PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, June 2, 2013

Kandungan Tar, Nikotin Pada Rokok Akan Dikurangkan - Dr Subramaniam


PETALING JAYA, 2 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan akan meminta syarikat-syarikat rokok di negara ini mengurangkan lagi kandungan tar serta nikotin dalam tembakau sebagai langkah menghapus tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata, langkah itu serta beberapa tindakan lain akan dibuat melalui dua fasa iaitu mulai Jan 2014 dan Jun 2015.

"Kita akan kurangkan kandungan tar dalam sebatang rokok dari 20 miligram kepada 10 miligram dan kandungan nikotin dari 1.5 miligram kepada 1 miligram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan 2013 di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini Ahad.

Turut hadir ialah Pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam berkata langkah lain yang akan dibuat ialah gambar kempen anti merokok pada setiap kotak tembakau atau kotak rokok akan dibesarkan kepada 50 peratus dari saiz 40 peratus sekarang.

Semua tindakan itu akan dibuat secara berperingkat dan kementerian juga akan mengambil langkah untuk menghalang promosi rokok secara langsung dan tidak langsung termasuk pengiklanan serta pemberian diskaun.

Pengharaman promosi termasuk melalui penglibatan dengan aktiviti kemasyarakatan atau sukan walaupun tujuannya murni, kata beliau.

Beliau tidak menolak kemungkinan negara akan mengambil langkah sama seperti di beberapa buah negara termasuk Thailand dan Australia di mana rokok tidak akan dipamerkan di rak-rak khas seperti sekarang ini sebaliknya akan disimpan di dalam laci dan akan dikeluarkan apabila pelanggan datang membeli.

"Di Malaysia, antara 10 peratus hingga 12 peratus atau 10,000 punca kematian setiap tahun adalah berpunca dari tabiat merokok. Pada tahun 2011, 11,056 kematian di hospital kerajaan boleh dikaitkan dengan tabiat menghisap rokok," katanya.

Katanya, dianggarkan seramai empat juta rakyat Malaysia adalah perokok.

Rakyat Malaysia terutama dari golongan pertengahan juga menghabiskan di antara RM500 ke RM600 sebulan untuk membeli rokok dan ini mempunyai implikasi terhadap ekonomi mereka, katanya.

Bagi membantu mencegah berleluasanya penjualan dan penggunaan rokok tidak sah atau rokok "haram" dari negara jiran, kementerian itu akan bekerjasama rapat dengan pihak kastam untuk mengambil tindakan ke atas penjual atau mana-mana orang yang menjual, membeli atau memiliki rokok berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...