PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Monday, December 12, 2011

Kerap hamil jejas tulang

WANITA disaran supaya menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya selama dua tahun.


MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.


MINUM banyak susu dapat menambah bekalan kalsium ibu hamil.


Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.


TULANG rapuh disebabkan kalsium di dalamnya telah diserap oleh tubuh.


“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya.

Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.


--- Kosmo Online

Susu ibu perisai kesihatan terbaik



SETIAP ibu bapa tentu akan bimbang, gundah dan tidak dapat tidur nyenyak apabila anak kecil mereka diserang demam dan selesema malah, lebih buruk jika sehingga perlu ditahan di hospital.

Bagi mereka, kesihatan si kecil menjadi keutamaan melebihi segala-galanya. Namun, tidak ramai ibu bapa yang menyedari bahawa kesihatan anak mereka juga boleh terjejas gara-gara kemerosotan imuniti tubuh berpunca daripada nutrisi yang tidak mencukupi.

Nutrisi merujuk kepada pemakanan baik yang membina kesihatan tubuh bagi seseorang.

“Makanan adalah punca tenaga bagi tubuh badan yang membina dan membaikpulih semua bahagian badan kita daripada rambut, kulit, otot dan kuku. Tidak ketinggalan juga untuk organ dalaman seperti jantung, ginjal dan hati.

“Unsur nutrisi dibahagikan kepada yang utama iaitu protein, lemak dan karbohidrat yang diperlukan dengan jumlah yang banyak diikuti dengan vitamin-vitamin A,B, C, D, E, K dan unsur-unsur lain seperti zat besi, zink, kalsium, selenium dan sebagainya,” kata Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Hospital Tawakal Kuala Lumpur, Dr. Zarin Ikmal Zan Mohd. Zain.

Imuniti si kecil

Dalam pada itu, imuniti pula merujuk kepada pertahanan semula jadi yang dijana oleh badan terhadap penyakit. Pertahanan terhadap penyakit bagi seorang bayi bermula ketika bayi berada di dalam rahim ibu lagi.


DR. ZARIN IKMAL ZAN (kanan) berbincang dengan stafnya mengenai nutrisi dan imuniti dalam diri kanak-kanak.


Ketika dalam rahim, antibodi daripada darah ibu dibekalkan kepada bayi melalui tali pusat. Antibodi daripada ibu akan melindungi seseorang itu untuk jangka masa enam bulan pertama hidupnya selepas lahir. Kemudian bayi tersebut akan mula menjana antibodinya sendiri.

“Ini menjelaskan mengapa seorang bayi itu lebih terlindung daripada penyakit pada enam bulan pertama hidupnya dan mudah mendapat jangkitan kuman selepas umur enam bulan.

“Bagaimanapun, sudah tentu seorang bayi terdedah kepada bermacam-macam jenis kuman selepas dilahirkan berpunca daripada keadaan dan individu sekelilingnya. Walaupun dibekalkan antibodi daripada ibunya, bayi akan masih sakit sekiranya pendedahan kuman terlalu banyak. Contohnya apabila kerap dicium oleh adik-beradik lain yang kebetulan menghidapi selesema dan batuk,” ujarnya.

Jelas Zarin Ikmal Zan lagi, imuniti yang dihasilkan oleh badan merupakan tindakbalas terhadap pendedahan yang berterusan seorang kanak-kanak itu sepanjang tumbesarannya.

Berjuta jenis virus dan bakteria wujud di udara, air mahupun di kulit badan sendiri dan sistem imun di dalam badan seseorang sentiasa bekerja keras menghasilkan antibodi untuk setiap jenis kuman yang diterima badan.

“Sungguhpun begitu, bukan semua kuman itu sama kerana ada kuman yang lebih kuat sehingga boleh menembusi dan melemahkan sistem pertahanan badan manusia.

“Kerana inilah anak-anak kita akan jatuh sakit dan kadang-kadang pulih dengan sendiri tetapi adakalanya memerlukan ubat,” jelasnya.

Dengan adanya ilmu perubatan moden, saintis telah mencipta dan menghasilkan ribuan jenis ubatan untuk melawan kuman-kuman yang merbahaya itu malah, ada yang dianggap sudah lupus di dunia contohnya penyakit polio. Namun, berjuta-juta kuman baru muncul setiap masa dan setiap.

Selain itu, salah satu penghasilan perubatan moden yang telah menyelamatkan berjuta nyawa dan melindungi kanak-kanak daripada mengalami kecacatan berkekalan ialah vaksin.

Proses imunisasi adalah satu kaedah memasukkan suatu komponen kuman yang diketahui ke dalam badan manusia untuk merangsang sistem imun manusia menjana antibodi yang spesifik kepada kuman tersebut tanpa menyebabkan penyakit kepada penerima.

Apabila antibodi telah dihasilkan secukupnya, maka individu tersebut akan terlindung daripada penyakit itu hampir 100 peratus.

