PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Thursday, June 13, 2013

Mencari Lebih Kebaikan Khasiat Dalam Bijirin Sarapan

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pengambilan sarapan berkhasiat setiap pagi sering dikaitkan dengan pelbagai kebaikan kepada kesihatan seseorang.

Walaupun kita lebih cenderung untuk menikmati sarapan kegemaran Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan pelbagai kuih muih yang rata-rata berkalori tinggi, ramai yang mula bertukar kepada sarapan bijirin yang diyakini lebih sihat.

Lebih menguntungkan, penggemar bijirin sarapan kini mendapat lebih banyak kelebihan khasiat yang tubuh mereka perlukan tanpa perlu mengorbankan keenakan rasa makanan itu.

Ini adalah komitmen pengeluar terbesar bijirin sarapan dunia, Cereal Partners Worldwide (CPW), yang menghasilkan produk terkenal seperti Koko Krunch, Honey Stars, Milo Cereal, Cheerios, Fitness, Koko Krunch Duo dan Cookie Crisp.

Kesemua produk daripada syarikat Switzerland itu dipasarkan menerusi label Bijirin Sarapan Nestle di lebih 140 buah negara termasuk Malaysia.

Sebagai pendahulu produk bijirin sarapan dunia, CPW berikrar untuk sentiasa membaiki kualiti produk makanan mereka termasuk empat komitmen terkini yang sesuai dengan keprihatinan mereka terhadap isu kesihatan semasa.

Empat komitmen utama itu termasuk, mengurangkan kandungan gula sebanyak 20 peratus, garam (tujuh peratus) dan memperkaya semua bijirin sarapan dengan kalsium (15 peratus).

Mereka juga menggunakan bijirin penuh yang terbukti menurunkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, obesiti dan kencing manis, sebagai ramuan utama semua produk terkenal mereka.

Pengurus Korporat Sains Pemakanan CPW, Dr Frank Thielecke, yakin empat komitmen itu bakal menjadikan CPW pengeluar sarapan bijirin utama yang paling sihat dan berkhasiat di dunia.

"Kami berharap untuk memberi kesedaran kepada orang awam terutama kanak-kanak dan remaja tentang kepentingan memulakan hari dengan sarapan yang sihat bagi meningkatkan kecergasan fizikal dan mental," katanya dalam satu bengkel pengetahuan berkenaan sarapan baru-baru ini.

LEBIH CERGAS

Pelbagai kajian telah membuktikan kepentingan mengambil sarapan yang kaya dengan khasiat untuk kesihatan, ini termasuk kajian klinikal dari University of Pennsylvania yang mendapati bahawa pengambilan sarapan dapat membantu meningkatkan prestasi pelajaran di sekolah.

Kajian itu merumuskan bahawa pelajar yang makan sebelum ke sekolah adalah lebih cergas, petah bertutur dan mendapat markah yang lebih baik dalam ujian IQ.

Lagipun, amalan bersarapan setiap pagi, khususnya bijirin penuh adalah langkah terbaik menggalakkan tabiat pemakanan sihat dari usia muda.

Selain itu, kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan akan gelisah kelaparan di dalam kelas dan cenderung untuk makan berlebihan pada waktu rehat di kantin sekolah.

"Tabiat makan berlebihan pada waktu snek bukan satu amalan baik sebaliknya menyebabkan kegemukan," jelas Thielecke sambil menegaskan bahawa sarapan yang baik akan juga membantu mengawal berat badan.

Fakta itu telah dibuktikan oleh beberapa kajian termasuk di Greece yang mendapati kanak-kanak yang mengamalkan sarapan bijirin dengan lebih kerap mampu mengurangkan risiko kegemukan sebanyak 33 peratus.

Menurut beliau, antara kebaikan utama sarapan bijirin ialah kadar nutrisinya yang lebih padat sedangkan kandungan lemak, garam dan gulanya lebih rendah.

