PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, October 28, 2015

Menghargai Nilai Sebuah Jantung


Oleh Nurul Halawati Mohamad Azhari

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pengetahuan mengenai teknologi-teknologi perubatan terkini dalam bidang kardiovaskular sewajarnya diambil tahu oleh setiap individu.

Pengetahuan ini amat penting kerana ia dapat memberikan kita pilihan kaedah perawatan yang sesuai dengan pesakit dalam usaha menyelamatkan nyawa khasnya kepada penghidap penyakit jantung.

Sering terjadi apabila berlakunya serangan jantung pesakit atau ahli keluarga terdekat terkejut, tergamam hingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan bagi membantu pesakit. Panik dan lambat dibawa ke hospital yang betul adalah satu daripada punca yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut Pakar Jantung yang juga Ketua Unit Kardiologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) Profesor Dr Wan Azman Wan Ahmad di negara ini terdapat 19 buah hospital kerajaan berkemampuan melakukan prosedur segera bagi CAD.

"Sering terjadi pesakit meninggal sewaktu dalam perjalanan kerana lambat dibawa ke hospital."

Penyakit Koronari Arteri (Coronary Artery Disease-CAD) adalah penyakit yang berlaku apabila arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit atau tersumbat.

"Ia berlaku akibat saluran tersebut tersumbat dengan mendapan lemak yang dikenali sebagai plak. Kesannya, arteri-arteri akan menghadapi halangan untuk membekalkan darah ke jantung," jelas Prof Dr Wan Azman.

Antara tanda-tanda CAD termasuklah:

1.Rasa sakit di bahagian dada (angina)

2.Sesak nafas

3.Rasa berat di bahagian dada

4.Rasa sakit di bahagian rahang dan bawah lengan

5.Pedih hulu hati

6.Loya

7.Muntah

8.Perpeluhan melampau

Selain perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan, cara berkesan untuk membuka semula saluran darah yang tersumbat ialah dengan menggunakan kaedah koronari angioplasti.

Kaedah rawatan ini ialah dengan memasukkan belon dan stent melalui saluran darah di tangan atau di peha untuk membuka semula saluran darah koronari yang tersumbat atau yang mengalami penyempitan.

INOVASI PROSEDUR CAD

Di PPUM misalnya, rawatan Angioplasti bagi pesakit jantung koronari pertama kali dilakukan pada tahun 1984.

Setelah 30 tahun, rawatan ini mengalami perubahan yang sangat pesat. Daripada sekadar menggunakan belon sahaja untuk meluaskan saluran jantung, kini rawatan diperluas menggunakan stent yang berteknologi tinggi. Kemajuan stent ini juga semakin meningkat dari semasa ke semasa.

"Dari bare metal stent, ia beralih kepada stent yang mempunyai ubat untuk mengurangkan risiko penyempitan semula."

Stent yang mempunyai ubat terus ditambahbaik sehinggalah stent generasi baharu yang sangat efektif. Malah ia mempunyai risiko komplikasi yang sangat rendah.

Terkini, satu lagi evolusi yang berlaku dalam kaedah rawatan angioplasti adalah dengan menggunakan stent yang hancur sendiri setelah 2 atau 3 tahun dipakai oleh pesakit. Teknologi ini dikenali sebagai Bioresorbable Vascular Scaffold (Absorb).

Pemasangan Absorb sama seperti prosedur belon angioplasti yang akan memasukkan tiub gegelung bukan logam beserta belon angioplasti ke dalam saluran darah, yang telah sempit.

Ia kemudian diimplan di arteri sebelum larut secara perlahan setelah arteri yang tersumbat dapat berfungsi dengan biasa dan terbuka dengan sendiri.

"Ia akan larut selepas sesuatu tempoh setelah bertindak dengan unsur-unsur yang terdapat di dalam badan iaitu air (H20) dan karbon dioksida (C02),"jelas beliau.

CAD BUKAN PENYAKIT LAZIM

"Rawatan CAD telah menjadi prosedur rawatan yang semakin lazim. Hingga ia disalah anggap sebagai penyakit yang biasa. Walaupun rawatan CAD mengambil tempoh yang singkat, ia tetap mempunyai risiko serta komplikasi. Cara terbaik ialah melakukan perbincangan dengan doktor yang merawat."

Risiko yang terbabit adalah lebih tinggi ke atas wanita, warga emas yang berusia 75 tahun dan ke atas pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang atau diabetes, atau pesakit yang menghidap penyakit saluran darah yang serius.

Selepas prosedur dijalankan, kebanyakan pesakit akan bermalam di hospital bagi pemantauan dan akan pulang pada hari yang seterusnya.

Mereka akan dinasihatkan mengambil ubat-ubatan sepanjang waktu pemulihan dan sebarang rawatan susulan.

