PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Followers

Thursday, September 28, 2017

Rawatan ortodontik dapatkan gigi cantik

Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

DR IRMA melakukan pemasangan pendakap gigi kepada pesakit.

Hari ini, pemakaian pendakap gigi dilihat sebagai trend apabila golongan muda tanpa mengira usia terpengaruh menggunakannya. Tanpa mendapatkan pemeriksaan lengkap daripada pengamal pergigian berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia serta klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, ramai terpengaruh melihat iklan pendakap gigi di media sosial ditawarkan oleh individu bukan doktor gigi.

Gambar pendakap gigi berwarna pelangi berjaya menarik minat golongan yang gemar berfesyen tanpa memikirkan kemudaratannya. Perlu diingat, pemakaian pendakap gigi adalah sebagai rawatan, ia bukan aksesori seperti rantai dan subang.

Jika salah meletak braket akan menyebabkan kedudukan gigi lebih parah, mengenakan kekuatan ikatan pendakap gigi yang tidak sesuai juga akan mengakibatkan gigi menjadi sakit, saraf mati, gigi longgar dan terkeluar daripada tulang.

Menurut Pakar Pergigian Klinik Pergigian Irma Ariandi, Plaza Larkin, Johor Bahru, Dr Irma Shida Abu Samah, pendakap gigi atau rawatan ortodontik berfungsi bagi menyusun gigi yang tidak berada di tempat sepatutnya.

Ia juga bertujuan mendapatkan barisan gigi yang tersusun cantik pada arca rahang yang berbentuk sempurna agar pesakit boleh makan, bertutur dan senyum sekali gus memberikan keyakinan dan menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup.

“Dari aspek keterukan gigi, biasanya doktor akan meneliti beberapa faktor termasuk keperluan indeks rawatan pesakit (IOTN) iaitu sama ada pesakit masih boleh bercakap, tidak mengganggu kunyahan, tidak merasa sakit dengan gigitan sedia ada, susunan gigi tidak menyebabkan pesakit susah memberus gigi dan dia boleh menjaga kebersihan gigi dengan baik.

“Jika seseorang mempunyai keyakinan diri dengan susunan giginya, dia tidak memerlukan rawatan sebaliknya jika mengalami masalah seperti yang disenaraikan tadi, maka rawatan ortodontik dapat membantu bersama rawatan pergigian yang lain.

“Nasihat saya, dapatkan konsultasi pergigian di klinik gigi berdaftar dan dengarlah nasihat doktor. Perlu dibezakan keperluan dan kehendak. Doktor gigi akan menjalankan rawatan mengikut keperluan pergigian pesakit dan bukannya kehendak hati mereka,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pendakap gigi jenis tetap atau applians lekap lazimnya dipasang apabila semua gigi susu tercabut dan selalunya seawal usia 13 hingga 14 tahun. Umur sebegini dikatakan sebagai usia optimum memasang pendakap gigi kerana selain mengawal pergerakan gigi individu, ia juga dapat mengawal pertumbuhan rahang dan gigitan. Tetapi pada zaman moden ini semakin ramai pesakit dewasa yang ingin mendapatkan rawatan untuk memperbaiki senyuman, rupa wajah dan inginkan deretan gigi sempurna.

PEMASANGAN TIDAK MENYAKITKAN

Bagi yang disyorkan memakai pendakap gigi, pemasangan harus dilakukan di klinik bertauliah. Pendakap gigi biasanya dipasang dalam keadaan sedar kerana rawatan ini tidak menyakitkan dan selesa. Gigi akan diisolasi untuk memastikan permukaannya kering agar senang untuk lekatan braket dan selepas selesai, dawai arca yang paling lembut dipasang bagi menggerakkan gigi dengan perlahan.

“Biasanya proses pemasangan pendakap gigi mengambil masa setengah jam manakala rawatan susulan dilakukan setiap empat hingga lima minggu bagi memastikan pergerakan gigi konsisten serta kebersihan dan kesihatan gigi dalam keadaan memuaskan,” jelasnya.

Rawatan pendakap gigi mengambil masa 18 hingga 30 bulan bergantung kepada keadaan gigi pesakit dan juga disiplin pesakit dalam menepati jadual rawatan susulan. Pesakit juga perlu menjaga aplians agar tidak patah atau tertanggal. Kegagalan menepati kriteria ini akan menyebabkan tempoh rawatan menjadi lebih panjang dan tergendala.

Pesakit juga tidak dibenarkan membuka sendiri pendakap gigi kerana dikhuatiri akan mencederakan mukosa mulut (lapisan membran mukosa dalam mulut) dan trauma kepada kesakitan gigi. Pesakit hanya boleh membuka pendakap gigi dengan doktor gigi dan izin perawat.

