PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, August 20, 2015

Lelaki lebih berisiko

Oleh Zaitie Satibi

zaisa@hmetro.com.my

Peluang kita untuk mendapat kanser buah pinggang dalam seumur hidup adalah 1.6 peratus dan peratusan untuk mendapat kanser ini berbanding kanser lain adalah tiga peratus.

Walaupun bilangan peratusan itu terlalu kecil, tetapi jika diserang kanser ini anda terpaksa memberikan 100 peratus daripada segala apa yang ada untuk mendapatkan kembali buah pinggang yang sihat dan normal.

Ini kerana, kanser buah pinggang akan menjejaskan kesihatan penghidapnya seperti ditonjolkan gejala penyakit ini iaitu kelesuan, kencing berdarah, kesakitan di bahagian pinggang, hilang selera makan, berat badan susut dan bonjolan pada buah pinggang.

Satu lagi fakta menakutkan mengenai kanser buah pinggang iaitu penyakit ini lebih tinggi risikonya terhadap lelaki berbanding wanita. Nisbah lelaki dan wanita menghidap kanser buah pinggang adalah 1.5:1.

Kanser ini juga lebih banyak dihidapi mereka berusia 40 tahun ke atas. Semakin kita meningkat usia, semakin tinggi kadar insidennya terutama mereka yang berusia antara 60 hingga 70 tahun. Namun, bagi golongan muda yang dikesan menghidap kanser buah pinggang berkemungkinan besar disebabkan penyakit keturunan.

Perunding Pakar Urologi Pusat Perubatan Sunway (SunMed), Dr Badrulhisham Bahadzor berkata, kanser buah pinggang paling banyak dihidap adalah dari jenis sel karsinoma renal (RCC) dan sehingga kini masih belum jelas punca sebenar penyakit terbabit.

Namun, penyelidik tidak menolak kemungkinan kanser buah pinggang disebabkan gangguan genetik apabila sel buah pinggang mengalami mutasi menyebabkan ia membesar dan berbelah dengan pantas.

Pengumpulan sel yang tidak normal itu kemudian membentuk kanser yang boleh merebak ke bahagian lain tubuh seperti paru-paru, hati dan tulang.

“Selain peningkatan usia yang menjadi faktor risiko menghidap kanser buah pinggang, mereka yang merokok juga berisiko tinggi mendapat penyakit ini berbanding orang yang tidak merokok. Namun, risiko terbabit akan berkurangan jika perokok berhenti merokok.

“Penghidap obesiti dan tekanan darah tinggi (hipertension) juga berisiko tinggi mendapat kanser ini. Selain itu, pesakit yang melakukan rawatan dialisis untuk jangka masa panjang kerana kegagalan buah pinggang berfungsi dan penerima pemindahan buah pinggang juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

“Namun, bagi mereka yang dilahirkan dengan mewarisi penyakit sindrom Von Hippel-Lindau, sindrom Birt-Hog-Dube dan Tuberous sclerosis juga mendapat risiko yang serupa,” katanya.

Bagi pesakit muda (yang memperoleh kanser buah pinggang akibat keturunan), mereka juga mengalami komplikasi lain termasuk ketumbuhan di bahagian lain tubuh seperti pada kulit.

Mereka juga memerlukan penilaian rapi bagi mengesan komplikasi perubatan yang lain, malah anggota keluarga juga wajar menjalani pemeriksaan kerana ia penyakit yang diwarisi.

“Secara global, kanser buah pinggang berada pada tangga ke-14 dengan kadar insiden 4.4 daripada 100,000 populasi dan kematian pula 1.8 daripada 100,000 populasi.

“Kanser buah pinggang juga adalah di tangga kesembilan paling banyak dihidapi lelaki dalam peringkat dunia. Kanser pundi kencing adalah paling banyak dihidapi dalam kalangan lelaki dalam kanser berkaitan urologi.

“Di Malaysia, kanser buah pinggang berada di tangga ke-11 dengan kadar insiden adalah 1.8 daripada 100,000 populasi. Kadar ini meningkat sedikit demi sedikit disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat,” katanya.

Dr Badrulhisham berkata, kanser buah pinggang juga dikategorikan sebagai penyakit senyap kerana penghidapnya tidak menyedari mereka diserang kanser ini berikutan buah pinggang terletak pada kedudukan jauh tersembunyi dalam tubuh kita.

“Ada banyak organ lain di sekeliling buah pinggang kita, oleh itu ia memberi banyak masa untuk kanser itu membesar sebelum kita menyedari masalah yang timbul.

