PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, July 1, 2012

Sistem pengangkutan patogen


PERKATAAN vektor mungkin sesuatu yang baru memandangkan ia lebih banyak digunakan untuk menunjukkan arah perjalanan daripada penyebar kuman. Vektor dalam erti kata penularan penyakit berjangkit merujuk kepada haiwan yang dapat menyebarkan kuman (virus, bakteria, parasit) kepada manusia. Ini mungkin kerana haiwan terbabit dijangkiti kuman yang sama, ataupun mereka menjadi 'rumah tumpangan' yang mengangkut kuman dari satu hos kepada hos lain.

Haiwan mamalia seperti anjing, kelawar dan tikus serta serangga seperti lalat dan nyamuk merupakan jenis vektor yang paling biasa ditemui berhampiran penempatan manusia. Punca habitat berhampiran manusia ini mudah, sama ada manusia sendiri merupakan sumber makanan atau manusia membekalkan makanan haiwan terbabit (sampah-sarap).

Haiwan liar seperti kelawar biasanya hanya memasuki kawasan penempatan manusia jika habitatnya diganggu atau dimusnahkan di samping kekurangan sumber makanan (bunga, buah atau serangga). Anjing liar yang dibuang tuannya, tikus dan nyamuk pula hadir akibat daripada kekotoran seperti pengumpulan sampah dan takungan air. Tikus dan anjing juga boleh membawa kutu yang turut menjadi vektor penyakit kepada manusia.

Bagaimanapun, vektor yang banyak membawa masalah kepada kesihatan manusia kebelakangan ini adalah nyamuk, yang boleh menyebarkan beberapa jenis virus dan parasit berbahaya. Kes demam denggi dan chikungunya di negara ini juga dikesan dalam jumlah yang agak tinggi kebelakangan ini.

Sepanjang 2008, 4,271 kes chikungunya dilaporkan berlaku di seluruh negara tetapi tiada kematian dan 77 peratus mangsa hanya menerima rawatan pesakit luar. Dalam tempoh sama, 49,335 kes demam denggi dilaporkan dengan 112 kematian berbanding cuma 48,846 kes dan 98 kematian pada 2007.

Penyebar 

Nyamuk didapati mampu membawa dan menyebar virus serta parasit tanpa dijangkiti patogen tersebut. Kaedah perlindungan badan serangga ini bagaimanapun masih kurang difahami. Nyamuk betina menghisap darah manusia dan haiwan lain sebagai satu tabiat pemakanan dan kitaran pembiakan.

Air liur nyamuk mengandungi bahan anti-beku darah dan patogen biasanya memasuki badan mangsa ketika air liur ini disuntik masuk sebelum nyamuk mula menghisap darah. Dianggarkan lebih 700 juta penduduk dunia dijangkiti bermacam jenis penyakit bawaan nyamuk (di kawasan tropika) dan menyebabkan berjuta-juta kematian setiap tahun.

l Malaria

Nyamuk dari jenis Anopheles menjadi pembawa dan penyebar protozoa parasit Plasmodium (spesies P. falciparum, P. malariae, P. ovale, P. vivax dan P. knowlesi) yang menyebabkan malaria. Malaria merupakan pembunuh utama kanak-kanak di bawah umur lima tahun, dengan anggaran sekitar dua hingga tiga juta kematian daripada 515 juta jangkitan setiap tahun. Malaria juga dianggap amat berbahaya untuk ibu yang mengandung.

Malaria banyak berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut dikesan di kawasan bandar. Mangsa hanya dijangkiti malaria jika digigit nyamuk betina Anopheles yang membawa parasit Plasmodium. Parasit tersebut memasuki badan nyamuk ketika ia menggigit seseorang yang sudah dijangkiti malaria. Parasit Plasmodium akan membiak di dalam sel darah merah pesakit dan menyebabkan simptom seperti anemia, demam, mual, sakit seakan selesema serta koma atau maut bagi kes yang teruk.

