PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, June 13, 2013

Mencari Lebih Kebaikan Khasiat Dalam Bijirin Sarapan

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pengambilan sarapan berkhasiat setiap pagi sering dikaitkan dengan pelbagai kebaikan kepada kesihatan seseorang.

Walaupun kita lebih cenderung untuk menikmati sarapan kegemaran Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan pelbagai kuih muih yang rata-rata berkalori tinggi, ramai yang mula bertukar kepada sarapan bijirin yang diyakini lebih sihat.

Lebih menguntungkan, penggemar bijirin sarapan kini mendapat lebih banyak kelebihan khasiat yang tubuh mereka perlukan tanpa perlu mengorbankan keenakan rasa makanan itu.

Ini adalah komitmen pengeluar terbesar bijirin sarapan dunia, Cereal Partners Worldwide (CPW), yang menghasilkan produk terkenal seperti Koko Krunch, Honey Stars, Milo Cereal, Cheerios, Fitness, Koko Krunch Duo dan Cookie Crisp.

Kesemua produk daripada syarikat Switzerland itu dipasarkan menerusi label Bijirin Sarapan Nestle di lebih 140 buah negara termasuk Malaysia.

Sebagai pendahulu produk bijirin sarapan dunia, CPW berikrar untuk sentiasa membaiki kualiti produk makanan mereka termasuk empat komitmen terkini yang sesuai dengan keprihatinan mereka terhadap isu kesihatan semasa.

Empat komitmen utama itu termasuk, mengurangkan kandungan gula sebanyak 20 peratus, garam (tujuh peratus) dan memperkaya semua bijirin sarapan dengan kalsium (15 peratus).

Mereka juga menggunakan bijirin penuh yang terbukti menurunkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, obesiti dan kencing manis, sebagai ramuan utama semua produk terkenal mereka.

Pengurus Korporat Sains Pemakanan CPW, Dr Frank Thielecke, yakin empat komitmen itu bakal menjadikan CPW pengeluar sarapan bijirin utama yang paling sihat dan berkhasiat di dunia.

"Kami berharap untuk memberi kesedaran kepada orang awam terutama kanak-kanak dan remaja tentang kepentingan memulakan hari dengan sarapan yang sihat bagi meningkatkan kecergasan fizikal dan mental," katanya dalam satu bengkel pengetahuan berkenaan sarapan baru-baru ini.

LEBIH CERGAS

Pelbagai kajian telah membuktikan kepentingan mengambil sarapan yang kaya dengan khasiat untuk kesihatan, ini termasuk kajian klinikal dari University of Pennsylvania yang mendapati bahawa pengambilan sarapan dapat membantu meningkatkan prestasi pelajaran di sekolah.

Kajian itu merumuskan bahawa pelajar yang makan sebelum ke sekolah adalah lebih cergas, petah bertutur dan mendapat markah yang lebih baik dalam ujian IQ.

Lagipun, amalan bersarapan setiap pagi, khususnya bijirin penuh adalah langkah terbaik menggalakkan tabiat pemakanan sihat dari usia muda.

Selain itu, kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan akan gelisah kelaparan di dalam kelas dan cenderung untuk makan berlebihan pada waktu rehat di kantin sekolah.

"Tabiat makan berlebihan pada waktu snek bukan satu amalan baik sebaliknya menyebabkan kegemukan," jelas Thielecke sambil menegaskan bahawa sarapan yang baik akan juga membantu mengawal berat badan.

Fakta itu telah dibuktikan oleh beberapa kajian termasuk di Greece yang mendapati kanak-kanak yang mengamalkan sarapan bijirin dengan lebih kerap mampu mengurangkan risiko kegemukan sebanyak 33 peratus.

Menurut beliau, antara kebaikan utama sarapan bijirin ialah kadar nutrisinya yang lebih padat sedangkan kandungan lemak, garam dan gulanya lebih rendah.

Malah kepentingan khasiat dalam sarapan bijirin kepada kesihatan telah dibuktikan oleh belasan kajian yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal saintifik khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Sarapan berbentuk bijirin adalah pilihan terbaik kerana ia padat dengan zat besi, vitamin khususnya pelbagai jenis vitamin B, serat, kalsium dan karbohidrat untuk tenaga, tetapi kandungan lemak dan garamnya jauh lebih rendah berbanding sarapan tradisi," kata Thielecke.

