO) iaitu proses pengozonan dan pengoksidanan darah. Kaedahnya seumpama dialisis. Sejumlah darah disedut keluar oleh mesin dan kemudian disalurkan ke tabung yang dirangkaikan dengan mesin penghasilan ozon. Darah yang telah bersih dan dimasukkan ozon dimasukkan semula ke dalam badan menerusi mesin berkenaan.

Di Malaysia terdapat sebuah syarikat tempatan yang mengeluarkan mesin dinamakan ALIF-1. Mesin ini turut digunakan di beberapa hospital swasta di negara ini.

Apakah faedah, kebaikan dan jenis-jenis penyakit yang diubati oleh terapi ozon?

Persidangan Ozon Sedunia Ke-6 di Washington D.C. pada tahun 983 merumuskan tentang kegunaan ozon dan kebaikan terapi ozon seperti berikut:

- Membunuh kulat, bakteria dan virus yang tidak dikehendaki dari darah
- Mengurangkan risiko seseorang daripada dijangkiti hepatitis, HIV, sifilis atau penyakit-penyakit yang merebak melalui pemindahan darah
- Menyahkuman dari luka luaran
- Melegakan pesakit daripada gejala angina akibat sakit lemah jantung dengan memperbaiki sepenuhnya peredaran darah di badan dan fungsi serta peredaran darah dalam otak
- Menghapuskan ketumbuhan barah, lymphomas dan leukemia tanpa melalui pembedahan, radiasi atau kemoterapi
- Memulihkan penyakit rheumatoid dan artsitis
- Mengubati semua jenis alahan
- Mengawal penyakit Alzheimer dan Parkinson
- Menyembuhkan dengan berkesan kecederaan atau sakit luaran seperti melecur, luka, melecet, ulser (seriawan) yang terdedah, jerawat, fungus dan sakit kulit
- Berkesan merawat proktitis, kolitis, prostitus, fissure, candidiasis dan jangkitan yis lain, trichomoniasis, penyakit vagina lain, sis di buah pinggang, fistula dan penyakit chrohns
- Mengubati pesakit mononukleosis dan cirrhosis pada hati (tanpa sebarang ubat-ubatan klinikal dan farmasi)
- Mengubati sakit AIDS, herpes dan hepatitis

Apakah kesan penggunaan ozon kepada badan?

Antaranya ialah:

- Merangsang penghasilan sel darah putih
- Merangsang penghasilan interluikin-2. Interluikin-2 berfungsi dalam sistem imun atau pertahanan badan
- Membunuh kebanyakan bakteria
- Menyerang dan menghapuskan virus dengan berkesan
- Mengoksida plak arteri iaitu memecahkan plak yang terdapat pada saluran darah (terutama bagi penyakit arteriosclerosis dan arthrosclerosis)
- Menguraikan petrokimia dan membuang semua toksik di dalam badan.

Apa kelebihan dan bagaimana respons terhadap terapi ini?

- Penggunaan ozon tidak menyakitkan
- Jauh lebih murah berbanding kos pembedahan bagi sesetengah penyakit
- Semakin banyak negara membenarkan pengamalan terapi ozon di seluruh dunia sejak tahun 1985. Lebih 6,000 alat atau mesin penghasil ozon dijual di Eropah.

Apakah kesan sampingan terapi ozon?

- Ia tiada kesan sampingan yang memudaratkan
- Daripada ratusan ribu orang yang dirawat dan berjaya dipulihkan atau dikurangkan secara maksimum penyakit mereka, tiada satu kes pun yang dilaporkan berlaku tindak balas negatif berikutan penggunaan ozon.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai rawatan alternatif terapi ozon sila hubungi 012-2860221 atau 03-40410371.



Contoh kes

Seorang anggota polis, Damrah Aris (bukan nama sebenar), 53, dari Kuala Lumpur, mengalami luka teruk di betis akibat sakit kencing manis, tahun lalu. Selepas dirujuk ke hospital, beliau dinasihatkan supaya menjalani pembedahan menampal daging paha ke bahagian betisnya. Pilihan kedua ialah memotong kedua-dua kaki dari bahagian betisnya untuk mengelakkan jangkitan lebih serius.

Bagaimanapun, selepas pembedahan dijalankan, usaha melekatkan daging paha pada betisnya gagal kerana sebab-sebab tertentu.

Pada September tahun lalu, Damrah mencuba terapi ozon di sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur. Setiap minggu, beliau menjalani tiga kali terapi.

Sepanjang terapi itu, kedua-dua kaki Damrah dibalut dengan plastik khas yang mempunyai tiup untuk penyaluran masuk ozon.

Secara berperingkat-peringkat, daging kedua-dua betisnya yang sebelum ini hitam seakan-akan terbakar kembali tampak bersih kemerah-merahan.

Kini selepas menjalani beberapa kali terapi di pusat berkenaan, hasilnya, amat menakjubkan.

Walaupun salah satu jari kakinya tertanggal kerana daging sudah hancur dan busuk, tetapi kini luka di kedua-dua belah kakinya hampir pulih sepenuhnya dan sudah boleh berjalan dengan bantuan tongkat.

Manakala Hasnah Bukhari (bukan nama sebenar), 65, dari Kapar, Klang yang menanggung kesakitan akibat luka yang tidak sembuh selama lapan tahun di kakinya, kini lega apabila penyakitnya hampir sembuh selepas menjalani terapi ozon sejak sebulan lalu.

