PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, October 19, 2013

Jagalah Jantung Anda

Oleh Hazlinda Hamzah

Artikel ini bersempena Hari Jantung Sedunia yang disambut pada 29 Sept dengan tema 'Ambillah Laluan Ke Jantung yang Sihat'.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Lelaki yang bersifat peramah itu hanya mahu dikenali sebagai Abdul. Beliau, yang berusia pertengahan 50an, sedang menunggu giliran di bilik rundingan Institut Jantung Negara (IJN) yang penuh sesak pada pagi itu.

Menurut Abdul, ini adalah julung kali beliau ke IJN bagi mendapatkan nasihat pakar jantung selepas mengalami rasa sakit di bahagian dada yang mengambil masa agak lama untuk hilang berbanding sebelum ini.

"Saya dulu seorang perenang. Malahan saya masih lagi berenang. Apa yang membimbangkan ialah rasa sakit di bahagian dada yang tidak hilang-hilang. Doktor keluarga merujuk saya ke sini dan kerana percayakan doktor di IJN, saya bersetuju untuk melakukan ujian bagi memastikan keadaan saya seterusnya", katanya kepada Bernama.

Sementara itu, di Hospital Tunku Ampuan Rahimah di Klang, seorang wanita yang sudah berusia, Noraishah Hamzah, turut memberitahu penulis mengenai simptom yang sama seperti dialami Abdul.

Dalam kes Noraishah, beliau telah menjalani ujian yang diperlukan termasuk ECG dan Ujian Stres di hospital berkenaan dan sedang menunggu pakar melihat hasil ujian itu.

"Harap-harap jantung saya sihat. Saya merasa sedikit khuatir kerana saya merancang bercuti ke Amerika Syarikat. Percutian ini ditangguh mungkin ke 2014.

"Jika perlu saya akan dirujuk ke IJN untuk rundingan selanjutnya dan mungkin juga perlu rawatan", keluh Noraishah yang sudah bersara.

KEBENARAN YANG SUKAR DITERIMA

Abdul dan Noraishah adalah dalam kalangan rakyat Malaysia yang mungkin mengalami masalah jantung dan tidak menyedari hakikat ini.

Sewajarnya, orang ramai mengambil langkah melakukan ujian kesihatan jantung termasuk ECG setahun sekali, atau malah dua kali setahun sebagai kunci untuk menjaga jantung.

Ramai yang mengambil mudah akan keadaan jantung mereka sehinggalah diserang Penyakit Jantung Koronari (CHD) atau Penyakit Kardiovaskular (CVD) yang ada kalanya berlaku pada usia muda.

"Sekitar 55 peratus yang diserang CHD di Malaysia berusia bawah 60 tahun. Ada yang berusia kira-kira 40 tahun dan mereka tidak mempunyai sebarang simptom klinikal seperti tidak selesa atau ketat pada bahagian dada atau senak", kata Ketua Bahagian Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad.

Dr Wan Azman mendedahkan perkara ini pada ceramah umum bertajuk 'Cintai Jantung Anda' di UMMC, Petaling Jaya bersempena sambutan Hari Jantung Sedunia pada 29 Sept.

Dalam ceramahnya, Dr Wan Azman berkongsi banyak dapatan menarik daripada hasil kajian yang dijalankan oleh UMMC berhubung sikap rakyat Malaysia dalam penjagaan jantung.

KEJAHILAN DALAM PENJAGAAN JANTUNG

Jika hasil kajian ini dijadikan sandaran, kebanyakan rakyat Malaysia bersikap reaktif dan bukan pro-aktif dalam soal CHD dan CVD.

Hasil soalan yang dikemukakan kepada lebih 400 pesakit jantung mendapati 73 peratus daripada responden tidak melakukan ujian kesihatan jantung secara kerap sebelum diberitahu mengalami penyakit itu.

