Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 20
peratus atau tiga juta orang di seluruh dunia menjadi buta setiap tahun
kerana katarak.
WUJUD kaitan antara pendedahan kepada UV dengan penyakit-penyakit mata yang mungkin menyebabkan buta. - Gambar hiasan
MATAHARI sering dikaitkan dengan kesan kerosakan pada kulit manusia.
Tetapi, tahukah anda bahawa kesan radiasi ultra lembayung (UV) boleh
menyebabkan kerosakan penglihatan?
Menurut satu kaji selidik yang dilakukan peneraju dunia dalam
teknologi seri warna berubah-ubah, Transitions Optical pada April 2009,
hanya 38 peratus daripada rakyat Malaysia sedar akan kesan buruk
terhadap mata. Masalah tersebut disebabkan pendedahan yang terlalu lama
kepada sinar UV.
Kajian itu merupakan sebahagian daripada kaji selidik Penglihatan
Sihat Secara Global yang dilakukan ke atas 15 buah negara termasuk
Malaysia.
Bercakap mengenai UV, ia terdiri daripada sinaran bertenaga tinggi
dari matahari yang terletak berhampiran dengan spektrum penglihatan
lembayung.
Lebih daripada 99 peratus daripada radiasi solar UV diserap oleh
struktur hadapan mata. Terdapat bukti saintifik yang mengatakan bahawa
penyerapan UV oleh mata mungkin menyumbang kepada perubahan yang
berkaitan usia pada mata serta beberapa jenis penyakit mata yang serius.
Bukan itu sahaja, UV boleh menjadi punca kepada perkembangan pelbagai
gangguan penglihatan seperti katarak yang berkaitan dengan usia, pterygium, kanser kulit di sekeliling mata, fotokeratitis dan perubahan pada selaput mata.
Biarpun banyak faktor telah dicadangkan sebagai risiko kepada katarak dan kemusnahan macular,
terdapat bukti penyelidikan dan epidemiologi kukuh yang menunjukkan
bahawa wujud kaitan antara pendedahan kepada UV dengan penyakit-penyakit
mata yang mungkin menyebabkan buta.
"Kurangnya, kesedaran terhadap perkara sebegini amat membimbangkan
kerana satu daripada dua rakyat Malaysia terdedah kepada cahaya matahari
pada setiap hari, sama ada sewaktu ke tempat kerja ataupun beriadah,"
jelas Pengarah Urusan Transitions Optical, Paul Peiffer pada majlis
Transitions Daripada Sudut Kesihatan, bertempat di Heritage Mansion,
Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, kaji selidik itu menunjukkan kurangnya kesedaran turut menyebabkan kesan sampingan tertentu UV kepada mata.
Katanya, sebanyak 96 peratus daripada responden tidak sedar bahawa
pendedahan kepada sinar UV untuk jangka masa panjang boleh mengakibatkan
katarak.
Daripada 16 juta kes buta setiap tahun yang disebabkan oleh katarak,
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 20 peratus
ataupun tiga juta orang di seluruh dunia menjadi buta setiap tahun
kerana katarak.
"Katarak adalah satu daripada banyak penyakit yang disebabkan oleh pendedahan sinar UV tanpa sebarang perlindungan.
"Ia merupakan kekaburan pada lensa di bahagian dalam mata yang berlaku dalam tempoh beberapa tahun.
"Kajian menunjukkan bahawa kesan pendedahan kepada cahaya matahari
adalah bersifat kumulatif dan lama kelamaan boleh menyebabkan penyakit
serius kepada mata seperti katarak dan kemusnahan macular, iaitu
punca utama buta seluruh dunia," jelas Perunding Pakar Oftalmologi
Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn, Dr. Linda Teoh.
Selain katarak dan kemusnahan macular, jelasnya, kesan serius jangka panjang kerana pendedahan UV termasuklah kanser kulit di sekitar mata.
Memandangkan 90 peratus daripada semua kanser kulit berkaitan UV
berlaku di bahagian atas leher dengan anggaran 10 peratus semua kanser
kulit bukan melanoma berlaku pada kelopak mata, kawasan di sekitar mata
memerlukan perhatian khas bagi mengurangkan pendedahan kepada UV.
Dr. Teoh berkata, pendedahan untuk jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan mata seperti pingueculae, ketumbuhan kekuningan beninga dan pterygia iaitu ketumbuhan merah berbentuk tiga segi pada mata.
Kesan jangka pendek pula termasuklah selaran matahari ke atas
permukaan mata iaitu keadaan yang amat menyakitkan yang dikenali sebagai
fotokeratitis, yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan sementara.
"Sudah tentu mencegah lebih baik daripada merawat. Amat penting
diingatkan bahawa pencegahan awal untuk meminimumkan kerosakan yang
mungkin berlaku akibat pendedahan dalam jangka masa panjang kepada sinar
UV adalah penting," ujar Dr. Teoh.
Dalam pembentangan kaji selidik yang dijalankan oleh Transitions
Optical, tidak ramai mengetahui tentang risiko kemusnahan pada mata dan
kawasan lembut di sekitar mata yang tidak dapat dicapai oleh losen
pelindung matahari.
Hanya 37 peratus menggunakan kanta dengan penghalang UV untuk melindungi mata daripada sinaran tersebut.
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diambil oleh pengguna dan
anak-anak mereka bagi menjaga keselamatan mata ketika berada di bawah
sinaran matahari:
n Hadkan pendedahan kepada sinaran matahari antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.
n Pakai topi dan perlindungan lain.
n Pakai cermin mata yang boleh menghalang radiasi Gelombang panjang
radiasi ultra lembayung (UVA) dan Gelombang sederhana radiasi ultra
lembayung (UVB).
n Sentiasa ingat bahawa sinar UV memberi ancaman pada setiap hari termasuk ketika hari mendung.
n Sentiasa melindungi kanak-kanak yang banyak menghabiskan masa di
luar rumah. Ini kerana, mereka lebih berisiko terdedah pada sinar UV.
No comments:
Post a Comment