PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, January 26, 2012

Derita pesakit radang hati



LULUH rasa hati Mohamad Shahriza, 21, apabila dia dimaklumkan oleh jururawat bahawa dia disahkan menghidap penyakit hepatitis C pada pertengahan tahun lalu.

Berita yang menyedihkan itu sekali gus merentap perasaan Shahriza yang begitu bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menamatkan pengajiannya di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kelantan.
Dia yang kini sedang memasuki semester dua pengajian kejururawatan itu mula merasa rendah diri, tidak bersemangat dan hilang kepercayaan diri untuk meneruskan hidup.

“Berita mengenai penyakit hepatitis C yang saya alami ini diketahui pada bulan Jun tahun lalu selepas saya menderma darah di sebuah hospital di Kelantan. 

“Seorang jururawat telah menghubungi dan memaklumkan mengenai penemuan virus hepatitis C dalam darah saya.

“Ketika itu saya baru masuk semester dua. Sejurus mengetahui mengenai penyakit saya itu, hidup saya mula berubah,” katanya mengimbau kejadian tersebut.

Ekoran keadaan tersebut, pihak hospital telah merujuk kes Mohamad Shahriza kepada doktor pakar untuk rawatan.

Katanya, doktor pakar yang melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas dirinya mendapati penyakit tersebut perlu diberi rawatan segera dan boleh dirawat sehingga sembuh kerana masih di peringkat awal.
Kecuaian

“Keadaan fungsi hati dan virus hepatitis C yang menjangkiti saya dipantau oleh pakar berkenaan untuk masa ini,” ujar anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu.

VIRUS hepatitis dapat dikesan melalui ujian darah.


Mengimbas jangkitan itu berlaku, Mohamad Shahriza mendakwa dia mungkin mendapat jangkitan virus berbahaya tersebut ketika melakukan latihan amali kejururawatan ketika di semester satu awal tahun lalu.

“Mungkin disebabkan kecuaian saya ketika mengendalikan pesakit semasa di semester satu saya dijangkiti virus berkenaan tanpa disedari.

“Namun, saya bersyukur dapat mengetahui mengenai jangkitan virus hepatitis C ini lebih awal (peringkat tiga) dan saya difahamkan 90 peratus penyakit ini boleh sembuh apabila dirawat dengan ubat khas,” katanya.

Seorang lagi pesakit yang mengalami simptom kekuningan hepatitis ialah seorang pesara kerajaan, Nona Tahrin, 56. 

Pada awalnya, Nona disahkan menghidapi penyakit batu karang hempedu pada awal tahun 2010.
Sejurus mengetahui mengenai penyakit tersebut dia mula berusaha mendapatkan pelbagai rawatan baik kaedah moden mahupun alternatif. 


“Selepas mengetahui mengenai penyakit batu karang hempedu yang di alami, saya mula resah dan tidak tidur lena.

“Penyakit tersebut sentiasa bermain-main di fikiran dan mengganggu perjalanan hidup saya yang kini usia warga emas. Selepas berfikir panjang, saya cuba mengambil sejenis ubat herba untuk membantu memecahkan batu karang terbabit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada mulanya keadaan kesihatan Nona berjalan seperti biasa, namun pada tahun 2011 badannya mula menunjukkan tanda-tanda kekuningan.

Apabila itu gejala itu berlaku, Nona mendapatkan pemeriksaan lanjut di sebuah klinik.


RISIKO golongan homoseksual dijangkiti hepatitis B adalah 10 kali ganda.


“Selepas pemeriksaan dan rawatan, doktor mendapati kekuningan yang saya alami ini mungkin berpunca daripada kesan sampingan ubat-ubatan herba yang diambil,” katanya.

Justeru, doktor menasihatinya supaya berhenti mengambil ubat herba tersebut buat seketika.

“Selepas saya berhenti mengambil ubat herba tersebut, tubuh saya kembali normal dan tidak kuning lagi.

“Imbasan tomografi yang dilakukan juga mendapati batu karang hempedu yang saya alami telah hancur,” kata pesara kerajaan itu.

Secara amnya, hepatitis bermaksud radang hati. Apa-apa sahaja yang boleh mengganggu fungsi hati secara asasnya boleh menyebabkan hepatitis. 

“Virus hepatitis yang lazim menyerang hati secara khusus ialah jenis A, B, C, D dan E. 