Beliau bukannya penghidap kencing manis, sebaliknya lukanya sukar diubati kerana gejala Varicose veins yang berpunca daripada sistem saluran darah tidak berfungsi di bahagian kakinya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Ozon: cahaya baru pesakit

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg0-OftfldX6xhWzJV4XBJb2VBOpyoArjjIufzynSj-kZuVesIkco_ck743Fqo_dtsWxx8DKLKRKnEh0QLwW0h8WzqyYi87W1QC_QECWhNgi42yog4dqic4V66OBuDyXfy5sA0XMgv8lPKA/s1600/ozone-therapy+for+pregnancy.jpg

Oleh RAMLI ABDUL KARIM


SUDAH tentu ramai yang merujuk istilah ozon kepada lapisan ozon di atmosfera yang dikatakan mengalami kebocoran dan menipis akibat pencemaran udara serta pelepasan gas yang boleh menghakisnya.

Mengikut kajian saintifik, lapisan ozon amat berbahaya termasuk boleh merosakkan sistem pernafasan manusia.

Ozon ditemui oleh Christian Friedrich Schonbein pada tahun 1840. Semasa Perang Dunia Pertama, Albert Wolf menggunakannya untuk tujuan perubatan terutama pada luka yang telah dijangkiti kanser.

Perkembangan ilmu ini berterusan sehingga Joachim Hansler dan Hans Wolff menghasilkan suatu generator yang merupakan asas terapi ozon secara moden.

Sejak itu penggunaan ozon untuk tujuan perubatan berkembang pesat dan pelbagai penyelidikan dilakukan untuk mengkaji keberkesanan terapi ozon.

Di Malaysia, menyahut cabaran Malaysia Boleh! warga kita juga menghasilkan mesin generator yang memproduksi ozon dinamakan ALIF-1 OZONE MACHINE.

Ozon untuk tujuan perubatan dinamakan sebagai `medical ozone' iaitu campuran ozon 0.05 - 5.0 peratus dan oksigen 99.95 hingga 95 peratus yang dihasilkan dalam bentuk gas oleh ALIF-1.

Terdapat banyak kaedah penggunaannya untuk tujuan perubatan. Antaranya ialah proses Pengoksidanan dan Pengozonan Darah Ekstrakorporeum (EBOO). Proses ini seumpama dialisis.

Ia merupakan proses paling penting dalam terapi ozon selain menjalani autohemotherapy atau dipanggil mencuci darah dalam jumlah kecil.

Melalui proses EBOO secara berperingkat, mereka yang mengalami pelbagai penyakit pembunuh seperti sakit jantung, kanser dan AIDS diberi jaminan menikmati semula kehidupan lebih baik dan meyakinkan.

Tiada jaminan untuk menyembuhkan sepenuhnya penyakit tersebut tetapi terapi ozon membantu proses memulihkan kembali kesihatan.

Penyelidikan pakar membuktikan bahawa ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penderitaan pesakit akibat komplikasi dan serangan penyakit.

Di samping itu, berdasarkan kes-kes pesakit yang dijadikan penyelidikan, kualiti kehidupan mereka jauh lebih baik selepas menjalani rawatan ozon.

Bagaimanapun ia masih bergantung kepada tahap keseriusan pesakit sewaktu mereka memulakan rawatan.

Kaedah terapi ozon ini berperanan membekalkan oksigen ke dalam badan. Lebih banyak oksigen yang dibekalkan badan, lebih banyak tenaga yang dihasilkan, maka pembuangan toksin juga menjadi lebih berkesan.

Oksigen yang cukup membolehkan badan membaik pulih sendiri dan mengekalkan sistem ketahanan.

Pada masa yang sama, oksigen yang mencukupi mampu menghapuskan pelbagai kuman, yis, fungus dan protozoa, sekali gus meningkatkan sistem pertahanan badan.

Ia juga memperbaiki peredaran darah, membersihkan darah dan limfa, menormalkan proses penghasilan hormon dan enzim, mengurangkan peradangan, menenangkan sistem saraf, mencegah kesan teruk akibat strok, memulihkan fungsi otak dan daya ingatan dan membuang toksin.

Penulis baru-baru ini berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana kaedah rawatan menggunakan ozon dilakukan di sebuah pusat rawatan dan terapi ozon swasta di Kuala Lumpur.

Pegawai pusat berkenaan memberitahu, antara fungsi terapi ozon ialah menyahkan bakteria dan virus dari dalam darah sama seperti ia bertindak ke atas air.

Penggunaan ozon juga mencegah seseorang daripada jangkitan hepatitis, virus HIV dan sifilis serta penyakit berjangkit lain.

Seseorang yang menjalani EBOO mengikut jadual ditetapkan dapat mengatasi kesakitan angina akibat sakit jantung dan memperbaiki fungsi otak.

Di samping itu, ketumbuhan kanser, limfoma dan leukemia dapat dilemahkan menggunakan ozon terutama pada peringkat awal jangkitan.

Setiap pesakit yang menjalani EBOO diperlukan mencuci sekurang-kurangnya 3 - 4 liter daripada 5 - 6 liter darah dalam badan.

Satu tiub untuk saluran keluar darah dari badan pesakit kemudian disambung ke alat penapis atau penyaringan darah.