Spesies P. falciparum merupakan yang paling banyak menyebabkan malaria pada manusia dan menjadi punca utama kematian akibat jangkitan malaria. Spesies Plasmodium tertentu juga didapati dapat menjangkiti burung, reptilia, monyet, cimpanzi dan rodensia.

l Denggi

Nyamuk dari jenis Aedes (spesies Aedes aegypti) merupakan penyebar utama virus denggi dan demam kuning. Kedua-dua virus tersebut menyebabkan demam akut pada pesakit.

Virus denggi juga kadang-kala boleh disebarkan spesies nyamuk Aedes albopictus. Demam denggi berpunca daripada jangkitan salah satu daripada empat jenis virus denggi. Jangkitan salah satu jenis virus denggi memberikan perlindungan imuniti kekal terhadap jenis virus sama tetapi tidak melindungi pesakit daripada tiga jenis yang lain.

Jangkitan demam denggi kedua tetapi oleh jenis virus denggi berlainan pula boleh menyebabkan demam denggi berdarah. Sebahagian kecil pesakit membentuk sindrom renjatan denggi (DSS) yang mempunyai kadar kematian yang tinggi.

Demam denggi juga dikenali sebagai demam pematah tulang akibat simptom yang dialami pesakit seperti sakit kepala, otot dan sendi yang teruk. Pesakit juga mungkin membentuk ruam kemerahan, dari kaki naik ke dada, di samping simptom sampingan seperti sakit perut, mual, muntah dan cirit-birit.

Penyebaran denggi hampir serupa dengan malaria tetapi denggi lebih banyak dikesan di kawasan bandar negara-negara tropika. Denggi merupakan penyakit bawaan nyamuk kedua terbanyak selepas malaria dengan anggaran sekitar 40 juta kes dilaporkan setiap tahun.

Wabak denggi dilihat turun dan naik setiap lima hingga enam bulan. Kitaran ini dikaitkan dengan perubahan iklim dan jumlah vektor (nyamuk) yang memilih air jernih untuk membiak.

l Chikungunya

Virus Chikungunya (CHIKV) juga disebarkan oleh nyamuk jenis Aedes aegypti, seperti virus denggi, demam kuning dan virus West Nile (WNV). Demam chikungunya mempunyai simptom yang serupa dengan demam denggi tetapi sakit sendi yang berlaku mungkin berlanjutan hingga berminggu atau berbulan lamanya mengikut umur pesakit. Virus CHIKV juga mampu bertakung di dalam monyet, membolehkannya terus hidup antara kitaran jangkitan pada manusia.

l Demam kuning

Nyamuk dari jenis Aedes (spesies A. simpsaloni, A. africanus dan A. aegypti) merupakan penyebar utama virus demam kuning. Nama penyakit ini dikaitkan dengan simptom kekuningan (jaundice) yang dialami pesakit. Demam kuning sering kali berlaku dengan teruk tetapi mungkin sederhana jika pesakit pernah dijangkiti virus lain dari keluarga yang sama (flavivirus).

Demam yang teruk bermula dengan demam, seram sejuk, pendarahan di bawah kulit, denyut jantung yang laju, sakit kepala, sakit belakang dan kelesuan melampau. Kekuningan biasanya muncul pada hari kedua atau ketiga. Simptom-simptom akan reda seketika selepas hari ketiga tetapi kembali dengan lebih teruk pada peringkat akhir yang berisiko tinggi berlakunya pendarahan dalaman.

Pesakit yang mengalami pendarahan mungkin muntah berdarah, mengalami keracauan dan koma yang diikuti dengan kematian. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 200,000 kes baru dan 30,000 kematian berlaku setiap tahun akibat demam kuning, terutamanya di kawasan yang tidak menerima vaksin.

l Filariasis (untut)

Filariasis disebarkan oleh spesies serangga tertentu yang menghisap darah (nyamuk dan lalat). Jangkitan salah satu daripada sembilan jenis cacing filaria melalui gigitan serangga boleh menyebabkan pembengkakan teruk beberapa bahagian badan. Dianggarkan lebih 120 juta orang dijangkiti cacing filaria di seluruh dunia. Penyakit ini terbatas kepada kawasan tropika mengikut habitat vektor yang menyebarkannya.