“Bagaimanapun, ada faktor-faktor lain yang boleh mengganggu fungsi hati,” kata Pensyarah kanan dan Pakar perubatan, Jabatan Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nazri Mustaffa ketika dihubungi.

Bahan toksik

Antara penyebab penyakit hepatitis adalah penggunaan ubat-ubatan yang tidak teratur dan sistem imun yang tidak terkawal.

KEKUNINGAN pada kuku antara simptom hepatitis.


Pendedahan kepada bahan kimia yang berlebihan seperti alkohol, kadar lemak hati yang tinggi (steato-hepatitis) dan batu hempedu antara puncanya. Menurut Dr. Nazri, cara jangkitan hepatitis itu bergantung kepada penyebabnya. Penggunaan ubat-ubatan atau bahan kimia secara berlebihan juga boleh merosakkan sel-sel hati akibat pendedahan kepada bahan toksik. 

Batu hempedu menyebabkan tekanan yang tinggi pada hati akibat aliran hempedu tersumbat boleh merosakkan organ tersebut.

“Ada banyak faktor yang mempengaruhi risiko penyakit itu antaranya termasuk umur pesakit, kesan daripada penyakit lain, tahap pendedahan kepada punca hepatitis,’’ katanya.
Hepar atau juga dikenali sebagai hati berfungsi sebagai penapis bahan toksik, pengawalan berkaitan pembekuan darah dan penyingkiran sel-sel matang daripada sistem peredaran darah.

Sunday, January 8, 2012

Kenali kanser pankreas

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2012/01/08


Teknologi endoscopic ultrasound kesan barah awal

PENGASAS Apple, Steve Jobs; aktor Patrick Swayze dan Michael Landon termasuk penyanyi tenor, Luciano Pavarotti adalah antara selebriti dan golongan ternama yang menderita dan tewas akibat barah pankreas. Dikenali sebagai pembunuh senyap, barah pankreas bukanlah penyakit yang lazim berlaku berbanding barah jenis lain.
Masalah terbesar barah pankreas adalah ia hanya dikesan pada peringkat serius. Ketika pembedahan dilakukan, ia sudah tidak berguna lagi. Akibatnya, pakar perubatan tidak dapat mengeluarkan kanser dari tubuh pesakit. Sehubungan itu, isu utama dalam kebanyakan rawatan barah pankreas ialah untuk mengesan barah berkenaan seawal mungkin.
Perunding Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Datuk Dr Ryan Ponnudurai berkata, apabila pesakit mengadu sakit pada bahagian abdomen, ia harus disiasat segera.

“Merujuk kes terbaru saya November lalu, seorang pesakit rakyat Belanda menjalani ujian imbasan CT pada abdomen iaitu antara kaedah terbaik untuk menyiasat dan mengesan barah pankreas.

“Tetapi teknik ini kurang berkesan untuk mengesan barah di peringkat awal, lebih-lebih lagi ketika tumor masih kecil. Hanya selepas tumor membesar lebih dari dua sentimeter, imbasan CT mampu mengesannya. Sayangnya, ketika itu sudah terlambat untuk pembedahan,” katanya ketika ditemui kolum sihat di PCMC di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Ryan berkata, pesakit bagaimanapun sangat bernasib baik apabila tumor yang ada pada pankreas dikesan melalui prosedur dikenali sebagai endoscopic ultrasound. Menurutnya, prosedur ini membabitkan rawatan skop seperti biasa di mana pesakit tidak perlu bermalam.
Melalui kaedah ini, pesakit diletakkan dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika skop dilakukan. Pada masa sama, sampel tisu diambil untuk tujuan biopsy. Pesakit dibenarkan pulang sebaik prosedur berakhir.

“Prosedur ini memberikan saya banyak maklumat. Ia dapat mengesan sebarang tumor mahupun ketumbuhan yang tidak dapat dikesan imbasan CT kerana ia terlalu kecil. Saya juga dapat mengkelaskan barah mengikut peringkatnya dan terus mendapatkan sampel tisu.

“Tisu sangat penting dan saya sering menggelarkan keadaan ini sebagai tisu adalah isu. Ini kerana kita perlukan sampel daging (tisu) untuk merawat,” kata Dr Ryan lagi.

