SAYA dan isteri berusia 27 tahun dan kami berkahwin hampir dua tahun.
Sehingga kini isteri belum hamil. Hasil pemeriksaan menunjukkan saya
menghadapi masalah kurang sperma dan tiada sperma aktif.
Jumlah sperma yang diukur cuma 13 juta/ml, malah tiada jumlah sperma
aktif dan 25 peratus sperma bergerak perlahan. Bolehkah masalah saya
diubati kerana kami mahu cahaya mata dan latar belakang keluarga tiada
masalah.
Saya pernah kemalangan pada 2007 yang mengakibatkan tulang belakang
terakhir di bahagian punggung mengalami keretakan. Saya juga kuat
merokok sekitar 20 batang sehari. Kerja seharian saya banyak dihabiskan
di dalam kereta dan pejabat dan saya juga selalu tidur sekitar jam 12
tengah malam kerana melakukan kerja pejabat di rumah. Disebabkan
kekangan kerja, saya juga jarang bersenam. Hampir dua atau tiga bulan
sekali baru saya bersenam. Hubungan kelamin juga biasanya bertahan 15
minit saja kerana alat sulit saya tidak dapat bertahan lama sebelum
ejakulasi.
- Mr. R, Selangor.
JAWAPAN:
Kesukaran untuk hamil tidak semestinya disebabkan oleh wanita
sahaja tetapi juga lelaki. Hampir 30 hingga 40 peratus infertiliti atau
kemandulan disebabkan oleh faktor lelaki. Walaupun lelaki dapat terus
menjadi 'produktif' pada usia yang lebih lanjut tetapi ianya tidak
bermakna mereka lebih subur. Ramai lelaki mengalami masalah disfungsi
seksual seperti ejakulasi pramatang, kegagalan ereksi dan sebagainya.
Terdapat juga lelaki yang mempunyai kualiti dan kuantiti sperma yang
rendah akibat faktor genetik, merokok, meminum minuman keras dan
mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat. Jangkitan pada kelenjar testis
dan saluran yang membawa sperma juga boleh menyebabkan infertiliti.
Seperti juga wanita, lelaki juga boleh mengalami infertiliti jika
menerima ubat-ubat kemoterapi ataupun radioterapi.
Anda menjalani ujian air mani dan mendapati kuantiti sperma dan
kualiti sperma merosot Kemungkinan juga peratusan sperma anda tidak
berbentuk normal. Mungkin doktor memeriksa buah zakar anda untuk
meneliti jika isi padu kedua-duanya normal dan pembuluh darah zakar
normal tanpa perubahan berpintal atau varikosel. Anda mungkin tahu
kedudukan buah zakar dalam kerandut dan di luar badan.
Jika anda memakai seluar dalam ketat atau tebal, suhu dalam kerandut
zakar menjadi tinggi dan ini menjejaskan proses pembiakan sperma dalam
kilang sperma. Sama juga jika berat badan tinggi dan anda banyak
melakukan kerja dalam keadaan duduk kerana itu membuatkan buah zakar
terperap dalam 'lemak' seolah-olah macam dalam 'ketuhar' yang secara
langsung meningkatkan suhu kerandut buah zakar dan menjejaskan proses
spermatogenesis (proses pengilangan sperma).
Merosakkan
Amalan merokok boleh menjadi sebab utama sperma bermasalah. Merokok
membuatkan anda menghidu bahan toksik yang merosakkan sistem reproduksi
dan kesuburan tanpa anda sedari. Merokok mengancam kesuburan lelaki
secara meluas dan menyebabkan kualiti dan kuantiti sperma merosot.
Mengikut kajian pakar infertiliti, merokok merosakkan sperma secara
terus apabila air mani tercemar dengan bahan toksik yang menyebabkan
kerosakan kepada protein dan nutrien dalam air mani. Proses kerosakan
sperma meningkat ketara apabila amalan merokok berpanjangan.
Lagi lama anda merokok, lagi bermasalah kualiti sperma anda. Merokok
mengurangkan bilangan atau kuantiti sperma. Ini kerana bahan kimia
mencegah penyerapan vitamin dan mineral dalam air mani seperti
kekurangan vitamin B12, vitamin E dan zat galian.
Merokok merendahkan tahap hormon kesuburan diperlukan untuk pembiakan
sperma dalam kilang. Kadar peratusan bilangan sperma boleh merosot
daripada beratus-ratus juta kepada satu angka dalam keadaan serius. Saya
harap agar maklumat ini dapat membuka minda dan mendorong anda untuk
berhenti merokok.
Merokok juga mengganggu pergerakan sperma. Pergerakan sperma ialah
keupayaan bergerak secara ke depan memasuki pangkal rahim (serviks) dan
salur Fallopio untuk berjumpa dengan ovum (telur) bagi proses
persenyawaan. Sperma perlu bergerak laju dan sehala supaya dapat
bergerak dalam kelajuan baik supaya mudah sampai ke destinasi. Ini
terhalang akibat merokok. Bilangan sperma yang sampai tidak cukup untuk
berinteraksi dengan ovum (telur) bagi memudahkan penetrasi satu sperma
ke dalam telur semasa proses persenyawaan.
Merokok juga menyebabkan penghasilan sperma berbentuk tidak normal
akibat tindak balas bahan radikal bebas daripada bahan kimia rokok.
Sperma yang tidak berbentuk normal tidak dapat bergerak dan
mensenyawakan ovum.
Saya nasihatkan agar encik berhenti merokok demi isteri yang tercinta
dan juga demi zuriat yang diimpikan. Kurangkan juga stres dan ambil
masa untuk berehat dan bercuti bersama isteri. Gunakan juga masa yang
ada untuk sama-sama bersenam dengan isteri. Cuba amalkan nasihat-nasihat
ini kerana terbukti dapat meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma.
Selepas itu elok berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan,
nasihat dan rawatan yang lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment