PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, April 17, 2011

Elakkan cedera ketika berlari (Kosmo Online)




MENGAMALKAN rejim senaman selama 30 minit tiga kali seminggu sememangnya ideal untuk menyihatkan tubuh badan seseorang.

Fungsi senaman yang betul tidak hanya terhad pada keberkesanan penurunan berat badan. Ia turut mengambil kira teknik menguatkan otot dan meningkatkan stamina. Pada masa yang sama, amalan senaman bersistematik juga boleh mengurangkan kebarangkalian seseorang menghidap penyakit jantung.

Ini diakui Pengarah Pusat Pemulihan Kardiak, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), Dr. Margherita Vona. Dia turut mendedahkan, satu kajian yang dijalankan di negara itu mendapati masyarakat tempatan berjaya menjalani kehidupan yang sihat dan membaiki aliran darah dengan mempraktikkan apa jua jenis senaman.

"Senaman dapat membantu tahap kecergasan dan kesihatan individu. Tapi kita perlu ingat senaman yang baik bukan sahaja terletak pada aktiviti larian atau berjoging. Sebaliknya, ia merangkumi bermacam-macam aktiviti seperti berjalan kaki, menari, senam aerobik, naik tangga mahupun berkebun.


ZULKEPLI memeriksa kekuatan otot atlet yang mengalami kecederaan di pergelangan kaki.


"Pada pengalaman saya segelintir individu mula obses berlari dan berjogging apabila doktor mengesahkan mereka mengalami masalah jantung atau tahap kolesterol yang tinggi. Namun, malangnya tanpa merujuk pada pakar kecergasan ataupun ahli fisioterapi terlebih dahulu, mereka mudah terdedah pada masalah kecederaan otot dan ligamen," jelas Ketua Fisioterapi Cawangan Perubatan Khas Institut Sukan Negara, Zulkepli Abu Samah.

Menurut Zulkepli, kecederaan sewaktu berlari atau joging kerap berlaku kerana individu tidak melakukan persiapan fizikal dan penampilan serta mengambil sikap sambil lewa.

Seharusnya sebelum memulakan aktiviti senaman tersebut, seseorang perlu menitikberatkan soal pemilihan baju senaman yang bersesuaian dan pemakaian kasut yang tepat.

"Kadang-kadang orang kita beli kasut sebab jenama, rekaan dan warna. Sehinggakan kasut yang dibelinya itu bukan kasut untuk berjoging. Individu perlu mengerti jika aktiviti sukan mempunyai alat sukannya sendiri begitu juga dengan kasut yang dihasilkan mengikut jenis sukan," jelasnya.

Hentakan kaki

"Jadi bagi mereka yang gemar berjoging, pastikan anda memiliki kasut joging dan bukannya kasut untuk bermain badminton atau sukan lain. Selain itu, jangan sesekali berlari di jalan tar atau permukaan yang keras kerana ia menyebabkan larian yang dilakukan terdedah pada hentakan dan gegaran tubuh badan yang kuat," tambahnya sambil menyarankan senaman renang atau berbasikal.

Kedua-dua jenis senaman itu tidak menyebabkan kecederaan lantaran tidak melibatkan beban badan sepenuhnya pada kaki.

Misalnya, apabila berbasikal statik di rumah atau gim, sepasang kaki sahaja yang akan bergerak dan mengayuh sedangkan bahagian badan atas pula 'berehat' di atas tempat duduk. Namun begitu, bagi menggelakkan kesakitan badan postur badan, pastikan posisi duduk itu tegak dan bukannya membongkok.

Terang Zulkepli yang telah berkhidmat selama 18 tahun di ISN, kebiasaan membongkok pada usia muda menyebabkan postur berkenaan menjadi lebih buruk pada usia emas.

Larian trek

Sementara itu pelari negara, Siti Fatimah Mohamad, 24, turut menyokong saranan fisioterapi Zulkepli. Atlet remaja yang mula aktif berlari sejak usia lapan tahun itu mengakui berlari atau berjoging di permukaan yang keras atau di jalan raya boleh mendatangkan kecederaan pada bahagian otot, ligamen dan tendon.


