PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, October 1, 2001

Bahaya hepatitis B

PENGEMBANGAN urat saraf pada muka dan dada.

Oleh: NAJIBAH HASSAN

KEMPEN media secara besar-besaran berhubung bahaya virus HIV sebagai punca penyakit AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) menjadikan virus itu lebih digeruni berbanding virus-virus lain yang menyebabkan penyakit berjangkit.

Kadar jangkitan dan jumlah pembawa virus itu yang semakin meningkat di seluruh dunia menyebabkan tumpuan lebih banyak terhadap virus itu.

Pun begitu, ini tidak bermakna bahawa tiada virus lain yang lebih berbahaya dan mudah dijangkiti berbanding HIV.

Virus hepatitis B atau radang hati (hepar), misalnya, adalah 100 kali ganda mudah dijangkiti berbanding HIV.

Di Amerika Syarikat, 300,000 orang menghidap hepatitis B setiap tahun.

Malah, kedua-dua penyakit mempunyai persamaan dari segi cara jangkitannya.

Di negara ini, meskipun insiden penyakit ini mencatatkan penurunan, namun ia merupakan salah satu masalah kesihatan yang masih dibimbangi.

Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Jabatan Perubatan, Hospital Kuala Terengganu (HKT), Dr. Ahmad Shukri Md. Salleh berkata, apa yang menakutkan ialah hepatitis B merupakan penyakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala yang membolehkan penghidapnya mengetahui status kesihatan mereka.

Menurut beliau, penyakit yang dilabelkan sebagai `pembunuh senyap' ini boleh menyebabkan penyakit hepatitis yang dihidapi menjadi kronik.

``Meskipun tahap hepatitis yang mereka hidapi telah sampai ke peringkat hati hingga menyebabkannya rosak, namun tiada gejala yang ditunjukkan oleh penyakit ini,'' katanya.

Dr. Ahmad Shukri memberitahu, oleh kerana gejalanya tidak dapat dikesan, virus ini amat mudah menjangkiti orang lain.

``Bagi pembawa hepatitis B yang kronik, mereka bukan saja mempunyai risiko yang tinggi berdepan dengan masalah kanser hati, malah mereka juga menyebarkan virus kepada pasangan mereka tanpa disedari,'' ujarnya.

Kata beliau, secara umum apabila seseorang mendapat jangkitan virus hepatitis, 85 hingga 90 peratus akan sembuh, manakala bakinya akan melarat menjadi kronik dalam jangka masa enam bulan.

Bagaimanapun, virus yang masih kekal dalam tubuh pesakit dalam jangka masa enam bulan selepas dijangkiti dianggap sebagai pembawa.

``Pembawa virus ini biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala, mereka adalah seperti individu normal lain dan enzim hati mereka juga berada di paras yang normal,'' katanya.

Yayasan Hepar Amerika melaporkan 40 peratus mereka yang dijangkiti hepatitis B tidak mengetahui bahawa mereka telah mendapat jangkitan virus ini kerana tidak mengalami sebarang gejala.

Mereka yang disahkan sebagai pembawa hepatitis B mempunyai virus tersebut dalam darah mereka, yang menjangkiti sel-sel hati lain dan risiko kegagalan hati berfungsi adalah tinggi.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, di Asia Pasifik, kebanyakan jangkitan hepatitis B ini berlaku melalui ibu yang dijangkiti kepada anak yang dikandung semasa proses kelahiran.

``Dianggarkan 90 peratus daripada bayi ini masih mempunyai virus tersebut apabila meningkat dewasa.

``Berbanding dengan di negara Barat, kebanyakan penghidap di sana dijangkiti virus ini melalui hubungan seks atau terdedah kepada darah yang dijangkiti virus hepatitis B,'' jelasnya.

Bagi golongan ini, hanya 10 peratus sahaja akan menjadi kronik hepatitis.

Sehubungan itu, cara yang paling berkesan untuk mengesan sama ada seseorang itu menghidap hepatitis B adalah melalui ujian darah.

Secara umum, hepatitis merupakan penyakit radang hati yang disebabkan jangkitan virus, bahan-bahan toksik, ubat-ubatan atau tindak balas sistem pertahanan tubuh.

Ia dicirikan dengan jaundis, sakit pada abdomen, pembengkakan hati dan adakalanya demam.

Tahap keterukan hepatitis ini boleh berlaku secara sederhana atau tiba-tiba (akut) yang membawa kepada kegagalan hati berfungsi.

Selain itu, hepatitis yang disebabkan oleh jangkitan virus atau minuman keras boleh menyebabkan hati berparut (sirosis) dan kanser hati.

Bergantung kepada virus penyebabnya, hepatitis terbahagi kepada beberapa jenis iaitu hepatitis A, B, C, D, E dan G.

Di negara ini, terdapat tiga jenis hepatitis utama yang telah dikenal pasti iaitu hepatitis A, hepatitis B dan hepatitis C.

