PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Sunday, October 18, 2015

Penyakit Anjing Gila (Rabies)

Gigitan anjing bawa maut



Sudah sekian lama penyakit anjing gila tidak dilaporkan di Malaysia disebabkan mutu kawalan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan menangani wabak ini.

Kini ia kembali disebabkan oleh anjing dari negara jiran terlepas ke Malaysia dan menyebarkan wabak ini. Kawalan penyakit anjing gila penting kerana kadar kematian sangat tinggi akibat jangkitan virusnya.

Anjing gila atau rabies adalah jangkitan disebabkan oleh virus yang dipanggil Lyssavirus. Apabila menjangkiti seseorang, virus ini menyerang saraf dan otaknya, menyebabkan perubahan yang drastik berlaku kepada pesakit.

Selepas memasuki badan pesakit, virus ini akan membiak dan bergerak dari tisu yang dijangkiti, memasuki saraf dan bergerak sepanjang saluran saraf menuju ke otak pesakit.

Virus ini menjangkiti manusia daripada air liur anjing yang mengandungi virus. Apabila mangsa digigit anjing gila, virus berkenaan mula membiak pada bahagian luka pesakit.

Setelah membiak dengan banyak, ia bergerak ke otak melalui saraf. Selain itu, virus ini menuju ke kelenjar air liur dan membiak di situ. Jangkitan daripada manusia ke manusia lain tidak berkemungkinan. Dalam kebanyakan kes, anjing yang menjadi pembawa.

Setelah digigt oleh anjing gila yang mempunyai virus penyakit rabies, ia mengambil masa satu hingga tiga bulan sebelum simptom awal muncul. Namun, ia juga boleh berlaku seawal empat hari dan ada kes cuma dikenal pasti enam tahun selepas digigit. Ia bergantung pada jumlah virus yang dipindahkan ke luka dan kawasan luka itu.

Simptom awal hampir sama dengan demam selesema biasa. Pesakit mengalami demam selain kebas

di sekitar kawasan luka gigitan itu.

Kemudian apabila kuman sampai ke saraf manusia, pesakit mengalami pergerakan anggota badan luar kawalan, gelisah, fobia pada air, lemah anggota badan atau lumpuh, keliru, cuak, gelisah, berhalusinasi dan akhirnya tidak sedarkan diri. Penghasilan air liur juga menjadi banyak dan pesakit sukar menelan menyebabkan air liur menitisnitis keluar dari mulut.

Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila seseorang itu digigit oleh anjing yang berkemungkinan besar pembawa virus ini ialah membasuh luka dengan air dan sabun.

Luka perlu dibasuh sekurang-kurangnya lima minit. Penggunaan antiseptik juga dapat membantu mengurangkan jumlah virus daripada memasuki badan pesakit.

Suntikan vaksin atau immunisasi perlu diberi serta-merta atau selewat-lewatnya dalam masa enam hari selepas digigit. Ini untuk mengurangkan risiko kematian disebabkan oleh virus berkenaan.

Keberkesanan rawatan ini hanya berlaku jika pesakit belum mempunyai simptom rabies. Jika timbul simptom, kadar penyembuhan sangat tipis dan kadar kematian meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2015 @ 5:00 AM

--- HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...