|
TAN SRI DR. ROBAAYAH ZAMBAHARI tidak asing lagi dalam bidang rawatan jantung di negara ini. Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara (IJN) itu merupakan salah seorang daripada kelompok terawal yang mempelopori penubuhan hospital jantung terkenal itu.
"Dahulu pesakit jantung tidak seramai sekarang. Kini ia menjadi pembunuh No. 1 di banyak negara maju, begitu juga Malaysia," imbas pakar kardiologi berusia 60 tahun itu.
Robaayah menganggap bahagian paling sukar dalam kerjayanya bukan di bilik pembedahan sebaliknya semasa proses perundingan bersama keluarga pesakit.
"Kes melibatkan jantung sentiasa berisiko dengan nyawa menjadi pertaruhan lebih-lebih lagi jika berlaku situasi cemas semasa pesakit dibedah.
"Walaupun saya telah mengendalikan pelbagai kes kritikal melibatkan jantung dan paru-paru, saat perundingan dengan keluarga pesakit adalah yang paling mencabar," beritahu beliau.
Tambah Robaayah, adalah menjadi tanggungjawab seorang pakar untuk menerangkan kepada keluarga pesakit mengenai risiko rawatan yang mungkin dihadapi.
"Mereka yang datang kepada kami membawa harapan yang sangat tinggi.
"Mereka berharap pesakit yang berjumpa kami akan sembuh, tetapi ada juga kes ahli keluarga yang tidak dapat mengawal perasaan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.
Gagal
"Pada peringkat itu, ada sebilangan ahli keluarga yang pada mulanya bersedia menerima apa sahaja kemungkinan, berubah sikap selepas satu pembedahan yang gagal," ujar beliau sambil memberitahu, satu atau dua peratus pesakit meninggal dunia semasa pembedahan.
Robaayah berkata, doktor bukan Tuhan.
"Pakar kardiologi dan pembedahan jantung hanya melakukan apa yang terdaya untuk menyelamatkan nyawa pesakit tetapi mereka tidak boleh memberi jaminan pembedahan itu akan berjaya 100 peratus," ujarnya.
Robaayah berkata, kadangkala pesakit mengalami komplikasi lain seperti strok yang bebannya terpaksa ditanggung oleh keluarga mereka seumur hidup.
Beliau menegaskan, pesakit serangan jantung yang teruk mesti dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan secepat mungkin kerana jika terlambat ia akan menjejaskan organ lain.
Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan jantung agak menakjubkan.
Beliau berkata, pesakit yang memiliki jantung yang terlalu lemah kini boleh menukarnya dengan jantung baharu dengan selamat asalkan ada penderma jantung. Kemudahan teknologi turut membolehkan masalah jantung dikesan dengan lebih pantas.
Setakat ini, lebih 18 orang telah menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN sejak tahun 1997 manakala tiga pemindahan paru-paru dilakukan sejak tahun 2005.
Antara kes yang mendapat perhatian rakyat Malaysia ialah pelajar sekolah dari Batu Pahat, Johor, Tee Hui Yee, 19, yang kini menjalani kehidupan normal selepas menerima jantung sebenar pada tahun 2006. Sebelum itu, Hui Yee memakai jantung mekanikal yang hanya boleh bertahan selama dua tahun.
Tersumbat
"Kami berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama ke atas pesakit R. Sathrugnan pada tahun 1997.
"Manakala Muhammad Fikri Nor Azmi ialah rakyat negara ini yang pertama menerima jantung mekanikal sebelum menjalani pembedahan pemindahan jantung sebenar pada tahun 2005.
"Kini dia sihat dan menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan," katanya.
Awal bulan ini, Robaayah memandang serius kesihatan jantung wanita di negara ini kerana satu perempat populasi wanita berusia 56 tahun dan ke atas berisiko diserang penyakit berkaitan kardiovaskular berbanding kanser.
|
|
Di samping itu, wanita yang suka merokok turut berisiko tinggi berdepan sakit jantung.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun tahap kesedaran terhadap penyakit jantung adalah tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, beliau mengakui penyakit koronari jantung adalah yang paling membimbangkan. Ia berupaya menyebabkan kematian jika tidak dirawat.
"Biasanya penyakit jenis itu dikaitkan dengan saluran darah tersumbat pada jantung akibat merokok, kegemukan, kurang bersenam, mengambil makanan tidak sihat dan berkolesterol tinggi, darah tinggi dan diabetes.
"Stres turut menjadi punca jantung tersumbat. Di negara lebih maju, mereka berjaya mengurangkan kesan penyakit jantung dengan menggunakan teknologi perubatan terkini.
"Kita juga memiliki kepakaran dan teknologi yang bagus, malangnya pada masa yang sama kes koronari jantung semakin merisaukan," katanya yang pakar melakukan drug elluting stent (DES) bagi merawat penyakit berkaitan saluran darah jantung tersumbat.
Menurut Robaayah, rawatan DES dilakukan menggunakan stent yang berupa tiub jaringan kecil seakan-akan spring dengan diameter antara 2.25 hingga 4 milimeter. Tiub itu dimasukkan ke dalam arteri jantung yang sempit untuk kembali melancarkan peredaran darah.
Nasihat Robaayah, bagi mengelak masalah ini jauhi makanan berkolesterol tinggi seperti susu penuh krim, minyak sapi dan makanan segera.
"Amalkan senaman setiap hari. Makan makanan seimbang dan berkhasiat adalah langkah terbaik menjaga jantung," katanya.
Sejarah IJN bermula sebagai Bahagian Kardiologi di Jabatan Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1977. Pada tahun 1982, ia beroperasi sebagai Klinik Kardiologi dan Klinik Pembedahan Jantung HKL.
Pada tahun 1992 barulah IJN ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan dan memiliki bangunan sendiri di ibu negara. Selama 18 tahun penubuhannya, IJN telah merawat lebih dua juta pesakit tempatan dan antarabangsa.
Statistik IJN menunjukkan sejumlah 3,183 kes pembedahan pintasan jantung (koronari) dilakukan di institut itu antara tahun 2009 hingga 2011. Ini diikuti pembedahan injap jantung melibatkan 1,330 kes manakala 2,556 kes pembedahan jantung berlubang.
Dalam tempoh yang sama sebanyak 7,785 pesakit mendapatkan rawatan saluran darah jantung tersumbat, masalah denyutan jantung (2,383) dan jantung berlubang (296).
No comments:
Post a Comment