Amalan sarapan bijirin penuh pula menyumbang kepada kebaikan tambahan termasuk sumber serat terbaik untuk mengekalkan kesihatan usus dan sistem pencernaan.

Bijirin penuh juga mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam sekaligus menyediakan bekalan tenaga berterusan kepada kanak-kanak khususnya untuk kekal aktif.

KOMITMEN TERBARU

Selain itu, sifat sarapan bijirin yang perlu dimakan bersama susu menjadikannya cara yang lebih mudah dan enak untuk mendapatkan semua khasiat susu dalam satu mangkuk.

Bagi menjadikan bijirin sarapan lebih berkhasiat, CPW telah menyingkirkan 9,141 tan gula dan 884 tan garam daripada semua produk bijirin sarapan mereka sejak tahun 2003 lagi.

"Semua produk Bijirin Sarapan Nestle akan hanya mengandungi sembilan gram atau kurang jumlah gula keseluruhan di dalam hidangan 30 gram tanpa susu.

"Bagaimanapun, amat sukar untuk menyingkirkan terus gula dari bijirin sarapan kerana ia masih diperlukan bagi tujuan merangupkan makanan selain menjadikan tekstur, warna, rasa lebih menarik," jelas Thielecke.

Selain itu, sejumlah 884 tan garam juga telah dikurangkan dari produk bijirin sarapan Nestle dalam tempoh dan tujuan yang sama.

"Produk kami akan terus mengurangkan penggunaan garam beransur-ansur kerana pengambilan garam terbukti berkait rapat dengan darah tinggi dan pelbagai penyakit berkaitan kardiovaskular," tambah beliau.

Lagipun, garam tambahan terdapat dalam pelbagai jenis makanan dan minuman khususnya untuk kesan awetan menyebabkan populasi seluruh dunia mengambil lebih banyak garam dari yang diperlukan oleh tubuh tanpa menyedarinya.

LABEL HIJAU

Sejak tahun 2003 lagi, produk Bijirin Sarapan Nestle juga telah mula mengunakan bijirin penuh secara beransur-ansur di dalam produk mereka bagi memastikan pengguna mendapat lebih banyak kebaikan.

Selepas dua tahun, mereka melabelkan bahagian atas kotak semua produk yang menggunakan bijirin penuh sebagai ramuan utama dengan warna hijau dan logo bijirin berwarna kuning bagi memudahkan pengguna.

Menariknya, penukaran bijirin penuh sebagai ramuan utama itu langsung tidak mengurangkan kepercayaan pengguna, malah, kesemua produk di bawah label itu terus mendahului pasaran bijirin sarapan.

Untuk memudahkan pemahaman mengenai bijirin penuh, Thielecke menjelaskan bahawa, bijirin yang belum diproses terdiri daripada tiga bahagian iaitu bran, endosperma dan germa.

Di Malaysia misalnya, bijirin seperti beras yang dijual di pasaran telah diproses dengan menanggalkan bahagian bran dan germa yang sebenarnya kaya dengan khasiat serta digilap hingga cantik sebelum dijual.

Ini menyebabkan makanan jenis bijirin telahpun kehilangan sebahagian besar daripada khasiat serat, vitamin B dan zat besi yang terdapat pada bahagian bran dan germa melainkan khasiat yang terdapat pada endosperma iaitu karbohidrat, tenaga dan sedikit vitamin B.

-- BERNAMA

Monday, June 10, 2013

Tip mendidik anak dgn betul

Renungan bersama...

1) Jangan pukul anak dari lutut keatas.

2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control

3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak

4) Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

5) Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

6) Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

7) Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8) Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.

9) Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

10) Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11) Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

12) Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

13) Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

14) Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

15) Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16) Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17) Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18) Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19) Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

20) Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21) Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22) Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

Sunday, June 9, 2013

Gigi kuat, sihat dan menawan!

ARKIB : 08/06/2013

 
 GIGI merupakan salah satu aset penting bagi kehidupan seseorang. Kerosakan gigi yang teruk seperti berlubang pastinya akan menjejaskan rupa paras kamu, sekali gus mengurangkan keyakinan diri.