Beliau berkata, dalam kes pesakitnya, prosedur Whipple yang biasa dilakukan bagi kes barah di kepala pankreas dikendalikan. Melalui prosedur ini, seluruh organ dikeluarkan bersama sebahagian perut, duodenum, nodus limfa dan beberapa tisu lain.

Hasilnya, semua tumor berjaya dikeluarkan dan kanser dikawal dari merebak. Prosedur ini kompleks dan berisiko kerana berdepan risiko komplikasi kebocoran, jangkitan, pendarahan dan masalah dalam perut.

Biarpun Dr Ryan mengajar pakar di Malaysia mengenai penggunaan teknologi endoscopic ultrasound, prosedur ini tidak banyak disediakan di pusat perubatan.

“Pengendalian cukup mudah dan tidak memerlukan sebarang pembedahan. Pesakit tidak perlu menginap di hospital lalu mengurangkan kos. Doktor juga boleh terus melihat tumor, mengelaskannya dan menilai sama ada boleh dibedah atau tidak. Kita juga boleh tahu apakah ia membabitkan pelbagai saluran darah,” katanya.

Dr Ryan berkata, isu barah gagal dikeluarkan kerana pembedahan dilakukan lewat juga dapat dielak melalui penggunaan teknik endoscopic ultrasound.

“Isu seumpama itu dapat dielak. Jika tidak pesakit tambah derita kerana perlu sebulan untuk pulih dari pembedahan yang tidak berjaya. Padahal, kebanyakan mereka cuma ada enam bulan saja untuk hidup,” katanya.

Jelas Dr Ryan, teknologi endoscopic ultrasound diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak ramai yang mahir mengendalikannya. Malah, ada yang tidak tahu kewujudan teknik ini. Prosedur ini mampu mengkelaskan pelbagai jenis barah termasuk barah paru-paru, barah perut dan barah pankreas.

Sehubungan itu, sikap berjaga-jaga dan bimbang melihat orang tersayang hilang berat badan mendadak atau sakit di perut dan abdomen perlu ada. Bawalah mereka berjumpa pakar perubatan untuk dikaji. Ini kerana antara gejala klasik barah pankreas adalah sakit belakang, hilang berat badan dan mendapat penyakit kuning. Lazimnya, apabila rasa sakit-sakit sudah melarat ke belakang, ia sudah melarat ke saraf pesakit.

“Saya fikir di mana-manapun di seluruh dunia, kita tidak tahu apakah kaedah yang lebih kos efektif untuk mengesan barah pankreas secara awal.

“Ini kerana barah pankreas tidak biasa berlaku. Tidak seperti barah kolon, di peringkat antarabangsa, kami tidak menyarankan saringan barah pankreas dijalankan ke atas semua orang.

“Sehubungan itu, nasihat saya, mereka yang mengalami tanda-tanda amaran seperti sakit belakang, hilang berat badan mendadak, hilang selera makan atau menghidap sakit kuning serta mempunyai ahli keluarga yang mengalami barah pankreas, lakukanlah pemeriksaan awal,” katanya.

'Usah lengah jumpa pakar'

BARAH pankreas lazimnya hanya dikesan di peringkat parah. Namun, bagi Frederik Riem Vis, 59, dan isterinya, Annellies Riem Vis, warga Belanda yang sedang mengikuti program Malaysia Rumah Keduaku sejak April lalu, keupayaan mengesan kanser pankreas di peringkat awal disifatkan pengalaman ‘berpantang maut sebelum ajal’.

Awal Ogos lalu, Frederik berjumpa doktor selepas merasa kurang selesa, sakit-sakit, hilang berat badan mendadak serta lesu sepanjang hari. Kemudian pakar perubatan mengarahkan prosedur endoskopi tradisional dan imbasan CT untuk mengesan masalah sebenar. Namun, kedua-dua keputusan berkenaan tidak menunjukkan sebarang keputusan.

“Saya hanya dinasihat untuk mengambil ubat seperti biasa. Bagaimanapun, rasa sakit makin menjadi-jadi dan kerap dirasakan di sekitar perut dan abdomen.

“Akhirnya, pada 4 Oktober lalu, saya dikejarkan ke PCMC dengan bantuan ambulans dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas disahkan mengalami demam denggi.

“Ketika berada di ICU, saya beritahu doktor mengenai rasa kurang selesa dan kesakitan berterusan di bahagian perut. Saya terus dibawa bertemu Dr Ryan. Beliau mencadangkan saya menjalani endoskopik ultrasound, antara teknik terkini mengesan pesakit dengan masalah perut dan biopsy selain imbasan CT,” katanya ketika ditemui kolum Sihat.

