PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, March 3, 2010

E. coli bakteria kawan dan lawan




Oleh Najibah Hassan

BAKTERIA E. coli berbentuk rod ini juga mampu menghasilkan antibiotik untuk merawat penyakit.

SAINTIS mendakwa bakteria merupakan salah satu hidupan tertua
dan dipercayai wujud di dunia ini hampir 4,000 juta tahun lamanya.
Dalam tempoh tersebut, hidupan ini menjalani kehidupan yang
berbeza-beza dan cukup menarik.

Organisme mikroskopik ini merupakan hidupan satu sel yang sebahagian besarnya hidup di atas permukaan objek.

Dengan pelbagai bentuk dan saiznya yang berbeza-beza, mereka berkembang biak secara membelah dua dalam beberapa jam.

Sebagai komponen semula jadi yang terdapat di tasik, tanah, tubuh
manusia dan haiwan hampir sebahagian besar bakteria tidak berbahaya
kepada manusia.

Sebaliknya, organisme yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini
mempunyai sumbangan dan peranan yang tidak kurang pentingnya kepada
dunia dan manusia.

Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa interaksi bakteria dengan
lain-lain hidupan mampu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat.

Ini termasuklah dalam proses pembuatan tanah, makanan lembu,
mengawal serangga, ubat-ubatan, bioplastik, tumbuh-tumbuhan,
mengurangkan pencemaran seperti minyak, plastik dan sebagainya.

Sebagai contoh, sebahagian besar haiwan mamalia seperti lembu dan
kambing bergantung kepada bakteria untuk membantu menghadamkan makanan
mereka.

Dunia juga terhutang kepada bakteria kerana keupayaannya menghasilkan ubat-ubatan seperti antibiotik untuk merawat penyakit.

Seiring dengan wujudnya teknik mikrobiologi moden, bakteria bukan
saja digunakan untuk menghasilkan ubat-ubatan yang diimport dari luar
negara, bahkan plastik mesra alam.

Tetapi, tidak dinafikan ada kalanya interaksi bakteria ini jika
tidak `kena pada tempatnya' boleh memudaratkan, sekali gus menyebabkan
jangkitan penyakit.

Bakteria Escherichia coli atau singkatannya E. coli, juga di sebut
sebagai E.kolai adalah sejenis basilus gram-negatif. Ia merupakan
sebahagian flora normal usus pada haiwan dan manusia. Sebagai flora
normal, E. coli membantu menghalang penempatan organisme patogen yang
menyebabkan penyakit.

Selain itu, E. coli juga menghasilkan vitamin K dan B kompleks yang diperlukan tubuh.
``Bagaimanapun, sekiranya E. coli beralih daripada ekosistem
asalnya, bakteria ini menjadi berbahaya. Ia dilaporkan, antara agen
penyebab jangkitan saluran kencing (UTI), jangkitan kuman dalam darah
atau septisemia, radang selaput otak pada bayi (neonatal meningitis),
cirit-birit dan jangkitan luka selepas pembedahan terutama yang
melibatkan pembedahan usus,'' kata Pakar Perunding Mikrobiologi dan
Kawalan Infeksi, Jabatan Mikrobiologi, Hospital Universiti Kebangsaan
Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Nordiah Awang Jalil.

Bakteria E. coli julung kalinya ditemui dalam usus manusia oleh seorang pakar bakteria Jerman, Theodor Escherich pada 1885.

Beliau berjaya membuktikan bahawa terdapat beberapa jenis bakteria
yang bertanggungjawab menyebabkan cirit-birit pada kanak-kanak.
Bakteria ini juga dipercayai menyebabkan radang pada perut dan usus
atau juga dikenali sebagai gastroenteritis.

Ia merupakan kejayaan terbesar dalam kesihatan orang awam. Peringkat awal, bakteria ini lebih dikenali sebagai Bacterium coli.

Bagaimanapun, namanya diubah kepada Escherichia coli sebagai satu penghormatan kepada individu pertama yang menemuinya.

Menurut Nordiah, E. coli dibahagikan kepada pelbagai jenis atau
serogroup berdasarkan antigen O, H dan K. Antara faktor yang
menyebabkan bakteria E. coli ini menjadi ganas dan punca penyakit ialah
kehadiran adhesin iaitu rerambut halus yang melekat pada mukosa. ``Pada
masa yang sama, penghasilan toksin iaitu sejenis racun daripada
bakteria ini boleh merosakkan tubuh,'' katanya.

Lebih 80 peratus agen penyebab UTI adalah E. coli. UTI lebih ketara
di kalangan wanita kerana beberapa faktor seperti uretra wanita yang
lebih pendek berbanding lelaki. Pada masa yang sama, kedudukan faraj
dan dubur yang berhampiran.

Pesakit yang mengalami UTI kata Nordiah, biasanya mengeluh rasa
pedih semasa membuang air kecil, kerap membuang air kecil atau tidak
dapat menahan untuk membuang air kecil.


Bagaimana E. coli dikenal pasti?

E. coli boleh dibiakkan di dalam makmal pada piring agar-agar
daripada spesimen klinikal seperti najis, air kencing, darah dan cecair
serebrospina pesakit. Ia kemudian diproses dan dikultur.

Selepas satu atau dua hari koloni E. coli yang tumbuh pada piring akan dikenal pasti menggunakan ujian biokimia.