Umumnya, seorang dewasa mempunyai 32 batang gigi. Gigi-gigi tersebut, termasuklah dua gigi kapak, satu gigi taring, dua geraham kecil dan tiga geraham besar dengan geraham bongsu. Gigi yang tidak akan berganti dinamakan sebagai gigi kekal kerana ia tidak akan tumbuh lagi selepas itu sampai bila-bila.

Oleh itu, penjagaan gigi amatlah penting untuk menjamin kehidupan yang ceria di hari kemudian kelak. Apatah lagi pada usia seperti kamu, waktu sebegini merupakan saat yang tepat untuk kamu mula ambil peduli tentang gigi kamu.
Sudah tentu kamu tidak mahu mengalami sebarang komplikasi gigi, bukan? Itu sebenarnya merupakan antara penyebab ada dalam kalangan kamu enggan memberikan senyuman tatkala bergaya di hadapan kamera.

Jadi, untuk tujuan itu, ruangan Kesihatan kali ini memberikan informasi menarik yang boleh kamu ikuti agar gigi kamu sentiasa sihat dan mampu menawan mereka yang berada di sekeliling kamu. Tentu kamu pernah mendengar peribahasa lebih baik mencegah daripada merawat, bukan? Jadi, teruskan membaca! - LAILISUHANA

Karies Gigi

- Terjadi apabila struktur gigi mereput dan mula mengakibatkan kerosakan (karies) nyata pada gigi. Hal ini berpunca daripada pengambilan gula secara kerap yang membantu kepada pembentukan asid oleh bakteria dalam plak gigi.

- Tindak balas daripada pengambilan itu dengan bakteria yang ada di dalam plak seterusnya akan menghasilkan asid yang akan menyerang gigi kamu dan menyebabkan gigi kamu reput.

- Apabila gigi kamu mulai mereput, secara tidak langsung ia akan memberikan satu implikasi yang negatif kepada penampilan kamu. Harus diingat bahawa gigi yang reput itu merupakan gigi kekal dan tidak mungkin akan berganti.
- Inilah yang akan terjadi apabila kamu gemar mengambil makanan ringan atau manis, tidak menjaga kebersihan mulut seperti amalan memberus gigi secara rutin dan kekurangan pengaliran saliva di dalam mulut.

Tanda Karies Gigi

* Kesakitan pada bahagian gigi (rasa seperti ngilu)
* Gigi mulai bertukar warna menjadi hitam
* Kamu mula akan menjadi tidak selesa untuk mengunyah dan memberus gigi.
* Mulut mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
* Gigi berlubang

Komplikasi Karies Gigi

Bahagian gigi juga mempunyai komplikasi. Antaranya adalah bengkak pada gusi, gigi menjadi mati dan mula kehilangan gigi terutama gigi yang telah pun berlubang.

Tip Penjagaan Gigi

- Gosok gigi kamu setiap dua kali dalam sehari. Sekurang-kurangnya kamu dapat menghalang pembentukan kaviti pada gigi kamu.

- Gosok gigi kamu sebaik-baiknya selepas kamu bersarapan dan sebelum kamu bersedia untuk tidur. Cadangan masa untuk menggosok gigi adalah selama tiga minit setiap sesi.

- Bagi kamu yang mempunyai risiko gigi berlubang yang tinggi, kamu dinasihatkan supaya tidak berkumur selepas menggosok gigi pada waktu malam.

- Amalkan juga flossing pada setiap hari. Flossing dapat membantu kamu membuang sisa-sisa makanan di celah gigi yang sukar dicapai atau dibersihkan oleh berus gigi.

- Dapatkan juga pemeriksaan daripada doktor gigi dari klinik atau hospital yang berhampiran untuk mengetahui tahap kesihatan gigi kamu, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

- Selain itu, kamu juga perlulah mengelakkan diri kamu daripada mengambil makanan dan minuman yang boleh merosakkan gigi seperti gula-gula dan minuman berkarbonat.