Frederik berkata, imbasan CT tidak menunjukkan sebarang keputusan, sebaliknya analisis endoskopik ultrasound mengejutkan dengan penemuan tumor yang masih di peringkat awal pada pankreas.

“Keputusan biopsy dan pandangan kedua pakar lain mengenai keputusan biopsy juga mengesahkan wujudnya barah pada pankreas yang memerlukan pembedahan segera,” jelas Frederik yang kehilangan ibu dan bapa akibat barah payu dara dan ketumbuhan pada otak.

Berikutan dikesan awal, keadaan organ Frederik masih baik dan sesuai untuk prosedur berkenaan. Kebanyakan pesakit barah pankreas di Malaysia, hanya berjaya dikesan pada peringkat serius dan pembedahan pada peringkat ini sudah tidak berguna lagi.

“Kami dalam dilema sama ada untuk menjalani prosedur pembedahan khusus yang dikenali sebagai Prosedur Wipply di Malaysia atau pulang ke Belanda.

“Jika di negara sendiri, kami dikelilingi saudara mara selain diberi sokongan moral sahabat handai. Namun, keyakinan dan kekaguman yang tinggi terhadap kepakaran dan kecekapan pakar di Malaysia mendorong kami untuk melakukan prosedur itu di sini,” katanya.

Frederik berkata, pada 19 November lalu, iaitu seminggu selepas disahkan menghidap kanser pankreas, pembedahan dijalankan tanpa perlu menunggu.

“Bagi kami orang Belanda, tidak perlu menunggu giliran adalah sesuatu yang jarang berlaku di kebanyakan hospital di sana. Prosedur berjalan selama enam jam itu lancar.

“Kami amat bersyukur kerana akibat berjaya mengesan awal, pankreas, saluran penghadaman dan sebahagian besar otot dapat diselamatkan. Ia cukup membantu proses penyembuhan saya. Hanya tuhan yang tahu betapa bertuahnya saya,” katanya.

Bagi Frederik yang mempunyai sejarah ahli keluarga penghidap kanser, beliau cukup sensitif dengan setiap perubahan luar biasa pada tubuh.

“Sejarah keluarga inilah yang membuatkan saya lebih berhati-hati dan cepat bertindak apabila tubuh memberi isyarat yang berlainan. Ini kerana kita sudah berumur tentu kita kenal badan kita.

“Nasihat saya, jika saban hari ada sesuatu yang sentiasa membuat tubuh merasa kurang selesa, jangan berlengah. Dapatkan bantuan pakar perubatan dengan segera.

“Anda pasti tidak akan menyesal kemudian hari,” katanya yang ditempatkan di ICU selama lapan hari sebelum dibenarkan pulang sebelum meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi pula.

INFO

Gejala barah pankreas hanya muncul apabila tumor semakin membesar antaranya:

  • Sakit di bahagian atas abdomen akibat tumor menekan saraf
  • Kulit dan mata menjadi kuning dan serta air kencing menjadi gelap dipanggil jaundice
  • Hilang selera makan, mual dan muntah.
  • Berat badan turun mendadak dan sering lesu.
  • Najis berwarna pucat dan kelabu serta ada lebihan lemak dalam najis.


--- Berita Harian

Bahaya tibi

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
bhnews@bharian.com.my
2011/12/24

pix_gal0
Ramai alami simptom lengah jumpa pakar, ada percaya terkena ilmu hitam hingga batuk makin kronik

ANTARA 1945 hingga 1957, batuk kering atau nama saintifik perubatannya, Tuberkulosis (tibi) menjadi penyakit paling digeruni masyarakat dan pembunuh No 1 negara ketika itu.
Senario waktu itu, berikutan ketiadaan penawar berkesan untuk mengubati wabak berkenaan, tibi akhirnya berleluasa menyerang orang ramai sehingga pesakit terpaksa dikuarantin bagi mengelak jangkitan lebih meluas.
kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR. - Dr Abdul Razak Muttalif, Pengarah IPR
Pada 1961, kerajaan memperkenalkan Program Kawalan Tibi Kebangsaan dan semua individu yang dikesan mempunyai tanda penyakit ini dirujuk ke Pusat Tibi Negara atau kini dikenali sebagai Institut Perubatan Respiratori (IPR), Jalan Pahang, Kuala Lumpur, untuk rawatan susulan.