APA YANG PERLU DIKETAHUI

CHD adalah jenis penyakit jantung yang paling biasa memberi kesan kepada jantung termasuk keadaan seperti 'Myocardial Infarction' (serangan jantung) dan Arrhythmia (degupan jantung yang tidak tetap).

Sementara itu, CVD merujuk kepada mana-mana penyakit yang memberi kesan kepada sistem kardiovaskular terutama 'aneurysm', penyakit vascular otak dan buah pinggang, dan penyakit arteri periferal (peripheral arterial diseases).

Menurut Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2011, CVD adalah pembunuh nombor satu yang menyumbang kepada lebih 25 peratus kadar kematian di hospital Malaysia pada 2010.

Punca CVD adalah berbeza dan ini termasuk yang paling biasa iaitu 'Arteriosclerosis' (dinding arteri menebal berpunca daripada pengumpulan bahan lemak) dan hipertensi.

Menurut Prof Dr Wan Azman, juga editor laporan tahunan CVD0ACS Kebangsaan 2009 dan 2010 (Sindrom Penyakit KardioVaskular - Koronari Akut Kebangsaan), hasil mortaliti menunjukkan rakyat Malaysia semakin perlu diberi lebih kesedaran mengenai CVD.

LAMBAT BERTINDAK

Sementara itu, Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail, Pengarah UMMC berkongsi pandangan bahawa sesiapa yang kelewatan merawat mana-mana orang yang jantungnya terhenti (cardiac arrest) boleh menyebabkan kerosakan serius.

Seseorang yang menderita serangan sakit jantung perlu dirawat segera dan masa maksimum untuk diberi rawatan ialah enam jam.

Rawatan yang tidak diberi dalam tempoh itu boleh menyebabkan kematian.

"Masa adalah faktor penting untuk mengelakkan kegagalan jantung sepenuhnya. Kita perlu menyelamatkan otot jantung", kata Prof Dr Ikram Shah, pakar endokrinologi.

Sebarang kelewatan yang tidak diingini dalam merawat pesakit yang mengalami CHD boleh menjadikan otot jantung berparut dan ini akhirnya akan menyebabkan jantung sukar untuk terus mengepam.

Rawatan untuk penyakit ini boleh didapati di kebanyakan hospital utama termasuk UMMC.

Pada masa ini terdapat 12 pakar kardiologi dan empat pakar bedah jantung di UMMC. Seorang pakar kardiologi pediatric dijangka kembali dari luar negara tidak lama lagi.

"Kami akan menambah lima katil lagi kepada lima yang ada di Unit Penjagaan Jantung atau CCU di UMMC. Ini akan melibatkan kos RM8.5 juta dan dijangka siap untuk digunakan pada 2014", kata Prof Dr Wan Azman.

Memandangkan jantung itu penting, cintailah jantung anda kerana nyawa anda bergantung kepadanya.

-- BERNAMA

Jangan Pandang Remeh Soal Tekanan Mental Anggota Polis

Foto Bernama.Oleh Norshazlina Norazman

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Insiden tragis melibatkan seorang anggota polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri baru-baru ini di Ledang, Johor, menunjukkan soal tekanan mental yang dialami anggota keselamatan tidak boleh dipandang remeh.

Tekanan jiwa yang dihadapi mereka, baik dalam soal peribadi mahupun profesion wajar diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak mengalami stres kritikal sehingga mengambil tindakan di luar jangkaan.

Ini apabila membabitkan mereka dalam pakaian seragam biru, akibatnya sangat berbahaya memandangkan mereka memegang senjata api.

JELAS SEKALI

Satu hasil kaji selidik yang pernah dijalankan dari tahun 2007 hingga 2009 oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati 53.7 peratus daripada 453 anggota pasukan keselamatan di enam balai polis di Wilayah Persekutuan mengalami stres tempat kerja.

Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian itu juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota biasa, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.