BALWANT SINGH antara lain menyarankan warga emas supaya melakukan senaman berjalan kaki atau berbasikal statik.


Anak bongsu daripada empat orang adik-beradik itu lebih selesa menjalani latihan larian atau senaman untuk meningkatkan stamina di trek larian yang sebenar.

"Permukaan trek larian di stadium dan trek larian di taman berbeza sama sekali. Trek larian diperbuat daripada plastik yang fleksibel bagi mengurangkan hentakan kepada pelari. Tapi bagi mereka yang gemar berjoging tapi sukar mencari trek anda boleh melakukan aktiviti tersebut di padang atau taman yang luas, rata dan mempunyai rumput.

"Permukaan padang jauh lebih lembut dan selesa berbanding kita berjoging di atas jalan raya keras. Sekiranya bimbang akan cedera sewaktu berlari, usah memilih padang yang berlopak atau berbukit," tutur penyandang gelaran Ratu Pecut Sukan Universiti ASEAN (SUA) 2008 itu.

Tambahnya, bagi mengenal pasti corak senaman yang bersesuaian dengan tubuh badan, seseorang perlu mendapatkan rujukan dan pemeriksaan dengan ahli fisioterapi. Ia juga bagus untuk menentukan sama ada tubuh bersedia untuk melakukan aktiviti senaman yang dipilih.

Bagi atlet lawan pedang negara, Ayse Nur Hikmet, 22, aktiviti berjoging memang baik untuk stamina jika dilakukannya di tempat yang betul.

"Namun begitu, kecederaan pada otot boleh terjadi jika ia dilakukan dengan intensiti yang kerap dan lama. Ini merujuk kepada hentakan tapak kaki yang kuat ketika berlari," kongsinya yang gemar menjana stamina dengan berjoging di taman.

Ikut usia


PEMERIKSAAN kecederaan kaki yang dijalankan oleh pakar fisioterapi.


Dalam pada itu, Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA), Dr. Balwant Singh Bains menyifatkan amalan senaman yang betul perlu dilakukan mengikut usia.

Pada peringkat remaja, seseorang individu bebas melakukan apa jua jenis senaman asalkan ia tidak menyakitkan dan membebankan tubuh badan.

Selain berlari atau berjoging remaja turut disarankan bersenam dengan bermain bola jaring, aerobik atau berjalan pantas. Sementara itu bagi kelompok individu yang berusia 40 tahun ke atas, mereka tidak digalakkan berlari atau berjoging kerana aktiviti ini memerlukan tenaga yang banyak.

"Kami di MPA tidak mengatakan berlari itu tidak boleh, tetapi ia perlu mendapat nasihat terlebih dahulu daripada ahli fisioterapi bertauliah. Dalam dunia ini, sebenarnya hanya 20 peratus yang layak melakukan senaman larian. Baki 80 peratus lagi perlu memilih jenis senaman yang lain seperti berjalan pantas.

"Oleh itu bagi menentukan sama ada anda layak berlari atau tidak, ahli fisioterapi akan menjalankan pemeriksaan secara klinikal," ujar Balwant Singh yang ditemui di klinik Bains Physio di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut mengenai faktor yang menentukan kelayakan seseorang berlari, perkara itu ditentukan dari sudut kuadrisep (Q-Angle) yang diukur antara pinggang dan lutut. Bagi seorang lelaki, dia boleh menjadi pelari yang baik sekiranya Q-Angle berada pada 14 darjah manakala bagi wanita pula adalah 17 darjah.

Sementara itu, Lee Li Yen, 30, yang sudah lima bulan menjalani terapi elektro dan sesi gim di klinik Bains Physio, memberitahu, input dan saranan daripada ahli fisioterapi amat penting agar postur dan otot seseorang itu sesuai dengan aktiviti harian yang dilakukan.

"Sejak tahun lepas saya mengalami masalah kesakitan otot yang teruk. Sukar untuk mengenalpasti puncanya tetapi Balwant Singh menyatakan barangkali ia terjadi akibat gaya hidup pekerjaan dan pemakaian kasut tinggi tiga inci sepanjang tempoh 10 tahun lalu," ujar ibu kepada dua orang anak itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...