Sejak itu, diperkukuhkan dengan kaedah bidang perubatan yang makin moden, tibi mula terkawal sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Malaysia sebagai 'Negara Tibi Sederhana'.

Bagaimanapun, sejak 1955, kes baru tibi yang dilaporkan kembali meningkat dan membimbangkan setiap tahun. Pada 2000, sebanyak 15,051 kes direkodkan berbanding 10,873 kes pada 1990.

Terbaru, sehingga November lalu, kes tibi di seluruh negara bertambah kepada lebih 19,000 kes berbanding 16,000 kes beberapa tahun lalu.
Pengarah IPR, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, berkata sikap segelintir masyarakat yang terlalu taksub dengan amalan rawatan tradisional yang dikendalikan bomoh serta menganggap simptom tibi sebagai tanda terkena ilmu hitam, menjadi antara punca utama bilangan kes penyakit itu meningkat.

"Kebanyakan pesakit tibi dalam keadaan teruk yang datang kepada kita mengatakan pada awalnya, mereka menyangka masalah kesihatan seperti batuk berpanjangan lebih dua minggu; hilang selera makan; demam dan berpeluh pada waktu malam; susut berat badan serta batuk berdarah adalah disebabkan terkena buatan orang.

"Sangkaan ini menyebabkan mereka bertemu bomoh atau pengamal rawatan ilmu hitam untuk berubat. Namun, apabila penyakit dialami tidak sembuh dan semakin serius, barulah mereka berjumpa doktor pakar.

"Tempoh lama yang diambil menyebabkan masalah tibi dialami makin merebak dalam paru-paru," katanya ketika ditemui kolum Sihat di IPR, baru-baru ini.

Dr Abdul Razak berkata, antara punca utama lain menyebabkan peningkatan tibi adalah tindakan seseorang yang melengah-lengahkan waktu untuk bertemu pakar perubatan walaupun mengalami gejalanya.

Mereka lazimnya akan bertemu doktor di klinik biasa yang tidak mempunyai kepakaran khusus membabitkan tibi terlebih dulu, malah ada antara mereka yang berkunjung ke klinik berkenaan secara berulang.

Selepas mendapati penyakit masih tidak sembuh, mereka akan bertemu pakar di pusat perubatan swasta atau hospital kerajaan untuk rawatan susulan. Namun, kelewatan ini menyebabkan tibi makin merebak.

Dr Abdul Razak berkata, rekod menunjukkan ada pesakit yang sudah dikesan awal tetapi tidak mengikut nasihat perubatan disaran doktor. Menurutnya, pesakit terbabit tidak mengambil ubat secara teratur sepanjang tempoh rawatan, iaitu sekurang-kurangnya enam bulan lalu menyebabkan penyakit dialami bertambah teruk hingga terpaksa dikuarantin di IPR.

Beliau juga pernah berdepan kes di mana seorang pendatang asing tampil ke IPR selepas tidak bermaya untuk berjalan akibat dijangkiti tibi. Apabila ditanya mengapa tidak datang mendapatkan rawatan lebih awal, dia memberi alasan takut dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana tiada permit pekerjaan sah.

"Kesimpulannya, walaupun kaedah perubatan makin moden dan berkesan, punca utama yang menyebabkan semakin ramai penduduk Malaysia menghidap tibi adalah sikap melengah-lengahkan rawatan terbaik untuk penyakit itu.

"Justeru, kesedaran yang tinggi berhubung penyakit ini perlu ada dalam diri setiap penduduk Malaysia. Jadi, jika anda mengalami apa saja simptomnya, tolong segera bertemu pakar tibi sama ada di hospital swasta, kerajaan atau IPR.

"Sikap melewatkan rawatan tibi bukan saja memberi kesan yang makin buruk kepada kesihatan anda dan menyebabkan lebih ramai orang di sekeliling dijangkiti, tetapi juga menjejaskan perkembangan negara," katanya.

Menurut Dr Abdul Razak, setiap bayi yang lahir di negara ini sudah dibekalkan dengan suntikan vaksin Bacille Calmette Guerin (BCG) bagi membantu mencegah penyakit tibi. Namun, ia bergantung kepada keadaan antibodi, amalan kehidupan dan persekitaran ketika membesar.