“Pada peringkat awal, tiada tanda penyakit dapat dikesan dan pesakit yang datang kepada doktor didapati kansernya sudah berada di tahap akhir. Pesakit biasanya mengadu gejala yang tidak spesifik iaitu terlalu letih, berat badan menyusut, tiada selera makan dan kadangkala kerap demam.

“Keseluruhannya, gejala yang biasa adalah kabur dan pesakit berasa sesuatu yang tidak kena. Inilah kemungkinan tanda-tanda awal yang mendorong pesakit menemui doktor.

“Bagaimanapun, tidak semestinya tanda-tanda terbabit merujuk kepada kanser buah pinggang kerana ia mungkin tanda bagi penyakit lain. Sukar juga membuat diagnosis hanya berdasarkan sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal saja, tambah lagi buah pinggang kelihatan normal ketika doktor melakukan pemeriksaan,” katanya.

Katanya, jika pesakit mengadu kencing mereka berdarah, masalah itu sudah cukup menjadi tanda amaran dan gejala pertama kanser buah pinggang tetapi bagi doktor, penyakit hanya disahkan sehingga dibuktikan.

“Doktor perlu menyiasat kemungkinan kanser di buah pinggang, pundi kencing, prostat dan bahagian lain dalam sistem urinari. Apabila doktor mendapati tidak kanser ditemui dalam organ urinari pesakit, masalah mungkin berpunca daripada penyakit batu karang atau jangkitan.

“Sampel air kencing diambil dan diuji kehadiran darah sebelum siasatan lanjut dilakukan seperti imbasan pengiraan darah dan imbasan kimia darah selain pemeriksaan sama ada pesakit mempunyai darah yang mencukupi dan jika organ seperti buah pinggang dan hati berfungsi dengan normal.

“Namun, ujian terpenting sekiranya pesakit disyaki mempunyai ketumbuhan adalah ultra bunyi. Jika terdapat ketumbuhan, doktor akan membuat imbasan lanjut menggunakan tomografi berkomputer dan dengan alat ini diagnosis dapat dilakukan seperti mengesan tahap kanser,” katanya.

Semua jenis kanser diklasifikasikan kepada empat tahap yang dimulakan dengan ketumbuhan paling kecil sehingga sudah merebak ke organ lain. Bagi kanser buah pinggang, tahap satu adalah ketumbuhan yang saiznya kurang tujuh sentimeter, tahap dua apabila ketumbuhan sudah lebih tujuh sentimeter tetapi masih berada di buah pinggang.

Tahap tiga pula apabila ketumbuhan semakin agresif dan merebak ke salur darah, manakala tahap empat apabila kanser semakin serius dan merebak ke paru-paru, tulang, otak dan hati.

“Kanser buah pinggang merebak naik ke atas disebabkan sifat kanser itu sendiri yang biasanya cuba mengembang ke dalam salur darah. Salur darah menghantar semula darah ke jantung dan diterima bahagian kanan jantung.

“Bahagian kanan jantung ini yang membekal darah kepada paru-paru dan jika sel kanser merebak, ia akan pergi ke paru-paru iaitu tapak pertama proses ketumbuhan berkembang.

“Pesakit mungkin tidak mengalami gejala apabila ketumbuhan sudah naik ke paru-paru. Ada pun sedikit seperti batuk-batuk biasa yang bukan disebabkan oleh jangkitan,” katanya.

Pesakit yang didiagnosis dengan kanser dikatakan mempunyai kadar kelangsungan hidup selama lima hingga 10 tahun dengan disusuli rawatan. Bagi kanser buah pinggang, tahap satu mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sebanyak 81 peratus, tahap dua menurun kepada 74 peratus, tahap tiga berkurang kepada 53 peratus, manakala tahap empat hanya empat peratus.

Namun, jenis sel kanser juga mempengaruhi kadar kelangsungan hidup apabila kanser dengan gred rendah peluang kadar kelangsungan hidup adalah lebih baik berbanding kanser gred tinggi yang lebih agresif. Tahap kanser dan jenis gred perlu dinilai bersama untuk meramal kadar kelangsungan hidup setiap pesakit.

“Tahap satu biasanya dirawat dengan pembedahan, rawatan terbaik adalah membuang kanser itu sama ada membuang sebahagian organ yang ada ketumbuhan atau membuang keseluruhan buah pinggang dan ini bergantung kepada sejarah perubatan serta perbincangan pesakit.