CONTOH KES

Insiden di Johor itu bukan pertama kali direkodkan. Dalam satu lagi kejadian menyedihkan pada 26 April 2012, Konstabel Mohamad Sobri Md Sidik, 22, yang bertugas di Istana Anak Bukit, Kedah, maut di tepi pintu pagar Istana itu akibat ditembak rakan setugas dipercayai akibat perselisihan faham.

Manakala pada April 2011, seorang konstabel ditemui mati dengan satu kesan tembakan di kepala dalam biliknya di kuarters balai polis Salak Selatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Manakala pada Feb 2011 seorang sarjan juga ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di Jalan Mahang, Puncak Alam 2, Selangor.

Pada Disember 2009, seorang sub inspektor pula ditemui mati dengan kesan tembakan di pejabat cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu. Dalam ketiga-tiga kejadian itu tekanan jiwa kerana masalah keluarga atau kerja tidak dapat ditolak.

Malah baru-baru ini juga Mahkamah Tinggi memerintahkan seorang konstabel untuk membayar ganti rugi sebanyak RM585,000 kepada bekas isteri dan abang iparnya kerana kecederaan yang dialami mereka selepas ditembak lelaki itu tiga tahun lepas di Pantai Dalam.

Kesemua kejadian itu jelas menunjukkan bahawa isu tekanan mental anggota polis perlu diberi perhatian serius termasuk dengan melaksanakan pemeriksaan kesihatan mental menyeluruh serta mengambil langkah pencegahan dan pemulihan bagi mengelak perkara tidak diingini.

WUJUDKAN UNIT KAUNSELING

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye baru-baru ini menyarankan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan sebuah unit khas kaunseling di setiap ibu pejabat polis kontinjen (IPK) bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anggotanya.

Lee yang juga anggota Majlis Penasihat Penggalakkan Kesihatan Mental berpendapat bahawa masalah mental perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan mana-mana anggota pasukan keselamatan melakukan tindakan di luar batasan.

Unit kaunseling atau psikologi bertindak sebagai pencegahan awal dengan memberi nasihat, pandangan serta mampu mengenali tanda-tanda masalah mental yang dihadapi anggota.

Buat masa ini memang telah wujud Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) di setiap kontinjen, namun peranan unit ini terlalu umum dan tidak memberi pengkhususan kepada masalah mental semata-mata, kata Lee.

Menjawab mengenai itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah mewujudkan unit kaunseling itu wajar dipertimbang bagi meningkatkan prestasi dan produktiviti anggota pasukan.

Beliau turut mencadangkan agar jawatan kaunselor atau doktor pakar kesihatan mental diwujudkan bagi tujuan itu.

"Saya bersetuju dan ianya merupakan suatu cadangan yang disambut baik.

"Saya melihat kewujudan unit khas itu perlu, selari dengan bebanan kerja yang bertambah yang mungkin boleh menyebabkan timbul isu tekanan mental di kalangan anggota," katanya kepada Bernama.

PERKETAT PROSES PENGAMBILAN

Dalam pada itu, Penganalisis Jenayah Datuk Akhbar Satar pula mencadangkan agar PDRM memperketatkan proses pengambilan anggota dengan menyelitkan ujian psikologi atau stres bagi mengesan peringkat awal masalah kesihatan mental yang adakalanya disebabkan keturunan.

"Sebelum pengambilan anggota, adalah perlu dibuat pemeriksaan latar belakang dan juga 'stress test' atau ujian tertentu oleh pakar bagi memastikan mereka tidak mempunyai masalah daripada segi mental kerana tugas kepolisan ini amat mencabar dan menuntut ketahanan mental dan fizikal.

"....jika dari awal didapati mereka tidak mampu untuk menangani stres, sudah tentu mereka tidak sesuai untuk menyarung uniform biru," katanya.

Bagaimanapun, bagi anggota sedia ada, PDRM perlu memperbanyakkan latihan atau aktiviti seperti kursus ketenangan jiwa dan kursus mengatasi stres yang direka khas bagi menangani masalah suasana kerja dan kehidupan yang menekan.

