PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, May 29, 2011

Jalani kehidupan seks secara sihat (Utusan Malaysia Online)

SEBAGAI pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.

Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.

Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks

Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?

Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.

Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.

Apendisitis bukan sakit perut biasa (Utusan Malaysia Online)




JANGAN makan pedas lagi ya." Itu pesan rakan-rakan kepada Arif (bukan nama sebenar) setelah dia kembali ke pejabat selepas pulih daripada pembedahan membuang apendiks baru-baru ini.

Seperti kebanyakan pembaca, Arif juga pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan yang jelas mengenai sakit yang dialaminya.

Sakit perut seakan senak dan kembung pada tanggapannya disebabkan tersalah makan.

Kesakitan itu bermula ketika dia bangun tidur. Perutnya seperti menegang dan rasa kembung di bahagian tengah. Lama kelamaan melarat ke bahagian kanan abdomen dan berlarutan untuk tempoh yang lama. Ketika itu juga dia berasa seperti mual dan tidak berselera menjamah makanan.

Disebabkan kesakitan yang tidak mampu ditahan, dia menggagahkan diri bersendirian ke klinik berdekatan. Selepas diperiksa, doktor mengesahkan dia mengalami radang apendiks (apendisitis) dan terus merujuk kes tersebut ke hospital berdekatan.

Tanpa berlengah, pembedahan dilakukan bagi membuang apendiks yang telah pun bernanah. Arif bernasib baik kerana masalahnya cepat dikenalpasti dan pembedahan dilakukan dengan segera.

Radang apendiks atau disebut juga sakit apendiks merupakan masalah kesihatan biasa yang dialami ramai individu. Pengetahuan yang cetek mengenai masalah ini menyebabkan ramai memandang remeh mengenainya.

Walaupun tidak terlalu serius, apendisitis sebenarnya boleh mengancam nyawa andai dibiar berlarutan.

Dua kali dibedah

Pengalaman seorang lagi bekas pesakit, Mohd (juga bukan nama sebenar)menjalani dua pembedahan akibat apendiks mungkin boleh menjadi panduan.

Seperti pesakit lain, dia juga pada mulanya tidak mengesyaki diri mengalami apendisitis. Pada peringkat awal, dia menahan sakit dengan mengambil ubat herba yang biasa untuk mengatasi sakit perut.

Disebabkan ia langsung tidak menunjukkan kesan malah semakin lama sakit semakin dirasakan, Mohd terus merujuk perkara tersebut ke klinik berdekatan.

Dia yang didiagnos mengalami apendisitis ringan disyorkan menjalani pembedahan laparaskopi apendektomi di hospital berdekatan. Tiga lubang kecil dibuat dan port dimasukkan bagi mengesan serta membuang apendiks. Malangnya kaedah tersebut gagal menemui struktur tersebut. Puas dicuba dan akhirnya dia terpaksa menjalani pembedahan terbuka pula bagi memudahkan apendiks dibuang.

Menurut Dr. Nazri, kes seperti itu bukan satu perkara yang ganjil untuk berlaku.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan usus manusia yang tidak tetap dan berlipat-lipat sehingga menyebabkan kedudukan apendiks mungkin dilindungi atau terkebelakang.

Penawar resdung




AZEAN Suhaili, 31 mempunyai masalah resdung yang serius sejak usia awal 20-an lagi. Lebih membimbangkan, dia mempunyai kulit sensitif dan jerawat yang agak serius.

Kadang-kadang keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan kerana dia takut timbul tanda alahan seperti gatal-gatal pada wajah.

Menerusi sebuah laman web yang menceritakan tentang rawatan tradisional resdung, Azean mengambil keputusan untuk mencuba rawatan ini.

Dia menghubungi pemilik Darul Irsyad, Gadafi Mohd Zuki tentang prosedur rawatan tradisional resdung.

Gadafi memberi penerangan secukupnya dan Azean yakin untuk membuat satu temu janji pada hari berikutnya.