Antara golongan berisiko tinggi menghidap tibi, katanya, adalah pesakit HIV; penghidap diabetes; perokok; banduan; individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun; 60 tahun hingga 80 tahun; kerap berada di tempat sesak; berdepan dengan mereka yang tidak sihat serta pendatang asing.

Selain itu, katanya, di negara ini, sebanyak 90 peratus penduduk menghidapi 'Tibi Dalam Paru-Paru' yang masih boleh dirawat tanpa kesan sampingan. Manakala bakinya mengalami 'Tibi Luar Paru-Paru', iaitu kuman sudah merebak ke otak, jantung, tulang serta kelenjar, mengakibatkan pesakit akan menderita penyakit kronik lain walaupun tibi sembuh sepenuhnya.

Jadi, pengesanan dan rawatan dalam kadar paling awal mampu mengelak seseorang dijangkiti penyakit pada peringkat 'Tibi Luar Paru-Paru' yang mampu mengakibatkan kematian.

Dr Abdul Razak berkata, dari segi pengesanan penyakit, IPR akan menggunakan tiga kaedah iaitu pemeriksaan kahak, x-ray paru-paru dan ujian Mantoux (mencucuk jari) yang keputusannya sangat berkesan walaupun penyakit belum berada pada tahap kritikal.

Manakala, daripada segi perubatan, IPR akan membekalkan empat jenis antibiotik dikenali sebagai Respiratori Cripple yang perlu diambil dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan iaitu Rifampicin, Isoniazid, Pyrazinamide dan Ethambutol selain Vitamin 6.

Sementara itu, katanya, pada masa depan, IPR mensasarkan untuk mengurangkan kes baru tibi dan paling penting mengurangkan kadar korban akibat penyakit berkenaan yang kini mencapai lapan peratus, berikutan tibi bukan penyakit yang sepatutnya menyebabkan kematian.

"Bagi mengurangkan kes tibi, ia memerlukan kerjasama semua pihak seperti bertemu doktor secepat mungkin jika mengalami simptom serta memakai topeng mulut dan hidung dalam keadaan tertentu. Ini kerana penyakit ini, berjangkit melalui udara akibat batuk dan bersin.

“Doktor di klinik juga perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit untuk bertemu pakar penyakit itu dengan segera, bukan hanya membekalkan ubat.

"Kerajaan juga perlu menambah doktor tibi di negara ini bagi memastikan proses rawatan terus berjalan lancar dan cepat. Ini kerana ketika ini, walaupun kaedah kawalan perubatan baik, jumlah pakar tibi sangat kurang," katanya.

Nora sangka batuk biasa, paru-paru jadi hitam akibat kuman

SEJARAH keluarga dan latar belakang rakan yang bebas tibi membuatkan Nora Nazmin, 19, tidak menyangka akan menghidapi penyakit itu pada tahap serius.

Apatah lagi dengan usia yang masih muda, Nora cukup yakin batuk dialami hanya masalah kesihatan biasa, berpunca daripada cuaca kurang baik walaupun ia berpanjangan beberapa minggu.

Ketika ditemui penulis, pelajar Diploma Perakaunan Institut Profesional Baitulmal itu hanya duduk di atas katil wad di Institut Perubatan Respiratori (IPR) kerana kurang bermaya. Nada suaranya perlahan kerana sakit tekak dialami akibat tibi.

Bertemankan ibunya di sisi, Nora berkata, selepas kira-kira sebulan batuk yang dialaminya tidak sembuh, beliau akhirnya bertemu doktor, April lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ujian awal mendapati, beliau disyaki menghidap tibi dan diminta terus datang ke IPR pada hari sama untuk pemeriksaan lanjut pakar.

Alangkah terkejutnya Nora apabila doktor mengesahkan beliau positif tibi. Namun, Nora bernasib baik kerana hasil x-ray dijalankan, penyakit itu belum berada pada tahap serius.

Sejak itu, Nora berulang-alik ke IPR untuk menjalani rawatan susulan. Doktor memberi jaminan tibi dihidapi akan sembuh sepenuhnya, dengan syarat Nora mengambil ubat setiap hari sepanjang tempoh enam bulan seperti disarankan.

"Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu, saya makan ubat secara tidak teratur hanya kerana malas dan saiz empat biji ubat yang perlu diambil itu besar.

