VIRUS HIV dikenalpasti berasal sejak 100 tahun lalu selepas didakwa disebarkan melalui cimpanzi di Afrika.
VIRUS yang membawa penyakit AIDS telah berlegar di kalangan manusia
selama 100 tahun, beberapa dekad lebih lama berbanding jangkaan saintis
sebelum ini. Demikian satu kajian terbaru mencadangkan. Analisis genetik
itu menganggarkan asal virus HIV antara tahun 1884 hingga 1924 dengan
anggaran utama pada tahun 1908.
Sebelum ini, saintis telah menganggarkan asal HIV sekitar tahun 1930.
AIDS tidak dikenalpasti secara formal sehinggalah pada tahun 1981
apabila ia mendapat perhatian kementerian kesihatan awam Amerika
Syarikat (AS).
"Keputusan terbaru itu tidak membawa anjakan perubahan yang ketara
tetapi ia membawa makna bahawa virus tersebut telah wujud lebih lama
dari yang kita tahu," kata Michael Worobey dari University of Arizona
yang juga pelapor kajian terkini itu.
Keputusan tersebut disiarkan dalam jurnal Nature baru-baru
ini. Para pengkaji mendapati bahawa tarikh anggaran itu berlaku ketika
bandar-bandar di Afrika mula dibangunkan. Mereka juga mencadangkan
pembangunan urbanisasi yang berlaku telah membawa kepada permulaan
kelahiran HIV dan sebaran awalnya.
Saintis berkata HIV diwarisi daripada virus pada cimpanzi yang
memasuki ke dalam tubuh manusia di Afrika, berkemungkinan apabila
manusia menjual daging cimpanzi. Banyak individu pada masa itu
dijangkiti dengan cara tersebut," kata pengkaji.
Tetapi pembangunan bandar-bandar di Afrika mungkin telah mengubahnya
apabila banyak manusia tinggal lebih rapat dan membawa kepada aktiviti
pelacuran, cadang Worobey. "Bandar-bandar adalah tempat yang ideal bagi
virus seperti HIV. Ia menyediakan lebih peluang untuk menjangkiti
seseorang kepada seseorang yang lain," katanya.
Barang kali juga ada seorang individu yang dijangkiti virus ini di
kawasan pedalaman yang telah pergi ke satu tempat yang kini kita
panggilnya, Kinshasa, Congo," tambah Worobey.
Kunci kepada kajian terbaru itu ialah penemuan satu sampel HIV yang
telah diambil daripada seorang wanita di Kinshasa pada tahun 1960. Ia
merupakan salah satu daripada dua sampel yang hanya didapati sebelum
tahun 1976. Satu lagi sampel merupakan dari tahun 1959 dan juga di
Kinshasa.
Kajian terbaru itu secara jelas 'membaiki' tanggapan lalu bahawa
virus HIV berasal sekitar tahun 1930, kata Dr. Anthony Fauci dari
Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan di Bethesda,
Maryland, A.S.
Fauci menyifatkan penemuan itu sebagai satu perubahan pendapat yang baik.
No comments:
Post a Comment