Satu tiub lain yang dipasang dari mesin generator ALIF-1 pula menyalurkan `medical ozone' ke dalam alat penapis sama.

Dari penapis tersebut, darah yang telah dibersihkan dan menjalani proses pengoksidanan dan pengozonan disalurkan semula ke badan pesakit.

Sepanjang tempoh kira-kira sejam itu, toksin dalam darah pesakit dialirkan keluar dari penapis tersebut ke satu bekas lain mengandungi minyak masak yang menyerap toksin tersebut untuk dibuang.

Jelas pegawai di pusat rawatan ozon berkenaan, pesakit menjalani proses EBOO dua kali seminggu selama 21 hari sebelum perubahan awal dapat dilihat.

Bagi pesakit yang kritikal, mereka dinasihatkan menjalani tiga kali proses EBOO setiap minggu. Ini bagi memastikan darah mereka bebas daripada kuman dan toksin di samping membekalkan badan dengan oksigen secukupnya.

Selain melihat secara dekat proses EBOO, penulis juga sempat menemui dua pesakit yang menceritakan perubahan tahap kesihatan mereka selepas melalui terapi ozon.

Salah seorang merupakan pesakit AIDS yang menderita beberapa tahun lalu. Seorang lagi menderita kerana sakit angina.

KES 1
PESAKIT ini dimaklumkan oleh doktor pakar di sebuah hospital kerajaan bahawa berdasarkan prognosis atau ramalan, beliau hanya boleh hidup sehingga Oktober 2000.

Lelaki berusia 50-an ini yang mengakui kerap melanggan pelacur di negara jiran dan bertukar-tukar pasangan seks, pernah tiga kali cuba membunuh diri.

Ini kerana beliau, yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Boon, tidak terdaya lagi menanggung penderitaan akibat sakit yang dihidapinya.

Menurut Ah Boon, keadaan dirinya ketika itu begitu tenat, daif dan menjijikkan apabila seluruh badannya dipenuhi kudis yang bernanah berterusan.

``Ketika itu badan saya terlalu lemah, sakit dada, selalu demam, sakit kepala dan batuk di samping sakit akibat kencing manis.

``Saya tidak ada tempat untuk dituju dan selalunya tidur di mana-mana saja termasuk di tepi jalan,'' ujarnya.

Tetapi jelas Ah Boon, melalui seorang rakan, beliau bersetuju menjalani terapi di pusat rawatan dan terapi ozon itu pada September 2000.

``Saya tidak faham apa itu ozon. Tetapi apa yang saya tahu selepas melalui beberapa kali proses EBOO, kini selepas 14 bulan dari tarikh ramalan mati, saya masih hidup lagi,'' ujarnya.

Sejak memulakan rawatan, Ah Boon menjalani sekurang-kurangnya dua kali proses EBOO pada setiap minggu.

Ketika ujian kali pertama dilakukan, terdapat lebih 700,000 kuman di dalam badannya kerana ketika itu virus HIV dalam badannya sedang merebak sepenuhnya.

Setelah lebih 14 bulan dan melalui banyak proses EBOO, kuman di dalam badannya kini tinggal 25,000.

Kini Ah Boon semakin sihat dan sudah mula bekerja menyara diri sendiri sebagai mekanik.

Perubahan paling ketara dalam dirinya ialah beliau sudah tidak lagi sentiasa mengantuk, selalu letih, pening kepala dan sakit dada.

KES 2
PESAKIT ini, Razali Abu, 61, adalah seorang nelayan yang mempunyai enam anak berasal dari Teluk Gong, Klang dan mengalami sakit jantung.

Sebelum ini, beliau menghabiskan lebih RM25,000 untuk membiayai kos rawatan jantungnya di hospital kerajaan dan beberapa hospital pakar swasta di ibu negara.

Setiap pakar yang ditemuinya memberitahu perkara yang sama mengenai kedudukan dan tahap kesihatannya.

``Ke mana-mana saya pergi, doktor beritahu 30 peratus saluran darah di jantung saya tersumbat.

``Akhirnya pakar di sebuah hospital swasta mencadangkan supaya saya menjalani pembedahan pintasan jantung.

``Saya tidak bersedia lebih-lebih lagi saya tahu risiko yang bakal hadapi dan juga tiada kemampuan membiayai kosnya,'' ujarnya.

Beliau kemudian menjalani terapi ozon bermula 5 Oktober 2001.

Dalam tempoh hampir tiga bulan menjalani terapi ozon, Razali kini hampir bebas daripada penderitaan sakit dada kerana gejala angina.

Dalam ujian sebelum menjalani EBOO, Razali hanya mampu menjalani stress test selama tiga minit yang disusuli sakit dada yang serius.

Di samping mengalami sakit dada teruk selepas ujian itu, tempoh masa yang dicatatkan untuk pemulihannya juga agak lama.

Tetapi selepas 20 kali menjalani EBOO, kini beliau boleh melalui stress test selama enam minit dan tidak lagi mengalami sakit dada yang teruk selepas berakhirnya ujian.

--- UTUSAN MALAYSIA

Nyamuk kemudaratan atau kebaikan


Nyamuk Culex bertelur di dalam mangkuk yang disediakan bersama-sama telur-telur nyamuk yang dihasilkan sebelumnya oleh nyamuk-nyamuk yang lain. Kelihatan juga anak-anak nyamuk (jejentik) yang baru menetas.