Hepatitis B yang disebabkan oleh virus hepatitis merupakan virus yang sering ditemui di negara-negara di Asia seperti China dan Filipina, selain negara-negara Afrika dan Asia Barat.

Di Eropah dan Amerika Utara, statistik pembawa virus hepatitis B yang dikenal pasti ialah setiap seorang dalam 1,000.

Dianggarkan terdapat 280 juta pembawa virus ini di seluruh dunia yang menyamai lima peratus penduduk dunia.

Yayasan Hepar Malaysia melaporkan setiap tahun dianggarkan sebanyak 50 juta kes hepatitis B yang baru dilaporkan di seluruh dunia dengan jumlah kematian 1.5 juta orang. Kematian ini ekoran beberapa komplikasi seperti sirosis (parut pada hati) dan kanser hati.

Laporan itu juga menyebut, jumlah keseluruhan kes hepatitis yang dilaporkan di hospital-hospital kerajaan menurun kepada 1,581 kes pada 1996 berbanding 2,450 kes pada 1992.

Menurut Dr. Ahmad Shukri, tidak seperti hepatitis B, 90 peratus penghidap akan sembuh dalam jangka masa yang singkat. Bagi jangkitan hepatitis C, 80 hingga 85 peratus akan menjadi kronik.

Gejala akut

* Sakit-sakit sendi atau otot

* Hilang selera makan

* Loya

* Muntah-muntah

* Sakit kepala

* Kuning (jaundis) pada mata dan kulit

* Air kencing berwarna gelap seperti air teh

* Warna najis yang pucat

* Palmar erythema (kemerahan pada tapak tangan)

* Spider Naevi

Bagaimanapun, mereka yang mempunyai gejala yang kronik boleh mendapat:

* Muntah darah

* Salur pemakanan kembang (varices)

* Busung (Asites)

Cara jangkitan

Hepatitis B dijangkiti melalui darah yang dijangkiti atau cairan tubuh seperti dari faraj, mulut dan sperma.

Jangkitan berlaku melalui ibu yang dijangkiti kepada anak yang dikandungnya semasa proses:

* kelahiran

* Pemindahan darah

* Melalui hubungan seks

* Penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan

Di negara-negara Barat cara jangkitan hepatitis B ini banyak berlaku melalui pemindahan darah dan hubungan seksual.

Mereka yang berisiko

Lelaki mempunyai risiko lebih tinggi mendapat jangkitan virus ini berbanding wanita dengan anggaran 4:1.

Selain itu mereka yang berisiko termasuk:

* Penagih dadah

* Pengamal hubungan seks secara rambang atau bertukar-tukar pasangan

* Faktor genetik atau mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hepatitis.

Diagnosa

* Ujian darah bagi mengesan jenis virus hepatitis, serta untuk mengetahui sama ada virus berkenaan aktif (replikasi) atau tidak.

* Ujian ultrasound untuk melihat keadaan hati, serta mengesan sirosis dan peringkat awal barah hepar.

* Biopsi hati (mengambil sedikit spesimen hati) adalah perlu untuk melihat secara halus perubahan yang telah berlaku di dalam hati sebelum rawatan disyorkan.

Rawatan

Kebanyakan pesakit hepatitis B adalah pembawa virus berkenaan tanpa mempunyai kesan yang serius pada hati mereka.

Sehubungan itu, doktor akan berbincang dengan pesakit mengenai penyakit ini kerana sebilangan daripada mereka sangat bimbang dan risau berhubung status hati mereka.

Meskipun agak sukar untuk menghilangkan virus ini, namun hepatitis B dapat dirawat melalui beberapa cara seperti:

* Suntikan Interferon tiga kali seminggu selama 16 minggu

* Ubat-ubatan yang dimakan seperti Nucleoside Analogue.

Ubat ini perlu diambil setiap hari untuk jangka masa selama 12 bulan. Rawatan ini dapat membantu menghilangkan virus dengan melemahkannya di samping memperlahankan proses kerosakan hati.

Pesakit dinasihatkan berjumpa doktor pakar gastroenterologi atau hepatologi sebelum mengambil sebarang rawatan memandangkan bukan semua pesakit sesuai untuk diberi rawatan.

Bagaimanapun, ubat ini juga mempunyai beberapa kesan sampingan.

Pada peringkat yang lebih serius, apabila kegagalan hati berlaku, pemindahan hati boleh dilakukan untuk merawat hepatitis.

Bagaimanapun kemungkinan hati yang dipindahkan berisiko dijangkiti hepatitis.

Ini kerana virus tersebut masih berada di dalam darah.

Pencegahan

  • Pada hari ini terdapat vaksin untuk mencegah seseorang daripada dijangkiti virus hepatitis B.
  • Di Malaysia dan beberapa buah negara lain seperti Taiwan, program imunisasi hepatitis B telah diberi kepada bayi yang baru lahir.
  • Bagi mereka yang berisiko tinggi pula, mereka digalakkan mendapatkan suntikan imunisasi ini.
--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...