PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, September 13, 2014

Tindakan Segera Bila Dijangkiti Demam Denggi




Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Terdapat empat perkara penting yang mesti diberi perhatian apabila seseorang disyaki atau dijangkiti demam denggi.

Pertama, pesakit mesti mendapat jumlah cecair sama ada melalui minuman atau makanan berkuah yang mencukupi, sasaran itu dianggap tercapai apabila pesakit membuang air kecil sekerap empat hingga enam jam.

Seterusnya, pesakit mesti dapat mengenalpasti tanda-tanda amaran komplikasi yang terdiri daripada empat gejala utama iaitu muntah, sakit perut, berdarah dari mana-mana bahagian badan dan pening-pening apabila bangun dari perbaringan.

Perkara ketiga ialah pesakit mesti hadir setiap hari ke makmal klinik kerajaan untuk ujian darah bagi memastikan tanda amaran komplikasi dapat dikesan segera.

Akhir sekali ialah jangan mengambil ubat sebarangan terutama ubat tahan sakit kecuali paracetamol jika pesakit demam kuat atau sakit-sakit badan, sebaliknya, patuhi nasihat doktor yang hanya membenarkan dos maksimum iaitu paracetamol 500mg sebanyak lapan biji sehari.

Demikian kesimpulan yang ditegaskan oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dari Hospital Sungai Buloh, Dr Suresh Kumar Chitambaram.

"Pesakit juga diminta supaya tidak menjadi alat kenderaan untuk virus denggi yang ada di dalam badan mereka," nasihat beliau.

Ini bermakna, pesakit perlu mengelak daripada digigit nyamuk.

"Jika seekor nyamuk menggigit anda dan menggigit pula orang lain, anda sebenarnya telah menyebarkan virus denggi kepada semua orang yang digigit kemudian", tambahnya.

Lantas, pesakit dan orang ramai perlu mengamalkan kaedah perlindungan diri yang bersesuaian serta mengelak daripada berada di luar rumah terutama semasa nyamuk sedang aktif iaitu antara pukul 5.00-7.00 pagi dan petang.

RAWATAN DI RUMAH

Menjawab persoalan mengapa terdapat kes pesakit yang disahkan demam denggi tetapi disuruh pulang ke rumah, beliau menjelaskan bahawa hospital awam tidak akan mengarahkan pesakit diwadkan tanpa keperluan, ini termasuk Hospital Sungai Buloh, yang merupakan Hospital Rujukan Penyakit Berjangkit.

Lagipun, tambahnya, demam ekoran jangkitan virus denggi menunjukkan banyak cara manifestasi, dan banyak yang akan sembuh sendiri, jadi tidak semua pesakit denggi memerlukan pemerhatian rapi dalam wad.

"Walaupun negara sedang dilanda wabak, kriteria kemasukan dalam wad tetap sama iaitu hanya pesakit yang memerlukan penjagaan rapi sahaja akan diwadkan.

"Sebenarnya tidak wujud isu katil hospital tidak mencukupi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, malahan kami sebenarnya akan buka wad baru atau ubah wad lain menjadi wad biasa jika keadaan memerlukan", tambahnya dengan, memberi contoh wad menunggu giliran pembedahan dan wad bangunan hospital lama akan dibuka sebagai wad biasa jika perlu.

MANIFESTASI DENGGI

Beliau membahagikan manifestasi jangkitan denggi kepada empat kategori, termasuk demam biasa iaitu pesakit dijangkiti virus denggi tetapi tidak menyedarinya atau jangkitan yang sembuh sebelum sempat didiagnosis.

Kategori demam denggi yang kedua ialah pesakit yang disahkan mengalami demam denggi melalui ujian darah makmal yang mendapati kemerosotan bilangan sel darah platelet, tetapi tiada tanda amaran komplikasi.

"Dua kategori itu akan sembuh sendiri tanpa perlu dimasukkan ke dalam hospital asalkan pesakit menuruti nasihat langkah-langkah penjagaan di rumah", kata beliau.

Sebaliknya, pesakit demam denggi yang termasuk di dalam dua kategori seterusnya lebih memerlukan pemerhatian rapi ekoran lebih berisiko mengalami komplikasi demam denggi teruk yang boleh membawa maut.

"Pesakit yang mesti dimasukkan ke dalam wad ialah, mereka yang menunjukkan tanda-tanda amaran komplikasi dan pesakit yang didapati mengalami komplikasi iaitu demam denggi teruk", tambah beliau.