Hasil rawatan ini, resdung yang dihidapi Azean semakin berkurangan. Dengan penjagaan sendiri di rumah seperti menggunakan sabun pembersih wajah khas, titisan air dan menjaga pemakanan, Azean dapat mengawal masalah resdungnya. Kesan jerawat yang dialaminya kian berkurangan. Bahkan Azean lebih yakin ketika bergaul dengan orang lain.

Menurut Gadafi, resdung merupakan satu penyakit yang agak sinonim dengan orang Melayu kerana kaum itu sering dibelenggu dengan penyakit itu.

Perubatan moden menyifatkan resdung atau sinus sebagai radang atau jangkitan kuman dan alahan pada saluran pernafasan, telinga serta mulut.

Orang Melayu pula percaya ia berlaku akibat cara pemakanan terutama mereka yang selalu makan makanan laut dan belacan.

Resdung boleh membuatkan seseorang itu mempunyai nafas berbau, bersin, muka berjerawat, gatal atau bengkak di hidung, mulut dan telinga.

Simptom yang lebih teruk melibatkan nanah di telinga atau kecacatan pada hidung akibat kerosakan pada bahagian rongganya.

Pengewapan muka

Justeru, ramai yang mencari penawar atau rawatan secara tradisional .

Mungkin ramai yang tidak mengetahui asal usul perkataan resdung . Ia sebenarnya berasal daripada dua perkataan 'resah hidung' yang telah digabungkan. Resdung adalah satu keadaan di mana seseorang menjadi alah kepada pelbagai agen persekitaran seperti habuk, debu atau biji-biji debunga dan tumbuh-tumbuhan.

Bagi rawatan secara tradisional di Darul Irsyad , pengewapan muka menggunakan asap adalah antara medium paling asas selain campuran beberapa bahan herba lain.

Pengewapan atau pengasapan dilakukan agar 'hama' yang hidup di sekitar rongga wajah, keluar sekali gus mengurangkan bendalir yang menyekat saluran pernafasan.

Selepas menjalani rawatan , wajah akan menjadi lebih 'ringan', bersih dan tidak lagi mengalami kegatalan. Malah punca jerawat di muka turut hilang.

Berbeza dengan tempat lain, Gadafi menggunakan corong kecil agar pesakit tidak berasa pedih pada mata.

Rawatan diteruskan pula menggunakan titisan herba untuk mengeluarkan lendir pada hidung.

Ia mengeluarkan segala cecair yang menyebabkan rongga hidung tersumbat.

Pesakit juga boleh melakukannya kaedah titisan herba di rumah.

Selepas melakukan proses mengeluarkan lendir, wajah pesakit akan dibersihkan menggunakan sabun khas yang boleh dibeli di Darul Irsyad.

Selain menjaga pemakanan di rumah, pesakit digalakkan meminum herba khas seperti teh pahit Kabiro yang diperbuat daripada herba hutan tropika.

"Namun ia perlu diikuti dengan proses penjagaan kulit wajah yang teratur dan berpantang daripada mengambil beberapa jenis makanan seperti udang, ketam dan kerang.

Individu yang mengalami resdung selalunya berasa rimas dengan keadaan hidung yang gatal-gatal dan mata berair yang menimbulkan keadaan tidak selesa.

Salah satu langkah mengurangkan ketidakselesaan akibat penyakit tersebut adalah dengan menjalani rawatan tradisional seperti yang dilakukan di Darul Irsyad. Pesakit tidak akan pulih sepenuhnya serta merta tetapi rawatan ini mengurangkan kesan resdung dan mengawal daripada berlaku secara serius," katanya yang ditemui di di Jalan 4/1, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi , Selangor baru-baru ini.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan resdung tradisional, orang ramai boleh menghubungi Gadafi di talian 013-3595036 atau layari http://darulirsyad-blog.blogspot.com.

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...