Nyamuk merupakan suatu perkataan yang terlalu lumrah bagi kehidupan manusia. Perkataan ini amatlah sukar untuk dipisahkan daripada kehidupan seharian kita.

Sehinggakan peribahasa kita juga ada yang menggunakan perkataan nyamuk misalnya marahkan nyamuk kelambu di bakar.

Bagi masyarakat Malaysia, kita mengenali nyamuk dengan kesan-kesan penyakit yang dibawa olehnya.

Pada tahun 1950-an dan 1960-an, nyamuk tiruk terkenal kerana malaria, manakala pada tahun 1970-an dan1980-an, nyamuk aedes pula menjadi popular kerana denggi.

Sekarang nyamuk Culex pula muncul kerana Japanese Encephalitis (JE) dan juga selesema burung.

Namun ramai daripada kita tidak benar-benar tahu kenapa nyamuk wujud.

Nyamuk hidup dengan jangka hayat yang pendek iaitu antara 10 dan 14 hari.

Kitaran hidup nyamuk bermula dengan telur menetas menjadi larva atau jejentik dan seterusnya menjadi pupa sebelum berubah menjadi nyamuk dewasa.

Telur nyamuk boleh dijumpai terapung di atas permukaan air sementara larva nyamuk dan pupa akan berada di bawah permukaan air.

Semua kitaran tersebut kecuali nyamuk dewasa, memerlukan air untuk hidup.

Nyamuk memanglah sentiasa ada dan jumlahnya bergantung kepada kedudukan geografi.

Umpamanya, di ladang-ladang dan di pinggir-pinggir hutan atau belukar, bilangan nyamuk agak banyak hingga menyusahkan kehidupan manusia.

Kewujudan nyamuk merupakan asas rantaian makanan bagi kehidupan di bumi.

Nyamuk merupakan makanan kepada beberapa jenis serangga dan reptilia kecil manakala larva nyamuk pula merupakan makanan kepada anak-anak ikan.

Dalam era kemodenan sekarang ini, banyak racun serangga perosak telah digunakan dengan meluas dalam sektor pertanian atau secara persendirian untuk mengawal serangan serangga perosak.

Tetapi penggunaan racun serangga telah menyebabkan pengurangan atau kepupusan ikan-ikan air tawar tempatan.

Sebagai contoh, ikan-ikan laga tempatan yang mudah didapati di saliran-saliran air di seluruh negara amatlah sukar untuk diperoleh pada masa ini.

Salah satu sebab pengurangan itu disebabkan kegunaan racun serangga yang telah mengubah kualiti air dan menjadikannya tempat yang kurang sesuai untuk ikan ini membiak.

Sebab lain ialah kurangnya makanan semula jadi iaitu larva atau jejentik nyamuk untuk anak-anak ikan membesar.

Oleh itu, untuk mengurangkan kadar kepupusan ikan ini, satu kaedah perlu dicari dalam usaha pemuliharaan ikan-ikan air tawar tersebut.

Satu kaedah yang boleh diaplikasi ialah pengumpulan dan penetasan telur nyamuk secara terancang.

Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah untuk mengumpulkan telur-telur nyamuk yang berkeliaran supaya ia boleh ditetaskan dan digunakan sebagai makanan ikan?

Mungkin pengamal akuakultur sudah mencubanya tetapi kebanyakan adalah rahsia atau telur nyamuk diperoleh dengan mengutipnya di dalam kolam-kolam atau lopak air.

Teknik mengutip telur nyamuk merupakan teknik yang tidak berdaya saing kerana memerlukan masa dan tenaga yang banyak.

Satu cara yang mungkin praktikal dilakukan ialah dengan menarik nyamuk-nyamuk untuk bertelur ditempat yang disediakan.

Tetapi apakah yang boleh menarik minat nyamuk untuk datang dan bertelur di tempat-tempat seperti ini?

Sekiranya kita dapat merungkai keperluan habitat nyamuk, maka bukan sahaja mendapat faedah dengan penghasilan makanan anak-anak ikan malah kita juga dapat mengurangkan populasi nyamuk.

--- UTUSAN MALAYSIA

Lebih asid urik punca batu karang


Bentuk batu karang yang berjaya dikeluarkan.


“ENCIK perlu minum banyak air, elak mengambil makanan yang mengandungi sumber protein berlebihan,” demikian kata jururawat muda kepada Azman sebelum dia meninggalkan kaunter farmasi hospital swasta di ibu kota.

Dalam keadaan lemah Azman hanya mengangguk perlahan. Dia baru sahaja dibenarkan pulang setelah ditahan hampir seminggu kerana menjalani pembedahan membuang batu karang bersaiz enam milimeter pada bahagian kiri buah pinggangnya.

Secara peribadi Azman sendiri sudah dapat mengagak kesakitan yang ditanggung sejak dua minggu lalu termasuk kesukaran membuang air kecil, diikuti sakit pada bahagian pinggang, kemungkinan dia diserang penyakit batu karang _ sama seperti penyakit yang dialami ibunya kira-kira dua tahun lalu.

Bimbang perkara sama berulang, Azman mengambil keputusan berjumpa doktor lebih awal kerana setahunya keturunan turut menjadi faktor kepada penyakit itu. Setelah melakukan ujian darah, air kencing dan ujian sinaran X, tepat seperti diramal, doktor mengesahkan terdapat ketulan batu di sebelah kiri buah pinggangnya.