Malah kepentingan khasiat dalam sarapan bijirin kepada kesihatan telah dibuktikan oleh belasan kajian yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal saintifik khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Sarapan berbentuk bijirin adalah pilihan terbaik kerana ia padat dengan zat besi, vitamin khususnya pelbagai jenis vitamin B, serat, kalsium dan karbohidrat untuk tenaga, tetapi kandungan lemak dan garamnya jauh lebih rendah berbanding sarapan tradisi," kata Thielecke.

Amalan sarapan bijirin penuh pula menyumbang kepada kebaikan tambahan termasuk sumber serat terbaik untuk mengekalkan kesihatan usus dan sistem pencernaan.

Bijirin penuh juga mengambil masa yang lebih lama untuk dihadam sekaligus menyediakan bekalan tenaga berterusan kepada kanak-kanak khususnya untuk kekal aktif.

KOMITMEN TERBARU

Selain itu, sifat sarapan bijirin yang perlu dimakan bersama susu menjadikannya cara yang lebih mudah dan enak untuk mendapatkan semua khasiat susu dalam satu mangkuk.

Bagi menjadikan bijirin sarapan lebih berkhasiat, CPW telah menyingkirkan 9,141 tan gula dan 884 tan garam daripada semua produk bijirin sarapan mereka sejak tahun 2003 lagi.

"Semua produk Bijirin Sarapan Nestle akan hanya mengandungi sembilan gram atau kurang jumlah gula keseluruhan di dalam hidangan 30 gram tanpa susu.

"Bagaimanapun, amat sukar untuk menyingkirkan terus gula dari bijirin sarapan kerana ia masih diperlukan bagi tujuan merangupkan makanan selain menjadikan tekstur, warna, rasa lebih menarik," jelas Thielecke.

Selain itu, sejumlah 884 tan garam juga telah dikurangkan dari produk bijirin sarapan Nestle dalam tempoh dan tujuan yang sama.

"Produk kami akan terus mengurangkan penggunaan garam beransur-ansur kerana pengambilan garam terbukti berkait rapat dengan darah tinggi dan pelbagai penyakit berkaitan kardiovaskular," tambah beliau.

Lagipun, garam tambahan terdapat dalam pelbagai jenis makanan dan minuman khususnya untuk kesan awetan menyebabkan populasi seluruh dunia mengambil lebih banyak garam dari yang diperlukan oleh tubuh tanpa menyedarinya.

LABEL HIJAU

Sejak tahun 2003 lagi, produk Bijirin Sarapan Nestle juga telah mula mengunakan bijirin penuh secara beransur-ansur di dalam produk mereka bagi memastikan pengguna mendapat lebih banyak kebaikan.

Selepas dua tahun, mereka melabelkan bahagian atas kotak semua produk yang menggunakan bijirin penuh sebagai ramuan utama dengan warna hijau dan logo bijirin berwarna kuning bagi memudahkan pengguna.

Menariknya, penukaran bijirin penuh sebagai ramuan utama itu langsung tidak mengurangkan kepercayaan pengguna, malah, kesemua produk di bawah label itu terus mendahului pasaran bijirin sarapan.

Untuk memudahkan pemahaman mengenai bijirin penuh, Thielecke menjelaskan bahawa, bijirin yang belum diproses terdiri daripada tiga bahagian iaitu bran, endosperma dan germa.

Di Malaysia misalnya, bijirin seperti beras yang dijual di pasaran telah diproses dengan menanggalkan bahagian bran dan germa yang sebenarnya kaya dengan khasiat serta digilap hingga cantik sebelum dijual.

Ini menyebabkan makanan jenis bijirin telahpun kehilangan sebahagian besar daripada khasiat serat, vitamin B dan zat besi yang terdapat pada bahagian bran dan germa melainkan khasiat yang terdapat pada endosperma iaitu karbohidrat, tenaga dan sedikit vitamin B.

-- BERNAMA

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...