Biasanya proses ini mengambil masa dua hingga tiga hari. Jika E.
coli ditemui dalam air, ini boleh menjadi petanda bahawa air itu
tercemar dengan najis haiwan atau manusia. Ia boleh terjadi sama ada
melalui kumbahan sisa najis, yang boleh mengakibatkan penyakit tularan
najis ke mulut seperti Salmonelosis dan kolera.


E. coli penyebab gastroenteritis dan cirit-birit terdiri daripada beberapa jenis:
* Enterotoksigenik E. coli (ETEC)
Biasanya cirit-birit ini dialami pengembara dan bayi di
negara-negara kurang membangun. Ia berpunca daripada makanan atau
minuman yang tercemar dengan najis.
Antara gejala yang dialami ialah kekejangan perut, muntah dan cirit-birit.

* Enteropatogenik E. coli (EPEC)
Ia menyebabkan cirit-birit pada bayi. Antara gejala yang dialami ialah demam, mual dan muntah-muntah.

* Enteroinvasif E. coli (EIEC)
Jangkitan daripada makanan. Pesakit biasanya mengalami demam, kekejangan perut, cirit-birit yang ada kalanya bercampur darah.

* Enteroagregatif E. coli (EAEC)
Ia mengakibatkan cirit-birit berair pada bayi yang berlanjutan sehingga pesakit mengalami dehidrasi.

* Enterohemoragik E. coli (EHEC)
Jenis ini berpunca daripada bakteria E. coli 0157:H7 yang
mengakibatkan penyakit yang serius kepada manusia. Pesakit yang
mengalami cirit-birit ini melarat hingga menyebabkan pendarahan usus.

Bakteria ini akan masuk ke dalam perut dan usus kecil. Ia
kemudiannya melekat pada permukaan usus besar dan mengakibatkan radang
pada dinding usus. Tindak balas ini disebabkan toksin yang dihasilkan
oleh bakteria terbabit.

Ia berpunca daripada pengambilan produk tenusu seperti susu atau jus
buah yang tidak dipastur, sayur-sayuran yang tidak dimasak seperti
salad dan produk daging separuh masak.

Antara gejalanya ialah kekejangan perut dan cirit-birit berdarah.
Keadaan ini boleh berlanjutan hingga pesakit mengalami komplikasi
hemolytic uremic syndrome (HUS).

Ia menyebabkan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang akut, sel
platelet menjadi rendah dan kekurangan sel darah merah. Kira-kira tiga
hingga lima peratus meninggal dunia akibat komplikasi ini.

E. coli O157:H7 buat pertama kalinya menyebabkan wabak penyakit
cirit-birit berdarah berlaku pada 1982. Wabak itu dipercayai berpunca
daripada burger yang tercemar. Selepas itu wabak E. coli O157:H7 juga
telah dilaporkan terjadi di Amerika Syarikat, Jepun dan United Kingdom.


Rawatan

Rawatan untuk UTI, jangkitan kuman dalam darah atau septisemia,
radang selaput otak pada bayi dan jangkitan pada luka pembedahan,
pesakit perlu diberi ubat antibiotik tertentu.

Sebaliknya, pesakit yang mengalami cirit-birit perlu mendapat air
dan garam gantian secukupnya sama ada melalui minuman atau intravena.
Bagaimanapun, agen menghalang pergerakan usus seperti lomotil tidak
disyorkan kerana ia mengakibatkan cirit-birit yang dialami menjadi
semakin serius.


Pencegahan

Sehingga kini, belum ada vaksin digunakan secara rutin untuk mencegah jangkitan E. coli.
Penggunaan antibiotik profilaksis juga tidak disyorkan kecuali
kepada individu yang berisiko tinggi menghidap cirit-birit akibat
mengembara.

Lebih penting amalan kebersihan diri dan menggunakan air
bersih dapat membantu mengelakkan masalah ini. Selain itu:
* Mengelakkan daripada menggunakan kateter membuang air kecil
* Menyusu bayi dengan susu ibu
* Pastikan daging yang dimakan masak sepenuhnya
* Minum susu yang dipasteur
* Kepada pengembara, pastikan mengamalkan makanan yang dimasak dan minum air yang dibotolkan atau dididihkan.

6 comments:

  1. nice one...i really need it for my interview this monday...wish me good luck...=)

    ReplyDelete
  2. Ade sape2 tahu mcm mane nak cri ubat utk pnyakit ecoli ni pd bby sebab anak sye ade jangkitan ni pd air kencing die....klau sesiapa ade maklumat bleh msj dekat 0127611851 tq

    ReplyDelete
  3. Pd bln mac 2012 baby sy yg baru d lahirkan tlh dijangkiti kuman ini. Slm 9 hari d tempatkan d CCU & diberikan antibiotik. Alhamdulillah....skrg dia sihat walafiat. Baru2 ini sy pula telah dijangkiti kuman ini tanpa diketahui puncanya dr mn. Mmg bdn jd lesu, perut meragam & kdg2 seperti kembung, jangkitan juga pd salur kencing, demam d waktu mlm & sakit dada. Stlh mkn antibiotik....sy beransur pulih. Alhamdulillah

    ReplyDelete
  4. Baby sy pun Di jangkiti bakteria oni semasa 6 bulan, jangkitan dlm air kencing, skrg di tahan di wad hospital dan doc beri antibiotics selama 7 hari

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...