Selain itu, Akhbar juga mencadangkan supaya diwujudkan unit khas kaunseling.

"Anggota polis yang berasakan mereka mempunyai masalah pula perlu bersikap lebih terbuka untuk ke kaunseling...ada anggota yang mungkin tidak mahu dan segan suarakan tekanan yang dihadapi mereka membuatkan apa yang disimpan itu akhirnya 'meletup' dan berlaku sesuatu di luar jangkaan," katanya.

PUNCA STRES

Dalam pada itu beliau berkata kadar masalah mental di kalangan anggota polis sebenarnya belum mencapai tahap serius tetapi kelihatan seperti ramai yang terlibat disebabkan bilangan keanggotaannya yang semakin bertambah.

"Bagaimanapun, ia perlu diberi perhatian segera dan dicari jalan penyelesaian terbaik supaya masalah seperti kemurungan, penyakit mental dan gangguan jiwa dapat dielakkan agar insiden di luar jangkaan tidak berulang," katanya.

Akhbar berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca kerana tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi yang ketat dalam organisasi serta masalah individu itu sendiri.

"Mungkin ada kerana keturunan meskipun kebanyakkannya atas faktor alam sekeliling seperti bebanan tugas yang banyak kerana kekurangan nisbah anggota polis dan memerlukan masa yang cepat untuk menyelesaikan kes yang banyak, penangguhan kes di mahkamah selain berhadapan dengan persepsi negatif masyarakat terhadap polis.

"Ia juga mungkin kerana anggota itu menanggung banyak hutang selain tertekan dengan masalah keluarga seperti isteri yang mendesak, tabiat buruk diri, gaji yang kecil dan juga pengalaman buruk berhadapan dengan penjenayah yang mungkin menyaksikan rakan sepasukan terbunuh...ini semua mewujudkan stres," katanya.

Anggota polis yang mengalami stres dan terus mendiamkan masalah mereka, dikhuatiri boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku termasuk menyebabkan nyawa orang lain terancam.

PERTINGKAT PEMANTAUAN

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin pula baru-baru ini berkata PDRM akan mempertingkatkan pemantauan serta pemeriksaan kesihatan mental anggotanya bagi memastikan mereka yang mengalami tekanan perasaan dapat dibantu dari awal.

Beliau berkata langkah itu perlu dilaksana segera untuk memastikan tiada anggota atau warga PDRM hilang pertimbangan lalu bertindak di luar batasan, selain mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kejadian seumpama itu tidak lagi berulang.

"Kita perlu membantu pegawai atau anggota yang berdepan masalah. Jika ada yang mengalami tekanan perasaan sebagai contoh, kena ada usaha untuk membantu menyelesaikan masalah itu," katanya.

Justeru adalah amat penting dalam usaha pasukan itu menjaga keselamatan negara dan awam, kesihatan mental warganya tidak sesekali diabaikan, sekaligus meningkatkan motivasi dan prestasi kerja mereka.

-- BERNAMA

Wednesday, October 2, 2013

Abai Rawatan, Risiko 'Maut' Menanti Pesakit Asma

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Ramai pesakit asma meletakkan masa depan mereka dalam keadaan bahaya sehingga boleh 'mengancam nyawa' ekoran mengabaikan rawatan dan nasihat doktor.

Ini kerana, mereka beranggapan bahawa penyakit asma atau lelah yang dihidapi berada pada tahap terkawal tanpa memerlukan pengambilan ubat dan rawatan sepertimana disyor para doktor.

Walhal, hakikat sebenarnya adalah sebaliknya.

Pada masa sama, sikap segelintir pesakit asma yang suka melengah-lengahkan rawatan biarpun mengetahui ia adalah penyakit paru-paru kronik, turut menyumbang kepada risiko itu.

