PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, July 29, 2014

Cirit-Birit

Rawatan baharu cirit-birit

IBU! Angah sakit perut. Dah tiga kali masuk tandas, macam mana nak pergi sembahyang Aidilfitri? Angah pula dah janji dengan kawan-kawan nak beraya nanti. Malulah kalau Angah tinggal di rumah sahaja nanti. Mungkin Angah makan banyak pagi tadi. Menyesal, tak dengar cakap ibu tadi," keluh seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

Ini antara cebisan kisah yang sering berlaku di pagi raya. Dalam kesibukan kita bergembira, mungkin kita tidak sedar tentang aspek kesihatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 1.7 bilion kes penyakit cirit-birit setiap tahun di seluruh dunia dan merupakan punca kedua tertinggi kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun. 

Negara-negara Asia Timur dan Pasifik telah mencapai kejayaan besar mengurangkan kematian kanak-kanak dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Jumlah kematian di bawah lima tahun telah menurun daripada 2.2 juta pada tahun 1990 kepada hampir 700,000 pada tahun 2010. Pneumonia dan cirit-birit menyumbang kepada hampir satu pertiga daripada kematian tersebut dan kebanyakannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak paling miskin .

Di Malaysia, insiden cirit-birit akut berlaku paling tinggi dalam golongan muda yang berusia 20 hingga 29 tahun. Sementara itu, satu kajian tempatan pada tahun 2006 dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun mendedahkan bahawa kira-kira 4.9 peratus daripada kematian yang berlaku berpunca daripada cirit-birit . 

Pun begitu, keadaan ini masih kurang diberi perhatian dan kekal sebagai masalah kesihatan awam yang utama. 

Cirit-birit biasanya disebabkan oleh virus atau bakteria yang merebak melalui makanan atau air minuman yang tercemar akibat tahap kebersihan yang rendah. 

Jangkitan virus atau bakteria akan mengeluarkan toksin yang menyebabkan usus merembeskan air berlebihan atau dikenali sebagai hipersekresi. Jumlah air yang dirembeskan adalah terlalu banyak sehingga ia tidak boleh diserap semula oleh usus besar. Ini mengakibatkan pembuangan najis yang kerap dan berair.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Datuk Dr. Zulkifli Ismail, cirit-birit ialah najis berair yang berlaku dengan kerap. Ia mengakibatkan kehilangan cecair yang banyak daripada badan dengan kadar cepat lalu menyebabkan pesakit mengalami risiko penyahhidratan. 

"Penyahhidratan merupakan risiko yang paling tinggi bagi bayi dan kanak-kanak lebih muda. Ada beberapa gejala yang ibu bapa boleh pastikan bahawa bayi mereka mengalami masalah ini iaitu air kencing anak mereka kurang dan bewarna kuning pekat, tiba-tiba kehilangan berat badan, kulit badan anak mengendur, nadi anak sama ada laju atau lemah, mulut kering dan air mata kering. Jika tidak dirawat segera, cirit-birit ini boleh membawa penyakit lain yang lebih serius sehingga menyebabkan kematian.

"Beberapa langkah perlindungan boleh dilakukan seperti penyusuan bayi secara eksklusif, imunisasi, gunakan air bersih, selalu membasuh tangan serta menjaga kebersihan makanan dan tandas," ujar beliau pada majlis pelancaran Hidrasec® (racecadotril) sebagai satu kelas baru yang pertama dalam rawatan cirit-birit akut.

Ubat ini sesuai untuk kegunaan bayi seawal tiga bulan, kanak-kanak, serta orang dewasa dan disyorkan sebagai terapi tambahan kepada terapi rehidrasi oral dalam Garis Panduan Amalan Klinikal Malaysia 2011 bagi pengurusan cirit-birit akut di kalangan kanak-kanak. 

Bagi bayi dan kanak-kanak, Hidrasec® (racecadotril) diberi bersama terapi rehidrasi oral (ORT) (seperti larutan glukosa dan elektrolit) dan langkah-langkah sokongan biasa (seperti ubat anti cirit-birit) apabila langkah-langkah ini sahaja tidak mencukupi untuk mengawal keadaan tersebut. 

Hidrasec® (racecadotril) juga boleh diberi apabila rawatan punca (rawatan yang ditujukan terhadap punca penyakit) adalah tidak mungkin. Jika rawatan punca boleh diberi, Hidrasec® (racecadotril) boleh digunakan sebagai rawatan sampingan.

ORT memerlukan pesakit meminum banyak cecair, mengambil larutan khas rehidrasi oral atau mengambil cecair atau elektrolit secara intravena. Ini adalah penting dalam menguruskan cirit-birit akut untuk mencegah penyahhidratan. Namun, ORT tidak menangani simptom cirit-birit akut yang lain seperti kekembungan dan rasa mual. Selain itu, ubat anti ciri-birit sedia ada yang mengurangkan kekerapan seseorang itu untuk pergi ke tandas dikaitkan dengan kesan sampingan seperti sembelit.

Tambahan pula, pilihan rawatan untuk cirit-birit akut bagi bayi dan kanak-kanak adalah terhad kerana kebanyakannya diindikasi untuk orang dewasa.

Ubat ini dapat mengawal cecair dan dengan itu membolehkan pesakit mengawal cirit-birit mereka.

Racecadotril ialah bahan aktif yang digunakan dalam Hidrasec®. Ia bertindak dengan cepat dan menunjukkan kesan dalam tempoh 30 minit daripada dos pertama. Racecadotril juga berkesan dalam mengurangkan pengeluaran najis dalam kalangan bayi dan kanak-kanak sebanyak 50 peratus. Dalam kalangan orang dewasa, racecadotril diterima lebih baik selain insiden kesan sampingan seperti sembelit dan sakit perut yang lebih rendah.

--- UTUSAN MALAYSIA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...