--- UTUSAN MALAYSIA

Tuesday, June 4, 2013

Daging Kambing Baik Untuk Kesihatan Jantung

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Entah mengapa ramai kalangan kita memilih menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian dikatakan membawa kepada penyakit jantung.

Sedangkan pada masa kini, kambing menyediakan 63 peratus daripada bahan daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di kebanyakan negara Arab dan Afrika Utara, selain pemakanan penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.

Di Barat pula, daging kambing semakin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian mendapati ia lebih sesuai dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.

Kumpulan penyelidik Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn, misalnya, mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.

KOMPOSISI KHASIAT

Kajian yang dijalankan ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.

Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.

Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).

Melihat daripada segi kalori pula, kambing mengandungi 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).

Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain. Ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemak tak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.

Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh dan kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.

BAIK UNTUK JANTUNG

Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.

Mereka mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurang keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.

Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.

Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing boleh membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.

Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.

"Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.

SUSU BERKHASIAT

Semua kelebihan daging kambing daripada segi kesihatan itu diakui oleh penyelidik dari Jabatan Pertanian Universiti Babcock, Nigeria.

Malah, kumpulan penyelidik itu menekankan pentingnya nilai nutrisi kambing dalam aspek pengurusan kesihatan manusia sebagaimana yang dilaporkan menerusi artikel mereka yang diterbitkan dalam Jurnal Pertanian dan Kajihayat Amerika Utara.

Antara lain, artikel itu menyebut bahawa di Okinawa Jepun misalnya, ibu hamil dan yang baru bersalin digalakkan memakan daging kambing untuk menguatkan fizikal dan mengatasi keletihan.

Ia juga membincangkan betapa pentingnya susu kambing yang mempunyai komposisi yang lebih unik iaitu globular lemak lebih kecil dan mudah dihadam berbanding susu lembu.

"Ciri ini membolehkan susu kambing digunakan untuk merawat masalah alergi pada susu lembu, menjadikannya susu alternatif terbaik dan sangat penting kepada bayi, orang dewasa dan juga ibu yang menyusukan bayi," tambah laporan itu.

Selain itu, mereka mendapati kandungan zat mineral susu kambing adalah lebih tinggi berbanding mamalia lain menjadikannya amat berguna untuk merawat penyakit anemia yang diakibatkan oleh kekurangan zat besi dan penyakit tulang rapuh selain dilaporkan berguna dalam rawatan kencing manis.

Artikel itu menjelaskan tentang kebaikan susu kambing untuk kesihatan kulit, khususnya untuk membantu merawat penderita masalah seperti psoriasis, ek zema atau jerawat.

"Pakar dermatologi biasanya menggalakkan pesakit menggunakan sabun pembersih berpelembab berasaskan susu kambing untuk membantu melegakan kulit kering dan gatal dan seterusnya menyembuhkan penyakit kulit," kata laporan itu.

POTENSI PENTERNAKAN

Memandangkan terdapat banyak bukti saintifik berkaitan khasiat dan kebaikan daging serta susu kambing yang semakin diketahui ramai, maka tidak mustahil permintaan bekalan global akan melonjak naik dalam waktu terdekat.

Malaysia dilihat amat berpotensi untuk muncul sebagai pengeluar kambing bagi memenuhi permintaan itu berdasarkan kesesuaian keadaan iklim negara yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Penternakan kambing meskipun dimulai secara kecil-kecilan tetap mampu mencapai kejayaan yang tinggi memandangkan kambing matang dengan cepat dan membiak seawal usia lapan bulan.

Lagipun, pemakanan kambing tidak cerewet dan boleh dibiarkan bebas meragut rumput dan tumbuhan renek belukar di kawasan kampung selain najisnya yang lebih kecil dan tidak sebusuk najis lembu.

Walaupun satu ketika dulu, penternakan kambing di Malaysia lebih sinonim dengan kaum India yang memang gemarkan sajian kambing terutamanya masalla, trend itu mula berubah kebelakangan ini.

Kini, semakin ramai pengusaha muda Melayu termasuk lepasan ijazah yang menjadikan kambing sebagai sumber rezeki khususnya bagi memenuhi permintaan untuk majlis akikah dan korban Hari Raya Aidiladha.