Asma, adalah penyakit paru-paru kronik yang disebabkan keradangan di saluran udara paru-paru. Apabila terdedah kepada bahan yang boleh mencetuskan keradangan, dinding saluran udara ke paru-paru menjadi tebal dan membuatkan saluran ini menjadi semput.

Implikasinya, akan membuatkan pesakit asma mengalami gejala seperti batuk, berdesit (nafas berbunyi seperti wisel), susah bernafas dan dada rasa ketat (seperti ditekan).

Menurut pakar, batuk sering berlaku pada malam atau awal pagi.

ASMA

Asma boleh dihidapi oleh semua peringkat umur namun ia sering bermula semasa zaman kanak-kanak.

Di Malaysia, dianggarkan 4.5 peratus daripada golongan dewasa adalah penghidap asma manakala kanak-kanak adalah golongan dominan pesakit ini iaitu sebanyak 7.1 peratus.

"Kesedaran dan pengetahuan mereka mengenai penyakit ini masih lagi rendah malahan ada yang tidak tahu mengguna alat sedutan (inhaler) dengan betul. Ini boleh menyebabkan fungsi paru-paru menjadi semakin teruk.

"Amat penting, setiap pesakit asma mengetahui teknik penggunaan ubat sedutan dengan betul", kata Pengarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori, Institut Perubatan Respiratori Datuk Dr Abdul Razak Muttalif kepada Bernama.

TIADA PENAWAR

Menurut Dr Abdul Razak, penyakit ini sehingga kini tiada penawar dan adakalanya pesakit akan mengalami 'serangan akut' asma pada bila-bila masa sahaja.

Apakah itu serangan akut?

Ia adalah serangan asma yang teruk dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera supaya penat dan lelah berkurangan.

Biarpun tiada penawar, penyakit yang puncanya sukar dikenalpasti berikutan disumbangkan oleh beberapa faktor seperti genetik dan persekitaran ini masih boleh dirawat secara berkesan melalui proses perubatan yang teratur.

Yang penting, pesakit perlu mengawal asma dari peringkat awal supaya tidak menjadi lebih teruk sehingga mengakibatkan kematian.

Mereka disarankan tidak melengah-lengahkan rawatan, perlu mengikut nasihat doktor dan berpengetahuan akan cara menggunakan ubat sedutan dengan betul.

Dalam merawat penyakit asma, kebiasaannya ubat berbentuk sedutan lebih berkesan kerana ubat akan terus memasuki saluran udara dalam paru-paru iaitu tempat yang paling dikehendaki.

Terdapat dua jenis ubat sedutan iaitu ubat pencegahan (khususnya anti-keradangan seperti glukokortikosteroid) dan perlu diambil setiap hari dalam jangka masa panjang untuk mengelak serangan asma.

Manakala, ubat kedua ialah 'pelega' (bronkodilator). Ia memberi kelegaan segera apabila pesakit mendapat serangan asma dan perlu dibawa setiap masa bagi menghilangkan gejala asma dalam masa singkat.

KE HOSPITAL

Walaupun penekanan mengenai kepentingan membawa alat sedutan ini ke mana sahaja mereka pergi disebarkan, namun masih ada lagi segelintir penghidap asma mengambil mudah akan perkara itu.

Dr Abdul Razak ketika menyentuh perihal berkenaan berkata tidak kira sama ada tahap asma mereka dalam keadaan sederhana atau teruk, alat sedutan itu perlu sentiasa dibawa bersama.

Namun, disebabkan oleh kepelbagaian 'kepercayaan' atau mitos mengekang amalan demikian. Antaranya, penyakit ini jangan dimanjakan sangat. Apabila datang serangan asma, duduk, tenangkan diri dan bernafas perlahan-lahan, lama-kelamaan ia akan hilang sendiri.

"Sebenarnya, ini hanya akan mengurangkan penat mereka sahaja. Tetapi, asma mereka masih ada lagi. (Kepercayaan begini) bahaya. Mereka kena bawa 'inhaler' setiap masa.