“Sudah tentu seorang kanak-kanak yang menerima nutrisi yang seimbang akan membesar dengan baik serta menghasilkan antibodi yang mencukupi untuk melindungi dirinya daripada penyakit.

“Tetapi perkembangan seorang kanak-kanak itu bukan hanya dari segi fizikal malah, dari segi sosial dan mental juga. Seseorang kanak-kanak memerlukan nutrisi lengkap dengan pemakanan serta kasih sayang untuk menjadikannya seorang yang sihat secara keseluruhannya,” katanya.


IBU BAPA perlu pandai menyediakan pemakanan yang sihat dan seimbang bagi memastikan anak-anak mereka mendapat nutrisi yang secukupnya.


Khasiat susu

Nutrisi sangat penting terhadap kesihatan kanak-kanak. Susu ibu merupakan nutrisi terbaik untuk seorang bayi baru lahir sehingga umurnya lima hingga enam bulan yang memerlukan makanan tambahan kemudiannya.

Pemakanan tambahan selain susu ibu ialah dari unsur beras atau gandum akan ditambahkan lagi dengan sumber lain sehingga makanan diet yang terdiri daripada nasi, daging , sayuran dan buah-buahan menjadi lebih utama daripada susu.

“Sepanjang tumbesaran seorang kanak-kanak, keperluan pemakanannya berbeza dan bertambah. Enam bulan pertama hidupnya, susu badan ibu atau susu formula sudah cukup untuk membina dan menambahkan berat bayi.

“Susu mengandungi jumlah protein, lemak, karbohidrat yang tinggi serta vitamin dan elemen lain yang lengkap. Apabila seorang bayi mula merangkak, berdiri dan berjalan sudah tentu keperluan pemakanan bertambah bukan hanya untuk tulang dan otot malah, untuk tumbesaran otak serta organ dalaman badan,” ujarnya.

Katanya lagi, jumlah keperluan kalori, protein, lemak, vitamin serta elemen lain telah dikira secara saintifik bagi setiap individu dengan umur dan saiz berbeza. Dengan mengambil kira faktor tersebut, susu formula dihasilkan untuk menyumbang kepada pemakanan lengkap seorang kanak-kanak yang membesar.

Nutrisi yang lengkap kepada seorang kanak-kanak memberikan peluang baginya untuk mencapai status keupayaan mental dan fizikal yang baik.

Seorang kanak-kanak yang sihat tubuh badan boleh menghadiri sekolah setiap hari, bersenam dan beriadah bersama ibu bapa.

“Apabila nutrisi berkurangan, peluang kanak-kanak itu berbeza daripada kanak-kanak lain tetapi keupayaan mental dan fizikal juga datangnya daripada kegigihan, semangat, asas agama dan keluarga yang baik,” terangnya.


IBU BAPA perlu bijak dalam menyediakan pemakanan yang mempunyai nutrisi yang lengkap dan seimbang bagi mengelakkan anak-anak mereka menghadapi masalah kekurangan nutrisi mahupun obesiti.


Faktor lain

Terdapat empat tonggak dalam memelihara kesihatan anak-anak iaitu nutrisi, persekitaran, ubat-ubatan dan imunisasi.

“Selain nutrisi, persekitaran juga merupakan faktor penting yang mempengaruhi tahap kesihatan kanak-kanak yang sedang membesar.

“Persekitaran taska, tadika, pengasuh dan adik-beradik yang ramai menyebabkan jangkitan virus yang berterusan dan berubah-ubah merupakan punca kanak-kanak yang berada dalam persekitaran tersebut kerap menghidapi jangkitan kuman walaupun menerima nutrisi yang lengkap,” katanya.

Oleh itu, bagi mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu berani merawat anak-anak mereka sendiri pada tahap awal penyakit termasuk mempunyai stok ubatan mudah seperti ubat demam, selesema dan cirit-birit. Dengan rawatan awal, anak berpeluang untuk pulih lebih cepat.

Akhir sekali, imunisasi perlu diberikan untuk melindungi anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

“Sekiranya suatu kelompok masyarakat memilih untuk tidak mendapatkannya (imunisasi), maka mereka akan mudah dijangkiti penyakit tersebut dan akan mengancam nyawa anak-anak kecil lain yang belum sempat mengambilnya.

“Pemahaman terhadap isu vaksinasi ini amat penting. Penghasilan antibodi secara semula jadi telah dibuktikan secara perubatan tidak cukup untuk penyakit tertentu dan inilah sebabnya vaksin itu dihasilkan,” ujarnya.

Bagi ibu bapa yang mahu bertanyakan pelbagai soalan mengenai masalah kesihatan anak-anak mereka, boleh berbuat demikian menerusi Facebook Dr. Zarin Ikmal Zan di http://facebook.com/zarin.zain.

--- Kosmo Online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...