SAYA ialah seorang penggemar kucing. Saya
mempunyai 10 ekor kucing di rumah, kebanyakannya kucing kampung. Untuk
pengetahuan doktor, saya sedang mengandung anak pertama dalam empat
bulan. Saya tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah perubatan semasa
hamil. Kawan baik saya ada memberitahu akan masalah yang mungkin timbul
kepada bayi dalam kandungan jika kita membela kucing. Mohon penjelasan
daripada doktor?
Penggemar kucing, Selangor.
JAWAPAN:
Haiwan jinak seperti kucing sememangnya kerap dijadikan haiwan
peliharaan di rumah. Tetapi sekiranya anda sedang hamil, mungkin anda
perlu mengehadkan masa bersama dengan haiwan peliharaan khususnya dari
segi pengendalian najis kucing. Membela kucing boleh memberikan kesan
negatif kepada kehamilan. Keadaan ini berkait rapat dengan sejenis
parasit iaitu protozoa yang dikenali sebagai toxoplasma gondii yang
membiak di dalam usus kucing dan didapati di dalam najisnya dan juga
dalam tanah.
Parasit ini menyebabkan sejenis jangkitan yang sering ditemui iaitu
toksoplasmosis yang tidak membahayakan orang dewasa tetapi boleh
menyebabkan masalah kesihatan serius kepada bayi dalam kandungan. Ini
boleh mendatangkan ancaman jangkitan toksoplasma yang boleh memberi
kesan kepada anak dalam kandungan. Ramai wanita dijangkiti oleh parasit
toksoplasma tetapi tidak menyedari hakikat ini kerana parasit ini tidak
memberikan tanda yang ketara.
Isu yang paling dikhuatiri ialah apabila jangkitan parasit itu
dialami buat kali pertama ketika mengandung. Ramai ibu yang sedang hamil
tidak mengetahui bahaya parasit berkenaan kerana ia tidak mendatangkan
petanda luar biasa seperti sesak nafas atau demam tinggi.
Sebaliknya, ibu yang dijangkiti akan mendapat demam serta selesema
biasa, kelenjar limfa membengkak, sakit otot, kekejangan dan sakit
sendi. Gejala sebegini selalu dianggap 'keadaan biasa' oleh ibu hamil
dan doktor yang merawatnya. Proses penyebaran boleh berlaku berpunca
daripada najis haiwan peliharaan yang menyebabkan toksoplasmosis atau
dalam dunia perubatan digelar jangkitan yang disebabkan oleh parasit
toksoplasma yang menyerang jaringan saraf manusia.
Menjangkiti bayiSeorang wanita yang dijangkiti sama
ada sebelum atau semasa hamil, boleh menjangkiti bayi yang dikandung.
Toksoplasmosis kongenital adalah satu masalah perubatan yang mana bayi
dalam kandungan dijangkiti melalui uri (plasenta). Jika seorang wanita
menerima pendedahan pertama kepada toksoplasmosis ketika mengandung,
bayi akan berisiko tinggi. Risiko bayi termasuk mati dalam kandungan,
buta mata dan kecacatan otak termasuk 'retardasi mental'.
Jangkitan paling biasa diperolehi menerusi sentuhan dengan kucing
serta najis mereka. Toksoplasma juga boleh dijangkiti apabila wanita
mengendalikan daging mentah atau separuh masak.
PeringatanSebagai peringatan kepada wanita khususnya
yang sedang hamil dan berusaha untuk hamil, anda perlu mengehadkan masa
bersama haiwan atau pengurusan najis haiwan itu. Pengurusan najis
haiwan ini boleh dilakukan oleh suami atau orang lain. Dengan cara ini
moga anda dapat mengelak risiko jangkitan kali pertama ketika hamil.
Lebih utama ia dapat mengurangkan risiko bayi menghidapi toksoplasmosis
kongenital.
Jika doktor mengesyaki yang ibu mempunyai jangkitan toksoplasmosis
aktif, ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran antibodi
yang mengesahkan jangkitan ini. Jika ibu disahkan mendapat jangkitan,
ujian lanjutan seperti amniosintesis dan ujian imbasan ultrabunyi akan
dilakukan ke atas bayi dalam kandungan. Ibu akan diberi ubat khusus jika
bayi disyaki telah dijangkiti, agar gejala yang akan dialami oleh bayi
apabila lahir dapat dikurangkan.
RawatanRawatan ini diteruskan ke atas bayi selepas
dilahirkan. Sebaliknya, jika bayi dalam kandungan belum dijangkiti, ibu
akan diberi ubat antibiotik khusus supaya risiko jangkitan kepada bayi
dapat dikurangkan sehingga 50 peratus. Bayi-bayi yang baru dilahirkan
oleh ibu-ibu yang mendapat jangkitan toksoplasmosis haruslah diuji agar
tidak mempunyai sebarang gejala semasa dilahirkan dan terus diberi
rawatan.
Langkah-langkah pencegahan seperti berikut dapat mengurangkan insiden
ia berlaku. Antaranya dengan membasuh tangan sebelum mengendalikan
makanan, mengelakkan pemakanan daging mentah atau tidak sempurna
dimasak, membasuh dengan teliti buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak
perlu dimasak sebelum dimakan, menggunakan sarung tangan semasa
berkebun atau semasa mengendalikan tanah dan akhir sekali elakkan
daripada menyentuh najis kucing.
Elakkanlah membela kucing semasa hamil sekiranya langkah ini sukar dilakukan.
No comments:
Post a Comment