Kebanyakan perkara yang menjadi kebimbangan terhadap wanita yang menjalani pembedahan ini adalah mitos semata-mata.
WANITA yang menjalani caesarean digalakkan menyusukan bayi bagi membantu menguatkan rahim.
MESKIPUN pembedahan caesarean kelihatan mudah dan menyenangkan wanita melahirkan anak, kaedah ini mempunyai risiko tersendiri.
“Caesarean juga sering dikaitkan dengan mitos tertentu yang
menyebabkan sesetengah wanita bimbang dan takut akan tahap kesihatan
mereka setelah menjalani pembedahan tersebut,” kata Dr. Jamiyah Hassan.
Menurut beliau, kebanyakan perkara yang menjadi kebimbangan terhadap
wanita yang menjalani pembedahan ini adalah mitos semata-mata.
Apakah risiko yang paling berbahaya? “Masalah jahitan rahim terbuka semula (USR),” jelas Jamiyah.
Lazimnya, wanita yang hamil selepas 18 bulan dari tarikh pembedahan,
kurang berisiko berhadapan dengan masalah tersebut berbanding mereka
yang hamil dalam tempoh kurang daripadanya.
Justeru jika seseorang wanita itu hamil sebelum tempoh 18 bulan,
doktor yang merawatnya perlu lebih berhati-hati dalam mengawasi
kehamilan kali ini.
“Masalah USR dikatakan berlaku antara 1 dalam 200 sehingga 1 dalam
3,000 kelahiran. Namun, risiko berlakunya perkara ini dikatakan lebih
tinggi kepada wanita yang menjalani pembedahan classical caesarean
section (CCS).
“Jika ia berlaku, terdapat beberapa komplikasi yang mungkin terjadi
kepada ibu dan bayi. Kesan USR ke atas ibu ialah pendarahan dari rahim,
trauma ke atas pundi kencing, kehilangan rahim, jangkitan kuman selepas
pembedahan dan yang paling teruk ia boleh mengakibatkan kematian.
Manakala kesan pada anak ialah masalah bayi lemas dan kematian bayi,”
jelas Jamiyah.
Sehubungan itu, amat penting bagi wanita menjaga kesihatan diri
selepas melahirkan anak menerusi pembedahan terutamanya aspek
pemakanan.
“Tetapi, ramai di kalangan wanita yang terlalu berpantang dalam soal
makanan hingga menyebabkan mereka kekurangan zat atau nutrien yang perlu
untuk kembali cergas. Ini kerana mereka terlalu mengikutkan petua orang
zaman dahulu dalam tempoh berpantang.
“Sebenarnya dalam sains perubatan, tiada istilah berpantang atau
tidak boleh makan sebarangan makanan. Wanita yang bersalin secara
normal atau caesarean boleh makan apa sahaja kecuali benda yang baru
dikeluarkan dari peti sejuk. Mereka perlu memperbanyakkan pengambilan
makanan berprotein dan vitamin C kerana kedua-duanya membantu memulihkan
parut luka pembedahan atau luka jahitan dengan cepat.”
Benarkah kelahiran secara normal, kesakitan yang dialami hanya pada
waktu melahirkan? Jika melalui pembedahan caesarean kesannya
berpanjangan?
“Begitu juga dengan pendapat mengenai kesan yang diterima oleh wanita
yang menjalani caesarean berbeza dengan mereka yang bersalin normal. Ia
tidak boleh diterima pakai kerana perkara itu bergantung kepada
ketahanan wanita itu sendiri terutamanya dalam aspek penjagaan diri
seperti pemakanan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Adakah pembedahan caesarean ini boleh memberi kesan kepada bentuk
tubuh wanita? “Dalam soal ini, ia sebenarnya berbalik sendiri kepada
wanita tersebut. Jika mahu mengembalikan bentuk tubuh kepada yang asal,
mereka harus rajin bersenam dan mengawal kalori.
“Selain untuk merampingkan badan, ia juga boleh membantu mengelakkan
sebarang penyakit seperti diabetes atau hipertensi,” tegas Pengarah
Ikhtisas Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ini.
WANITA yang kembali hamil selepas 18 bulan dari tarikh pembedahan, kurang risiko mengalami USR.
Apakah pesanan beliau kepada wanita yang menjalani pembedahan
caesarean? “Anda perlu menjaga pemakanan contohnya ambil makanan yang
berkhasiat dan seimbang untuk menambah tenaga selain menyembuhkan luka
dalaman. Anda juga harus menjaga parut luka dengan baik dan jangan
sesekali rasa takut untuk berjalan sejurus selepas pembedahan.
“Ini kerana kebanyakan wanita takut untuk berjalan selepas bersalin
secara caesarean kerana kesakitan yang dirasai. Namun,
sekurang-kurangnya dalam tempoh enam jam selepas bersalin, mereka perlu
berjalan atau menggerakkan bahagian badan bagi mengelakkan terjadi darah
beku dalam darah. Dengan bergerak, ia akan membantu merangsang
perjalanan darah dalam badan.
“Di samping itu, mereka juga boleh melakukan senaman ringan selepas
dua minggu dan hanya boleh melakukan aktiviti berat seperti bersukan,
bermain badminton atau berjoging selepas dua bulan. Wanita yang bersalin
secara caesarean turut digalakkan menyusukan bayi anda dengan susu
badan bagi membantu mengecutkan rahim.
“Tetapi, mereka mungkin akan merasa sedikit kesakitan di kawasan
pembedahan berbanding wanita yang bersalin secara normal. Perkara ini
menyebabkan ramai wanita bertindak untuk tidak mahu menyusukan bayi
mereka.” – KHADIJAH MOHAMAD NOR
No comments:
Post a Comment