“Akibatnya, selepas tempoh enam bulan, hasil x-ray dijalankan doktor mendapati, paru-paru saya makin berwarna hitam kerana kuman tibi merebak.

"Dalam tempoh hanya empat bulan, berat saya susut dari 58 kilogram kepada 41 kilogram dan saya terpaksa menunda semester pengajian kerana perlu menjalani rawatan susulan di wad selain tidak bermaya untuk berjalan," katanya.

Nasib baik masih menyebelahinya apabila anak kedua daripada enam adik-beradik itu mempunyai peluang besar untuk sembuh dalam tempoh sembilan bulan seperti dijangka doktor.

Kali ini, Nora benar-benar nekad untuk menjalani rawatan secara teratur sehingga benar-benar pulih kerana menyesal dengan tindakannya sebelum ini. Tambahan, apabila melihat ada pesakit yang dijangka doktor tidak mampu hidup lama akibat kuman tibi yang sudah merebak di luar paru-paru.

Nora juga menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai simptom tibi terutama batuk berpanjangan supaya usah ambil bagi mengelak penyakit itu bertambah serius.

INFO: Antara simptom Tibi
  • Batuk berpanjangan (lebih dua minggu)
  • Hilang selera makan
  • Demam
  • Berpeluh waktu makan
  • Susut berat badan
  • Batuk berdarah

    Golongan berisiko
  • Pesakit HIV
  • Penghidap diabetes
  • Perokok
  • Banduan
  • Individu berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun dan 60 tahun hingga 80 tahun
  • Kerap berada di tempat sesak
  • Berurusan atau berhampiran dengan mereka yang tidak sihat
  • Pendatang asing.

    Kaedah cegah
  • Jalani pemeriksaan kesihatan dengan pakar berkaitan penyakit tibi dengan segera apabila mengalami simptom
  • Gunakan topeng mulut dan hidung apabila berada di kawasan awam terutama apabila anda mengalami batuk atau selsema
  • Doktor di klinik awam perlu memahami serta mempunyai kemahiran mengesan simptom sebenar tibi dan menasihatkan pesakit bertemu pakar.

  • --- Berita Harian

    Sukar mengesan Hepatitis C

    BERLAINAN dengan kebanyakan penyakit lain, Hepatitis C merupakan jangkitan yang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa membawa simptom, membawa simptom yang tidak menonjol atau tidak berpanjangan.

    Hepatitis C sering menerima gelaran sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh tahun lamanya.

    Apa yang menyedihkan, kebanyakan kes Hepatitis C hanya diketahui selepas umur 40 tahun walaupun ramai pesakit tersebut dipercayai telah menghidap virus berkenaan tersebut jauh lebih awal.

    Tidak kurang yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan kanser hati.

    Walaupun ujian darah mampu mengesan kehadiran virus Hepatitis C dengan mudah, namun kebanyakan orang terutamanya daripada kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian sekan-akan tidak mahu berdepan dengan perbuatan lampau mereka.

    Pengarah Global Hal Ehwal Saintifik Penyakit Berjangkit dari syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Lisa Pedicone berkata, Cara jangkitan Hepatitis C lebih kurang sama seperti cara jangkitan virus HIV di mana antara penyebab utama jangkitan ialah perkongsian jarum dadah.

    ''Transmisi darah juga pernah menjadi cara jangkitan yang utama tetapi sejak 1990-an, kebanyakan negara telah melakukan kawalan ketat untuk mengelakkan jangkitan Hepatitis C melalui pemindahan darah," katanya.

    Beliau berkata, kajian mendapati terdapat kemungkinan besar Hepatitis C juga boleh dijangkit daripada ibu kepada anak dalam kandungan.

    Terdapat kes di mana kanak-kanak seawal tiga hingga lima tahun dijangkiti Hepatitis C, satu-satunya penjelasan yang boleh diterima ialah virus dijangkiti ketika mereka dalam kandungan.

    Walaupun pesakit Hepatitis C berpeluang sembuh, namun kajian dunia menunjukkan hanya 40 peratus pesakit sembuh selepas setahun menerima rawatan.

    Menariknya, faktor genetik dan keturunan turut mempengaruhi peluang penyembuhan pesakit Hepatitis C dan kajian menunjukkan pesakit Asia mempunyai peluang yang lebih besar untuk sembuh.

