PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, July 19, 2011

Mitos kehamilan


Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
2011/07/14

Banyak kaedah rancang proses kehamilan

MERANCANG jarak kehamilan penting bagi memastikan anak mendapat penjagaan dan kasih sayang mencukupi daripada ibu, lebih-lebih corak kehidupan yang menuntut kos sara hidup tinggi, perancangan teliti perlu untuk kesejahteraan keluarga.

Ada ibu bijak merancang tempoh hamil selain mengambil kira tahap kesihatan mereka kerana kadang kala, ketika hamil pelbagai penyakit wujud seperti darah tinggi, diabetis dan kesakitan lain yang tidak diduga.

Paling penting, jarak kehamilan yang dirancang juga memberi kelegaan kepada organ dalaman dan si kecil anda tentunya mempunyai tempoh mencukupi untuk bermanja dengan anda.

Justeru, sejak awal tamadun kehidupan manusia, pelbagai cara dilakukan untuk merancang kehamilan supaya perjalanan keluarga dapat diuruskan dengan harmoni atau dalam erti kata lain, biar kuantiti anak berkurangan asalkan berkualiti.

Pada zaman Mesir purba, ramai menggunakan ramuan najis buaya untuk mengawal kehamilan manakala orang Yunani pula menganggap kulit lemon boleh digunakan sebagai penghalang sperma seterusnya mengelakkan kehamilan berlaku.

Penggunaan kondom juga sudah diterokai sejak dulu kerana mereka menggunakan kondom daripada linen untuk mencegah kehamilan serta ahli falsafah Greek merumuskan mengenai campuran minyak zaitun dan madu boleh digunakan sebagai bahan pencegah kehamilan.

Hakikatnya, masyarakat zaman terdahulu juga bijak merancang keluarga menyebabkan mereka mempunyai banyak cara mengawal kehamilan.

Kini masyarakat tidak perlu risau memikirkan mengenai cara mengawal kehamilan atau kontrasepsi kerana kemajuan sains membenarkan kajian dilakukan oleh doktor dan saintis dalam bidang ini, seterusnya membawa kepada penemuan yang memudahkan banyak pihak seperti penggunaan pil pencegah kehamilan.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Helena Lim, berkata wanita kini mempunyai banyak pilihan untuk mencegah kehamilan dan merancang pembentukan keluarga yang diingini berbanding pada zaman lampau.

“Sekiranya mereka berpeluang merancang keluarga, ia menjadi pengurusan kekeluargaan lebih baik dan menyumbang kepada mutu kehidupan yang positif.

“Mitos dan persepsi mengenai teknik kontrasepsi seperti penggunaan pil dan sistem intrauterine sudah ketinggalan zaman. Dengan kepelbagaian pilihan penggunaan alat pencegah kehamilan kini, wanita berpeluang membuat pilihan yang manakah sesuai dengan keadaan diri mereka,” katanya pada program kesihatan wanita anjuran Bayer HealthCare di Port Dickson, baru-baru ini.

Katanya, kaedah kontrasepsi memudahkan wanita, selamat diamalkan, mampu dimiliki dan ia memberi manfaat bukan saja bertujuan mencegah kehamilan, sebaliknya banyak manfaat kesihatan berkaitan boleh dinikmati wanita seperti mengawal haid serta membawa kebaikan kepada kulit dan tulang.

“Penggunaan pil pencegah kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan prahaid dan masalah akne juga dapat diatasi.

“Manfaat lain daripada pengambilan pil pencegah kehamilan ini ialah kualiti hidup meningkat dengan wujudnya taraf kesihatan memuaskan di kalangan ahli keluarga seterusnya mempunyai lebih tenaga untuk membina kerjaya peribadi dan kegiatan bermasyarakat,” katanya.

Dr Helena berkata, penggunaan pil pencegah kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil.

“Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan ovari, barah dan jantung.

“Dengan pengambilan pil pencegah kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan,” katanya.

Kemudahan dan akses terhadap pengetahuan mengenai pil pencegah kehamilan ini meletakkan wanita boleh merancang keluarga dengan baik sekali gus memperkasakan wanita baik di tempat kerja mahupun ketika bersama keluarga di rumah.

INFO: Rancang kehamilan

  • Merancang kehamilan membantu anda membesarkan anak dengan selesa.

  • Apabila anda mempunyai perancangan yang baik mengendalikan keluarga, anak boleh membesar dengan pendidikan dan perhatian yang cukup dari anda.

  • Sebaik-baik jarak kehamilan adalah dua tahun untuk setiap anak.

  • Jika bersalin melalui pembedahan, dapatkan nasihat doktor untuk kehamilan seterusnya.

  • Terdapat pelbagai jenis kaedah pencegah kehamilan di pasaran selain pil, alat seperti gelang getah juga boleh didapati di klinik untuk tujuan mencegah kehamilan dan merancang keluarga.

  • Sekiranya mengambil pil pencegah kehamilan, pastikan anda menurut peraturan tertera di sampul ubat.
  • --- BERITA HARIAN

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...