DUA isu penting yang menjadi tumpuan dunia pada ketika ini ialah pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq dan kebimbangan terhadap `penyakit misteri' sindrom pernafasan akut teruk (SARS).
Persamaan yang dimiliki oleh kedua-dua `peristiwa besar' yang melanda dunia ini ialah ia mengorbankan banyak nyawa.
Sama ada peperangan ataupun SARS, jumlah kematian yang dicatat oleh kedua-duanya semakin membimbangkan.
Kekalutan terhadap SARS semakin memuncak, apabila hari demi hari, jumlah mereka yang dijangkiti di beberapa buah negara Asia semakin bertambah.
Ini kerana, sejak SARS dilaporkan pertengahan Februari lalu, belum ada tanda-tanda bahawa mereka akan menemui punca sebenarnya.
Selagi punca SARS belum ditemui, maka dunia terpaksa bersedia menghadapi kemungkinan lebih ramai dijangkiti penyakit ini.
Bagi yang tidak bernasib baik, nyawa menjadi `taruhan'.
Kajian sebelum ini menyatakan SARS berpunca daripada keluarga virus paramyxoviridae.
Virus ini dikatakan bertanggungjawab menyebabkan penyakit benguk, campak dan masalah pernafasan yang biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, tanggapan ini meleset sama sekali. Setakat ini, para saintis berkeyakinan bahawa kemungkinan virus yang menyebabkan wabak di seluruh dunia ini ialah coronavirus jenis baru.
Namun, ia masih memerlukan lebih banyak kajian lanjut.
SARS dipercayai berasal dari bahagian selatan wilayah Guangdong, China, November lalu sebelum ia merebak ke Hong Kong. Ia kemudiannya merebak ke Vietnam, Singapura dan Kanada.
Wabak yang dikatakan bermula di Asia Timur itu merebak begitu cepat ke Eropah.
Beberapa kes juga dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS), Perancis, Britain, Taiwan dan Jerman.
Ketika ini, beberapa negara di Asia yang terjejas teruk ialah China, Hong Kong dan Singapura.
Kebimbangan terhadap menularnya wabak ini kepada orang awam menyebabkan beberapa buah negara mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup sekolah.
Singapura, misalnya, dilaporkan turut bertindak demikian untuk meredakan kebimbangan ekoran SARS yang telah mengorbankan lima nyawa rakyatnya.
Selain mencatatkan kematian, jumlah mereka yang dijangkiti SARS di republik itu juga bukan menjadi `rahsia' lagi.
Spekulasi terhadap wabak SARS turut tersebar luas di negara ini apabila terdapat laporan media mendedahkan beberapa kes yang disyaki sebagai wabak SARS.
Menurut laporan tersebut, jumlah mereka yang disyaki dijangkiti SARS dimasukkan ke hospital dan dikuarantinkan meningkat.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif menegaskan sehingga kini Malaysia bebas daripada wabak SARS.
``Sehingga kini, belum ada kes SARS atau mereka yang disyaki dijangkiti SARS meninggal dunia seperti dilaporkan,'' katanya.
Setakat ini katanya, 41 buah pusat operasi juga melaporkan bahawa mereka bebas daripada SARS.
Bagaimanapun, sehingga rencana ini disiarkan, mereka yang disyaki dijangkiti SARS ialah 70 orang. Dari jumlah ini, 14 dikuarantinkan, 0 kemungkinan dan 0 kematian.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa memastikan doktor dan hospital berjaga-jaga dan memaklumkan kepada kementerian sekiranya terdapat kes flu atau demam.
Pada masa yang sama pihaknya menasihatkan supaya:
- Mereka yang baru pulang dari negara-negara terbabit dan mengalami gejala-gejala seperti demam, sengal otot, sakit kepala, tekak perlu berjumpa doktor sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagaimanapun, kebanyakan kes demam selesema biasa adalah ringan dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan.
- Elakkan lawatan ke negara-negara terbabit buat sementara waktu kecuali jika benar-benar perlu.
- Mereka yang baru pulang dari negara terbabit dan mempunyai gejala seperti demam yang kuat serta kesukaran bernafas segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Apakah SARS?