“Pilihan terbaik bagi kanser tahap dua dan tiga adalah membuang buah pinggang disebabkan ketumbuhan sudah membesar, manakala di tahap empat pula rawatan semakin kompleks kerana kalau buang buah pinggang pun ketumbuhan sudah merebak ke organ lain.

“Bagaimanapun, jika pesakit mampu bertahan dan membuang buah pinggang walaupun di tahap empat juga membantu kesihatan pesakit berbanding tidak melakukan pembedahan. Walaupun kansernya tidak dapat disembuhkan, pesakit masih ada jangkaan hayat lebih lama dan kualiti hidup lebih baik apabila kurang kesakitan dan tiada darah dalam air kencing,” katanya.

Dr Badrulhisham berkata, pembedahan membuang ketumbuhan secara laparoskopi adalah digalakkan kerana kurang torehan, parut lebih kecil, tempoh penginapan singkat di hospital dan pemulihan lebih cepat serta boleh kembali bekerja.

“Namun, ada kaedah pembedahan lain untuk membunuh sel kanser peringkat awal seperti cryoablasi iaitu sel kanser dibekukan sebelum dimusnahkan atau meleburkan sel kanser dengan cara pemanasan haba menggunakan radiofrekuensi (RFA).

“Selepas pembedahan pesakit boleh kembali meneruskan rutin kehidupan, tetapi mereka disyorkan untuk mengubah gaya hidup kepada lebih sihat dengan mengamalkan pemakanan yang baik, senaman dan beriadah.

“Mereka juga perlu melakukan pemeriksaan susulan setiap tiga hingga enam bulan dengan melakukan ujian darah dan imbasan bagi memastikan jika kanser menyerang semula dan sebarang kemungkinan boleh diatasi pada peringkat awal,” katanya.





Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:02 AM

--- Harian Metro

Sejarah Kusta Mesti Dipelihara Untuk Rujukan Masa Depan



Pemandangan Pusat Kawalan Kusta Negara ( Foto Laman Wed Rasmi Jabatan Warisan Negara) 

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Sejarah penyakit kusta di Malaysia perlu dipelihara kerana ia mencerminkan legasi yang boleh dijadikan sumber rujukan generasi muda.

Pengarah Hospital Sungai Buloh Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata setiap orang perlu mengambil bahagian dalam melindungi serta memelihara warisan dan kenangan bersama masyarakat yang terjejas akibat penyakit itu.

"Kita semua perlu bekerjasama bagi memastikan warisan ini dipelihara agar generasi muda boleh belajar daripadanya.





 
Bangunan wad pesakit (Foto Laman Web Rasmi Jabatan Warisan Negara)

"Pusat Kawalan Kusta Negara (NLCC) di Sungai Buloh merupakan pusat kedua terbesar di dunia. Kita boleh mempromosi dan memeliharanya," katanya dalam ucapan pembukaan pada Simposium Antarabangsa Pertama mengenai Pemeliharaan Warisan dan Kenangan Bersama Masyarakat Terjejas Akibat Kusta di sini, Jumaat.

Pusat seluas 226.6 hektar (560 ekar) itu, yang dibuka pada 1930, antara pusat warisan kusta terbesar dengan konsep kendiri dan bandar taman terancang yang menyediakan kemudahan awam dan zon pertanian luas.

Pada masa ini, kira-kira 200 bekas pesakit kusta yang masih tinggal di pusat itu.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Dr Zainah Ibrahim berkata NLCC mempunyai nilai penting sejarah, seni bina dan budaya yang boleh dikemukakan untuk pencalonan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Saya menyokong penuh idea ini kerana ia merupakan cara terbaik mengenang peristiwa penting dalam sejarah manusia sebelum penyakit berkenaan dihapuskan sepenuhnya pada masa akan datang.

"Tetapi, kita perlu mengikuti proses pencalonan dengan kita perlu ke peringkat kebangsaan sebelum mengemukakan pencalonan yang akan dinilai Jawatankuasa Warisan Dunia," jelasnya.

Persidangan itu, yang membabitkan peserta tempatan dan antarabangsa, menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman pelbagai pihak dalam melindung dan memelihara sejarah kusta.

-- BERNAMA

Rokok Elektronik Vapor Dikhuatiri Penyebab Kanser


Gambar Fail BernamaOleh Ainul Farahana Chik Lid

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pakar kanser berpendapat tabiat menghisap cecair nikotin menggunakan rokok elektronik menjadi punca penggunanya menghidap penyakit maut, iaitu kanser.

Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr Dalilah Kamaruddin berkata proses pengewapan cecair nikotin, yang dihasilkan daripada rokok elektronik, akan disedut pengguna dan wap nikotin mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik.

Beliau berkata asid tersebut merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia.

"Lagipun, kita tak boleh guna cecair nikotin walaupun sukatannya sedikit kerana dikhuatiri hasil resapannya ke dalam darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan, kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin.

"Malahan nikotin yang diwapkan itu sama dengan asid nitrik yang boleh menyebabkan kanser," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dr Dalilah mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang menasihati pengguna shisha dan vapor supaya berhenti menggunakannya buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai risikonya diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Kementerian itu kini sedang berbincang dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan penggunaan rokok elektronik itu.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj menyokong cadangan kerajaan itu dan alasan pengguna untuk berjimat daripada membeli batang rokok adalah tidak wajar.

"Kita seharusnya melihat gejala ini dari segi kesihatan dan bukannya kos. Kalau nak berjimat tetapi kesihatan diabaikan, jika sakit sudah tentu akan memakan kos yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, hasil tinjauan Bernama hari ini di sekitar Kampung Baru, di sini mendapati, rata-rata mereka tidak akan berhenti menggunakan vapor selagi keputusan kajian belum dikeluarkan.

Seorang Pegawai Perhubungan Awam dari Shah Alam, Saiful Hazim Abdul Razak, 29, ketika ditemui di sini berkata beliau tidak akan berhenti menggunakan vapor walaupun mengetahui terdapat bahan yang berbahaya di dalam vapornya.

Beliau menggunakan rokok elektronik jenis 'Mod Zero Geeco' yang dibeli secara dalam talian pada harga RM120.

"Saya tidak akan berhenti, lagipun saya hisap vape ini sesekali sahaja kerana saya bukan perokok tegar. Pada pandangan saya ia sebenarnya lebih selamat berbanding rokok biasa," katanya yang menggemari perisa 'sirap bandung'.

Seorang juruteknik dari Manjung, Perak, Syafiq Ali, 24, yang merupakan perokok tegar turut tidak mahu berhenti walaupun beliau tidak terlalu ketagih dengan vapor kerana katanya ia tidak memberi kepuasan berbanding rokok biasa.

Beliau mula menjadi perokok sejak di bangku sekolah, kini sanggup membelanjakan RM500 untuk membeli vapor hanya kerana mahu mengikuti trend terbaharu.

Dalam pada itu, vapor juga dijadikan alasan untuk berhenti merokok bagi Mohd Luqman Hashim, 26, dari Cheras.

"Saya sudah lima bulan berhenti merokok sejak menggunakan vape ini. Bagi saya vape lebih selamat berbanding rokok," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, August 11, 2015

Jangan Ambil Mudah Jika Anda Ada Asma

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Jangan ambil mudah soal kesihatan terutama jika anda menghidap asma atau lelah.

Tinjauan yang dijalankan oleh Realise Asia mendapati sembilan daripada 10 penghidap asma percaya penyakit mereka dapat dikawal di sebalik gejala yang berterusan dan serangan asma.

Hasil tinjauan yang ditaja Mundipharma Pharmaceuticals menunjukkan bahawa 93 peratus daripada 151 responden Malaysia tidak menganggap penyakit asma mereka itu serius.

Sementara itu, 79 peratus pula percaya mereka boleh mengawal penyakit mereka tanpa bantuan doktor dan separuh daripada responden memberitahu mereka tidak seronok menggunakan alat sedutan atau "inhaler."

Sebagai tambahan kepada hasil tinjauan itu, 41 peratus tidak merasa penting untuk mengambil ubat secara kerap memandangkan mereka tidak mengalami gejala atau serangan asma.

Bagaimanapun, di sebalik tanggapan positif responden, 92 peratus daripada mereka masih mengalami pelbagai gejala yang membimbangkan termasuk sesak nafas, batuk dan sakit dada.

Seramai 62 peratus mengalami masalah susah tidur akibat gejala asma yang berlaku pada waktu malam yang memerlukan rawatan dan 40 peratus memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Apabila keadaan ini berlaku, dua pertiga daripada responden terpaksa tidak hadir ke sekolah atau ke pejabat sekurang-kurangnya sehari sementara seperlima responden memerlukan rehat seminggu.