Tambahan pula, kerajaan telah banyak mengadakan pelbagai galakan untuk pengusaha muda membangunkan diri menjadi usahawan kambing yang berjaya sekaligus memajukan industri penternakan kambing untuk membantu menjana ekonomi kawasan luar bandar.

Ini sekaligus menggalakkan percambahan ladang penternakan daripada pelbagai baka dan hibrid kambing, menyediakan pelbagai peluang kerja kepada anak muda dan membantu menjana ekonomi luar bandar tanpa banyak risiko.

--BERNAMA

Monday, June 3, 2013

MTUC Mahu DOSH Siasat Kematian Akibat Kemalangan Tempat Kerja

PETALING JAYA, 3 Jun (Bernama)-- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menyiasat segera berhubung tiga kemalangan di tempat kerja membabitkan kematian di Lembah Klang baru-baru ini.

Naib Presidennya, A. Balasubramaniam berkata DOSH harus mengambil tindakan tegas terhadap majikan jika wujud unsur kecuaian dalam ketiga-tiga kes berkenaan.

Mereka yang bersalah hendaklah dibawa ke muka pengadilan, katanya kepada Bernama di Petaling Jaya, Isnin.

Dalam kejadian pertama kira-kira sebulan lalu, seorang lelaki terbunuh apabila keretanya ditimpa objek yang jatuh daripada sebuah kren di kawasan pembinaan di Subang, manakala kejadian kedua membabitkan sebuah lori yang mengangkut beban berat terbalik dan membunuh seorang pengguna jalan raya.

Kejadian ketiga membabitkan seorang pekerja warga asing yang maut selepas dihempap kontena di Westports, Pelabuhan Klang.

--BERNAMA

Masa Untuk Penjawat Awam Tunai Amanah Rakyat - PM

PUTRAJAYA, 3 Jun (Bernama) -- Sudah hampir sebulan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) berlalu dan dunia menerima keputusan rakyat memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional untuk memimpin negara, maka anggota penjawat awam mempunyai tanggungjawab besar bersama-sama menunaikan amanah rakyat itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata penjawat awam harus mula mengorak langkah membina kesejahteraan dan membantu memajukan negara melalui usaha perubahan yang diinginkan rakyat daripada kerajaan.

Penjawat awam tidak mampu menoleh ke belakang, membuang masa dengan 'politiking berlebihan', kerana ia akan hanya mengalih tumpuan daripada usaha yang lebih besar, iaitu untuk menunaikan amanah yang diberikan rakyat pada PRU13, katanya semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan pertama Jabatan Perdana Menteri selepas PRU13, di Dataran Perdana di Putrajaya, Isnin.

Najib berkata dunia telah menerima keputusan rakyat Malaysia pada PRU13 yang memberikan mandat kepada BN untuk memimpin negara berdasarkan ucapan tahniah yang diterimanya daripada ramai pemimpin dunia.

"Kini sebagai sebuah negara, mari kita perlihatkan bahawa kita pengamal demokrasi matang, bukan saja akui kita menerima proses demokrasi ini, tapi yang penting selepas selesai pilihan raya, kita tunjukkan bahawa kita ialah penerima demokrasi parlimen yang cukup matang," katanya.

"Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teruskan usaha membawa perubahan dan transformasi, kerana rakyat sudah menunjukkan bahawa mereka mahukan perubahan, dan ia boleh dilakukan tanpa menukar kerajaan," tambahnya.

Najib berkata jika ada kelemahan yang dikesan sebelum ini, ia mungkin berkisar kepada jentera kerajaan yang kelihatan 'tidak berapa cekap' dalam menangani 'perang persepsi'.

"Ini yang mungkin kita boleh perbaiki, bagaimana kita harus menangani perang persepsi - bukan realiti tapi persepsi. Persepsi boleh dibentuk dengan pelbagai cara, bukan saja dengan cara bersemuka (face to face) tapi kini sudah ada Facebook (untuk membentuk persepsi).

"Ini perlu kita beri perhatian, mungkin kita kurang tajam dalam perkara ini, tapi kita boleh rancang dan dengan menggunakan pengalaman kita, supaya di masa akan datang kita akan lebih lebih berjaya untuk memaparkan apa yang sebenarnya - bukan persepsi tapi realiti," katanya.