SARS merupakan penyakit yang menyerupai radang paru-paru tetapi tidak diketahui puncanya (atypical pneumonia).
Biasanya, ia disebabkan oleh virus sama ada virus influenza, adenovirus dan lain-lain virus yang menyebabkan penyakit respiratori.
Adakah ia berbahaya?
Menurut WHO, kadar kematian antara tiga hingga lima peratus.
Berapa lamakah tempoh pengeramannya?
Tempoh pengeramannya antara dua hingga tujuh hari atau biasanya tiga hingga lima hari sebelum mangsa mula menunjukkan gejala seolah-olah flu.
Gejala SARS
- Demam panas melebihi 38รป Celsius
- Batuk tanpa kahak
- Sukar bernafas
- Sakit kepala
- Sakit otot
- Hilang selera makan
- Letih atau lesu
- Cirit.
Kriteria identifikasi SARS
Seseorang hanya dikenal pasti dijangkiti SARS sekiranya mereka:
- Ada hubungan rapat dengan individu yang dijangkiti SARS dalam jangka masa 10 hari dari mula timbul gejala
- Mempunyai hubungan rapat bermaksud, menjaga, tinggal atau berhubung secara langsung dan/atau
- Sejarah lawatan dalam tempoh 10 hari bermulanya gejala di negara-negara berlakunya SARS. Sehingga kini, negara-negara terbabit termasuklah China, Hong Kong, Vietnam, Taiwan dan Singapura.
WHO mendefinisikan SARS kepada dua iaitu:
- Kes yang disyaki (suspected)
Demam panas melebihi 38o Celsius.
Satu atau lebih gejala pernafasan seperti batuk, sukar bernafas dan;
Salah satu seperti di bawah:
a. Pernah berhubung dengan pesakit SARS dalam tempoh 10 hari dari mula timbul gejala.
b. Sejarah lawatan, dalam tempoh 10 hari dari mula timbul gejala ke kawasan yang melaporkan transmisi fokal kes SARS.
- Kes kemungkinan (probable)
Kes yang disyaki dengan X-ray yang menunjukkan perubahan radang paru-paru atau respiratori distress symptom atau;
Seseorang yang mempunyai penyakit respiratori yang menyebabkan kematian dengan pemeriksaan bedah siasat menunjukkan patologi Respiratory Distress Syndrome tanpa sebab yang diketahui.
Bagaimanakah ia merebak?
Virus ini merebak melalui titisan di udara semasa bersin atau batuk. Jangkitan secara langsung boleh berlaku pada jarak satu meter.
Virus ini dipercayai boleh merebak secara tidak langsung dan tinggal di luar tubuh manusia dalam jangka masa antara tiga hingga enam jam.
Apabila individu yang berjangkit mengembara, mereka boleh menyebarkan virus tersebut kepada penumpang lain dalam pesawat yang sama. Malah, orang-orang di destinasi yang dituju.
Individu yang berisiko
Mereka yang melawat negara-negara yang mempunyai wabak SARS atau pernah berhubung dengan pesakit SARS.
Adakah ia mudah berjangkit?
SARS dikategorikan sebagai penyakit yang tidak mudah berjangkit berbanding influenza. Langkah-langkah pencegahan dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan.
Di negara manakah yang
mempunyai wabak ini?
Wilayah Guangdong, di China, Hong Kong, Hanoi di Vietnam, Singapura, Thailand, Filipina, Taiwan dan Kanada.
Rawatan
- Pesakit akan diasingkan di dalam wad dengan jagaan rapi melalui barrier nursing
- Rawatan berdasarkan gejala-gejala yang dialami
- Sehingga kini belum ada ubat, antibiotik atau vaksin yang boleh merawat atau untuk profilaksis (pencegahan).
Sebarang kemusykilan berhubung dengan SARS anda boleh menghubungi:
Bilik Gerakan SARS
Bilik Mesyuarat Bahagian Kawalan Penyakit
Jabatan Kesihatan Awam,
KKM, Jalan Cenderasari,
50590 Kuala Lumpur
Talian 03-26946394, 26938053 atau layari laman web: http://dph.gov.my/sars
--- UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment