PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Friday, May 2, 2014

Mengurus Ekzema Atopi


Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

Ini adalah bahagian kedua dan terakhir rencana mengenai ekzema atopi. Bahagian ini memberi fokus kepada pengurusan ekzema atopi.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Bagi perunding dermatologi pediatrik, Dr Leong Kin Fon, ekzema atopi boleh diurus untuk membolehkan mereka yang dijangkiti penyakit ini, terutamanya kanak-kanak, dapat hidup aktif dan selesa.

Menurut beliau, seseorang yang dilahirkan dengan kulit yang kering dan poros serta gen imun hiperaktif boleh mendapat ekzema atopi akibat faktor persekitaran.

Antara faktor persekitaran itu ialah cuaca, tekanan, makanan, bahan pencuci yang menghakis, alergen, bakteria dan hama.

Bagaimanapun, kesan setiap faktor adalah berbeza daripada seorang individu kepada individu yang lain.

"Ada yang boleh mengalami radang dengan hanya makan makanan tertentu seperti telur, kekacang atau makanan laut. Ada juga tidak terkesan langsung dengan makanan tetapi akan mula menggaru apabila cuaca terlalu panas atau sejuk.

"Bagi sesetengah orang, sabun kimia yang digunakan untuk membersih tandas atau sabun wangi boleh juga mencetuskan ekzema," jelas Dr Leong.

Tanda-tanda penyakit ini boleh muncul pada mana-mana peringkat usia tetapi lazimnya ketika bayi.

Bagaimanapun, penyelidikan menunjukkan 70 peratus pesakit ekzema menunjukkan pemulihan yang besar menjelang usia 15 tahun sementara 30 peratus lagi terus hidup dengan penyakit itu sepanjang usia dewasa mereka.

KRIM AJAIB

Dalam usaha untuk mencari penyembuhnya, Dr Leong berkata belum ada yang boleh dikatakan itulah 'krim yang dicari-cari'.

Merawat penyakit ekzema atopi juga bukan semudah mengenalpasti satu-satu jenis makanan atau alergen dan mengelakkannya.

Memandangkan penyakit ini berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain, begitu juga dengan rawatannya.

"Rawatan seharusnya kombinasi pendekatan dinamik dan pemberdayaan, menangani kedua-dua faktor genetik dan persekitaran.

"Bagi merawat kulit kering dan sensitif, pesakit memerlukan pelembap dan pembersih. Bagi mengelakkan gatal-gatal dan menggaru, pakej mencegah gatal-gatal perlu diberi di samping antibiotik serta antiseptik sekiranya kulit dijangkiti kuman," katanya.

Beliau juga tidak menyokong tindakan ibu bapa yang membawa anak mereka untuk ujian alahan hanya untuk mencari satu alergen yang tertentu.

Katanya, makanan hanya menyumbang lima peratus daripada faktor yang boleh mencetuskan ekzema.

STEROID, KAWAN ATAU MUSUH?

Steroid, ringkas untuk 'corticosteroids' ialah dadah sintetik yang hampir menyerupai cortisol, hormon yang dihasilkan oleh tubuh badan secara semula jadi.

Penggunaan steroid adalah untuk mengurangkan radang dan mengurangkan kegiatan sistem imun.

Steroid juga digunakan untuk merawat pelbagai penyakit radang serta ekzema. Ia boleh diberi sama ada dalam bentuk krim atau salap, dimakan atau disuntik.

Penggunaan steroid telah lama dikaitkan dengan kesan sampingan yang teruk seperti tambahan berat badan, kaki atau muka bengkak, kulit menipis, peningkatan tekanan darah serta gula dalam darah di samping risiko jangkitan kuman.

Dr Leong menjelaskan penggunaan steroid adalah penting untuk menyekat radang dan perlu digunakan mengikut keadaan.

"Jika radang teruk, doktor mungkin memberi steroid untuk seminggu atau dua minggu. Apabila tiada lagi radang, penggunaan steroid juga perlu dihentikan dan pesakit hanya perlu menggunakan pelembap.

"Sekiranya steroid digunakan secara berleluasa, memang ia boleh menjadi musuh anda," katanya, dengan menambah terdapat beberapa jenis steroid yang digunakan para doktor, daripada paling sederhana kepada paling kuat.

PELEMBAP

Ciri utama ekzema atopi ialah lapisan kulit luar yang tidak terbentuk secara betul untuk mengekalkan kelembapan semula jadi, menyebabkan kulit menjadi kering.

Bagi mereka yang menderita penyakit ini, penggunaan pelembap adalah kunci untuk menghentikan kitaran gatal, menggaru, kulit berdarah dan kesakitan.

Pelembap boleh melindungi kulit dan mengekalkan kelembapan optimum kulit.

PERLU KAWALAN

Dr Leong yang mempunyai banyak pengalaman merawat pesakit ekzema berkata ibu bapa sama ada terlalu takut atau terlalu ambil mudah akan ubat untuk merawat ekzema.

"Yang paling sukar adalah untuk menyakinkan mereka mengenai penggunaan steroid apabila berlaku radang ekzema. Ada semacam fobia steroid di luar sana.

"Apa yang saya buat, saya beritahu pesakit steroid digunakan hanya untuk meredakan radang," jelasnya.

Menurut beliau, strategi dan matlamat jangka panjang adalah untuk ibu bapa tahu ada cara berkesan mengawal dan mengubati ekzema.

"Tujuan utama rawatan adalah mengawal penyakit ini," kata Dr Leong.

CABARAN 30 HARI

Sebagai langkah meningkatkan kesedaran mengenai ekzema atopi dan mungkin juga untuk menghalang kes buli dalam kalangan kanak-kanak sekolah, Bulan Kesedaran Ekzema Kebangsaan buat pertama kalinya dilancarkan di negara ini, pada 2 April.

Ia adalah usaha bersama Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) dan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA).

Presiden PDM dan pengerusi bersama lembaga kempen, Dr Najeeb Ahmad Mohammad Safdar berkata terdapat begitu banyak maklumat salah dan ramai orang yang menawarkan penyelesaian untuk ekzema di negara ini.

"Malah ada pesakit saya diberitahu untuk mencuba air kencing kuda untuk sembuh.

"Sebab itulah inisiatif mendidik orang awam di seluruh negara dibuat untuk menjelaskan kepada penjaga dan pesakit pentingnya cara mengurus ekzema yang betul," katanya.

Dengan cogan kata "Let's Start From Scratch", acara kemuncak kempen ini ialah 'My 30-Day Eczema Journey Challenge'.

Cabaran ini menyaksikan 50 pesakit ekzema yang termasuk dalam senarai pilihan menerima perundingan perubatan percuma dua minggu sekali serta perubahan selama sebulan.

Pesakit yang dipilih menerusi rangkaian pakar di seluruh negara menerima bekalan produk penjagaan kulit Atopiclair daripada syarikat biofarmaseutikal A. Menarini.

Mereka juga akan menerima kata-kata nasihat daripada pakar-pakar secara harian.

Menurut pengerusi bersama kempen, Datuk Dr Zulkifli Ismail, program itu memberi tumpuan kepada keperluan masyarakat ekzema atopi.

"Matlamat kami meningkatkan kesedaran tentang ekzema atopi, mendidik orang ramai dan mengajar teknik pengurusan penyakit yang betul," katanya.

Sewaktu cabaran berlangsung (sepanjang bulan April), peserta dikehendaki mencatat cara mereka menguruskan penyakit mereka dengan menyertakan sekali gambar secara mingguan.

Pemenang yang akan dipilih oleh lembaga pakar berpeluang memenangi percutian percuma bersama keluarga mereka ke destinasi pilihan.

MEMBANTU KELUARGA

Usaha yang dibuat ini mendapat pujian daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Ekzema atopia memang penyakit yang mencabar dan ada kalanya menjadi satu pertarungan antara ibu bapa dan anak.

"Menjaga anak yang mengalami ekzema atopi sederhana dan teruk bukan sahaja melibatkan rawatan kulit yang terperinci tetapi juga penyesuaian gaya hidup keluarga di samping kos kewangan dan sosial.

"Ini semua cabaran hebat kepada penjaga," kata timbalan ketua pengarah, Dr Anjil Doshi-Gandhi.

Perlaksanaan program penjagaan kesihatan seperti kempen 'Let's Start From Scratch' sememangnya penting untuk menyediakan kaedah serta pengetahuan yang betul bagi membantu ibu bapa dalam penyediaan pengurusan baik untuk anak mereka yang menghidap ekzema.

"Kami di LPPKN amat maklum bahawa pengetahuan yang baik dapat membantu memperkukuhkan kesejahteraan keluarga.

"Keadaan ini dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai kesihatan yang baik dan bernilai," kata Dr Anjil.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...