PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Wednesday, May 23, 2012

Kejururawatan : Kerjaya dari dalam hati


TIDAK kira sama ada anda orang biasa atau berpangkat besar, orang kaya mahupun orang miskin, pasti ada satu momen dalam hidup anda dekat dengan insan bergelar jururawat atau dipanggil juga misi.

Mungkin pada hari biasa, insan itu tiada kepentingan buat kita semua, namun apabila ahli keluarga, saudara terdekat, mahupun anda sendiri terlantar di hospital dan memerlukan rawatan, nama insan inilah yang sentiasa bermain di bibir setiap kali kita memerlukan sesuatu.

Namun, sejauh manakah kita menghargai insan ini? Tahukah anda bahawa tanggal 12 Mei setiap tahun merupakan Hari Jururawat Antarabangsa dan tarikh tersebut turut dipilih untuk menyambut Hari Jururawat Malaysia?

Setiap hari khidmat diberikan dengan ikhlas beserta secalit senyuman yang tidak pernah lekang di bibir walaupun lelah menyelubungi diri.

Cita-cita sejak kecil

Dek tugas yang digalas jururawat dianggap murni dan mulia, anak kelahiran Jerantut, Pahang, Wu Jie Yee, 22, mendambakan kerjaya tersebut sejak di bangku sekolah lagi.

"Kerjaya sebagai jururawat membolehkan kita berbakti dan membantu ramai orang setiap hari.


BETTERLINE tidak lokek memberikan senyuman setiap hari kepada pesakit setiap kali dia menjalankan tugasnya.


"Sejak sekolah lagi saya sudah meletakkan kerjaya jururawat sebagai cita-cita. Jadi, tamat sahaja Sijil Pelajaran Malaysia, saya melanjutkan pelajaran di Kolej Sains Kesihatan dan Kejururawatan Pantai selama tiga tahun," katanya yang baru berkhidmat di Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL) selama lapan bulan.

Sepanjang lapan bulan berkhidmat, Jie Yee pernah bertugas di wad perubatan pembedahan selama tujuh bulan dan kini meneruskan tugasnya di Unit Rawatan Koronari (CCU).

Menyifatkan tugas dan tanggungjawab sebagai jururawat amat mencabar, namun Jie Yee tidak mempunyai sebarang kenangan pahit.

Sungguhpun begitu, Jie Yee memberitahu, dimarahi doktor dan berdepan dengan pelbagai kerenah pesakit merupakan perkara biasa.

"Adakalanya, ada juga pesakit yang mencabar tahap kesabaran namun, sebagai jururawat kami perlu bijak menangani emosi sendiri demi memberikan layanan baik buat pesakit.

"Jangan sesekali mencampuradukkan masalah peribadi dengan kerja. Jururawat juga perlu bersedia menerima kritikan daripada orang lain," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang dinobatkan sebagai Jururawat Bintang Harapan, Anugerah Jururawat Cemerlang sempena sambutan Hari Jururawat 2012 di Hospital Pantai Kuala Lumpur 11 Mei lalu.

Kerjaya sepanjang hayat

Dalam pada itu, Betterline Nyorid, 31, anak kelahiran Kuching, Sarawak pula tidak pernah terfikir mempunyai kerjaya lain selain mahu menyarung uniform jururawat.

Anak bongsu daripada lima beradik itu yang sudah 11 tahun berkhidmat dengan PHKL tidak pernah menjadikan kerenah pesakit sebagai alasan atau bebanan untuk memberikan layanan terbaik.

"Saya pernah masuk hospital ketika tingkatan lima kerana pembedahan apendiks. Sepanjang berada di sana, saya kagum melihat jururawat melayan pesakit di hospital.


SUNGGUHPUN penat melayah kerenah pesakit, insan bergelar jururawat masih mampu mengukir senyuman dan memberikan layanan terbaik.


"Sejak itu, saya tanamkan azam untuk menjadi seorang jururawat seperti mereka supaya dapat menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," katanya yang dianugerahkan sebagai Jururawat Paling Popular.

Bagi Betterline, kejadian dimarahi pesakit merupakan perkara biasa.

"Jangan salahkan pesakit kerana mereka sakit dan sudah tentu emosi mereka terganggu. Berikanlah perkhidmatan terbaik. Jujurnya, saya tidak pernah ada perasaan geram atau marah dengan pesakit yang banyak kerenah," ujarnya yang tidak lokek dengan senyuman.

Ceritanya, suatu hari dia memasuki bilik pesakit dan pesakit tersebut memberitahu, dia gembira melihat Betterline kerana membuat hidupnya ceria.

"Apa yang saya lakukan mudah sahaja, sebelum masuk wad, tinggalkan segala masalah peribadi di luar dan sentiasa mendoakan kesejahteraan pesakit tidak kira bangsa dan agama," terangnya.

Dalam pada itu, bagi Kalaiselvi Kumaresan, 43, biarpun sudah 20 tahun berkhidmat di PHKL, dia tidak pernah jemu melayan kerenah pesakit yang pelbagai dan memeningkan kepala.

Berasal dari Ipoh, Perak, anak kedua daripada lima beradik itu yang menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat tidak pernah terlintas untuk bertukar kerjaya kerana jiwa dan hidupnya mahu berbakti kepada pesakit.


PARA penerima Anugerah Jururawat Cemerlang 2012 Hospital Pantai Kuala Lumpur bergambar bersama Khairil Anuar (tengah).


"Sebagai seorang jururawat, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit di bawah jagaan kita sihat. Kita sebagai jururawat perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi kerana kadang-kadang kita perlu berhadapan dengan pesakit yang emosinya tidak stabil kerana tidak sihat," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Memulakan perkhidmatan sebagai jururawat tapi kini, Kalaiselvi diberi mandat untuk melatih jururawat-jururawat baharu.

"Jururawat dahulu dan kini banyak bezanya. Dulu, kami cepat menyesuaikan diri dan terima tunjuk ajar serta teguran daripada jururawat senior. Namun kini, segelintir jururawat generasi baharu, sukar menerima teguran dan kritikan.

"Kerjaya sebagai jururawat perlu lahir dari dalam hati dan bukannya sebagai kerjaya pilihan terakhir," pesannya kepada anak-anak muda yang mahu menjadikan jururawat sebagai karier mereka.

--- KOSMO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...