"Jadi, apabila dapat tanda-tanda serangan asma, mereka perlu pakai ubat itu dengan cepat. Jangan tunggu sampai terlambat kerana kebanyakan kematian asma ini disebabkan rawatan tidak diberi dengan cepat", katanya.

Kumpulan berisiko tinggi ialah yang tidak menerima rawatan cukup dan sempurna atau yang melengahkan rawatan apabila mengalami serangan asma akut.

Walaupun demikian, ada juga pesakit yang kerap mendapat serangan asma (tahap tidak terkawal) sengaja tidak mendapatkan rawatan atau tidak bergantung dengan alat sedutan kerana beranggapan jika terdapat serangan boleh terus ke hospital atau klinik.

Bagaimanapun, Pakar Runding Perubatan dan Respiratori, Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Zainudin Md. Zin mempersoalkan sikap itu kerana terdapat beberapa kes pesakit asma meninggal dunia kerana tidak sempat ke hospital.'

KAWAL ASMA

Rutin terapi kawalan asma bukan sahaja dapat membantu menghalang serangan asma yang serius tetapi juga mengetahui langkah-langkah pencegahan serta cara mengatasi serangan asma di rumah.

Malah, ini membolehkan mereka untuk bergiat produktif serta aktif termasuklah dalam aktiviti sukan. Dan, ini bukanlah satu keadaan mustahil kerana Amy Van Dyken, perenang yang merangkul empat ingat emas pada Sukan Olimpik Athens dan dua pingat emas pada kejohanan sama di Sydney adalah penghidap asma.

Begitu juga dengan pemegang rekod maraton dunia, Paula Radcliffe.

Asma terkawal, bermaksud pesakit dapat menjalani kehidupan dengan baik, tiada serangan asma, tidak lagi terjaga pada tengah malam akibat simptom asma, tidak perlu menggunakan ubat pelega (hanya digunakan sekali-sekala) dan mampu bergiat aktif.

Malangnya, apa yang berlaku ialah ramai golongan kanak-kanak dan dewasa penghidap asma terpaksa tidak hadir ke sekolah dan tempat kerja masing-masing akibat penyakit asma mereka tidak terkawal.

Dr Zainudin berkata senario ini mungkin berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak menggalakkan ataupun mengelakkan anak mereka penghidap asma daripada aktif bersukan.

Walhal, asma yang dikawal dengan rawatan sewajarnya diikuti pengamalan hidup aktif mengikut kemampuan masing-masing mampu meningkatkan keupayaan paru-paru.

PENDIDIKAN ASMA PENTING

Persepsi mengekang kehidupan aktif, melengah-lengahkan rawatan, salah prosedur penggunaan ubat sedutan dan kepercayaan tidak betul mungkin berakar umbi daripada kurangnya fahaman mengenai penyakit asma.

Justeru, Dr Abdul Razak menyarankan penghidap asma bekerjasama dengan doktor mereka, apa yang perlu dilakukan, menjauhi pencetus-pencetus yang boleh mengakibatkan serangan asma.

Pencetus adalah bahan-bahan atau keadaan tertentu yang saluran udara penghidap asma adalah sangat sensitif terhadapnya dan boleh mengakibatkan serangan asma.

Antara pencetus ialah asap ekzos kereta, asap rokok, jerebu, cuaca yang terlalu panas atau sejuk dan tekanan perasaan atau terlalu gembira.

"Kalau asma boleh dikawal, ubat sedutan boleh dikurangkan. Doktor perlu didik pesakit cara menggunakan ubat dengan betul dan jangan sekadar deskripsi sahaja. Disyorkan setiap klinik atau hospital menjalankan kaunseling rawatan asma," katanya.

Dengan itu, pesakit akan memperoleh pengetahuan dan pendidikan asma yang berkesan dan membantu menghindari serangan akut.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...