Hasil tinjauan ini menunjukkan sekiranya penyakit asma tidak diurus dengan baik, ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan seseorang serta kegiatan hariannya.

SIKAP AMBIL MUDAH

Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, Pengarah Institut Perubatan Pernafasan juga Pakar Perunding Kanan Dada, percaya keadaan yang membimbangkan ini mungkin boleh dikaitkan dengan sikap ambil mudah rakyat Malaysia.

"Walaupun sedang sakit bila kita tanya, 'pak cik apa khabar' mereka akan jawab, 'baik'," kata Abdul Razak sambil menambah pesakit-pesakitnya sering memandang ringan keseriusan penyakit asma mereka.

Bercakap kepada para pemberita di Majlis Taklimat Media Tinjauan Realise Asia di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkata pesakit yang percaya asma mereka dapat dikawal berkemungkinan besar tidak mengambil ubat yang mungkin dapat mencegah serangan teruk asma.

Mereka juga, katanya, mungkin tidak akan mengendahkan gejala serangan asma.

"Pesakit asma perlu belajar mengurus keadaan diri mereka dengan lebih lagi agar dapat menyumbang kepada mutu kehidupan mereka.

"Penting juga untuk pesakit berbincang dengan doktor mengenai langkah mengawal asma," katanya.

BILA ASMA MENYERANG

Asma atau lelah adalah penyakit saluran udara jangka panjang yang kronik. Ia boleh menyebabkan nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada dan batuk.

Ciri utama penyakit ini ialah pencerutan saluran udara dalam paru-paru yang berpunca daripada inflamasi dan menyebabkan pesakit sukar bernafas.

Batuk yang berterusan tanpa demam, terutamanya pada waktu malam dan awal pagi adalah tanda kuat asma.

Tidak seperti penyakit alahan seperti rinitis dan ekzema, asma berkait dengan faktor genetik dan alam sekitar.

Antara punca yang menyebabkan serangan asma termasuk alergen seperti habuk, bulu haiwan, lipas dan debunga.

Punca lain berkaitan dengan asap rokok serta kimia di samping perubatan, seperti contoh aspirin serta kegiatan fizikal.

Sekiranya tidak dirawat, gejala mungkin menjadi lebih teruk dan menjadi lebih rumit untuk dikawal.

Pesakit juga berdepan dengan risiko sakit mendadak, terpaksa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia.

Asma dianggap isu kesihatan awam serius dan melibatkan lebih 70 juta orang di Asia dan angka ini semakin meningkat.

Antara pilihan untuk mengurus asma ialah dengan penggunaan alat sedutan pengawal dan alat sedutan penahan.

Alat sedutan pengawal biasanya digunakan dua kali sehari untuk mencegah gejala serta membantu inflamasi dalam saluran udara.

Sementara itu, alat sedutan penahan berfungsi untuk melega dan meluaskan otot saluran udara tetapi bukan untuk inflamasi.

KEKELIRUAN PERUBATAN

Menurut Abdul Razak, ramai yang menderita asma tidak menguruskan penyakit mereka secara berkesan kerana kekurangan ilmu dan masalah kewangan.

Beliau menekankan pendidikan adalah penting untuk menyekat masalah ini bukan sahaja untuk orang ramai tetapi juga untuk doktor.

"Doktor juga perlu belajar bagaimana untuk menangani pesakit asma serta menyakinkan mereka bahawa penyakit ini adalah untuk sepanjang hayat dan memerlukan perubatan berterusan.

"Jika tidak, pesakit mungkin akan mengambil ubat untuk tempoh tertentu sahaja sebelum berhenti," katanya.

Dari segi kewangan, beliau menekankan bahawa klinik kerajaan menyediakan perubatan asma dengan kos amat minimum.

Bagaimanapun, ramai yang lebih suka pergi ke klinik swasta kerana mahukan perkhidmatan yang cepat.

"Tetapi apabila mendengar harga ubat di sana, mereka akan kata mahal dan akhirnya enggan untuk membelinya," tambah beliau.

Satu lagi isu ialah salah tanggapan orang ramai berhubung penggunaan steroid atau 'corticosteroids' dalam perubatan asma.

"Jumlah steroid yang digunakan dalam alat sedutan adalah dos paling minimum. Ia adalah sedikit berbanding ubat batuk biasa, jadi kesan sampingannya kurang.

"Steroid amat berkesan untuk merawat banyak penyakit yang menyebabkan keradangan bukan sahaja asma dan perlu diambil apabila perlu, " jelas Abdul Razak.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...