MENGAPA SUSUNAN GIGI TIDAK CANTIK

Jelas Dr Irma, ada pelbagai faktor yang menyebabkan kedudukan gigi seseorang tidak cantik, kelihatan jongang atau tidak berada di tempat yang betul iaitu:

Ketidakseimbangan apabila ukuran gigi tidak bersesuaian dengan rahang (dentoalveolar)

Contohnya pesakit dengan rahang kecil dan gigi yang besar akan menyebabkan kejadian gigi berlapis manakala pesakit dengan saiz rahang besar tetapi gigi kecil akan mengalami masalah gigi jarang.

Faktor gigi

Ada beberapa keadaan sama ada terlebih gigi yang menyebabkan susunan gigi menjadi sesak, kekurangan gigi sama ada secara semula jadi gigi tidak terbentuk ataupun dicabut menyebabkan gigi menjadi jarang. Terdapat juga keadaan gigi tumbuh beralih tempat dan di ruang yang salah.

3. Faktor tisu lembut

Gigi atas menggigit bibir bawah menyebabkan gigi atas lebih terkeluar dinamakan liptrap. Lidah besar atau hyperglossia menyebabkan gigi bawah tertolak dan menjadi jarang. Keadaan lekatan frenum atas yang rendah menyebabkan gigi jarang di tengah (median diastema) seperti penyanyi Madonna.

Faktor faktor tulang rahang

Seperti rahang atas yang terjulur ke depan menyebabkan seseorang nampak jongang dan tidak boleh menutup mulut. Keadaan tulang rahang depan yang terbuka menyebabkan gigi atas dan bawah pesakit tidak bertemu sekali gus tidak boleh menggigit makanan.

Tabiat

Kedudukan gigi juga turut dipengaruhi tabiat menghisap jari sejak bayi yang menyebabkan gigi atas tertolak keluar

Penyakit gigi

Seperti periodontitis yang menyebabkan gigi beralih dari tempat asal kerana pegangan tulang gigi yang lemah.

“Ada juga ibu bapa beranggapan botol susu juga penyebab kepada masalah gigi jongang atau tidak sekata. Namun saya menolak dakwaan ini. Ini kerana biasanya botol susu hanya berada di dalam mulut bayi dan dilepaskan apabila susu habis dihisap manakala menghisap puting pula adalah tabiat berterusan dan berpanjangan. Kedua-duanya adalah kurang berisiko berbanding menghisap jari kerana ia berterusan (jika tidak dihalang) sehingga anak tumbuh gigi dan menyebabkan gigi tertekan.

“Seeloknya jika bayi sudah tumbuh gigi hentikan pemberian puting. Namun tabiat menghisap puting adalah lebih baik daripada menghisap jari kerana ia sukar dikawal berbanding puting boleh dialihkan dari bayi,” katanya.

Bagi mendapatkan gigi yang cantik dan tersusun sempurna ibu bapa perlu memastikan penjagaan gigi seawal usia (ketika gigi mula tumbuh). Elakkan cabutan gigi susu sebelum waktunya kerana akan mengganggu susunan gigi kekal. Bawa anak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan awal setiap enam bulan.

“Sekiranya masalah pertumbuhan rahang dapat dikesan awal, intervensi rawatan dengan aplians boleh tanggal seperti twinblock boleh diberikan kepada anak untuk mengawal pertumbuhan rahang,” katanya.

Panduan memakai pendakap gigi:

- Menjaga kebersihan gigi dengan sempurna, berus gigi dua kali sehari, menggunakan berus gigi khas untuk pendakap gigi sebagai pelengkap.

- Tidak makan makanan yang terlalu keras dan rangup dikhuatiri pendakap gigi tertanggal, dawai patah dan gigi juga boleh trauma dan sakit.

- Tidak makan makanan melekit dikhuatiri melekat pada pendakap gigi dan susah dibersihkan.

- Ikut aturan temujanji dengan doktor.

- Ikut arahan doktor sekiranya dibekalkan getah yang harus dipakai sendiri oleh pesakit di rumah yang berfungsi menggerakkan gigi.

Kesan pemakaian pendakap gigi

Mukosa mulut mudah luka dan terjadi ulser kalau tidak berhati-hati dan tergigit.

Jika tidak dijaga kebersihan dengan betul, tahi gigi berkumpul dan boleh menyebabkan:

- Gusi merah, bengkak dan berdarah

- Gigi goyang

- Gigi berlubang

- Bau mulut
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 2:54 PM

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...