Menurut Pakar Urologi, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd., Jalan Tun Razak, Dr. Abdul Rashid Abdul Subahan, penyakit batu karang turut disebabkan faktor keturunan.

Oleh kerana itu adalah tidak mustahil penyakit yang sama dialami ibu Azman sebelum itu, kemungkinan diwarisi Azman.

Gaya hidup keluarga yang suka kepada pengambilan makanan yang terlalu banyak mengandungi asid urik seperti ikan sardin, ikan bilis, limpa, hati dan kerang tidak dinafikan menjadikan peratusan kemungkinan Azman menghidapi penyakit batu karang adalah tinggi.

Membincangkan mengenai bagaimana penyakit batu karang terjadi, Dr. Abdul Rahsid berkata, ia berlaku apabila wujud serpihan kristal kecil yang membentuk ketulan di dalam saluran pundi kencing atau buah pinggang.

Serpihan kristal kecil itu tidak diketahui puncanya, bagaimanapun pengambilan makanan yang mengandungi banyak asid urik dan oxalate merupakan penyebab utama kandungan asid urik bertambah.

“Penambahan kandungan asid urik di dalam badan menyebabkan hablur kecil yang dinamakan kristal lama-kelamaan membentuk batu karang.

“Pesakit batu karang akan mengadu sakit, kencing berdarah dan kerap mengalami jangkitan kuman di sistem aliran kencing. Tempat di mana kesakitan berlaku bergantung kepada tempat batu itu berada,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya, beliau berkata, pembentukan batu karang mengambil masa lama dan kebanyakan pesakit tidak sedar kewujudannya, sehinggalah beberapa gejala yang menyebabkan kesakitan pada sisi perut iaitu kiri dan kanan pinggang.

Bagi kes serius, kata Dr. Abdul Rashid, pesakit akan mengalami kesakitan pada saluran kencing kerana batu karang akan menyekat pengaliran air kencing.

Keadaan ini menyebabkan penghidap tidak boleh membuang air kecil. Apabila ini berlaku, wujud jangkitan kuman yang menyebabkan demam panas.

Seseorang mungkin mengalami demam sementara, tetapi bagi sesetengah kes pula, air kencing penghidap mungkin mengandungi darah atau nanah.

Beliau berkata, penyakit batu karang boleh menyerang setiap orang dan melibatkan kedua-dua jantina.

Namun, ia lebih kerap berlaku dalam kategori umur pertengahan dan ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki.

“Ia dipanggil batu kerana yang terbentuk dalam badan adalah sejenis zat yang keras seperti batu jalan dan pada asasnya mengandungi unsur kalsium. Ia diberi nama karang kerana menyerupai karang laut iaitu boleh tumbuh dan membesar, mempunyai pelbagai warna dan bentuk serta mempunyai ciri kekerasan yang berbeza,’’ ujarnya.

Penyakit ini boleh terjadi pada organ tertentu seperti buah pinggang dan pundi kencing.

Pada umumnya, sebutan batu karang merujuk kepada batu yang terjadi di dalam saluran air kencing, bermula dari buah pinggang, salur ureter, pundi kencing, kelenjar prostat hingga ke salur urethra.

Terang beliau lagi, batu karang bukan penyakit baru dan memang biasa dialami masyarakat di negara ini. Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengetahui punca sebenar penyakit ini terjadi.

Kata Dr. Rashid, jumlah penghidap penyakit itu semakin bertambah berikutan perubahan taraf dan gaya hidup masyarakat di negara ini.

Pada masa sama juga perkhidmatan kesihatan berteknologi tinggi juga menjadikan rawatan untuk penyakit ini lebih mudah dan selamat.

Menerangkan kategori utama batu karang, beliau berkata, terdapat tiga jenis utama iaitu jenis kecil, sederhana dan besar.

Batu karang kecil bersaiz kurang daripada lima milimeter, manakala sederhana antara enam milimeter hingga satu sentimeter dan batu karang besar boleh mencecah antara satu hingga dua sentimeter sehingga tiga hingga empat sentimeter atau lebih besar.

Mengenai rawatan, kata beliau, bagi batu karang kecil rawatan yang biasa digunakan adalah menggunakan ubat yang memecahkan kristal dan kemudian dikeluarkan daripada badan melalui air kencing.

Rawatan batu karang ditentukan mengikut saiznya, kesihatan pesakit, kedudukan dan jumlah batu karang itu sendiri sama ada di dalam saluran kencing atau buah pinggang.

Sebelum menjalani rawatan, pesakit perlu menjalani ujian sinaran X, sama ada ultra sound atau contras media bagi menentukan kedudukan batu karang pada buah pinggang atau salur kencing.

“X-ray contras media yang dikenali sebagai Intra Venous Urogram (IVU) digunakan bagi mengenal pasti kedudukan batu karang sama ada penyebab sumbatan atau halangan di dalam sistem air kencing dan buah pinggang.

“Adalah lebih baik pesakit mendapatkan rawatan awal jika mengalami sakit pada buah pinggang. Jika batu masih kecil, memadai makan ubat untuk menghancurkannya dan dibuang secara semula jadi melalui air kencing,’’ ujarnya lagi.

Jika batu karang tersangkut dan ukurannya lebih besar lebih satu sentimeter, kaedah menembak dilakukan untuk mengecilkan batu tersebut.

