PENAFIAN:


Untuk pengetahuan sahaja. Sila dapatkan nasihat doktor / pakar perubatan bertauliah
mengenai kesihatan anda.

Maklumat perubatan dan penjagaan kesihatan dalam laman ini tidak bertujuan menggantikan jagaan profesional, khidmat nasihat, diagnosis atau rawatan doktor/pakar perubatan bertauliah. Laman ini tidak mempunyai jawapan kepada semua masalah kesihatan dan perubatan yang dialami. Jawapan kepada masalah umum mungkin tiada kaitan langsung dengan keadaan kesihatan anda. Sekiranya anda menyedari tanda/gejala penyakit atau jatuh sakit, sila hubungi doktor/pakar perubatan bertauliah untuk rawatan segera.

Saturday, January 22, 2005

Untut... saintis USM temui kaedah diagnosis


ARKIB : 20/12/1999

Penemuan kaedah terbaru itu berjaya membaiki kaedah sedia.

Kaedah yang lama menggunakan sampel darah yang perlu diambil pada waktu malam.

"Kaedah terbaru ini juga akan lebih sensitif dalam mengesan kehadiran parasit filaria iaitu sejenis cacing yang boleh membawa kepada penyakit untut,'' katanya kepada Utusan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berharap, kaedah ini kelak akan dapat dimanfaatkan oleh pihak hospital, klinik dan unit kawalan jangkitan filaria pada masa akan datang.

Selain daripada penyelidikan untuk membangunkan kaedah diagnosis yang lebih tepat, beliau juga menjalankan pelbagai penyelidikan lain berkenaan parasit ini.

Beliau ditemui semasa menyampaikan salah satu hasil penyelidikannya pada Seminar Pembentangan Hasil Penyelidikan Yayasan Sains Toray Foundation (MTSF) 1999 di Universiti Malaya (UM).

Dr. Rahmah adalah salah seorang penyelidik yang telah berjaya mendapat geran penyelidikan daripada MTSF iaitu sebuah badan bukan kerajaan untuk menggalakkan perkembangan sains dan teknologi di negara ini.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kaedah penyebaran penyakit filaria itu, katanya mikrofilaria (anak cacing filaria), terhasil apabila cacing dewasa jantan dan betina yang dikenali sebagai burgia malay mengawan.

Vektor atau agen penyebaran penyakit ini ialah nyamuk daripada pelbagai jenis spesies.

Di Semenanjung Malaysia, spesies nyamuk yang menyebarkan jangkitan ini ialah Mansonia yang membiak di kawasan yang dipenuhi pokok keladi bunting.

Apabila nyamuk yang terjangkit menggigit manusia, ia melepaskan larva infektif ke atas kulit.

Tidak seperti jangkitan nyamuk yang menyebabkan malaria, yang mana parasit malaria disuntik ke dalam saluran darah manusia, nyamuk yang membawa parasit filaria menyebarkan larva infektif ke atas kulit.

Larva infektif ini kemudiannya akan masuk ke dalam luka akibat gigitan nyamuk tadi dan membesar dalam noda dan saluran limfa.

Selepas lebih kurang enam bulan dijangkiti, anak cacing tersebut yang dikenali sebagai mikrofilaria dapat dikesan di dalam darah periferi, terutamanya pada waktu malam.

Simptom-simptom yang terhasil daripada jangkitan ini ialah adenolinfangitis iaitu inflamasi kelenjar dan saluran limfa yang diikuti dengan demam dan lesu, kerosakan limfa dan ginjal, pembengkakan anggota terutama kaki di bawah lutut dan penyakit untut.

"Ada juga segolongan kecil yang mengalami kerosakkan paru-paru yang disebabkan sindrom tropical pulmonary eosinophilia di mana larva cacing tersebut berkumpul di paru-paru,'' jelasnya.

Lebih kurang 13 juta orang di Malaysia India, China, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Korea Selatan mengalami jangkitan ini.

Di negara ini, jangkitan penyakit ini kebanyakannya terdapat di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Perak.