Merujuk kepada PRU13, Najib berkata kerajaan berusaha melakukan yang terbaik mengikut undang-undang negara dan menampilkan banyak penambahbaikan untuk menjadikan ia lebih telus, termasuk menerima cadangan daripada parti-parti pembangkang.

"Namun masih ada pihak yang hendak pertikai keputusan pilihan raya, sebenarnya kalau kita ketahui prosesnya, hampir mustahil sekali untuk sesiapa jua melakukan penipuan besar-besaran," katanya .

Perdana menteri berkata ada sesetengah tuduhan yang dilemparkan terhadap PRU13, yang didapati langsung tidak masuk akal, seperti tuduhan kononnya BN membawa sehingga 40,000 'pengundi hantu' warga Bangladesh untuk memastikan kemenangan.

Beliau berkata tuduhan-tuduhan seumpama itu dibangkitkan berbulan-bulan lamanya sebelum pilihan raya, sehingga menimbulkan rasa 'paranoid' dalam kalangan yang mempercayainya.

Sehinggakan ada warga tempatan yang diserang semata-mata kerana rupanya mirip warga Bangladesh, kononnya bagi menghalang pengundi hantu, jelas beliau.

"Ini tidak adil bagi mereka yang berkulit hitam manis yang dituduh sebagai bukan warga tempatan.

Kita mungkin boleh gelak ketawa selepas pilihan raya, tapi pada waktu itu (PRU13) ramai terpedaya dengan cerita pengundi hantu yang direka dengan sengaja ini, semata-mata untuk pertikai kredibiliti proses pilihan raya kita yang begitu telus," katanya.

--BERNAMA

Sunday, June 2, 2013

Flos gigi anda

ARKIB : 02/06/2013

SESEORANG yang mengalami sakit gigi akibat gigi berlubang datang berjumpa doktor gigi untuk rawatan. Selepas pemeriksaan rapi, doktor gigi menerangkan bahawa masalah berpunca daripada kurangnya kebersihan gigi.

"Gigi anda tidak bersih", kata doktor gigi. Pesakit itu kelihatan bingung dan menjawab: "Tetapi saya memberus dua kali sehari setiap hari". 

Inilah yang sering difikirkan apabila kita menyebut mengenai kebersihan gigi. Hanya dengan memberus gigi. 

Apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada memberus gigi sahaja. Kebersihan gigi melibatkan memberus, memflos dan berkumur. Gigi anda akan hanya separa bersih sekiranya anda tidak melakukan ketiga-tiga kaedah tersebut. 

Apabila anda memberus, anda akan terlepas banyak sisa makanan yang akan menjadi semakin bertambah di dalam mulut. Tidak ada berus gigi yang direka untuk mencapai setiap sudut di dalam mulut. Di kawasan tersebut, sisa makanan dan plak akan terus bertambah dan seterusnya menyebabkan lubang atau pereputan. 

Selain daripada memberus, anda juga harus memflos gigi setiap hari. Mengapa? Kerana memflos akan menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang tidak dicapai berus gigi. Pertambahan plak akan membawa kepada penyakit gusi atau pereputan gigi menjadikan aktiviti memflos sebagai sesuatu yang penting. Sekiranya anda memflos sebaik saja selepas memberus gigi, anda akan mendapati gusi dan gigi anda menjadi lebih sihat.

Apabila anda meneliti flos yang digunakan, terdapat dua jenis - nilon dan filamen tunggal. Anda boleh mendapatkan nilon yang bersalut lilin atau tidak. Flos nilon diperbuat daripada beberapa lembaran nilon menjadikan ia mudah putus dan koyak sekiranya terperangkap di celah gigi yang tajam. Meskipun flos filamen tunggal lebih mahal daripada nilon, ia lebih mudah dilalukan di celah-celah gigi terutamanya di kawasan yang sempit. Tidak seperti nilon, flos filamen tunggal sukar untuk koyak atau putus. 