Rawatan yang diguna untuk menghancur atau membuang batu karang adalah melalui kaedah tembak batu atau lithotripsy. Kaedah itu menggunakan tenaga dari luar atau dikenali sebagai Extra Corporeal Shockwave Lithoripsy (ESWL). Ia berfungsi untuk memecah batu karang yang berukuran kurang dua sentimeter. Sejenis mesin khas digunakan dalam proses penembakan dari luar badan.

Batu karang juga katanya, boleh dibuang menggunakan endoscopic lithotripsy. Kebiasaannya endoskop dimasukkan ke dalam saluran kencing untuk dijadikan panduan memasukkan satu lagi alat bagi memecahkan batu dari dalam badan.

Selepas batu dipecahkan, cebisannya disedut keluar melalui endoskop.

Bagi kes batu karang besar, pesakit dinasihatkan menjalani pembedahan.

Menurutnya, bagi pesakit yang sudah menjalani rawatan membuang batu karang perlu mendapatkan rawatan susulan kerana dikhuatiri masih ada serpihan batu karang yang tertinggal.

--- UTUSAN MALAYSIA

Sunday, June 17, 2012

Jerebu, Jabatan Pesakit Luar Diminta Tingkat Operasi

Foto - mohamadazhan.com

KUANTAN, 16 Jun (Bernama) -- Jabatan Pesakit Luar di hospital kerajaan diminta supaya meningkatkan perkhidmatan dan operasi mereka kerana pesakit yang mempunyai masalah respiratori dan mata dijangka meningkat dalam keadaan cuaca berjerebu sekarang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata cuaca yang berjerebu kebiasaannya akan memberi kesan kepada pesakit yang mengalami masalah pernafasan dan mata.

"Memang kebiasaan apabila cuaca berjerebu, pesakit yang mempunyai masalah pernafasan dan kes respiratori akan meningkat. Justeru Jabatan Pesakit Luar perlu lebih bersedia dengan situasi ini dan memberikan bantuan yang lebih cepat bagi membantu pesakit-pesakit berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kenderaan ambulans kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nooraini Baba.

Liow turut menasihati orang ramai khususnya yang mempunyai masalah pernafasan agar mengurangkan aktiviti luar, minum lebih banyak air dan memakai penutup mulut sekiranya berada di luar rumah.

"Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memantau situasi jerebu dan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai Indeks Pencemaran Udara dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kecemasan, Kementerian Kesihatan telah meningkatkan waktu maklum balas untuk setiap kes kecemasan kepada 15 minit daripada 30 minit.

Justeru katanya pihaknya akan menambah bilangan ambulans dari 1,861 buah kepada 2,500 buah menjelang tahun depan bagi mencapai hasrat tersebut.

"Buat masa ini kita telah menambah sebanyak 300 ambulans di seluruh negara manakala untuk negeri Pahang kita serahkan sebanyak lapan buah ambulans tahun ini," katanya.

Dr Nooraini dalam ucapannya berkata ambulans yang diterima itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan (KK) Ulu Gali, Raub; KK Bukit Mendi dan Triang, Bera; KK Padang Rumbia, Pekan; KK Jengka 2, Maran; KK Balok, Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan HTAA, Kuantan.

-- BERNAMA

Doktor bukan Tuhan



TAN SRI DR. ROBAAYAH ZAMBAHARI tidak asing lagi dalam bidang rawatan jantung di negara ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN) itu merupakan salah seorang daripada kelompok terawal yang mempelopori penubuhan hospital jantung terkenal itu.

"Dahulu pesakit jantung tidak seramai sekarang. Kini ia menjadi pembunuh No. 1 di banyak negara maju, begitu juga Malaysia," imbas pakar kardiologi berusia 60 tahun itu.

Robaayah menganggap bahagian paling sukar dalam kerjayanya bukan di bilik pembedahan sebaliknya semasa proses perundingan bersama keluarga pesakit.

"Kes melibatkan jantung sentiasa berisiko dengan nyawa menjadi pertaruhan lebih-lebih lagi jika berlaku situasi cemas semasa pesakit dibedah.

"Walaupun saya telah mengendalikan pelbagai kes kritikal melibatkan jantung dan paru-paru, saat perundingan dengan keluarga pesakit adalah yang paling mencabar," beritahu beliau.

Tambah Robaayah, adalah menjadi tanggungjawab seorang pakar untuk menerangkan kepada keluarga pesakit mengenai risiko rawatan yang mungkin dihadapi.

"Mereka yang datang kepada kami membawa harapan yang sangat tinggi.

"Mereka berharap pesakit yang berjumpa kami akan sembuh, tetapi ada juga kes ahli keluarga yang tidak dapat mengawal perasaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.

Gagal


DUA pegawai perubatan IJN membawa kotak berisi jantung segar. IJN telah melakukan 18 pembedahan pemindahan jantung setakat ini.


"Pada peringkat itu, ada sebilangan ahli keluarga yang pada mulanya bersedia menerima apa sahaja kemungkinan, berubah sikap selepas satu pembedahan yang gagal," ujar beliau sambil memberitahu, satu atau dua peratus pesakit meninggal dunia semasa pembedahan.

Robaayah berkata, doktor bukan Tuhan.

"Pakar kardiologi dan pembedahan jantung hanya melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit tetapi mereka tidak boleh memberi jaminan pembedahan itu akan berjaya 100 peratus," ujarnya.

