PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, March 3, 2010

Penyakit Chikungunya? (Sumber: KKM)

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk. Chikungunya
pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953.

Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir
ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.




2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.


3. Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus
Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau
Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga
menyebarkan virus penyakit demam denggi.


4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari
tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.


5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

· Demam panas mengejut
· Sakit teruk pada sendi
· Ruam pada badan
· Sakit kepala
Seorang pesakit boleh demam dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).
Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.


6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau
kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang
berpanjangan. Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.


7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang
khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang
dialami oleh seseorang pesakit. Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja. Tiada vaksin bagi penyakit ini.


8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.


9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

· Bersihkan
kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat
pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong
royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di
kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
· Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
· Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.


10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...