CEGAH

Mengakui masih ramai yang bersikap sambil lewa dengan gejala ini, Prof Dr Wan Azman memberitahu pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lamanya bagi menyedarkan orang ramai mengenai CAD.

Menurut beliau, nilai sebuah jantung yang sihat terlalu tinggi untuk disia-siakan.Ramai yang menganggapnya sebagai masalah biasa kerana terlalu ramai yang menghidapnya di negara ini.

Setiap individu yang berisiko perlu mengambil langkah pencegahan. Cara terbaik adalah dengan mengubah gaya hidup seperti aktif dan juga mengawal pemakanan.

"Pertama sekali kita kena tahu adakah kita berisiko tinggi atau tidak. Buatlah pemeriksaan dan sekiranya anda berisiko, doktor akan mengesyorkan kaedah-kaedah terbaik dan bersesuaian sebagai langkah pencegahan," saran beliau.

Apa yang perlu difahami oleh orang ramai ialah apabila diserang CAD, hanya 50 peratus sahaja yang selamat. Selebihnya akan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

"Ketika itu barulah nilai sebuah jantung itu dirasakan sangat-sangat berharga."

Beliau sekali lagi menekankan betapa pentingnya setiap individu mengambil tahu mengenai CAD, apa dan bagaimana tindakan yang perlu diambil jika diserang CAD.

Juga mengambil tahu hospital atau pusat perubatan yang menyediakan prosedur intervensi CAD serta rawatan-rawatan terkini yang berkaitan.

BERNAMA

Sunday, October 18, 2015

Penyakit Anjing Gila (Rabies)

Gigitan anjing bawa maut



Sudah sekian lama penyakit anjing gila tidak dilaporkan di Malaysia disebabkan mutu kawalan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan menangani wabak ini.

Kini ia kembali disebabkan oleh anjing dari negara jiran terlepas ke Malaysia dan menyebarkan wabak ini. Kawalan penyakit anjing gila penting kerana kadar kematian sangat tinggi akibat jangkitan virusnya.

Anjing gila atau rabies adalah jangkitan disebabkan oleh virus yang dipanggil Lyssavirus. Apabila menjangkiti seseorang, virus ini menyerang saraf dan otaknya, menyebabkan perubahan yang drastik berlaku kepada pesakit.

Selepas memasuki badan pesakit, virus ini akan membiak dan bergerak dari tisu yang dijangkiti, memasuki saraf dan bergerak sepanjang saluran saraf menuju ke otak pesakit.

Virus ini menjangkiti manusia daripada air liur anjing yang mengandungi virus. Apabila mangsa digigit anjing gila, virus berkenaan mula membiak pada bahagian luka pesakit.

Setelah membiak dengan banyak, ia bergerak ke otak melalui saraf. Selain itu, virus ini menuju ke kelenjar air liur dan membiak di situ. Jangkitan daripada manusia ke manusia lain tidak berkemungkinan. Dalam kebanyakan kes, anjing yang menjadi pembawa.

Setelah digigt oleh anjing gila yang mempunyai virus penyakit rabies, ia mengambil masa satu hingga tiga bulan sebelum simptom awal muncul. Namun, ia juga boleh berlaku seawal empat hari dan ada kes cuma dikenal pasti enam tahun selepas digigit. Ia bergantung pada jumlah virus yang dipindahkan ke luka dan kawasan luka itu.

Simptom awal hampir sama dengan demam selesema biasa. Pesakit mengalami demam selain kebas

di sekitar kawasan luka gigitan itu.

Kemudian apabila kuman sampai ke saraf manusia, pesakit mengalami pergerakan anggota badan luar kawalan, gelisah, fobia pada air, lemah anggota badan atau lumpuh, keliru, cuak, gelisah, berhalusinasi dan akhirnya tidak sedarkan diri. Penghasilan air liur juga menjadi banyak dan pesakit sukar menelan menyebabkan air liur menitisnitis keluar dari mulut.

Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila seseorang itu digigit oleh anjing yang berkemungkinan besar pembawa virus ini ialah membasuh luka dengan air dan sabun.

Luka perlu dibasuh sekurang-kurangnya lima minit. Penggunaan antiseptik juga dapat membantu mengurangkan jumlah virus daripada memasuki badan pesakit.

Suntikan vaksin atau immunisasi perlu diberi serta-merta atau selewat-lewatnya dalam masa enam hari selepas digigit. Ini untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan oleh virus berkenaan.

Keberkesanan rawatan ini hanya berlaku jika pesakit belum mempunyai simptom rabies. Jika timbul simptom, kadar penyembuhan sangat tipis dan kadar kematian meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:00 AM

--- HARIAN METRO
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...