SIERRA LEONE kini diserang wabak taun terburuk dalam tempoh 15 tahun.
Ia membabitkan sejumlah 229 kematian dan dijangka jumlah tersebut
meningkat tiga kali ganda dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Di Freetown, kawasan yang padat penduduknya, keadaan rumah setinggan
tanpa tandas menyebabkan kawasan persekitaran tersebut kotor dan
dipenuhi sampah serta air tercemar.
Hujan lebat, tahap kebersihan dan cara hidup yang rendah
mengakibatkan taun merebak dengan pantas sekali gus beribu-ribu orang
mengalami muntah-muntah dan cirit-birit. Keadaan itu memaksa kerajaan
mengumumkan darurat.
Berdasarkan perangkaan kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia
(WHO), seramai 13,300 orang telah dijangkiti taun di negara tersebut dan
bulan September kebiasaannya hujan paling lebat dijangka memburukkan
lagi keadaan tersebut.
Di Hospital Tentera 34 yang terletak di barat bandar itu, doktor
sukarelawan sibuk menguruskan salah sebuah daripada banyak pusat rawatan
taun yang didirikan di negara tersebut.
Salah seorang doktor melaporkan 'berduyun-duyun pesakit datang untuk mendapatkan rawatan'.
Saudara-mara pula mengerumuni pusat rawatan bagi mendapatkan
perkembangan orang yang disayangi, jururawat-jururawat sibuk menguruskan
para pesakit manakala para pekerja lain membersihkan lantai yang berbau
busuk.
"Saya dibawa ke sini dalam keadaan ternyahhidrat dan telah putus
harapan untuk hidup," keluh Alimatu Turay, yang terbaring lemah di atas
pengusung dengan matanya separuh terbuka.
"Semasa sarapan, saya diberi makan dua keping roti bakar dan selepas
sejam masalah muntah dan cirit-birit telah berjaya diatasi. Walaupun
masih lemah, saya berasa lebih sihat," kata wanita itu.
|
|
Tidak bersih
Antara faktor taun merebak adalah disebabkan peniaga jalanan yang
menjual makanan tidak bersih. Inspektor kesihatan telah bertindak dengan
mengarahkan peniaga mengutamakan aspek kebersihan.
Orang ramai pula telah berhenti berjabat tangan dan memakai penutup
muka bagi mengelakkan jangkitan, tanpa menyedari bahawa taun tidak
merebak melalui udara.
"Ketika ini, kami mengajar para pesakit menjaga kebersihan menerusi
amalan membasuh tangan sebelum makan, menutup makanan dan memastikan
anak-anak mereka minum air yang bersih," kata seorang jururawat, Matron
Abibatu Sesay yang bekerja di pusat rawatan Mabela.
Claire Seaward dari Oxfam Sierra Leone memberitahu, peningkatan kes
taun bermula sejak Januari lalu berbanding kebiasaannya berlaku pada
pertengahan tahun.
"Musim hujan juga berlaku lebih awal, kita baru menerima beberapa
kes, namun kemudian ia menjadi satu wabak. Kami jangka keadaan akan
lebih buruk sebelum ia kembali pulih," ujarnya bimbang..
Sejak perang saudara berakhir sedekad lalu, Sierra Leone masih
berdepan kesukaran dalam menyediakan kemudahan air bersih dan sistem
sanitasi di negara tersebut.
Seaward berkata, hanya 40 peratus penduduk mempunyai tandas dan
kebiasaannya sehingga tujuh keluarga berkongsi menggunakan satu tandas.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), masalah
tersebut semakin membimbangkan di negara itu apabila daripada empat
orang kanak-kanak, hanya seorang yang hidup sehingga umur lima tahun.
Bekalan ubat
Pada hujung minggu lalu, pasukan Palang Merah dari Finland tiba
dengan penerbangan kargo khas yang membawa bekalan ubat dan
doktor-doktor.
Jabatan Pembangunan Antarabangsa Britain berikrar memberikan
sumbangan sebanyak 2.3 juta euro (RM9 juta) untuk membantu negara
berkenaan menangani wabak tersebut selain merancang menghantar pakar
kemanusiaan dan ubat antitaun.
Wabak taun menyahhidratkan pesakit dengan cepat dan boleh
mengakibatkan kematian dalam tempoh kurang sehari jika tidak mendapatkan
rawatan.
Hanya dua daripada 12 daerah di negara tersebut yang tidak dilanda
wabak maut itu malah seramai 82 orang turut maut di negara jiran,
Guinea.
Menurut WHO, kira-kira 2,500 orang maut dan 85,000 dijangkiti taun di Afrika pada tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment