PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, April 20, 2015

Sinusitis penyebab buta



Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my
 
 
PEMERIKSAAN endoskopi hidung akan mengesahkan di mana terdapatnya nanah selain faktor yang menyebabkan sinus berlaku.
   

MASALAH alahan hidung atau allergic rhinitis merupakan masalah yang sering kali dialami oleh setiap individu dan ada yang mengalami radang hidung teruk sehingga menyebabkan mereka mudah terkena jangkitan pada rongga sinus.

Jangkitan pada rongga sinus dikenali sebagai sinusitis. Sinus merujuk kepada struktur normal dan ia merupakan kaviti yang terdapat dalam tulang-tulang muka terutamanya di sekitar hidung.

Menurut Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Irfan Mohamad, ia adalah rongga berisi udara, yang dilapisi oleh selaput mukosa dan sedikit cecair yang sentiasa dihasilkan oleh selaput mukosa tersebut dan dialirkan keluar dari rongga sinus ke dalam hidung.

“Jangkitan kepada selaput mukosa dalam rongga sinus ini dikenali sebagai sinusitis.

“Terdapat empat sinus tepi hidung (paranasal sinuses) utama pada seseorang iaitu sinus maksila (dalam tulang pipi), sinus ethmoid (antara hidung dan mata), sinus frontal (bahagian dahi) dan sinus sfenoid (di bahagian belakang dan atas rongga hidung yang tidak dapat dilihat melainkan dengan endoskopi).

“Radang sinus atau sinusitis di sinus tertentu ini akan memberikan rasa sakit di bahagian sinus secara spesifik,” ujarnya.

Selsema teruk

Tambah Irfan, rongga sinus memerlukan komunikasi dengan rongga hidung untuk ventilasi udara yang berterusan atau pengaliran sekresi.

“Mereka yang mudah terkena sumbatan pada lubang sinusnya akan menyebabkan sekresi dalam rongga sinus tersekat.

“Apabila sekresi tersekat, jangkitan bakteria akan mudah terjadi. Tidak kurang juga bilangan jangkitan yang disebabkan oleh jangkitan kulat dalam rongga sinus,” jelasnya.

Katanya, faktor yang menyebabkan seseorang lebih mudah terkena jangkitan sinus atau sinusitis termasuklah alahan hidung yang tidak dirawat, struktur dalam hidung atau tisu seperti polip hidung yang menghalang pengaliran sekresi dari dalam sinus atau boleh juga menyebabkan selsema teruk.

“Sinusitis yang komplikasinya lebih berbahaya ialah daripada jenis sinusitis akut atau acute sinusitis. Kesannya boleh berlaku secepat beberapa hari.

“Simptom sinusitis lebih tertumpu kepada lokasi sinus mana yang dijangkiti. Contohnya, rasa sakit tulang pipi menunjukkan akut sinuisitis sedang berlaku dalam sinus maksila.

“Sakit pada bahagian dahi pula disebabkan oleh sinusitis frontal. Rasa sakit merupakan gejala utama yang ditunjukkan selain ia dirasa lebih kuat dalam keadaan tunduk atau sujud ketika bersolat,” ujarnya sambil memberitahu, demam, nafas hidung yang busuk dan hilang deria bau merupakan antara gejala sinusitis.





 

 
RAJAH menunjukkan terdapat empat sinus utama yang berlaku pada individu iaitu sinus maksila, sinus ethmoid, sinus frontal dan sinus sfenoid.

Buta kekal

Jelasnya, selain itu, sakit gigi, batuk, hidung tersumbat dan berair dengan hingus berwarna kuning atau hijau menunjukkan ada nanah di dalam sinus.

“Selain sakit yang teruk pada gigi terutamanya gigi geraham atas, jangkitan sinus juga boleh berlaku akibat jangkitan yang berpunca daripada karies gigi.

“Selain daripada simptom di atas, diagnosis sinusitis akut akan dibuat berdasarkan pemeriksaan doktor yang biasanya akan menekan kawasan sinus yang disyaki,” katanya sambil memberitahu, rasa sakit akan menunjukkan sinus di bahagian mana yang terlibat.

Tambahnya, pemeriksaan endoskopi hidung akan mengesahkan di mana terdapatnya nanah selain faktor yang menyebabkan sinus tersebut seperti kehadiran polip hidung, tulang septum yang bengkok dan mukosa yang bengkak.

“Endoskopi hidung ialah pemeriksaan menggunakan alatan seperti tiub, yang menggunakan kamera halus pada bahagian hujungnya. Ia merupakan penyiasatan yang amat ringkas dan ada ketikanya X-ray sinus atau imbasan berkomputer diperlukan untuk melihat kedaan dalam sinus, mahupun komplikasi sinusitis yang sedang berlaku.

“Jangkitan sinusitis akut yang disahkan perlu dirawat untuk mengelakkan komplikasi. Ini kerana, komplikasi jangkitan sinus boleh mengakibatkan jangkitan tersebut masuk ke struktur sekitar hidung seperti kawasan mata yang boleh menyebabkan buta atau masuk ke kawasan otak yang kesannya lebih memudaratkan seperti radang selaput meninges dan saluran darah otak boleh tersumbat,” jelasnya sambil memberitahu, nanah juga boleh terbentuk di dalam otak walaupun kadarnya tidak tinggi.

Tambah Irfan, hidung akan dilegakan dengan ubat titis atau semburan di samping ubat anti keradangan.

“Selain itu, rawatan antibiotik perlu dilakukan dengan kadar segera. Jika jangkitan telah masuk ke kawasan mata dan nanah telah terbentuk, ia perlu segera dikeluarkan secara pembedahan bagi mengelakkan tekanan berterusan kepada struktur bola mata dan mengganggu saraf mata.

“Ini penting kerana komplikasi yang berlaku seperti kebutaan mungkin menjadi kekal,” ujarnya.





--- KOSMO

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...