PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, May 29, 2011

Apendisitis bukan sakit perut biasa (Utusan Malaysia Online)




JANGAN makan pedas lagi ya." Itu pesan rakan-rakan kepada Arif (bukan nama sebenar) setelah dia kembali ke pejabat selepas pulih daripada pembedahan membuang apendiks baru-baru ini.

Seperti kebanyakan pembaca, Arif juga pada mulanya tidak mempunyai pengetahuan yang jelas mengenai sakit yang dialaminya.

Sakit perut seakan senak dan kembung pada tanggapannya disebabkan tersalah makan.

Kesakitan itu bermula ketika dia bangun tidur. Perutnya seperti menegang dan rasa kembung di bahagian tengah. Lama kelamaan melarat ke bahagian kanan abdomen dan berlarutan untuk tempoh yang lama. Ketika itu juga dia berasa seperti mual dan tidak berselera menjamah makanan.

Disebabkan kesakitan yang tidak mampu ditahan, dia menggagahkan diri bersendirian ke klinik berdekatan. Selepas diperiksa, doktor mengesahkan dia mengalami radang apendiks (apendisitis) dan terus merujuk kes tersebut ke hospital berdekatan.

Tanpa berlengah, pembedahan dilakukan bagi membuang apendiks yang telah pun bernanah. Arif bernasib baik kerana masalahnya cepat dikenalpasti dan pembedahan dilakukan dengan segera.

Radang apendiks atau disebut juga sakit apendiks merupakan masalah kesihatan biasa yang dialami ramai individu. Pengetahuan yang cetek mengenai masalah ini menyebabkan ramai memandang remeh mengenainya.

Walaupun tidak terlalu serius, apendisitis sebenarnya boleh mengancam nyawa andai dibiar berlarutan.

Dua kali dibedah

Pengalaman seorang lagi bekas pesakit, Mohd (juga bukan nama sebenar)menjalani dua pembedahan akibat apendiks mungkin boleh menjadi panduan.

Seperti pesakit lain, dia juga pada mulanya tidak mengesyaki diri mengalami apendisitis. Pada peringkat awal, dia menahan sakit dengan mengambil ubat herba yang biasa untuk mengatasi sakit perut.

Disebabkan ia langsung tidak menunjukkan kesan malah semakin lama sakit semakin dirasakan, Mohd terus merujuk perkara tersebut ke klinik berdekatan.

Dia yang didiagnos mengalami apendisitis ringan disyorkan menjalani pembedahan laparaskopi apendektomi di hospital berdekatan. Tiga lubang kecil dibuat dan port dimasukkan bagi mengesan serta membuang apendiks. Malangnya kaedah tersebut gagal menemui struktur tersebut. Puas dicuba dan akhirnya dia terpaksa menjalani pembedahan terbuka pula bagi memudahkan apendiks dibuang.

Menurut Dr. Nazri, kes seperti itu bukan satu perkara yang ganjil untuk berlaku.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan usus manusia yang tidak tetap dan berlipat-lipat sehingga menyebabkan kedudukan apendiks mungkin dilindungi atau terkebelakang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...