PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, January 27, 2013

Merawat diabetes

ARKIB : 27/01/2013

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. - Gambar hiasan
 
Soalan: SAYA Siti Juliana ingin bertanya bagi pihak ayah saya. Ayah saya berumur 60 tahun menghidap penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu. 

Tahap suntikan insulin yang perlu diambil adalah sebanyak 14 unit pada siang (tiga suntikan) dan 20 unit pada waktu malam. 

Masalahnya dia sering mengalami kebas kaki dan tangan hampir setiap hari dan pada waktu malam menjadi lebih kebas berbanding siang. 

Adakah penyakit kencing manis ini boleh diubati? Apakah ayat-ayat Al-Quran yang patut dibaca oleh ayah saya. Saya berharap Tuan Haji Lokman dapat menjawab soalan saya ini.

-Lina, Taiping, Perak.

JAWAPAN:

Kencing manis atau diabetes adalah satu keadaan yang berlaku apabila tahap gula dalam darah lebih tinggi daripada biasa. 

Kencing manis berlaku apabila pankreas dalam badan tidak menghasilkan insulin atau apabila badan kita sudah tidak sensitif dengan insulin dalam badan. 

Apabila insulin gagal dihasilkan atau tidak berfungsi dengan baik, ia tidak dapat membawa masuk glukos atau gula ke dalam sel dan tisu badan kita sebagai simpanan. 

Akibatnya, darah akan mempunyai kadar gula yang terlalu tinggi untuk sel-sel badan kita. Secara amnya, seseorang dianggap menghidap penyakit kencing manis apabila kadar gula dalam darah semasa berpuasa lebih daripada tahap 7 atau kadar gula selepas makan adalah daripada tahap 11.

Kencing manis terbahagi kepada jenis 1 (bergantung kepada insulin) biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja. 

Kencing manis jenis 2 (tidak bergantung kepada insulin) selalu dihidapi oleh golongan orang berumur atau mempunyai berat badan berlebihan. Terdapat juga kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes).

Kencing manis adalah pembunuh yang senyap (silent killer) kerana penyakit ini boleh menyebabkan seseorang pesakit menjadi buta, mengalami komplikasi buah pinggang, masalah jantung, strok dan gangren - selalunya mengakibatkan amputasi kaki akibat luka yang lambat sembuh atau mengalami jangkitan kuman kronik.

Statistik kes-kes diabetes di Malaysia

Pada 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan mengidap kencing manis. 

Malah, didapati bahawa satu daripada tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapinya. Keadaan ini amat membimbangkan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa Malaysia berada di tangga ke-10 di dunia sebagai negara yang mempunyai jumlah penghidap kencing manis yang sangat ramai. 

Dalam pengalaman saya merawat pesakit kencing manis, negeri Pantai Timur Semenanjung mempunyai jumlah pesakit yang lebih ramai berbanding dengan negeri lain di Malaysia. 

Ini mungkin disebabkan faktor pemakanan penduduk Pantai Timur yang gemar makanan berunsur karbohidrat seperti nasi, pulut dan manisan.

Punca kencing manis

Penyakit kencing manis disebabkan oleh beberapa faktor. Di antara punca utama yang dikenal pasti adalah berat badan berlebihan (obesiti), faktor keturunan, tahap kolesterol tinggi, stres atau tekanan emosi berlebihan dan berterusan, pengambilan alkohol yang banyak, amalan pemakanan tidak berkhasiat atau tidak seimbang, kurang membuat aktiviti fizikal (senaman) dan tekanan darah tinggi. 

Selalunya, sesiapa yang mempunyai lebih daripada satu punca yang disebut tadi mempunyai risiko tinggi untuk menghidap kencing manis.

Tanda-tanda awal kencing manis

Tanda awal seseorang mula menghidap kencing manis adalah penurunan berat badan mendadak, luka lambat sembuh, sering buang air kecil, selalu lapar dan haus yang luar biasa, kabur penglihatan, rasa kebas di kaki dan tangan, otot lemah, sentiasa letih, cepat marah dan bagi wanita, gatal di bahagian kemaluan.

