PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, August 27, 2014

Virus Ebola bawa maut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
KEADAAN badan bergelembung merupakan tanda Ebola kronik.
"Penduduk lebih percaya kepada dukun dan mengatakan Ebola tidak wujud atau hanya rekaan orang Barat untuk menakutkan orang Afrika. Lebih buruk, mereka mengatakan klinik dan hospital ialah tempat untuk mati dan bukan untuk mengubati," kata Kendell Kauffeldt yang merupakan Pengarah Samaritan Purse iaitu sebuah badan sukarela yang ditubuhkan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada orang awam di Monrovia, Liberia.

Inilah senario yang berlaku di Afrika. Hakikatnya, Ebola ialah ancaman yang jelas wujud di Afrika hingga menyebabkan maut.

Bagi Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini berkata, setakat ini tiada laporan kes penularan penyakit virus Ebola di negara ini dan pemantauan mengenainya sedang dijalankan.

Pun begitu, Kementerian Kesihatan telah memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respon terutama di pintu masuk negara terutamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghadapi penularan virus Ebola.

Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azian Harun berkata, virus Ebola merupakan sejenis virus yang tergolong dalam famili virus Filoviridae (filovirus). Virus Ebola menyebabkan penyakit demam berdarah yang dikenali sebagai penyakit virus Ebola atau Ebola virus disease (EVD). Terdahulu, ia dikenali sebagai demam berdarah Ebola (Ebola haemorrhagic fever). 

Tambah Dr. Azian, seseorang individu boleh dijangkiti Ebola melalui beberapa cara seperti sentuhan secara langsung (direct contact) kontak rapat dengan darah atau cecair badan pesakit EVD. Ebola juga berjangkit melalui cecair badan yang dimaksudkan termasuk air liur, air kencing, air mani, najis, dan lain-lain. 

"Virus ini turut berjangkit melalui jarum yang tercemar oleh virus Ebola dan berhubung rapat dengan bangkai haiwan yang telah dijangkiti virus Ebola (berlaku dalam kalangan pengendali haiwan dan pemburu haiwan liar)," jelasnya.

Biasanya, virus ini akan mula menunjukkan simptom bermula dua hingga 21 hari selepas individu terdedah kepada virus ini.

Simptom
Dr. Azian memberitahu, pesakit Ebola akan mengalami simptom seperti demam mendadak, sakit kepala yang teruk, sakit otot, lemah badan atau kelesuan, ruam, cirit-birit, muntah-muntah, sakit perut dan hilang selera makan. Seterusnya, jangkitan berkemungkinan membawa kepada kegagalan buah pinggang dan hati serta pendarahan dalaman dan luaran. Individu yang mengalami gejala jangkitan mampu menjangkiti individu lain sebaik-baik saja gejala-gejala tersebut muncul. 

Rawatan dan pencegahan

Pesakit yang dijangkiti penyakit virus Ebola yang teruk lazimnya memerlukan rawatan rapi di hospital. 

"Sehingga kini, tiada rawatan khusus (antiviral) yang disahkan berkesan untuk melawan penyakit virus Ebola. Rawatan yang lazimnya diberikan merupakan rawatan sokongan (supportive) sahaja termasuklah memastikan tahap hidrasi badan yang optimum. Sehingga kini juga tiada vaksin yang dibuktikan berkesan untuk melindungi manusia daripada dijangkiti virus ini," jelasnya.

Tambah beliau, secara amnya risiko jangkitan Ebola dalam kalangan penduduk Malaysia ialah rendah kecuali bagi individu yang melawat ke negara-negara yang dilaporkan mengalami wabak penyakit virus Ebola. 

Sejak Mac 2014, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memaklumkan tentang kejadian wabak Ebola yang melibatkan empat buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria. 

"Oleh itu, amatlah wajar untuk menangguhkan kunjungan ke negara atau kawasan yang terlibat sekiranya tiada keperluan yang mendesak," nasihat Dr. Azian.

Sehingga hari ini, tidak ada laporan wujudnya penyakit virus Ebola di Malaysia tetapi risiko untuk penyakit ini menular ke negara kita tetap ada melalui perjalanan merentas benua sama ada melalui jalan udara atau lain-lain.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...