Kes penyakit untut yang kebanyakannya dikesan di kawasan-kawasan kurang membangun dan mempunyai banyak kawasan berpaya, menyebabkan penyakit ini sering disinonimkan sebagai penyakit orang miskin.

Penyelidikan yang dibiayai oleh MTSF melibatkan kajian terhadap antigen larva infektif burgia malay.

"Kami telah mengkaji sama ada terdapat komponen antigen larut dalam peringkat ini yang mungkin menghasilkan antibodi yang memberi perlindungan terhadap jangkitan,'' katanya.

Ini menurutnya, adalah kerana terdapat segolongan orang dalam sesuatu kawasan yang berpenyakit, yang tidak dijangkiti oleh brugia malay, walaupun terdedah kepada nyamuk yang terjangkit.

Menurut beliau, kajian mendapati manusia yang terjangkit terdiri daripada dua kelompok.

Kelompok yang besar (80 peratus) menghasilkan sejenis antibodi terhadap antigen larva infektif dan selebihnya langsung tidak menghasilkan antibodi tersebut.

"Dengan ini, kajian mendapati, tidak terdapat kesan perlindungan oleh antibodi yang terhasil daripada larutan larva infektif,'' katanya.

Kajian yang seterusnya menurut beliau, perlu difokuskan ke atas kajian antibodi terhadap antigen permukaan larva infektif dan kajian keimunan sel.

Hasil penyelidikan berkenaan larva infektif yang dijalankan oleh Dr. Rahmah dan juga rakan-rakan penyelidik daripada UM,, Prof. Datuk Dr. Khairul

Anuar Abdullah dan C.P. Ramachandran dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu akan diterbitkan dalam jurnal perubatan iaitu Journal South East Asia - Journal of Tropical Medicine and Public Health.

--- UTUSAN MALAYSIA

Monday, January 17, 2005

Kesihatan -- CAESAREAN - Risiko pembedahan


ARKIB : 20/12/1998

DALAM keadaan tertentu, bagi kaum wanita yang tidak dapat melahirkan bayi melalui proses biasa, kemungkinan terpaksa menjalani pembedahan caesarean. Ini kerana kaedah ini merupakan alternatif terbaik untuk ibu dan bayi yang bakal dilahirkan.

Meskipun kaedah ini mempunyai komplikasi empat kali ganda lebih tinggi daripada proses kelahiran biasa, namun dalam keadaan tertentu ia perlu bagi menyelamatkan nyawa ibu dan anak dalam kandungan.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Dr. Mohd. Hashim Omar memberitahu, dalam apa juga bentuk rawatan risiko untuk komplikasi sukar untuk dielakkan.

''Walaupun kematian ibu melalui pembedahan caesarean amat jarang berlaku, namun perbandingan peratusan jumlah kematian ibu yang bersalin secara biasa berbanding jumlah kematian pembedahan caesarean, risikonya lebih tinggi,'' katanya.

Namun, sesetengah kematian lebih berkait dengan penyakit yang dihidapi oleh pesakit itu sendiri berbanding berpunca daripada pembedahan tersebut secara langsung.

Kata beliau, risiko-risiko lain seperti jangkitan kuman dan komplikasi yang berkaitan adalah jauh lebih tinggi berbanding bersalin secara biasa.

Dr. Mohd. Hashim memberitahu, bagi ibu-ibu yang menghidapi penyakit-penyakit tertentu pembedahan caesarean mungkin tidak dapat dielakkan.

Menurut beliau, sekiranya terdapat bahaya kemungkinan ibu-ibu yang menghidap penyakit tertentu bersalin dengan proses biasa, pembedahan caesarean diperlukan.

''Contohnya penyakit darah tinggi yang teruk semasa hamil atau keadaan bayi yang tidak sihat dalam kandungan.

''Sekiranya proses kandungan ini diteruskan sehingga sembilan bulan ia mungkin membahayakan kesihatan ibu dan anak, justeru pembedahan caesarean diperlukan,'' katanya.

