PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, June 21, 2015

Buang tiroid tanpa ragu

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

hidayatulakmal@hmetro.com.my


Buang tiroid tanpa parut. Bunyinya agak ‘mustahil’ tetapi itulah hakikat buat penghidap tiroid yang masih ragu atau takut membuat pembedahan membuang kelenjar tiroid pada bahagian leher.

Penghidap tiroid tidak perlu gusar disebabkan parut pada bahagian leher kerana ada kaedah pembedahan dikenali sebagai endoskopi tiroidektom. Pembedahan atau penyingkiran tiroid dilakukan bagi mengeluarkan kelenjar tiroid yang berada di leher.

Kelenjar ini menghasilkan hormon yang bertindak di seluruh badan mempengaruhi metabolisme, pembesaran dan suhu badan. Penyingkiran tiroid perlu dilakukan untuk merawat barah tiroid, nodul dan hypertiroidisme. Sewaktu pembedahan, sebahagian atau semua kelenjar tiroid akan dikeluarkan.

Perunding Endokrin dan Bedah Payudara, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPHUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC), Prof Dr Rohaizak Muhammad berkata, kaedah ini sangat popular di Korea Selatan, Taiwan dan China.

“Di Malaysia kaedah ini kurang dikenali kerana ramai yang tidak mengetahuinya. Mereka menganggap buang tiroid ialah pembedahan itu harus dilakukan pada bahagian leher saja.

“Menerusi kaedah ini, pembedahan dilakukan tanpa hirisan pada leher, sebaliknya satu hirisan kecil sepanjang satu sentimeter akan dilakukan di bawah tulang klevikal iaitu pada dada.

“Satu kamera endoskop dan peralatan lain yang halus akan dimasukkan ke dalam leher dan pembedahan dilakukan dengan melihat kepada skrin monitor,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Dr Rohaizak berkata, pembedahan hanya dilakukan bagi merawat ketumbuhan tiroid yang kecil, bersaiz antara tiga hingga lima sentimeter manakala bagi kes kritikal pesakit perlu menjalani kaedah pembedahan konvensional.

“Setakat ini kami menjalankan lebih 60 kes di sini sejak 2010 dan kebanyakan pesakit yang menjalani pembedahan ini mengalami kesakitan kurang berbanding pembedahan konvensional.

“Rata-rata pesakit akan mengalami kebas di bahagian kelenjar selama tiga hingga enam bulan sebelum pulih sepenuhnya,” katanya.

Tiroid adalah kelenjar yang terletak di leher manusia. Ia antara kelenjar terbesar dalam badan manusia. Kebiasaannya, kelenjar ini tidak kelihatan dan seolah-olah permukaan kulit leher yang meliputi adalah rata. Perlu difahami bahawa, tidak semua bengkak pada leher ialah kelenjar tiroid dan tidak semua kelenjar yang bengkak mempunyai masalah.

Fungsi kelenjar ini ialah untuk merembeskan hormon yang dipanggil hormon tiroid. Iodin ialah komponen utama penghasilan hormon ini. Hormon ialah bahan merangsang tisu badan untuk ‘bekerja’.

Dalam kata lain ialah, ia menentukan kadar metabolisme dalam badan. Jika berlaku masalah pada kelenjar itu dan jumlah hormon tiroid ini meningkat, kadar metabolisme dalam badan juga meningkat. Ia dipanggil hyperthyroid, di mana hiper bermaksud ‘lebih’.

Di dalam keadaan rembesan hormon ini menjadi berlebihan, kadar metabolisme atau pekerjaan tisu badan menjadi meningkat dan laju. Ini menyebabkan seseorang itu mempunyai simptom seperti jantung berdebar, sesak nafas, cemas, tangan menggeletar, berpeluh walaupun di dalam cuaca atau persekitaran dingin, gelisah, cepat marah, haid tidak teratur dan susut berat badan dengan mendadak walaupun selera makan bertambah. Ini antara simptom jika berlebihan hormon tiroid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:01 AM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...