PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, April 27, 2009

Penyakit Virus Nipah

ARKIB : 18/04/1999

Virus Nipah bukan dari nyamuk -- Haiwan terkena penyakit ini boleh menjangkiti manusia

 

HASIL siasatan Jabatan Kesihatan baru-baru ini mendapati sebahagian besar kematian akibat wabak Japanese Encephalitis yang ditularkan oleh nyamuk daripada virus yang terdapat pada babi juga berpunca daripada virus baru.

Virus baru yang hampir sama dengan virus Hendra itu diberi nama sebagai virus Nipah.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Mohamad Taha Arif memberitahu, persamaan yang terdapat di antara virus Hendra dan virus Nipah ialah dari segi strukturnya saja.

Menurut beliau, virus ini dikatakan boleh menyebabkan penyakit apabila terkena haiwan yang kemudiannya menjangkiti manusia.

Tambah beliau, virus ini tergolong dalam keluarga paramyxovirus iaitu merupakan sekumpulan virus enveloped RNA yang terbukti menyebabkan jangkitan kepada haiwan dan manusia.

Tambahnya, beberapa virus baru daripada keluarga paramyxovirus ini telah dikesan di Australia sejak tahun 1994.

Ini termasuklah virus Hendra yang ditemui pada individu yang berurusan dengan kuda.

Virus Nipah yang pertama kalinya dikenal pasti oleh pakar-pakar dari Universiti Malaya mengambil sempena nama Kampung Baru Sungai Nipah, Lukut di Negeri Sembilan iaitu tempat ia ditemui pada 18 Mac lalu.

Virus yang pertama seumpamanya di dunia ditemui oleh Dr. Chua Kaw Ping dari Jabatan Perubatan Mikrobiologi (MMD) dari Universiti Malaya.

Penemuan virus tersebut hasil kajian terperinci beberapa contoh darah dan cecair daripada otak pesakit. Selepas 10 hari melakukan proses penyisihan dan pemencilan virus, sebagai virus Nipah. Virus baru seakan-akan virus Hendra ditemui. Pasukan pakar terbabit kemudiannya menerima tawaran dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat untuk mengesahkan penemuan tersebut.

Virus ini, tergolong dalam kumpulan virus paramyxovirus yang mempunyai persamaan virus Hendra yang ditemui di Brisbane, Australia pada 1994.

Dr. Mohamad Taha mengingatkan, orang ramai tidak seharusnya terkeliru bahawa virus Nipah ini bukan berpunca daripada nyamuk.

Sehingga kini, pihaknya masih tidak mengetahui asal usul virus ini, namun hasil kajian yang dijalankan virus ini terdapat pada babi.

"Kami mendapati, virus ini hanya terdapat pada babi dan mereka yang berurusan dan mengendalikan babi lebih terdedah kepada virus ini,'' katanya.

Sehubungan itu, pihaknya masih dalam proses untuk mengenal pasti sama ada virus terbabit terdapat pada lembu, kambing, kuda atau lain-lain haiwan ternakan.

Menurut beliau, pihaknya memerlukan banyak masa kerana kajian terperinci untuk memahami virus ini lebih mendalam lagi.

Menyentuh virus Hendra, beliau menjelaskan virus ini terbukti menjangkiti kuda lumba dan tiga individu di Australia.

Dua daripada pesakit yang meninggal dunia, didapati terkena jangkitan pada saluran pernafasan manakala seorang lagi meninggal kerana meningo-encephalitis.

Virus ini merupakan virus dari (fruit bat) yang boleh menjangkiti haiwan lain seperti kuda.

Hasil kajian juga mendapati, kuda dan kucing yang dijangkiti virus ini mati akibat pneumonia.

Selain itu, haiwan lain seperti keluang, burung dan tikus belanda (guinea pigs) juga terdedah dengan risiko dijangkiti virus ini.

Dr. Mohamad Taha menjelaskan, seseorang yang dijangkiti virus ini biasanya mengalami beberapa tanda-tanda seperti :

* Demam
* Sakit kepala
* Lemah anggota badan (malaise)
* Resah dan meracau (confusion)
* Mengantuk (drowsy)
* Sawan (convulsion/fits)
* Lumpuh (paralysis)
* Tidak sedar diri (coma)

Dr. Mohamad Taha memberitahu, hasil penyelidikan menunjukkan bahawa haiwan yang dijangkiti mengeluarkan virus ini melalui air kencing.

