PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, December 4, 2007

Memahami punca serangan strok


Strok membunuh kira-kira 2,000 rakyat Malaysia setiap tahun dan angka ini dijangka meningkat memandangkan perubahan profil penduduk dan gaya hidup Malaysia selaras dengan kemajuan yang dicapai.

Oleh kerana strok ialah penyebab kematian ketiga terbesar di negara ini, tidak menghairankan bahawa rakyat Malaysia ingin tahu apakah punca strok dan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risikonya.

Apa yang menyebabkan strok?

Melalui penyelidikan dan kajian selama berdekad-dekad, para doktor telah mengenal pasti beberapa faktor risiko yang akan meningkatkan kebarangkalian seseorang diserang strok. Faktor tersebut boleh dibahagikan secara kasar kepada faktor risiko boleh dicegah dan faktor risiko tidak boleh dicegah.

1. - Faktor risiko boleh dicegah

- Tekanan darah tinggi/Hipertensi
- Sakit jantung
- Kencing manis
- Merokok
- Tahap homosistin yang tinggi

Menurut Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Profesor C T Tan, hipertensi atau tekanan darah tinggi ialah penyebab tunggal paling biasa bagi strok. Orang yang menghidap tekanan darah tinggi menghadapi risiko yang jauh lebih tinggi menghidap strok, serangan jantung dan penyakit vaskular lain yang berkaitan, kata Profesor Tan.

Beliau menjelaskan: Apabila tekanan darah meningkat, beban pada arteri dan salur darah turut meningkat. Secara beransur-ansur, beban ini akan menyebabkan arteri menjadi semakin keras dan sempit, satu proses yang dinamakan aterosklerosis. Arteri juga mungkin menjadi semakin lemah, menyebabkannya pecah. Akibatnya ialah serangan strok berdarah (strok hemoragik).

Para penyelidik telah menunjukkan bahawa tekanan darah tinggi dialami oleh lebih ramai lelaki berbanding wanita. Antara usia 24 hingga 34, bilangan lelaki yang mungkin menghidap tekanan darah tinggi adalah dua kali ganda berbanding wanita. Perbezaan ini kekal sehingga usia 55 tahun. Kebarangkalian berlakunya tekanan darah tinggi di kalangan wanita meningkat selepas menopaus.

Profesor Tan mengulas: Orang yang mengalami sakit jantung koronari menghadapi risiko dua kali ganda lebih tinggi berbanding orang yang sihat untuk menghidap strok. Jantung, yang berdenyut secara tidak seragam atau yang bengkak, sama ada dengan injap yang sempit atau tidak - juga menjadi sumber gumpalan darah pada otak. Ini adalah satu proses yang dinamakan embolisme yang menjadi punca strok iskemia.

Strok iskemia ialah strok yang disebabkan oleh salur darah tersekat yang tiba-tiba memperlahankan atau menghentikan aliran darah ke otak.

Kencing manis, walaupun boleh dirawat, juga meningkatkan risiko seseorang mengalami strok. Ini kerana kencing manis menyebabkan arteri mengalami arterosklerosis (mengeras dan menyempit) dan menjadi semakin lemah. Kombinasi penyakit kencing manis dan hipertensi meningkatkan lagi risiko bagi penghidap kencing manis.

Merokok adalah satu lagi faktor risiko. Nikotin dan karbon monoksida dalam asap tembakau mengurangkan jumlah pengambilan oksigen. Bahan-bahan ini juga merosakkan dinding salur darah, menyebabkan gumpalan terbentuk dan menyekat aliran darah.

Merokok adalah satu faktor risiko strok yang boleh dicegah.

Kajian-kajian terbaru menunjukkan bahawa tahap homosistin yang tinggi secara langsung meningkatkan risiko strok. Dengan mengurangkan tahap homosistin menerusi pengambilan harian asid folik dan vitamin, seseorang boleh mengurangkan risiko berlakunya strok.

2. - Faktor risiko tidak boleh dicegah

- Usia
- Jantina
- Keturunan

Strok tidak mengenal usia. Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa usia memainkan peranan penting dalam profil pesakit strok. Walaupun strok boleh menyerang orang dari setiap peringkat usia, termasuk kanak-kanak, di Malaysia lebih daripada separuh mangsanya berusia lebih 60 tahun, dedah Profesor Tan. Memandangkan proses penuaan tidak boleh dihentikan, warga tua boleh mengurangkan risiko dengan mengawal gaya hidup dan pemakanan mereka.

Satu perkara menarik yang diperhatikan ialah walaupun strok lebih kerap berlaku di kalangan lelaki berbanding dengan wanita, kebarangkalian wanita mati akibat strok lebih tinggi daripada lelaki. Penggunaan pil pencegah hamil dan kehamilan membawa risiko khusus kepada wanita.

Keturunan (sejarah keluarga) dan bangsa ialah faktor kelahiran dapat menentukan tahap risiko seseorang terhadap strok. Seseorang menghadapi risiko yang lebih tinggi menghidap strok sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga terdekat mengalaminya. Di Amerika Syarikat, rakyat Amerika berkulit hitam berkemungkinan lebih tinggi diserang strok berbanding dengan penduduk kulit putih. Di China pula, penyelidikan mendapati bahawa penduduk di bahagian utara China mempunyai kadar strok yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk bahagian selatan dan tengah China. Pemakanan mungkin menjadi salah satu sebab perbezaan tersebut.

Bolehkah strok dicegah?

Profesor Tan mendedahkan bahawa kira-kira 70 peratus daripada serangan strok mungkin boleh dicegah menggunakan pendekatan dua cabang - iaitu pendidikan kesihatan umum dan pengurusan faktor-faktor risiko.

Pendidikan kesihatan adalah penting dalam usaha menentang strok. Ramai yang masih jahil tentang perkara ini. Kebanyakan rakyat Malaysia tidak sedar tentang sebab dan gejala strok, lantas menyebabkan kematian dan penderitaan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Doktor perlu mendidik pesakit, penjaga kesihatan dan orang ramai tentang kesedaran dan pencegahan strok, menurut Profesor Tan. Pada asasnya dua faktor penting perlu diubah - gaya hidup dan pemakanan.

Ini termasuk mengamalkan gaya hidup sederhana atau mengetepikan tabiat buruk seperti merokok dan minum alkohol serta mengelakkan tekanan dan berat badan berlebihan. Senaman kardiovaskular selama 30 hingga 45 minit sangat penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan mengelakkan berat badan yang berlebihan.

Pemakanan yang seimbang, dengan kandungan lemak dan karbohidrat sederhana membantu mengurangkan berat badan, kerana berat badan berlebihan merupakan sebab utama kencing manis dan hipertensi. Pengambilan garam yang sederhana juga membantu mengurangkan tekanan darah. Seseorang juga harus mengelakkan diri daripada pengambilan makanan yang mengandungi tahap kolesterol yang tinggi seperti daging merah, lemak dan produk susu.

Profesor Tan merumuskan: Pengurusan faktor risiko strok adalah satu lagi langkah positif yang harus diambil. Ini termasuk merawat hipertensi, sakit jantung, kencing manis dan mengurangkan tahap homosistin dengan pengambilan asid folik dan vitamin. - Rencana ini diusahakan oleh Servier Malaysia Sdn. Bhd. sebagai satu projek kebajikan masyarakat.

----Forum Paramedik Malaysia-----
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...