Robaayah berkata, kadangkala pesakit mengalami komplikasi lain seperti strok yang bebannya terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka seumur hidup.

Beliau menegaskan, pesakit serangan jantung yang teruk mesti dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan secepat mungkin kerana jika terlambat ia akan menjejaskan organ lain.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan jantung agak menakjubkan.

Beliau berkata, pesakit yang memiliki jantung yang terlalu lemah kini boleh menukarnya dengan jantung baharu dengan selamat asalkan ada penderma jantung. Kemudahan teknologi turut membolehkan masalah jantung dikesan dengan lebih pantas.

Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru dilakukan sejak tahun 2005.

Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006. Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan selama dua tahun.

Tersumbat

"Kami berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.

"Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.

"Kini dia sihat dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.

Awal bulan ini, Robaayah memandang serius kesihatan jantung wanita di negara ini kerana satu perempat populasi wanita berusia 56 tahun dan ke atas berisiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular berbanding kanser.


CHEN Winnie (kiri) bersama Tan Geek Koon antara pesakit yang menggunakan jantung mekanikal di IJN.


Di samping itu, wanita yang suka merokok turut berisiko tinggi berdepan sakit jantung.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tahap kesedaran terhadap penyakit jantung adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau mengakui penyakit koronari jantung adalah yang paling membimbangkan. Ia berupaya menyebabkan kematian jika tidak dirawat.

"Biasanya penyakit jenis itu dikaitkan dengan saluran darah tersumbat pada jantung akibat merokok, kegemukan, kurang bersenam, mengambil makanan tidak sihat dan berkolesterol tinggi, darah tinggi dan diabetes.

"Stres turut menjadi punca jantung tersumbat. Di negara lebih maju, mereka berjaya mengurangkan kesan penyakit jantung dengan menggunakan teknologi perubatan terkini.

"Kita juga memiliki kepakaran dan teknologi yang bagus, malangnya pada masa yang sama kes koronari jantung semakin merisaukan," katanya yang pakar melakukan drug elluting stent (DES) bagi merawat penyakit berkaitan saluran darah jantung tersumbat.

Menurut Robaayah, rawatan DES dilakukan menggunakan stent yang berupa tiub jaringan kecil seakan-akan spring dengan diameter antara 2.25 hingga 4 milimeter. Tiub itu dimasukkan ke dalam arteri jantung yang sempit untuk kembali melancarkan peredaran darah.

Nasihat Robaayah, bagi mengelak masalah ini jauhi makanan berkolesterol tinggi seperti susu penuh krim, minyak sapi dan makanan segera.

"Amalkan senaman setiap hari. Makan makanan seimbang dan berkhasiat adalah langkah terbaik menjaga jantung," katanya.

Sejarah IJN bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.

Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.


ROBAAYAH menunjukkan klip Mitral yang digunakan untuk rawatan kebocoran injap jantung di IJN.


Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang.

Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).

Wednesday, June 13, 2012

Kesihatan jantung: delima atau statin?

HERBALIS BAHRAIN SAMAH, RH (AHG)
12 Jun 2012
Kesihatan jantung: delima atau statin?
Kesihatan jantung: delima atau statin?
 
SAINTIS aliran perdana dan golongan perubatan moden percaya kepada teori yang menyatakan bahawa paras kolesterol tinggi sebagai punca arteri jantung tersumbat. Sebuah teori aliran perdana yang amat popular menyatakan bahawa plak berlemak berkumpul pada bahagian dinding arteri jantung yang rosak. Keradangan dikatakan sebagai punca utama kerosakan dinding arteri jantung.

C-reactive protein (CRP) ialah sejenis bahan yang terdapat dalam darah dikenal pasti sebagai penanda (marker) untuk keradangan. Paras CRP akan meningkat sebagai isyarat terhadap sebarang jenis keradangan yang berlaku. Paras CRP tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit jantung manakala paras rendah pula dikaitkan dengan risiko rendah.

Ramai saintis dan doktor percaya bahawa LDL yang juga dikenali sebagai kolesterol jahat adalah penanda utama bagi menentukan risiko penyakit jantung. Namun pada masa sama terdapat beberapa bukti menunjukkan CRP dapat dijadikan penanda risiko penyakit jantung yang lebih baik berbanding LDL.

LDL atau CRP?

Sebuah kajian yang diketuai Paul Ridker, MD yang melibatkan 29,939 wanita telah menunjukkan keadaan tersebut. Lebih dari separuh wanita yang terlibat dalam kajian mengalami paras CRP tinggi. Mereka didapati mengalami penyakit jantung walau pun paras LDL mereka rendah. Kajian ini dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 14 November 2002.

Beberapa tahun kemudian kajian yang dijalankan di Cleveland Clinic mendapati arteri tersumbat yang dialami 502 pesakit tidak menjadi semakin buruk setelah mereka berjaya mengurangkan paras CRP. Kajian ini dilaporkan dalam New England Journal of Medicine pada 6 Januari 2005. Jurnal keluaran yang sama juga melaporkan keputusan sebuah kajian lain yang dijalankan Dr Ridker di mana ia menunjukkan penurunan paras CRP menggunakan ubatan statin mengurangkan risiko kejadian serangan jantung kali kedua.

