PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, November 17, 2010

Jaminan gigi sihat



Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my
2010/11/14

Pemeriksaan rutin 6 bulan sekali elak hilang gigi awal, nafas berbau


KESIHATAN gigi ditentukan oleh gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara seseorang individu menjaga giginya. Sikap suka bertangguh melakukan pemeriksaan berkala dan hanya berjumpa doktor ketika gigi sudah sakit hanya memberi kesan terhadap kesihatan badan secara keseluruhan.

Bagi golongan dewasa, kesibukan kerja antara punca tabiat suka bertangguh sehingga menyumbang kepada pelbagai masalah gigi lebih serius.

Tabiat buruk itu, tegas pakar runding pergigian, Dr Halina Haron, turut menyebabkan masalah paling lazim pergigian dewasa iaitu penyakit gusi.

Lebih membimbangkan, kata Dr Halina, ia turut dikenali sebagai pembunuh gigi secara senyap.

“Ia digelar sedemikian kerana tanda-tanda awal penyakit ini sukar dikesan. Punca utama penyakit gusi ialah plak gigi atau dikenali sebagai selaput gigi dan tahi gigi yang pada awalnya akan menyebabkan nafas berbau.

“Antara faktor lain yang menyumbang kepada penyakit gusi termasuk kalkulus atau plak gigi yang mengeras, merokok, diabetes, kerosakan gigi, tekanan, gigi palsu, mulut kering selain kesan pengambilan ubat-ubat untuk masalah perubatan seperti sawan dan tekanan darah tinggi dan perubahan hormon contohnya semasa mengandung,” katanya.

Malah, kata Dr Halina, kajian Kementerian Kesihatan pada 2000 menunjukkan 9 bagi setiap 10 dewasa di negara ini mengalami pelbagai peringkat penyakit gusi.

Masalah kedua, katanya, membabitkan gigi berlubang atau karies gigi yang disebabkan tindakan asid dihasilkan bakteria.

“Karies gigi juga sukar dikesan, apa yang dapat dikenal pasti hanyalah permukaan gigi berubah warna, gigi rapuh, mudah pecah atau berlubang, sehingga individu mula merasa sakit, itu bermakna kerosakan sudah sampai ke rongga pulpa gigi (kedudukan salur darah dan saraf),” katanya.

Bagaimana pula dengan kaedah rawatannya? Dr Halina berkata, ia bergantung kepada berapa besar saiz, kedalaman lubang dan adakah ia sudah sampai ke bahagian akar. Andai membabitkan saraf dan ubat yang diberikan tidak begitu berkesan, pesakit perlu menjalani rawatan akar yang lebih serius selain rawatan susulan.

Selain karies gigi, masalah karang gigi atau tartar juga sering dialami orang dewasa. Ia berpunca daripada sisa makanan di celahan gigi yang tidak dicuci bersih. Lama kelamaan kekotoran ini akan keras dan menjadi karang gigi.

“Karang gigi dapat menyebabkan gigi goyang dan mudah tanggal kerana penurunan atau penyusutan gusi, gusi bengkak, gusi berdarah ketika memberus, dan mulut berbau.

“Apabila penurunan gusi berlaku, tulang rahang juga akan turun dan menyebabkan gigi mudah goyang kerana asasnya sudah tidak kuat. Akibatnya jika kesihatan gigi tidak dijaga dari peringkat awal, kita berkemungkinan kehilangan gigi pada usia baru mencecah 40 atau 50 tahun padahal ia sepatutnya berlaku pada usia 80 hingga 90 tahun,” katanya.

Tabiat merokok tidak ketinggalan menjadi penyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan gigi bagi orang dewasa. Merokok meninggalkan kesan karat pada gigi, deria rasa terjejas mengurangkan selera makan dipercayai antara punca meningkatnya jumlah perokok wanita masa kini, meningkatkan suhu dan kadar toksin dalam mulut hingga merosakkan aliran darah pada gusi menyebabkan penyusutan gusi dan bertukar warna coklat, bibir dan gusi juga menjadi lebih gelap.

Selain itu sikap individu yang lambat menggantikan gigi patah juga menjejaskan kesihatan gigi dan fungsinya.

“Gigi yang hilang perlu cepat diganti sama ada menerusi kaedah tanam gigi, gigi palsu kekal (bridge) atau memakai gigi palsu (dentur).

“Ini disebabkan, gigi akan mula bergerak bila wujud ruang di antaranya menyebabkan susunan gigi yang tidak teratur atau jarang yang mengundang masalah kaviti tidak berkesudahan,” katanya.

Info

Tips penjagaan gigi:

  • Pastikan tabiat memberus, berkumur dan flos dilakukan dengan betul.

  • Lakukan pemeriksaan berkala setiap enam bulan atau setahun sekali.

  • Pemilihan jenis berus gigi, ubat gigi, dan cecair pencuci mulut dan flos yang digunakan juga penting.

  • Makan buah-buahan dan sayuran, kerana ia banyak serat, ia juga mencuci kekotoran pada permukaan gigi.

  • Hadkan pengambilan makanan ringan dan manis.

  • Berhenti merokok.

    Fakta

  • Orang dewasa mempunyai 32 gigi kekal (4 gigi kacip, 2 gigi taring, 4 geraham kecil dan 6 geraham besar pada kedua rahang (rahang atas dan rahang bawah).

  • Kanak-kanak mempunyai 20 gigi susu (4 gigi kacip, 2 gigi taring dan 4 gigi geraham pada kedua rahang (rahang atas dan rahang bawah).

  • Gigi dewasa dan gigi kanak-kanak berbeza dari segi bentuk, warna, ukuran, jumlah, dan struktur gigi.
  • --- BERITA HARIAN

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...