PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, September 3, 2013

Manfaat susu ibu sepanjang hayat


Seorang jururawat menunjukkan cara menyusu yang betul pada seorang ibu. 
 
SUSU ibu merupakan makanan terbaik untuk bayi kerana mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan bagi tumbesaran dan perkembangan otak bayi, mudah hadam dan sentiasa tersedia pada suhu yang tetap.

Di samping itu, bayi yang menyusu ibu sepenuhnya dari lahir sehingga enam bulan yang pertama, mempunyai tumbesaran yang baik dan sihat berbanding bayi yang tidak diberi susu ibu.

Susu ibu lebih selamat dan mengandungi semua nutrisi yang diperlukan oleh bayi yang sihat termasuk 160 asid lemak yang tidak didapati dalam susu formula.

Susu ibu juga amat penting sebagai imunisasi pertama bayi. Secara keseluruhan, nutrisi-nutrisi penting ini yang diberikan ketika bayi masih kecil membantu memberikan kesan jangka masa panjang terhadap perkembangan dan masa hadapan kanak-kanak.

Menurut Pengerusi Persatuan Susu Ibu Hospital Pusrawi, Dr. Asmah Yun Mat Sidek, penyusuan susu ibu memberikan seribu kebaikan kepada bayi dan ibu. 

Kesan baik itu bukan hanya dirasai ketika bayi masih kecil namun kekal sepanjang hayat meliputi kesan terhadap perkembangan fizikal, mental, emosi dan pembentukan peribadi seorang anak.

Beliau berkata, menurut kajian Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), penyusuan susu ibu perlu diberikan secara eksklusif.

''Penyusuan susu ibu secara eksklusif bermaksud bayi hanya diberikan susu ibu dalam masa enam bulan pertama selepas kelahiran. Tiada makanan atau minuman lain diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut. 

"Makanan pelengkap hanya dimulakan setelah bayi berumur enam bulan dan ke atas. Penyusuan hendaklah diteruskan sehingga bayi berumur dua tahun.

"Dengan gaya hidup masa kini yang sentiasa sibuk, ramai ibu bekerja menghadapi masalah untuk menyusukan bayi mereka.

"Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga di Malaysia pada tahun 2006, peratusan ibu yang menyusukan bayi bagi sesuatu tempoh adalah 94.7 peratus.

"Walaupun ini merupakan satu kadar yang tinggi, malangnya hanya 14.5 peratus menyusui bayi secara eksklusif selama enam bulan pertama. Ini adalah di antara kadar yang paling rendah di Asia Tenggara.

"Kadar penyusuan secara eksklusif adalah tinggi pada dua bulan pertama, iaitu melangkaui 40 peratus tetapi menurun dengan mendadak selepas bayi berumur dua bulan. Menurut kajian yang sama, lebih separuh daripada bayi tersebut diberi rumusan bayi dan bijirin," kata Dr. Asmah dalam ucapannya pada perasmian dan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Hospital Pusrawi 2013, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah, tema tahun ini Breastfeeding Support: Closer to Mother sesuai dengan matlamat hospital tersebut yang sedang berusaha bagi menggalakkan ibu-ibu yang baru bersalin di hospital tersebut dan seluruh Malaysia untuk menyusukan bayi mereka sendiri.

Sambutan tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Hospital Pusrawi, Dr. Muhamad Fuad Abdullah.

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...