Pencegahan penyakit kencing manis

Dari segi perubatan moden, penyakit kencing manis tidak dapat diubati, tetapi boleh dikawal. 

Namun, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yakin penyakit kencing manis ini boleh diubati dengan mengamalkan ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan dengan keizinan Allah SWT. 

Selain itu, beberapa langkah yang dapat dilakukan untuk merawat dan mencegah penyakit kencing manis adalah dengan pengambilan makanan dan diet seimbang, melakukan senaman dengan kerap, mengawasi kadar gula dalam darah, tidak merokok dan mengawal berat badan.

Kepentingan pengambilan makanan berzat dan yang tidak memudaratkan badan turut ditekankan di dalam al-Quran seperti di dalam firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 168 yang lebih kurang bermaksud “Hai manusia! Makanlah sebahagian daripada makanan yang ada di bumi ini yang halal dan baik."

Rakyat Malaysia yang mempunyai risiko tinggi mengidap kencing manis harus mempunyai kefahaman tentang bahaya kencing manis dan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengenal pasti penyakit kencing manis di peringkat awal.

Rawatan moden penyakit kencing manis

Matlamat utama dalam rawatan penyakit kencing manis adalah untuk mengurangkan tahap gula dalam darah, dari kadar yang luar biasa ke tahap gula lebih rendah dan normal. 

Penyakit kencing manis jenis 1 boleh dirawat dengan pengambilan insulin, senaman dan pemakanan sihat dan seimbang. 

Penyakit kencing manis jenis 2 pula boleh dirawat dengan penurunan berat badan, mengamalkan diet sesuai dan aktiviti senaman yang konsisten. 

Jika langkah ini gagal mengawal kadar gula darah yang tinggi, ubat-ubatan hospital boleh digunakan.
Jika ubatan masih tidak mencukupi untuk mengawal kadar gula dalam darah, maka rawatan dengan suntikan insulin boleh digunakan.

Rawatan penyakit kencing manis dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran

Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit kencing manis akan diberi ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan. Ayat-ayat yang perlu diamal adalah:

Surah Al-Anbiya’ ayat 62 hingga 73
Surah An-Nahli ayat 66 hingga 74
Surah Huud ayat 46 hingga 53
Surah Al-Kahfi ayat 28 hingga 44
Surah Al-Qasas ayat 29 hingga 40
Surah Al-Maidah ayat 62 hingga 75

Cara amalan ayat-ayat al-Quran tersebut adalah pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Al-Anbiya’ tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. 

Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. 

Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah untuk penyembuhan. 

Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan tersebut dengan surah berikutnya. 

Lebih baik sekiranya pesakit datang berjumpa dengan perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada kesan sampingan yang disebabkan oleh penyakit kencing manis ini. 

Sekiranya ada kesan sampingan, kami boleh memberi ayat al-Quran yang lain untuk merawat kesan sampingan tersebut.

Adalah dinasihatkan agar pesakit yang ingin berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran ini tidak berhenti terus mengambil ubat yang telah diberi oleh pihak hospital, tetapi boleh mengurangkan dos pengambilan ubat hospital secara perlahan-lahan mengikut kadar pemulihan pesakit. 

Terapi penyembuhan melalui ayat al-Quran ini memakan masa, disiplin dan kesabaran. Kaedah rawatan ini bukan seperti magic, hari ini pesakit membaca ayat yang diberi dan esok pesakit mengharap penyakit itu sembuh. 

Pesakit mesti yakin akan mukjizat ayat-ayat al-Quran dan yang paling penting berdoa kepada Allah memohon penyembuhan serta keberkatan dan rahmat-Nya.

Kepada semua pesakit kencing manis, jangan berputus asa berusaha dan mendapatkan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini. 

Ramai pesakit yang telah berusaha berubat dengan ayat al-Quran dan ada yang telah sembuh selain ada yang masih lagi menjalani rawatan. 

Yakinlah dengan mukjizat ayat al-Quran, penyakit kencing manis boleh dirawati, insya-Allah.

Dari Abu Hurairah r.a: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya" ( Hadith Sahih Bukhari).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130127/kn_05/Merawat-diabetes#ixzz2KmlptCwx
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...