Mengimbas sejarah pembedahan ini, ia bermula dalam sejarah Mesir pada tahun 3000 Sebelum Masihi.

Bagaimanapun, kaedah ini yang dikenali sebagai Lex Caesare sejak tahun 715 Masihi, merupakan salah satu undang-undang Roman.

Undang-undang ini mewajibkan bahawa pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan bayi dari ibu hamil yang baru meninggal dunia kerana mayat-mayat ini perlu dikebumikan berasingan.

Namun, secara amnya pembedahan ini jarang digunakan untuk menyelamatkan nyawa anak.

Pembedahan caesarean pertama yang berjaya menghasilkan ibu dan bayi hidup pada tahun 1500 di Switzerland.

Kes ini agak pelik kerana sebelum ini pembedahan caesarean biasanya dilakukan sebagai usaha terakhir bagi membantu proses kelahiran.

Ini kerana pembedahan ini mempunyai komplikasi yang terlalu tinggi berikutan kematian ibu selepas bayi dilahirkan.

Menurut beliau, pada akhir 1700 dan awal 1800 terdapat rekod menyatakan pembedahan caesarean dilakukan untuk mereka yang menghadapi kesukaran bersalin.

Hakikatnya, pembedahan ini bertujuan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak dalam kandungan setelah ibu terbabit berhari-hari menanggung kesakitan namun kadar kejayaannya terlalu rendah.

Peratus kejayaan bayi yang dilahirkan hidup terlalu rendah kerana pembedahan ini sering menggadaikan nyawa ibu.

Namun, selepas penemuan antiseptik dan anti-biotik bagi melawan kuman, kaedah-kaedah berhubung pembedahan, kadar kematian ibu menurun dengan mendadak.

Dr. Mohd. Hashim memberitahu, berdasarkan legenda Julius Caeser, beliau dilahirkan melalui pembedahan caesarean pada tahun 100 Sebelum Masihi.

Justeru, nama beliau diambil sempena kaedah pembedahan tersebut.


APAKAH YANG DIMAKSUDKAN PEMBEDAHAN CAESAREAN


Pembedahan caesarean merupakan satu pembedahan yang melibatkan beberapa lapisan pada dinding perut wanita. Lapisan kulit, lapisan-lapisan otot dan dinding rahim dibuka bagi membolehkan bayi dilahirkan melalui pembedahan tersebut.

Pembedahan caesarean terbahagi kepada dua iaitu:
* IRISAN MELINTANG - atau lebih dikenali sebagai lower segment caesarean di mana irisan dinding rahim dilakukan pada bahagian bawah rahim.
* PEMBEDAHAN KLASIKAL - irisan dilakukan menegak pada rahim.

Bagaimanapun, irisan melintang merupakan pilihan hingga kini kerana ia dapat mengurangkan kadar pendarahan, di samping menurunkan risiko rahim pecah pada kandungan yang seterusnya.

Namun, pembedahan klasikal hanya diperlukan untuk kes-kes tertentu kerana ia meningkatkan risiko kehilangan darah, jangkitan kuman, rahim pecah pada kandungan yang seterusnya boleh menyebabkan kematian ibu dan anak.

Menurut Dr. Mohd. Hashim, sejak tahun 1960- an pembedahan caesarean meningkat kerana ia merupakan salah satu langkah untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak.

Pada masa yang sama, pembedahan ini semakin popular apabila timbulnya kesedaran berhubung perancang keluarga.

''Dengan penurunan kadar kelahiran, sesetengah golongan lebih menumpukan kesihatan bayi dalam kandungan,'' katanya.

Tambahnya, dengan kaedah bius dan pembedahan ramai yang beranggapan bahawa pembedahan ini sesuatu yang selamat dan mudah walaupun tanpa satu alasan kurang jelas.

Namun, ramai yang beranggapan mereka yang pernah menjalani pembedahan ini perlu menjalani pembedahan yang sama untuk kelahiran seterusnya.

