PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, May 23, 2012

Ramziah, Jururawat Terbilang Negara

15 Mei, 2012 18:26 PM

http://www.holistichealingcongress.com/wp-content/uploads/2012/02/drdameramziah.jpg

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Profesion kejururawatan penting dalam menjaga mereka yang sakit dan memerlukan bantuan tetapi bukan semua anggota masyarakat yang menghargai profesion ini.

Bekerja secara syif meninggalkan keluarga, pagi, petang mahupun malam bagi memastikan segala keperluan pesakit dijaga sebaik mungkin adalah satu pengorbanan yang cukup besar nilainya.

Di hospital mahupun klinik, mereka berhadapan pula dengan kerenah pesakit yang pelbagai ragam dan kehendak, lantas menuntut kesabaran yang tinggi.

Tugas mereka bukan sahaja menguruskan pesakit dengan memberi ubat, menjaga makan dan minun malah melakukan tugas membersihkan badan dan kumuhan yang dilihat menjijikkan hingga ada yang menyamakannya dengan tugas seorang "amah".

Namun pengorbanan ini sering dipandang sepi sehingga ada segelintir masyarakat menganggapnya sebagai kerjaya pilihan terakhir. Persepsi ini membuatkan kerjaya jururawat kurang menonjol.

Bertemu dan berkongsi pengalaman rahsia kejayaan seorang bekas jururawat, Ramziah Ahmad, yang juga Presiden Persatuan Jururawat Kebangsaan baru-baru ini mengundang perasaan bangga penulis.

Dan beliau bukan jururawat biasa. Beliau berkelayakan tinggi dan satu-satunya jururawat di negara ini yang menerima pingat 'Knight Of Charity' dari United Kingdom yang membawa gelaran 'Dame'.

KERJAYA GURU KE JURURAWAT

Dilahirkan di Perlis, minatnya dalam bidang kejururawatan disedari ketika bertugas sebagai guru sementara selepas menghabiskan persekolahan pada tahun 1972.

Setiap kali ada pelajar yang demam, beliau akan membasahkan tuala dan meletakkan di dahi serta di seluruh badan bagi menurunkan suhu badan.

"Mereka merasa seronok dan ada di kalangan murid saya yang berpura-pura kononnya demam semata-mata untuk mendapat layanan dan perhatian daripada saya.

"Dari situ, rakan-rakan guru berkata saya lebih sesuai menjadi seorang jururawat," katanya.

Selain itu, bapanya yang menghidap penyakit asma, menjadi pembakar semangat untuk beliau memilih kerjaya itu dengan harapan satu hari nanti dapat menjaga bapanya.

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan selama tiga tahun di Pulau Pinang, beliau ditempatkan di Hospital Hulu Selangor pada tahun 1976 yang menjadi tempat pertama beliau memulakan tugas sebagai jururawat.

"Setiap hari cerita yang berbeza kerana kita bertemu dengan pesakit yang silih berganti. Ini menjadikan kerjaya sebagai jururawat sangat menarik kerana kita bertemu dengan semua peringkat dan golongan manusia," katanya yang sempat menjaga bapa dan ibunya sebelum mereka meninggal dunia.

Empat tahun di sana, beliau kemudian ditukarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menjadi tenaga pengajar kepada pelatih jururawat.

Melihat kepada kesungguhannya, Ketua Jururawat Hospital telah menghantarnya mengikuti kursus pembasmian kuman selama empat bulan di Kuala Lumpur sebelum dilantik mengetuai bahagian itu.

"Sejak dari itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan saya bertekad untuk terus menimba ilmu untuk meningkatkan pengetahuan kerana saya yakin skop kerja di hospital sangat luas," katanya yang mendapat ijazah kejururawatan dari Universiti Malaya pada tahun 1996.

KE PENTAS ANTARABANGSA

Suami serta dua anak perempuannya cukup memahami pencariannya dan antara sebab beliau mampu mencapai kejayaan dalam kerjaya.

Beliau bersara dua tahun lepas dengan jawatan terakhir sebagai jurulatih di Institut Pengurusan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan dan telah melatih lebih 7,000 jururawat di peringkat pengurusan.

"Untuk menjadi ketua yang terbaik, wajib mempunyai ilmu," katanya yang pernah tiga kali dipilih menerima anugerah Khidmat Cemerlang Kementerian Kesihatan serta penerima anugerah Sri Kandi Cemerlang dari Persatuan Jururawat Malaysia.

Oleh kerana sentiasa dahagakan ilmu, beliau tidak pernah lokek mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menghadiri persidangan di dalam dan luar negara bagi meningkatkan ilmu dan pengetahuan.

Pengalaman dan ilmu yang diperoleh menyebabkan beliau sering dipanggil untuk membentangkan kertas kerja yang membabitkan perkembangan dan pembangunan kerjaya kejururawatan dan sering menjadi wakil Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau juga turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Persekutuan Jururawat Komanwel di Rantau Pasifik sempena mesyuarat Dwi-tahunan Persekutuan Jururawat-jururawat Komanwel di Botswana, Afrika pada 2009.

"Pelbagai kursus, seminar dan persidangan di peringkat antarabangsa saya hadiri dengan matlamat yang satu untuk berkongsi ilmu dan pengalaman," katanya yang turut memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah dalam bidang Perubatan Pelangkap dari Sri Lanka.

WANITA PERTAMA MENDAPAT GELARAN DAME

Tugas seorang jururawat memerlukan minat yang tinggi, perlu memahami tugas dengan sebaiknya serta berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan bagi mengangkat kerjaya jururawat ke tahap yang profesional.

"Saya merasa cukup bersyukur kerana usaha dan sumbangan selama ini dalam bidang jururawat dan perubatan diberi perhatian bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.

Ramziah yang juga dekan Fakulti Universal Science Of Colour (FUSC) berkata negara masih memerlukan lebih ramai jururawat yang benar-benar terlatih serta memiliki kelayakan akedemik yang tinggi di peringkat ijazah, sarjana hingga ke doktor falsafah.

Beliau berkata ilmu itu akan membina keyakinan mereka untuk memberi khidmat kepada masyarakat bersesuaian dengan keperluan masa kini di samping perkembangan pesat dalam teknologi perubatan.

Beliau menasihatkan sebelum menceburi bidang kejururawatan, mereka yang berminat harus bertanya kepada diri sendiri sama ada iklhas atau tidak menceburinya kerana bidang kejururawatan memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi.

Ujarnya kepuasan seorang jururawat bukan sekadar menjalankan tugasnya dengan sempurna, tetapi apabila melihat pesakit mampu tersenyum dan pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan sihat.

"Ia adalah satu tugas yang mulia," katanya mengakhiri perbualan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...