RISIKO BAHAYA

Dr Suresh Kumar menjelaskan bahawa, pesakit yang mengalami komplikasi demam denggi teruk akan mengalami gejala pembocoran plasma darah dari salur darah atau 'plasma leakage'.

"Inilah sebabnya pesakit luar mesti menjalani ujian darah setiap hari bagi mengenalpasti sekiranya terdapat tanda kemerosotan sel darah platelet yang ketara dan tekanan darah rendah sebelum diwadkan", kata beliau.

Namun, ada juga golongan pesakit tertentu yang perlu dimasuk wad walaupun belum menunjukkan tanda amaran komplikasi ekoran faktor pengurusan jangkitan yang lebih sukar untuk golongan ini.

Ini termasuk mereka yang mempunyai penyakit lain terutama penyakit kronik seperti masalah jantung dan buah pinggang, warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak ataupun pesakit yang terlalu obes.

"Contohnya, pesakit jantung perlu pemantauan doktor yang lebih teliti, terutama ketika rawatan rehidrasi iaitu menambah air dalam tubuh, jika tidak, pesakit boleh mengalami komplikasi jantung yang membahayakan nyawa", jelas beliau.

DIMINTA PULANG

Dr Suresh Kumar meringkaskan prosedur diagnosis denggi menerusi kronologi berikut.

"Hari pertama demam panas tidak dapat dibezakan sama ada ia demam biasa ataupun jangkitan yang lebih bahaya, jadi pesakit diminta pulang ke rumah serta dinasihat mengambil banyak air atau sebarang bentuk cecair", kata beliau.

Pesakit biasanya akan diminta kembali berjumpa doktor pada hari ketiga jika masih demam.

"Sekiranya pesakit yang didapati dijangkiti denggi dan masih boleh menerima makanan dan minuman, itu bermakna jangkitan dapat dikawal dengan baik", katanya.

Mereka akan diminta untuk membuat ujian darah di klinik kesihatan setiap hari sehingga diberitahu untuk memastikan tiada tanda amaran komplikasi denggi yang memerlukan pesakit diwadkan.

Bagaimanapun pesakit harus tahu bahawa tubuh masih boleh mengalami komplikasi denggi walaupun suhu badan sudah kebah.

Justeru, beliau menggesa supaya pesakit mematuhi arahan melakukan ujian darah harian di klinik-klinik kesihatan awam yang akan memberi keputusan segera.

RISIKO KOMPLIKASI

Pakar perunding itu turut menjelaskan bahawa kewujudan empat jenis virus denggi yang akan menghasilkan antibodi berbeza untuk membantu tubuh menjadi imun terhadap virus yang sama.

"Tubuh akan imun terhadap jangkitan dari jenis virus yang sama, tetapi masih boleh dijangkiti oleh tiga jenis virus yang lain", ujar beliau.

Bagaimanapun sekiranya terkena demam denggi buat kali kedua, reaksi tubuh untuk melawan penyakit terpaksa bekerja dengan lebih kuat.

"Ini menjadikan pesakit berkemungkinan terkena demam yang lebih teruk apabila dijangkiti virus denggi buat kali kedua atau seterusnya," tambah Dr Suresh Kumar.

STATISTIK BURUK

Hakikatnya, statistik wabak denggi di seluruh negara tahun ini nyata amat buruk.

Laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebut bahawa sebanyak 44,518 kes denggi telah dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 246 peratus atau 31,660 kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 12,858 kes.

Lebih buruk lagi sebanyak 85 kematian dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh yang singkat itu.

Jumlah kes di hampir semua negeri terutama Selangor dan Kelantan mencatatkan peningkatan drastik dalam tempoh 26 minggu pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Lantas, Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, menggesa semua pihak memandang serius dan memainkan peranan dalam kempen 'Perangi Aedes Habis-habisan' dalam menggiatkan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Ini termasuk menangani isu-isu denggi di luar bidang kuasa KKM seperti pengurusan sampah, pengurusan tapak binaan yang melibatkan pihak kontraktor atau pemaju, struktur bangunan yang menjadi tempat pembiakan Aedes dan sistem perparitan yang tidak diselenggara.

Selain itu, anggota masyarakat dinasihat untuk menjalankan aktiviti 'cari dan musnah' tempat pembiakan nyamuk Aedes sekurang-kurangnya seminggu sekali di sekitar kediaman masing-masing.

-- BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...