Sebenarnya, ia bergantung kepada keadaan ibu dan anak dalam kandungan, sekiranya tiada risiko yang berulang pesakit tidak perlu menjalani pembedahan caesarean.

Dr. Hashim memberitahu, biasanya doktor akan memaksimumkan menjalani hingga tiga kali pembedahan bagi mengelakkan risiko kecederaan pada organ berhampiran seperti pundi kencing, usus dan sebagainya.

Bagaimanapun, wanita yang pernah melahirkan anak secara caesarean sebelum ini dan bercadang untuk melahirkan anak secara biasa, dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan dan rawatan tetap di hospital-hospital yang mempunyai kelengkapan lengkap.


FAKTOR PEMBEDAHAN CAESAREAN


* Tali pusat keluar dahulu semasa air ketuban pecah.

Tali pusat ini akan turun perlahan-lahan ke dalam saluran faraj, keadaan menurunkan beka oksigen pada bayi menyebabkan bayi bernafas dalam peranakan.

Keadaan ini boleh menyebabkan kematian bayi dalam kandungan, justeru pembedahan kecemasan caesarean diperlukan.

* Uri di bawah (placenta praevia).

Uri berada di bawah daripada bahagian bayi pada pembukaan rahim. Sekiranya proses kelahiran biasa berlaku, pendarahan yang banyak akan membahayakan keselamatan ibu serta anak.

* Tulang punggung dan saiz kepala bayi tidak sepadan (dispropotion).

Keadaan ini akan mengakibatkan proses kelahiran mengambil masa agak lama tanpa banyak tanda-tanda ia akan berjaya jika kelahiran biasa berlaku.

* Terdapat tanda-tanda bayi dalam kandungan lemas dan tidak aktif semasa proses bersalin.

Pertumbuhan atau perkembangan bayi yang terencat atau kadar denyutan jantung bayi yang menurun.

Kedudukan anak yang tidak betul seperti melintang atau condong (oblique) atau berlaku kelainan presentasi anak seperti muka, tangan atau kaki semasa pembukaan rahim.

Status kesihatan ibu seperti hipertensi, diabetes atau sakit jantung.


RISIKO PADA BAYI YANG DILAHIRKAN


Bayi yang dilahirkan melalui pembedahan ini terutama sebelum ibu merasai sakit bersalin, mengalami masalah pernafasan lebih tinggi berbanding kelahiran biasa.

Keadaan ini ada kaitannya dengan kesilapan dalam kiraan jangkamasa kandungan.

Justeru, bayi ini dianggap prematur di mana keadaan ini akan mendedahkan bayi tersebut kepada jangkitan kuman di paru-paru, masalah penyusuan dan lain-lain lagi yang memerlukan rawatan di hospital dalam jangka masa panjang.


KESAN PSIKOLOGI PADA IBU


Pembedahan ini boleh menyebabkan beban psikologi dan fizikal yang lebih tinggi berbanding kelahiran biasa. Ini kerana keadaan fizikal selepas pembedahan menyukarkan keinginan ibu terbabit untuk bersama anak yang dilahirkan.

Secara tidak langsung, ia boleh menimbulkan rasa marah, hampa dan tertekan kepada ibu.

Namun, sokongan ahli keluarga dapat membantu mengurangkan bebanan psikologi ini.


KES-KES YANG MEMERLUKAN PEMBEDAHAN CAESAREAN


Bagi kes-kes tertentu, pembedahan caesarean merupakan pilihan terbaik yang dapat menyelamatkan nyawa ibu dan anak dalam kandungan seperti:

* Uri di bawah
* Pendarahan yang banyak pada peringkat akhir kehamilan.
* Kelahiran tersumbat
* Rahim pecah
* Bayi dalam kandungan terlalu besar
* Jangkitan kuman herpes pada kemaluan yang akan menjangkiti bayi sekiranya ia dilahirkan secara biasa
* Tali pusat terkeluar dahulu (cord prolapse) - Oleh Najibah Hassan

--- UTUSAN MALAYSIA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...