Tidak kira apa jenis flos yang anda pilih, asalkan anda memflos dengan kerap, kaedah ini akan menanggalkan sisa makanan dari gigi dan gusi. Sekiranya anda tidak pernah memflos sebelum ini, anda mungkin akan terkejut betapa banyak sisa makanan yang mampu dibuang dengan memflos. 

Berkumur (dengan ubat kumur) adalah sama penting seperti memberus dan memflos untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun berus gigi yang paling kecil. 

Sisa makanan akan mendap di celah gigi dan pada celahan gingival yang menjadikan berkumur penting. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa terdapat celahan gingival sedalam tiga milimeter yang boleh menjadi kawasan mendapan sisa makanan termasuklah nasi goreng, jus, tappanyaki, spagetti dan sebagainya. Celahan gingival ini boleh dibersihkan dengan berkumur. 

Akhir sekali, sekiranya anda mahukan gigi anda kekal lama, berhati-hati dengan teknik memberus yang anda gunakan. Terdapat perbezaan nyata antara memberus dengan mata tertutup dan memberus dengan berhati-hati dengan memastikan kedudukan berus mengenai kawasan yang sukar dicapai. Anda perlu lebih berhati-hati sekiranya anda memiliki gigi yang kurang teratur kerana terdapat lebih banyak kawasan yang sukar dicapai. 

Sekiranya anda hanya memberus selama ini, sudah tiba masanya untuk memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi anda sihat. Anda dinasihatkan menjalani pemeriksaan rutin (setiap 6 bulan) dengan pakar pergigian. Namun begitu terpulang kepada anda untuk melakukan penjagaan di rumah dengan memberus, memflos dan berkumur. Siapa kata gigi anda mesti reput apabila anda tua? Sesetengah haiwan masih memiliki gigi sempurna selepas mereka mati.

n DR . FAIZ KHALEED merupakan jurucakap bagi kempen Oral-B, "Complete Care for a Confident Smile". 

--- UTUSAN MALAYSIA

Kandungan Tar, Nikotin Pada Rokok Akan Dikurangkan - Dr Subramaniam


PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan meminta syarikat-syarikat rokok di negara ini mengurangkan lagi kandungan tar serta nikotin dalam tembakau sebagai langkah menghapus tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, langkah itu serta beberapa tindakan lain akan dibuat melalui dua fasa iaitu mulai Jan 2014 dan Jun 2015.

"Kita akan kurangkan kandungan tar dalam sebatang rokok dari 20 miligram kepada 10 miligram dan kandungan nikotin dari 1.5 miligram kepada 1 miligram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini Ahad.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata langkah lain yang akan dibuat ialah gambar kempen anti merokok pada setiap kotak tembakau atau kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 peratus dari saiz 40 peratus sekarang.

Semua tindakan itu akan dibuat secara berperingkat dan kementerian juga akan mengambil langkah untuk menghalang promosi rokok secara langsung dan tidak langsung termasuk pengiklanan serta pemberian diskaun.

Pengharaman promosi termasuk melalui penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan atau sukan walaupun tujuannya murni, kata beliau.

Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengambil langkah sama seperti di beberapa buah negara termasuk Thailand dan Australia di mana rokok tidak akan dipamerkan di rak-rak khas seperti sekarang ini sebaliknya akan disimpan di dalam laci dan akan dikeluarkan apabila pelanggan datang membeli.

"Di Malaysia, antara 10 peratus hingga 12 peratus atau 10,000 punca kematian setiap tahun adalah berpunca dari tabiat merokok. Pada tahun 2011, 11,056 kematian di hospital kerajaan boleh dikaitkan dengan tabiat menghisap rokok," katanya.

Katanya, dianggarkan seramai empat juta rakyat Malaysia adalah perokok.

Rakyat Malaysia terutama dari golongan pertengahan juga menghabiskan di antara RM500 ke RM600 sebulan untuk membeli rokok dan ini mempunyai implikasi terhadap ekonomi mereka, katanya.

Bagi membantu mencegah berleluasanya penjualan dan penggunaan rokok tidak sah atau rokok "haram" dari negara jiran, kementerian itu akan bekerjasama rapat dengan pihak kastam untuk mengambil tindakan ke atas penjual atau mana-mana orang yang menjual, membeli atau memiliki rokok berkenaan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...