PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Tuesday, July 9, 2013

Kementerian Tunggu Bukti Saintifik Sebelum Haramkan Sisha, Rokok Elektronik


SEREMBAN, 7 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan sedang mengumpul lebih banyak bukti saintifik sebelum mengambil keputusan untuk mengharamkan atau mengadakan peraturan tentang sisha dan rokok elektronik.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata sebuah jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan pengarah Institut Perubatan Respiratori Datuk Dr Abdul Razak Muttalif akan membuat kajian tentang kesan dua produk itu terhadap kesihatan, sebelum mengambil tindakan lanjut mengenainya.

"Mengenai sisha, bukti menunjukkan ia berbahaya, mungkin lebih bahaya daripada merokok.

"Oleh itu, langkah awal kami ialah mengklasifikasikan sisha sebagai produk berasaskan tembakau. Semua undang-undang dan peraturan berkaitan penggunaan tembakau mungkin akan terpakai terhadapnya (sisha)," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Kolej Tafe di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata bagi rokok elektronik pula, ada pihak berpendapat produk itu kurang berbahaya daripada rokok dan boleh dijadikan langkah perantaraan untuk mengurangkan tabiat merokok.

Bagaimanapun, kata beliau, ada pula pihak yang mendakwa rokok elektronik boleh disalahguna dan oleh itu perlu diharamkan atau dikenakan peraturan.

"Oleh itu, kami akan buat keputusan berdasarkan bukti yang dikumpul jawatankuasa teknikal ini, sama ada hendak mengadakan peraturan mengenainya (sisha dan rokok elektronik) atau mengharamkannya terus," kata beliau.

-- BERNAMA

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...