    Pedicone berkata, berbanding pesakit Caucasian yang mencatatkan peluang penyembuhan 40 peratus dan Afrika sebanyak 20 peratus, Asia mencatatkan peluang lebih tinggi berbanding dua keturunan itu.

    ''Keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik di mana mereka yang memiliki genetik positif mempunyai peluang penyembuhan lebih 70 peratus.

    ''Dalam kes Hepatitis C, gen positif lebih prevalen di kalangan penduduk Asia berbanding Caucasian dan Afrika," katanya.

    Tambahnya, selain faktor genetik, soal usia dan metabolisme turut mempengaruhi peluang penyembuhan seseorang pesakit.

    ''Pesakit muda lebih berpeluang untuk disembuhkan, mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) rendah juga menunjukkan hasil rawatan lebih baik berbanding pesakit dengan BMI tinggi.

    ''Kejayaan rawatan juga bergantung kepada bilakah anda menerima rawatan iaitu sejauh mana kerosakan hati anda. Peluang pesakit untuk sembuh lebih tinggi jika mendapat rawatan awal," katanya.

    Rawatan Hepatitis C bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan apatah lagi tiada jaminan bahawa pesakit boleh sembuh sepenuhnya, keadaan ini sering menyebabkan pesakit takut untuk menghadapi perjalanan rawatan yang sukar.

    Rawatan

    ''Terdapat dua kaedah rawatan di mana yang pertama melalui suntikan sekali seminggu, iaitu stimulasi imun badan pesakit untuk menentang virus.

    ''Ia merupakan satu rawatan yang tidak spesifik.

    "Pesakit akan menerima kesan sampingan seperti sakit badan dan demam. Rawatan memakan masa kira-kira 48 minggu, ramai pesakit tidak tahan dan takut untuk menerima rawatan," katanya.

    Tambahnya, kaedah kedua menggunakan ubat pula didapati mampu menghentikan pembiakan virus Hepatitis C walaupun saintis masih gagal menguasai secara 100 peratus bagaimana ia berfungsi.

    ''Masalah ubat ini ialah ia bersifat toksik kepada sel darah merah, menyebabkan hemoglobin menurun dan membawa kepada amenia," kata Pedicone.

    Walaupun rawatan itu menimbulkan kesan yang tidak diingini tetapi ia tetap perlu dijalankan kerana virus Hepatitis C tidak akan hilang dengan sendirinya, rawatan segera menjanjikan peluang penyembuhan yang lebih baik.

    Pedicone berkata, pesakit pada masa yang sama perlu mengikut jadual rawatan yang ditetapkan dan jangan leka walaupun ujian darah pertama menunjukkan darah mereka bebas daripada virus.

    ''Ujian lebih daripada sekali perlu dilakukan kerana mungkin terdapat virus yang 'tersembunyi' di hati tetapi tidak dikesan dalam ujian darah," katanya.

    Pesakit yang telah sembuh pula perlu menjauhi gaya hidup berisiko kerana virus Hepatitis C yang baru boleh menyerang semula pesakit yang sama.

    Dalam pada itu, Pedicone bekata, syarikat-syarikat farmaseutikal telah melakukan banyak kajian mengenai Hepatitis C dan ubat baru yang menyasarkan virus itu secara spesifik telah diperkenalkan di lebih 40 negara dan dijangka diluluskan di nnegara Asia Tenggara seperti Filipina dan Malaysia pada 2012.

    ''Ubat yang sedia ada adalah merangsang sistem imun badan pesakit untuk melawan virus, ubat baru yang dikeluarkan pula menentang virus secara fokus. Ubat baru ini boleh digunakan seiring dengan dua kaedah rawatan sedia ada.

    ''Kemunculan ubat ini menawarkan peluang baru kepada pesakit Hepatitis C yang gagal disembuhkan sebelum ini," katanya.

    Walaupun kemajuan farmaseutikal dapat menawarkan lebih peluang kepada pesakit yang menderita virus Hepatitis C, namun usaha itu perlu dilakukan selari dengan pengesanan awal bagi memastikan kejayaan berganda.

    ''Perancis telah melakukan usaha yang agak baik dengan melakukan kempen pendidikan dan ujian secara besar-besaran, akibatnya ia mengesan kes Hepatitis C yang amat tinggi.

    ''Rawatan awal terhadap penyakit Hepatitis C mampu menyelamatkan nyawa," kata Pedicone.


    --- Utusan Malaysia

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...