Virus ini juga tidak disebarkan melalui pernafasan dan tidak mudah berjangkit.

Menurut rencana yang dipetik dari Animal Fact Sheet CSIRO berhubung virus Hendra menjelaskan kemunculan sejenis virus baru pada 1994-95 di Queensland, Australia telah membunuh dua orang dan 15 ekor kuda dalam dua kejadian berasingan.

Pada September 1994, wabak yang berlaku di Brisbane menyebabkan kematian 13 ekor kuda kerana penyakit pernafasan hiperakut.

Dalam kejadian tersebut seorang jurulatih dan pekerja kandang kuda turut mengalami masalah pernafasan.
Hasil siasatan Queensland Department of Primary Industries (QDPI) mendapati virus tersebut dikenali sebagai equine morbillivirus.

Namun, analisis genetik mendapati menunjukkan bahawa virus tersebut sebagai sejenis virus baru yang diklasifikasikan dalam keluarga paramyxoviridae.

Virus ini juga dilaporkan pertama kalinya ditemui di dunia dinamakan virus Hendra. Virus Hendra ini mengambil sempena nama tempat di mana virus tersebut ditemui.

Dalam satu kejadian yang berasingan, virus ini dikatakan menyebabkan seorang peladang dari Mackay meninggal dunia di Brisbane.

Ujian yang dijalankan menunjukkan peladang terbabit mempunyai kesan positif terhadap virus Hendra, di mana beliau banyak mengendalikan kuda.

Kajian menunjukkan virus Hendra boleh menjangkiti lebih dari satu spesies haiwan.

Pakar saintis mempercayai kelawar buah merupakan perumah semula jadi bagi virus terbabit.
Virus ini dikatakan menyebabkan penyakit pada paru-paru dan otak. Siasatan yang dijalankan juga mendapati, antibodi virus Hendra ditemui pada empat spesies kelawar buah.

Kewujudan antibodi ini menunjukkan haiwan ini pernah terdedah dengan virus ini meskipun virus tersebut tidak ada.

Daripada 13 hidupan liar yang diuji, hanya kelawar sahaja didapati mempunyai antibodi terhadap virus Hendra.

Menurut pakar-pakar terbabit, virus Hendra tidak mudah dijangkiti, bagaimanapun sekiranya jangkitan berlaku ia boleh mengakibatkan kematian.

Berdasarkan eksperimen yang dilakukan, kuda, kucing atau tikus belanda yang dijangkiti virus ini melalui air kencing haiwan terbabit.

Hasil penyelidikan mendapati, virus ini juga tidak disebarkan melalui pernafasan kuda.

Apa pun, wabak virus Hendra ini memberi kesan pada industri lumba kuda di Australia kerana haiwan-haiwan ini tidak dibenarkan keluar dari atau dibawa masuk ke kawasan terbabit.

PANDUAN UNTUK PEMANDU DAN ATENDAN LORI
 
Pasukan Petugas Kebangsaan viral Encephalitis menggariskan beberapa garis panduan bagi pemandu dan atendan lori semasa wabak virus berkaitan dengan virus Hendra.

Beberapa langkah harus diambil ialah:

* Memakai baju lengan panjang, sarung tangan, topeng muka, pelindung mata dan gaun plastik semasa mengendalikan babi.
* Memakai but kalis air.
* Elakkan dari sentuhan secara langsung dengan air kencing dan najis babi.
* Sediakan pakaian tambahan untuk ditukar.
* Mandi dan bersihkan diri dengan sabun dan air selepas mengendalikan babi.
* Cuci lori dengan bahan pencuci, sabun dan air atau bahan peluntur kotoran.
* Sekiranya berlaku sentuhan dengan air kencing dan najis, cuci dengan sabun dan air.
* Pakaian dan alat perlindungan diri perlu dicuci dengan sabun dan air selepas digunakan. - Oleh Najibah Hassan

--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...