Statin ialah nama generik kepada sejenis ubat moden bagi membantu mengawal paras kolesterol. Ia berfungsi menghalang pembinaan kolesterol. Ia dipreskripsi doktor kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi dan penyakit jantung koronari. Statin memiliki beberapa kesan sampingan termasuk gangguan emosi, memori, libido (mati pucuk), merosakkan sel dan mengurangkan pembinaan coenzyme Q10.

Kekurangan kolesterol menyebabkan hormon reproduktif seperti testosteron juga terganggu. Ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada selera seks tetapi ia dipercayai menyebabkan seseorang mudah mengalami penuaan pra-matang. Ini kerana antara fungsi testosteron ialah melambatkan proses penuaan.

Sel membran juga terdiri dari 20 peratus kolesterol. Kekurangan kolesterol mengganggu pelbagai fungsi sel dan ini juga mempercepat proses penuaan. Gangguan pembinaan kolesterol juga mengurangkan pembinaan vitamin D. Kekurangan vitamin D dikaitkan dengan pelbagai ketidakseimbangan fisiologi. Ini juga mempercepat proses penuaan.

Kesan sampingan

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam British Medical Journal (2010) mendapati statin meningkatkan risiko katarak, otot lemah, hati tidak berfungsi dan kegagalan buah pinggang! Pada tahun sebelumnya Dr Janet L Stanford melaporkan dalam American Journal of Epidemiology bahawa statin didapati meningkatkan risiko kanser prostat sebanyak 50 peratus pada lelaki obes. Ia juga meningkatkan risiko diabetes sebanyak 80 peratus pada golongan sama.

Sebuah kajian yang dijalankan beberapa tahun kemudian seperti dilaporkan dalam jurnal Archives of Internal Medicine (2012) mendapati statin meningkatkan risiko diabetes sebanyak 50 peratus pada wanita berumur melebihi 45 tahun apabila mereka mengambil statin.

Mekanisme bagaimana statin meningkatkan risiko diabetes jenis 2 tidak diketahui. Kekurangan kolesterol berpunca dari pengambilan statin menyebabkan gangguan secara fisiologi pada membran sel. Ia dipercayai menyebabkan reseptor insulin tidak sensitif terhadap hormon insulin atau reseptor insulin menjadi semakin kurang bilangannya kerana berlaku proses down regulation.

Pengambilan statin secara berpanjangan mungkin menyebabkan pembinaan insulin oleh sel beta pankreas semakin berkurangan. Sel beta juga mempunyai membran. Kalsium memang diperlukan sel beta untuk membina insulin.

Namun pintu/laluan kalsium yang tidak berfungsi secara normal menyebabkan terlalu banyak kalsium masuk ke dalam sel beta melebihi had sepatutnya.

Ini menyebabkan insulin dirembeskan melebihi had normal dan menyebabkan resptor insulin pada membran sel menjadi tidak sensitif kepada kehadiran insulin. Proses ketidaksensitifan reseptor insulin, kekurangan resptor insulin dan berlebihan ion Kalsium dalam sel beta pankreas ialah punca kepada kekebalan insulin. Jika tidak ditangani terutama dari segi pola pemakanan seseorang yang mengalami keadaan ini mudah menghidap diabetes jenis 2.

Bahan alternatif

Apakah alternatif untuk statin? Jawapannya ialah menjalani gaya hidup holistik. Makan makanan yang sesuai untuk kesihatan jantung seperti mengurangkan produk bijirin. Kurangkan pengambilan gula. Elakkan merokok dan minum arak. Elakkan dari makan berlebihan dan digoreng secara terendam lama. Tingkatkan pengambilan sayur- sayuran dan buah-buahan. Guna garam gunung dalam masakan.

Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan yang memerlukan sahaja. Urus stres dengan bijak.

Saya tidak menggunakan teori plak berlemak punca kerosakan arteri. Teori yang saya anuti ialah pintu/laluan kalsium yang rosak menyebabkan kalsium masuk pada jumlah tinggi ke dalam sel endotelia jantung. Ini menyebabkan arteri jantung buncit. Pada pandangan saya pintu/laluan Kalsium boleh diperbetulkan dengan mengamalkan pemakanan di atas berserta pengambilan bahan yang akan saya sebutkan di bawah.

Kajian mendapati delima berupaya mencegah keradangan dan juga pembentukan plak dalam arteri. Bahan seperti cuka epal (atau cuka kurma) diambil bersama minyak zaitun perahan sejuk (extra virgin), vitamin C membantu delima secara sinergi. Kesemua bahan ini bukan sahaja dipercayai membantu memulihara pintu/laluan kalsium pada membran sel tetapi ia juga mencairkan darah dengan mengawal profil lipid iaitu tirigliserida, LDL, HDL dan jumlah kolesterol (total kolesterol). Vitamin B6, B9 (asid folik) dan B12 yang terdapat pada B kompleks menyumbang methyl yang diperlukan pelbagai jenis bahan kimia dalam tubuh bagi memastikan organ sistem tubuh berfungsi secara harmoni termasuk memelihara kesihatan jantung. Selain itu magnesium yang terdapat pada sayuran hijau penting untuk pembinaan tenaga dalam sel serta bagi mengimbangi kalsium. Suplemen L-arginine juga penting. Dalam tubuh ia diubah kepada nitrik oksida. Ia berfungsi meneutralkan radikal bebas superoxide iaitu bahan yang dipercayai punca keradangan dan merosakkan sel endotelia
arteri.

--- SINAR HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...