PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, October 30, 2012

Awas, glaukoma ragut penglihatan dalam senyap


SALWANA MOHAMMAD
30 Oktober 2012
GLAUKOMA, pernahkah anda mendengarnya? Glaukoma merupakan penyakit berkaitan saraf optik mata yang mana menyebabkan saraf belakang mata mengembang. Ia berlaku akibat tekanan tinggi pada mata sekali gus merosakkan saraf optik yang menjadi laluan imej dibawa ke otak. Penyakit ini mungkin tidak menyakitkan tetapi ia mengundang risiko mata menjadi buta.

Penyakit buta dalam senyap, itulah gelaran yang diberikan kepada glaukoma. Kerana itu ia dikategorikan sebagai penyakit mata kedua paling bahaya selepas katarak. Sesiapa sahaja berisiko untuk menghidapnya tetapi kebiasaannya ia akan menyerang mereka yang berusia 40 tahun ke atas. Ketika membuat pemeriksaan mata, pastikan bacaan tekanan bola mata tidak melebihi 21mmHg kerana anda perlu berhati-hati dengan masalah glaukoma ini.

Mengenali rekod kesihatan ahli keluarga adalah penting kerana penyakit glaukoma ini boleh diwarisi. Peratusannya lebih tinggi dua kali ganda daripada mereka yang tidak mempunyai penyakit keturunan ini. Bagaimana pun mereka yang ahli keluarga tidak pernah mempunyai masalah glaukoma juga tidak boleh terlepas pandang. Pastikan membuat pemeriksaan mata bagi mengelakkan penyakit ini daripada menyerang.

Faktor seterusnya yang menyebabkan glaukoma ialah tekanan terlalu tinggi terhadap bola mata. Situasi ini boleh berlaku andainya cairan daripada mata keluar terlalu banyak sekali gus akan mengakibatkan urat saraf pada bahagian belakang retina mata mengembang. Pada ketika itulah ia akan menekan bahagian belakang mata.

Memang benar mata rabun ialah perkara biasa dan ramai yang menghidapinya. Ada yang rabun dekat dan ada juga yang rabun jauh. Dalam penyakit glaukoma, mereka yang menghadapi masalah rabun jauh lebih berisiko untuk diserang glaukoma. Jadi pastikan membuat pemeriksaan pakar dan mendapatkan kepastian ia hanyalah masalah rabun semata-mata dan tidak melibatkan glaukoma.

Jika mahu mengelakkan mata daripada diserang glaukoma, pastikan ia mendapat rehat yang secukupnya. Jangan memaksa mata untuk melihat objek-objek yang jauh atau pun kecil kerana ia akan memberikan tekanan tinggi terhadap urat saraf. Selain itu, elakkan diri daripada berjaga terlalu lama sehingga mata menjadi letih. Seelok-eloknya berehat atau pun pergi tidur apabila mata sudah tidak berasa selesa.

Adakah anda terlalu tertekan?  Atau pun mungkin mempunyai migrain? Mereka yang mempunyai masalah asma dan pengguna kaca mata dengan kuasa yang tinggi juga berisiko untuk diserang glaukoma. Selain itu penghidap diabetes dan kencing manis juga perlu berhati-hati. Disebabkan itu jugalah dua jenis penghidap dua jenis penyakit ini akan diberikan pemeriksaan mata sekali bagi memastikan mereka bebas daripada glaukoma.

Seperti juga penyakit-penyakit lain, glaukoma juga mempunyai simptom yang boleh dikesan daripada peringkat awal lagi. Antaranya mata terasa pedih, kabur, sakit apabila memandang terlalu lama dan pening kepala. Rawatan awal untuk mengatasi masalah glaukoma ini ialah dengan menggunakan ubat titis tetapi pembedahan terpaksa dilakukan jika keadaan menjadi semakin teruk. Bagaimana pun bagi mengelakkan keadaan kronik, lakukan pencegahan sedari peringkat awal.


--- SINAR HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...