TAHUKAH anda, hampir setiap kanak-kanak akan dijangkiti virus Rota sekurang-kurangnya sekali sebelum mencecah usia lima tahun?
Sedar akan hakikat itu, satu kempen pendidikan, Operation Diaper
telah dilancarkan oleh syarikat Farmaseutikal, GlaxoSmithKline
Pharmaceutical Malaysia (GSK) di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi
meningkatkan kesedaran tentang kadar kelaziman jangkitan virus Rota.
Kempen itu juga bertujuan menekankan kepentingan pencegahan sebagai
sebahagian daripada komitmen bagi memperbaiki kehidupan.
Operation Diaper ingin meningkatkan tahap sensitiviti ibu bapa
terhadap simptom-simptom jangkitan virus Rota dan kesannya terhadap anak
mereka.
Virus Rota merupakan salah satu punca utama masalah cirit-birit dalam
kalangan bayi dan anak-anak kecil. Menurut statistik global, kira-kira
440,000 kanak-kanak meninggal dunia akibat jangkitan virus Rota setiap
hari.
Antara simptom jangkitan itu termasuk demam panas, muntah dan diikuti
cirit-birit. Lazimnya, masalah demam panas dan muntah akan berlanjutan
sehingga sembilan hari. Cirit-birit bagaimanapun boleh berterusan
sehingga tiga minggu.
Muntah yang berlanjutan dan cirit-birit membawa kepada masalah yang lebih besar iaitu dehidrasi.
"Dehidrasi adalah satu masalah besar apabila dijangkiti virus Rota.
Percaya atau tidak, dehidrasi tahap serius boleh membawa maut. Satu
kajian telah dijalankan di Asia iaitu melalui Rangkaian Pemantauan Virus
Rota Asia oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika
Syarikat (AS).
"Hasil kajian menunjukkan kira-kira 57 peratus kemasukan ke wad
akibat kes cirit-birit di Malaysia berpunca daripada jangkitan virus
Rota," menurut seorang perunding dan pakar pediatrik dari Pusat
Perubatan Sime Darby, Dr. Khoo Phaik Choo.
Sebagai penyakit yang mudah berjangkit, virus Rota boleh tersebar
menerusi najis ke mulut. Penyakit ini biasanya berpindah daripada
manusia kepada manusia menerusi barangan mainan serta objek-objek yang
tercemar.
Virus tersebut sangat lasak memandangkan ia boleh hidup selama
berjam-jam di atas tangan atau sehingga lima hari dalam persekitaran
biasa.
"Biarpun membasuh tangan sangat penting, ia tidak bermakna bilangan
virus yang ada akan berkurangan. Sebabnya, sabun biasa tidak boleh
membunuh virus itu.
"Jadi, penting bagi ibu bapa berbincang dengan doktor tentang
langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah anak mereka daripada
terkena jangkitan," tambah Dr. Phaik Choo.
|
|
Bayi berusia antara tiga bulan hingga 24 bulan paling cenderung
terdedah kepada virus Rota. Kira-kira 71 peratus daripada kesemua kes
virus Rota berlaku dalam tahun pertama kehidupan seorang bayi.
Oleh itu, langkah-langkah pencegahan seperti pemberian susu ibu dan
pembasmian kuman di kawasan bermain atau pada barangan mainan secara
kerap harus dilakukan.
Pengambilan suntikan vaksin adalah kaedah pencegahan terbaik terhadap
jangkitan virus Rota, lebih-lebih lagi pada awal usia seseorang bayi.
"Orang ramai perlu tahu impak penyakit yang dihidapi oleh seseorang
anak ke atas ibu bapanya, sama ada dalam bentuk tekanan emosi atau
bebanan kewangan.
"Secara puratanya, kos kemasukan ke wad untuk satu kes jangkitan
virus Rota adalah sekitar RM750 di sebuah hospital bandar di Malaysia.
Ini belum lagi termasuk kos lawatan pesakit luar atau perubatan serta
kos-kos lain seperti lampin, penjagaan kanak-kanak dan sebagainya,"
jelasnya.
Selain itu, masalah muntah dan cirit-birit yang serius juga akan
menjurus kepada kegagalan fungsi buah pinggang, kejutan dan kerosakan
otak.
Anak yang telah dijangkiti virus Rota harus segera mendapatkan
rawatan bagi menggantikan kehilangan air di dalam badan. Pada kebanyakan
masa, penggantian air itu perlu dilakukan menerusi intravena. Apapun
mencegah lebih baik daripada mengubati. Suntikan vaksin perlu diberikan
kepada anak sebagai pencegahan terbaik.
"Virus Rota boleh berlaku kepada hampir semua kanak-kanak. Namun, apa
yang dikesalkan tahap kesedaran orang ramai terhadap penyakit ini dan
cara-cara mencegahnya masih di tahap rendah.
"Jadi, Operation Diaper ingin mengubah keadaan ini menerusi kerjasama
dengan golongan profesional dalam bidang penjagaan kesihatan. Kami
ingin mendidik ibu bapa tentang penyakit ini dan cara mencegahnya," ujar
Naib Presiden dan Pengarah Urusan (Serantau) GSK Pharmaceutical,
Francis Del Val.
No comments:
Post a Comment