Kawasan yang mengalami endemik filariasis mungkin mempunyai 10 peratus golongan wanita dengan kaki atau tangan yang membengkak sementara 50 peratus lelaki mengalami pembengkakan kawasan genitalia.

l Encephalitis

Encephalitis (pembengkakan akut otak) berpunca daripada jangkitan bakteria, virus mahupun parasit tertentu, termasuk yang disebarkan beberapa spesies nyamuk. Punca utama encephalitis melibatkan virus Japanese Encephalitis, virus West Nile, Herpes simplex dan virus Influenza A. Rabies, siflis, malaria, protozoa Toxoplasma (parasit kucing), penyakit Lyme dan HIV juga boleh menyebabkan encephalitis.

Virus West Nile 

Spesies nyamuk Aedes albopictus dan Culex pipiens merupakan antara penyebar utama virus West Nile (WNV) yang mempunyai struktur dan berada dalam keluarga yang sama dengan virus denggi. Ia juga mempunyai kaitan kompleks antigen dengan virus Japanese encephalitis (JE).

WNV biasanya lebih banyak menjangkiti burung melalui gigitan nyamuk tetapi turut dikesan menjangkiti manusia, kuda, anjing, kucing, kelawar, tupai dan arnab. Jangkitan WNV menyebabkan encephalitis dan boleh membawa maut.

Kawalan vektor

Kawalan vektor merupakan kaedah terbaik bagi menyekat penularan penyakit bawaan vektor, terutamanya jika ubat atau vaksin untuk patogen punca penyakit berkenaan tiada atau sukar diperolehi.

Pengurus Pembangunan Produk, Kategori Serangga Perosak Syarikat Reckitt Benckiser, Graeme Smith menjelaskan kawalan vektor boleh dijalankan melalui beberapa kaedah.

"Bagi nyamuk, kita boleh mengelakkan digigit melalui penggunaan jaring tingkap, kelambu tidur atau dengan memusnahkan tempat pembiakannya (air bertakung).

"Selain itu, penggunaan racun serangga yang membunuh atau mengelirukan nyamuk boleh mengelakkan kita digigit dan dijangkiti kuman tertentu," katanya.

Menurut beliau, nyamuk memang kuat menghisap darah dalam kitaran pembiakannya sebelum bertelur dan tidak mengembara jauh dari tempat ia membiak.

Tambahnya, ini memudahkan kita mengesan takungan air kerana kehadiran nyamuk menunjukkan tempat ia bertelur cuma beberapa ratus meter sekitar rumah. Bagi takungan air atau kolam pula, penggunaan ubat jentik-jentik ataupun membela ikan yang memakan larva nyamuk juga digalakkan.
Smith menjelaskan sesetengah penyakit bawaan nyamuk seperti denggi juga belum ada vaksinnya dan perlu dicegah melalui kawalan populasi vektor.

"Kerjasama komuniti untuk membersihkan kawasan persekitaran dan tempat takungan air dapat memberi impak yang besar.

"Ambil masa 10 minit setiap hari untuk memastikan persekitaran rumah bebas takungan air dan elakkan keluarga dari menjadi mangsa penyakit bawaan nyamuk," ujarnya.

Katanya lagi, kerjasama komuniti dan penggunaan jaring, kelambu mahupun racun serangga menjadi kaedah pencegahan pilihan.

Tambahnya, kaedah pembebasan nyamuk jantan steril (mandul) yang dikaji juga masih di peringkat awal dan mungkin belum sesuai digunakan buat masa ini.

Kawalan mana-mana spesies vektor berkait rapat dengan gaya hidup dan perbuatan manusia sendiri. Jika kebersihan dijaga, habitat liar tidak dimusnahkan dan populasi vektor terkawal, pasti sukar untuk kuman dan penyakit disebarkan. Oleh itu, elakkan menjadi 'penternak' vektor di sekitar anda dan ambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keluarga selamat dari ancaman penyakit-penyakit bawaan vektor.


--- UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...